Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, June 26, 2013

TEATER DALAM PENDIDIKAN: ACT IT UP

Tema Beyond Borders: Give them wings, let them fly
Ahad lepas saya berpeluang bertemu guru-guru dari 9 buah sekolah yang dipilih dari seluruh Malaysia sebagai anak angkat kepada Malaysia Airport Berhad. Projek anak angkat ini di bawah program Beyond Borders yang sudah pun memasuki musim ketiga. Jika musim lepas, sebanyak 12 buah sekolah dipilih dan dijadikan anak angkat selama tiga tahun. Tujuan tiga tahun itu, adalah untuk melihat perkembangan pelajar sekolah rendah dari darjah 4 - 6 membangunkan keupayaan bahasa Inggeris mereka. Menurut bos Bahagian Korporat MAB, peningkatan berlaku dari 50% kadar lulus kepada lebih 70%. Saya kira ia sangat memberangsangkan. Ini dikira obligasi yang dibuat oleh sektor korporat kepada komuniti khususnya pelajar-pelajar sekolah luar bandar.

Kali ini, 9 buah sekolah akan dibiayai beberapa aktiviti mereka selama empat tahun. Penambahan satu tahun. baguslah. dan tahun ini, saya lihat programnya juga ditambah baik. Aktiviti projek sains dan projek English sudah tidak dibuat. Tumpuan lebih kepada memperbaiki skill pelajar secara praktikal. Selama empat tahun nanti, pelajar akan tetap dibantu dalam meningkatkan Bahasa Inggeris mereka melalui beberapa aktiviti termasuklah Tell A Strory dan Act It Up.

Bos Korporat MAB
Nik Anis
Sejak dua tahun saya terlibat dalam Beyond Borders ini, saya melihat bagaimana aktiviti Act It Up mampu merangsang keupayaan dan keyakinan murid-murid dalam bahasa inggeris. Act It Up adalah aktiviti teater dalam bahasa Inggeris. Murid-murid perlu mementaskan sebuah persembahan berdurasi 15 minit dengan menggunakan kandungan sains. Memanglah bukan murid-murid yang mengarah dan menyediakan skrip, tentu sekali guru yang mengendalikannya. Tapi apa yang menarik komitmen pelajar sangat tinggi. Kesungguhan mereka menghafal, memahami teks dan menghayati watak harus dipuji. Tahun 2011 dan 2012, saya lihat kelemahan memang terletak pada cara pendekatan guru-guru di dalam mengolah topik sains ke pentas, kelemahan mengembangkan cerita, memaksima dan mengeksploitasi kebolehan pelajar dan menggunakan pendekatan terbaik dalam persembahan. Ini mungkin keana kurang pendedahan dan kelemahan di dalam mengaplikasi teater dalam pendidikan.

Teater dalam pendidikan sebenarnya sudah lama berkembang dan ia bukanlah sesuatu yang asing dalam kalangan pendidik. Mereka mengetahui tentang konsepnya tetapi yang mereka tidak ketahui bagaimana mahu membuatnya. Kecekapan dalam mendidik membawa pemahaman yang berbeza, ini bergantung kepada keupayaan dan kaedah mana yang diguna oleh pendidik untuk menyampaikan pelajaran. Kelebihan teater sebagai alat untuk mendidik sangat luas. Ada yang melihat teater tidak lebih sekadar hiburan dan permainan semata-mata. Ia memesongkan tumpuan pelajar kepada subjek. Namun hakikatnya apabila sesuatu subjek diajar menggunakan teater, sebenarnya pelajar sedang belajar menggunakan hampir kesemua derianya. Melihat, membuat, mendengar, memahami dan menaakul boleh berlaku dengan serentak. Apatah lagi, teater itu bermaksud proses, proses manusia menghasilkan sesuatu. Dari teks membawa ke pentas adalah satu proses yang melatih manusia dalam banyak perkara. Kita berorganisasi, mengenal peranan dan tanggungjawab, memahami teks dan memahami objektif bersama. Semasa latihan semua anggota dalam organisasi teater cuba memberi dan melakukan peranan mereka demi mencapai objektif kumpulan. Proses latihan ini juga mengajar manusia mengenal kemanusiaan, kelemahan dan kelebihan rakan, membaiki kesilapan, meningkat disiplin pada masa dan tugas. 

Dalam proses berorganisasi, teater melatih menghormati ketua, mendengar arahan, berkarya dan menyediakan sesuatu dari kosong kepada wujud. Inilah yang tidak dilihat oleh ramai guru-guru. Cuba bayangkan bagaimana berkesannya pengajian sejarah bila ia melibatkan aktiviti teater. Topik Rundingan Baling tentu sekali jadi menarik dan berkesan bila dipersembahkan. Bayangkan subjek agama Islam, ustaz mengajar rukun haji dengan mengajak pelajar melaksanakan aktiviti  haji secara praktikal, tentu sekali ia jauh lebih berkesan daripada sekadar membaca buku teks. Begitu juga bila subjek sastera, guru mementaskan skrip drama yang dikaji. Bukankah ia memberi gambaran situasi dan turun naik plot dan perwatakannya. Saya masih ingat, untuk menduduki SPM, saya tidak menghabiskan novel Seorang Tua Di Kaki Gunung (lepas tu baru habis) tetapi saya menonton drama swasta adaptasi novel itu, lakonan Tamam Idris banyak membantu saya lebih memahami perwatakan dan jalan cerita tulisan Allahyarham Azizi Hj Abdullah. Kesan babak dan adegan dalam drama itu melebihi perkataan-perkataan dalam novel. Ia membantu saya merasai kesan emosi, ekspresi dan gambaran cerita itu sewaktu menjawab.


Jadi, dalam sesi saya bersama guru-guru itu, saya mendedahkan kepada guru-guru beberapa hal asas dalam drama. Saya fahamkan guru-guru apa itu drama, teater dan seni persembahan. Saya dapat rasa peningkatan pemahaman mereka daripada respon yang diberikan. Saya fahamkan mereka tentang istilah dan konsep yang selalu mereka dengar tetapi kabur pemahamannya. Rakan saya, Rosman menyampaikan topik Teater Dalam pendidikan yang saya kira amat penting untuk guru-guru dengar dan fahami. Malangnya sesi kami hanya sekitar tiga jam sahaja. Apalah sangat yang boleh kami lakukan dengan guru-guru itu. Ia lebih kepada 'slide presentation', soal jawab dan beberapa perkara yang boleh kami tunjukkan melalui gesture dan aksi kecil. Itu tidak mencukupi. Hal berkaitan praktikal tetap kena dibuat secara praktikal. Ia proses alami. Tapi walau bagaimana pun, saya puji pihak Malaysia Airport kerana menyediakan slot ini atas kesedaran perlunya guru-guru mendapat bimbingan. berbanding dengan musim lalu, musim ini banyak pemurniannya.

1 comment:

rosman ishak said...

Chekem Mirza sungguh bergaya tatkala presentation...."thats all i can said..."

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...