Jom Kita Jadi Geng

Saturday, June 15, 2013

GURU BAHASA INGGERIS 'FAILED'


Aduh berita ini buat saya kecut perut. 70% guru Bahasa Inggeris tidak fasih berbahasa Inggeris berdasarkan ujian Cambridge Placement Test (CPT). Jadi sebenarnya, apakah yang diajar oleh guru-guru itu? Apakah nasib anak-anak muridnya? Apakah pula persepsi ibubapa? Tiga pihak ini saling berkaitan di dalam melihat prestasi anak-anak. Kalau anak-anak di bandar mungkin mereka punya peluang lebih luas untuk menguasai Bahasa Inggeris, mereka boleh capai internet dengan mudah, pergaulan rakan yang guna pelbagai medium bahasa atau mungkin dalam keluarga dalam keluarga mereka sendiri menggunakan Bahasa Inggeris. Saya kira, kesedaran tentang kepentingan BI ini mula meningkat sejajar dengan meningkatnya golongan menengah.

Namun begitu saya masih percaya bahawa masih ramai anak-anak di bandar lemah dalam BI. Apatah lagi anak-anak di luar bandar yang harus melalui beberapa halangan untuk mempelajari BI selain daripada hanya menonton rancangan BI atau belajar dalam bilik darjah. Tapi bagaimanakah nasib anak-anak ini bila guru yang mengajar pun tidak fasih berbahasa inggeris. Ini sudah jadi seperti pepatah "Ketam mengajar anak berjalan lurus". Kesian-kesian. 
Memang bagus cadangan YB, tapi kalau dah guru sebut 10 bunyi Teng
Punctual disebut Function, Together disebut Togeh... jadi untuk tidak memalukan
guru dihadapan pelajar, perlulah latihan atau kaedah yang lebih praktikal.
Cadangan YB ini buat bila guru sudah yakin.

Bahasa bukanlah satu perkara yang boleh terus melekat dan menjadi sangat bagus apabila dipelajari 3 kali seminggu. Bahasa adalah perkara yang melibatkan proses yang kompleks. Mengenal, memahami dan mengaplikasikannya adalah tiga jenis aktiviti yang wajib. Apabila guru yang mengajar pun tidak cekap menggunakan bahasa itu, apatah lagi mahu membetulkan anak-anak yang baru nak mengenal. Bahasa harus ditutur setiap masa dan penuturnya haruslah berada dalam lingkungan yang menuturkannya. Barulah proses berbahasa itu berlaku.

Saya ambil contoh, anak saya yang belajar di sekolah cina. Di awal pembelajarannya memang dia sangat tertekan kerana tidak memahami sepatah perkataan pun. tetapi guru-gurunya tetap mengajar dan memberi latihan dalam Bahasa Mandarin. Dibiarkan anak saya bergaul dan berinteraksi dalam bahasa mandarin. Malah kami perlu membayar guru tambahan untuk mengajar khusus dalam menguasai sistem bahasa mandarin. Setiap hari bahasa cina diajar dan diberi latihan. Latihannya bukan sehelai muka surat tetapi berhelai-helai. Malah bukan hanya satu subjek yang menggunakan medium bahasa mandarin tetapi subjek lain iaitu matematik, sains, pendidikan jasmani dan muzik. Dan kerana itulah kecekapan berbahasa anak saya meningkat. Ini juga kerana, anak saya berada dalam lingkungan yang betul dan struktur pendidikan yang berobjektif.


Dalam hal ini juga, peranan guru sangat penting. Guru tidak boleh disalahkan 100% atas kekurangannya. Adakah guru-guru ini memang datang dari lingkungan yang cekap berbahasa Inggeris? Adakah guru-guru itu memang mengamalkan BI dalam perbualan hariannya? Memahami ilmu buku tidak semestinya bagus dalam perbualannya. Saya yakin kebanyakkan guru-guru yang mengajar Bahasa Inggeris ini diambil berdasarkan kelulusan BI di peringkat SPM. Bagi saya itu tidak cukup. Berbeza di zaman awal merdeka, ramai guru-guru di hantar ke Kirkby untuk menjadi guru dan pulangnya mereka ke tanahair dengan bekal yang cukup untuk mendidik pelajar kita. Tapi hari ini, setakat memasuki maktab perguruan, saya kira itu tidak cukup. Kementerian Pendidikan tidak boleh salahkan guru, mereka harus ada solusi, seperti menghantar guru-guru ke latihan jangka pendek di luar negara atau mungkin mensyaratkan hanya yang ada kelayakan khusus dengan menduduki CPT baru boleh mengisi jawatan sebagai guru. Janganlah menyalahkan guru, jika di peringkat awal lagi sudah silap percaturannya.

P/S:
Saya juga bermasalah dengan cara anak saya membaca Bahasa Malaysia, kerana cara bacaannya tidak kedengaran seperti biasa, bila ditanya, rupanya guru yang mengajar adalah guru cina (yang cekap pada bukunya sahaja).

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...