Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, June 11, 2013

HARGA KERETA TURUN: SIAPA UNTUNG?


Hari ini diumumkan 10 buah kereta yang membuat penurunan harga. Syabas kepada kerajaan BN kerana menepati janji manifesto PRU13. Saya menyambut baik usaha dan persetujuan syarikat pengeluar untuk membantu menyokong beban hidup rakyat Malaysia. Kereta hari ini bukan lagi barang kehendak tetapi keperluan, khususnya bagi mereka yang berkeluarga dan jumlah anggotanya ramai. Keperluan ini diistilahkan kepada sesuatu yang menyokong tuntutan kehidupan tapi kalau yang memenuhi impian dan nafsu, itu barulah kehendak. Kalau anda bujang dan mampu memiliki Viva tapi anda beli Volkswagen Golf, itu namanya nafsu. Kerajaan tak perlulah nak kesian.

Jika dilihat kepada penurunan 10 buah kereta itu, rata-ratanya membuat penurunan sekitar 0.7% - 11% sahaja. Mungkin bagi harga Puegeot  308 yang turun lebih 10 ribu itu beri kesan, tapi bagi kereta proton seperti Exora yang turun sekitar RM500 apalah sangat kesannya. Saya kira Exora adalah pilihan bagi keluarga berpendapatan sederhana yang memiliki keluarga yang besar. Secara peribadi, apabila membaca dan meneliti 10 buah kereta ini, ia tidak perlu kita raikan dengan gembiranya. Ini macam usaha yang masih kecil sifatnya. Nyata, sayarikat pengeluar sangat berkira-kira dengan keuntungan mereka berbanding niat untuk membantu mengurangkan beban rakyat. Kerajaan kena usaha lebih giat untuk berbincang dengan pengeluar dalam menurunkan harga kereta. Khususnya bagi kereta yang sangat-sangat diperlukan oleh rakyat (keluarga besar). Fikirkan bagaimana usaha pengurangan harga kereta ini benar-benar membantu mengurangkan beban belanja isi rumah. Menurut Dasar Automotif Negara, rakyat berpeluang menikmati penjimatan kurang RM400 bagi kereta nasional dan kurang 3.5% penjimatan bagi kereta import. Apakah ini berita besar buat rakyat? Mungkin kos RM320-380 hanya setakat belanja curut di hotel mewah atau separuh dari harga set rambut di salon bagi yang mewah. Atau RM300 adalah harga satu kali menu makan malam?  Saya sangat takut negara ini bina jurang yang besar antara miskin - kaya. Saya ke Cairo tahun lepas, depan mata sendiri lihat bezanya hidup miskin kaya di sana walhal, Mesir negara kaya dan kota metropolitan terawal di dunia. Itu semua malapetaka Hosni Mubarak.

bukan nak api-apikan 
Susahkan bila lihat cara kerajaan menangani masalah ini. Kelihatan pengeluar seolah-olah berdegil dan lebih mementingkan mereka semata-mata. Betullah, siapa nak rugi dalam berniaga. Tapi saya kira, hal inipun banyak juga alasan yang bermain dalam kepala orang kerajaan malah sebelum inipun, bila Pakatan sebut manifestonya adalah turun harga kereta, alasan yang keluar dulu oleh orang ekonomi kerajaan ialah; Ramai orang akan muflis! Saya pun jadi hairan bila itu yang terlintas dulu. Maksudnya orang pemerintah ini menjaga keuntugan para kapitalis ini bukannya rakyat yang sebahagian besarnya sengsara dek beban hidup. Saya terfikir, adakah harga kereta RM50,000 itu kecil bagi sebuah rumah berpendapatan RM2,000? Memanglah kita boleh kata, dah tahu gaji kecil belanjalah kecil. Tapi ia tidak membantu. Kita tidak memberi solusi.

Beli Ferari dapat pencuci sekali

Hidup dunia hari ini, jenama dan material menjadi salah satu pengisi hidup, walau ia bukan keperluan tetapi itulah hakikat. Waktu rakyat disuruh memakai kasut Bata, ramai juga yang memakai Prada. Waktu rakyat berpada-pada dengan proton dan produa, ramai sekali menjalar dengan BMW dan Mercedes. Peniaga bermain emosi dalam menjual barangan, yang mahal selalunya indah dan menawan. Manakala yang murah itu nampak cukup makan. Tanyalah muda-mudi hari ini, rata-rata mahukan Honda atau Toyata, mereka tak mahu yang lokal. Para kapitalis dengan bijak menguasai pasaran, mereka menyuntik minda dengan imej dan fantasi yang bukan-bukan hingga orang ramai terpesona dan memasang angan melebihi kemampuan. Kapitalis tidak peduli siapa yang mereka kalahkan, yang penting statistik harus memuncak. Kerajaan dengan kapitalis macam bermain tarik tali, dilepas rakyat derita, ditarik tabungnya kurang...lalu dilepaskan sahaja demi ekonomi. Yang tersepit, kita.


Kisah kereta ini dah jadi sangat melodrama lah. Saya tunggu tragedi sahaja. Adakah kita ini sangat terdesak dengan harga kereta berbanding dengan barangan lain? Adakah kereta jadi punca kepada beban hidup ini? Apa dah jadi dengan pengangkutan awam? Semua orang beli kereta siapa yang naik bas dan LRT? Harga kereta turun adakah barangan juga akan turun? Atau barang akan naik sebab rakyat mampu beli lebih? Harga kereta turun harga minyak tetap naik, jadi apa yang jimat? Adakah beras sebagai makan ruji cukup murah bagi kita? Bayangkan wang RM50 jika ke pasar hanya dapat membeli belanja rumah untuk tiga hari - ayam, sayur, ikan dan barang basah. Bayangkan keluarga berpendapatan RM900 sebulan - bagaimana mereka berbelanja?

Saya berpeluang ke London. Saya berbelanja di Tesco bawa wang 10pound, saya sangat mewah kerana boleh beli macam-macam. Harga cereal baru 2 pound, sayur-sayurnya baru berapa sen. Saya boleh penuhkan raga saya dengan wang 10 pound. Bahkan malam tadi rakan saya yang belajar di London, poskan foto di facebook harga sepeket beras hanya 40pc. Bukan saya nak angkat negara luar tapi itulah ukurannya, harga barang setimpal dengan pendapatan (bukan purata tapi ambil kira gaji minimun). Saya masih ingat masa gaji saya baru cecah RM2,000 selepas hampir 10 tahun bekerja, setiap bulan perbelanjaan saya minus - ini setelah ditolak perbelanjaan asas kereta, rumah, pengasuh, bil-bil, insuran, pendidikan anak, potongan pinjaman belum mengambil kira kos minyak dan belanja harian. Ia jadi tragedi buat saya.  Alhamdulillah kerajaan beri insentif pelbagai, kenaikan dan pelarasan gaji sangat membantu tetapi tidak meletakkan kami dalam zon yang selesa. Harga naik membuta tuli dan ia seperti tiada kawalan langsung.


kalaulah....

Jadi dalam kes turun harga kereta ini, setakat ini saya hanya anggap gimik kerajaan sahaja. Ia bukan benar-benar penurunan. Ia belum benar-benar membantu. Inilah masanya untuk buktikan dan masanya bagi pengeluar membuktikan kepada rakyat Malaysia bahawa mereka benar-benar ingin membantu. 

8 comments:

blog-tips-kurus said...

hhhhmmm...
banyak aspek nak kena kaji ni.. :)

Anonymous said...

Nice statement...

Aca said...

Melepaskan batok di tangga...

jimio said...

Gimik politik satu perkara mungkin, keduanya perancangan yg tidak berpaksikan realiti sebenar rakyat, jurang antara secawan teh rm100.00 dengan seminggu duit dapur masih wujud...

jimio said...

Gimik politik satu perkara mungkin, kedua tidak berpaksi realitiviti sebenar masyarakat, tu pasal masih wujus jurang rm100.00 untuk secawan teh dengan seminggu duit dapur, ketiga ialah keikhlasan, sama dulu dgn bagi rebate tol jam 1200 malam sampai 0600 pagi, satu bab nak kukuhkan institusi keluarga tapi banyak disorder oriented semua...nasib nasib...

jimio said...

Gimik politik satu perkara mungkin, keduanya perancangan yg tidak berpaksikan realiti sebenar rakyat, jurang antara secawan teh rm100.00 dengan seminggu duit dapur masih wujud...

Cekem Mirza said...

Jimio,
kita lihat pada realiti yang berlaku, sebab tu ada orang tak ambil peduli pasal harga ayam atau ikan di pasar. sebab mereka masuk kedai makan sepinggan ayam berharga RM150. Tadi pagi saya ke pasar belanja RM50 dapat seekor ayam rm15, sotong 1/2kilo rm24, bawang besar sekilo dan bawang merah 1/2kilo. Bawak balik balance rm1.50.

Anonymous said...

Turun harga kereta boleh, tapi struktur (pengiraan) harga[price structure] yg membawa pada harga jualan harus dikaji especially on import duty, excise duty,even kos material CKD (Complete Knock Down) pun kna duti wlaupun ada elemen 'exemption duty'.My company (multinasional car producer) dah cuba nak bring price to a better deal to customer to deal with for example MITI (Malaysian International Trade & Industy) Govt Liasion' section tapi tetap tak boleh sebab price structure ni.Ini tak termasuk mark up melampau in term of storage di port for 'in transit stock' dan custom clearance etc. Just my opinion, jgn asyik salahkan pengeluar kereta sahaja.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...