Jom Kita Jadi Geng

Friday, September 27, 2013

SITI NURHALIZA HEBAT MENYUMPIT


Konsert Lentera Timur Siti Nurhaliza telah pun melabuhkan tirainya pada selasa lalu. Menutup dengan seribu kemanisan. Sesuai dengan nama konsert 'Lentera Timur', Siti berada di kelas tertinggi dalam seni hiburan tanahair dan menyerlahkan cahaya seni yang penuh berbudaya. Konsert yang bermula 20 - 23 September 2013. dan pada 24 September adalah persembahan untuk para jemputan sahaja yang dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan. Malam itu, walaupun bunyinya satu malam yang formal namun hiruk pikuk penonton tidak dapat dibendung. Para penonton enggan melepaskan keindahan malam itu begitu sahaja. Saya bertuah kerana berpeluang menontonnya sebanyak 2 kali. Apa yang berbeza? Tiada langsung! Cukup lemak manis masam masin nya malam itu. Suara Siti tidak kedengaran lemahnya. Usik gurau di kedua-dua malam itu memang ada bezanya, namun ia cukup untuk menyegarkan sebuah persembahan. Siti tidak berlebih kurang, sedap mata melihat sedap juga telinga mendengar.

Konsert dimulai dengan prolog makyung. Siti tampil berduet bersama Rosnan Rahman mempersembahkan lagu Sedayung Pakyung. Ada gerak tari dalam beberapa kirat. Manis sekali prolog itu walaupun untuk diri saya, mahu lebih lagi mendengar Siti mengalunkan lagu makyung. Mungkin faktor masa lalu lagu itu dipilih tapi ia kena dengan fungsinya sebelum pecah persembahan. Lentera Timur benar-benar dibuka dengan dua lagu dari album Sanggar Mustika iaitu Nirmala dan Kurik Kundi. Nirmala sebuah lagu yang cukup dramatik, tanpa tarian pun ia cukup mengujakan. Pengkisahan dalam lagu itu dengan form yang berbagai benar-benar menguji vokal penyanyi dan Siti membuka Lentera Timur bagai sebuah ceritera. Tatkala bila Siti alunkan "Diciptakan seorang insan, lembut hati bak.. redup pandangan.. pabila berkata seluruh alam menyaksikan kesyahduan...". Ramai mengaitkan bait itu dengan menggambarkan peribadi Siti. Saya tidak menafikannya walaupun isi lirik itu ada kisah yang lain. Dari Nirmala ia bersambung dengan Kurik Kundi, sebuah lagu yang boleh kita istilahkan 'the tapestry of Malaysia'. Sebuah lagu yang menghimpun pelbagai irama dari negeri-negeri di Malaysia. Memang ia lagu untuk tarian dan lagu untuk mengukur ketajaman penyanyi menguasai setiap loghat. Pada lagu pembukaan ini pun, Siti sudah menyuntik unsur kekaguman dengan menyumpit belon. Dan nyata ia tepat pada sasaran. Sisi maskulin yang ditunjukkan ini sangat bagus daripada sudut feminisme.
Pak Ngah selayaknya digelar Bapa Irama Malaysia. Dosa Pak Ngah
adalah kerana menghasilkan lagu Melayu yang hebat. Gabungan dua insan ini
mencetus fenomena Irama Malaysia. Bila tengok mereka berdua, saya boleh senyum
sendiri bila mengenang kisah Siti dan Pak Ngah di studio.
Sepanjang malam persembahan, interaksi Siti dengan penonton sangat baik. Jika di awal kemunculan Siti sebagai penyanyi banyak sekali teguran negatif. Saya kira pengalaman mendewasakan Siti, usikan dan jeritan penonton disambut dengan selamba dan mengena. Siti tidak hilang perkataan, memanglah ada yang diskripkan tetapi reaksi spontannya cukup baik. Banyak segmen dalam 2 jam persembahan itu. Ia bukanlah sebuah perjalanan kesenian dan tiada konsep yang jelas. Dari lagu pertama ke lagu penutup, semuanya tindih bertindih dan timpa bertimpa. Segmen tidak dipecah berdasarkan irama atau aliran pengaruh tetapi ia lebih kepada fungsi irama tradisional. Lalu Lentera Timur digarap dengan segmen Orang Merajuk, Muzikal, Dikir Timur, Patriotik, Tribute to Pak Ngah, Bersama artis undangan dan beberapa lagi. Cubaan membawa lagu pop dalam iringan tradisional cukup baik, lagu Biarlah Rahsia berupa hits Siti yang berhantu. Saya bayangkan hanya gamelan sahaja mengiringinya. Biar kita dengar vokal dan bunyi dentingan tembaga sahaja. Tapi ia dipersembahkan dengan iringan fusion kontemporari sehingga modern rythm section lebih dominan daripada bunyi alat tradisional. Hampa jugalah tapi OK sebab lagu itu sangat sedap. Dan saya harus puji barisan Backup Vocal yang cukup mantap.

Jadi Lentera Timur telah memberi satu kesimpulan bahawa Siti Nurhaliza adalah penyanyi tiada tolok bandingannya di ketika ini. Penguasaannya dalam lagu-lagu melayu dan irama Malaysia sangat hebat dan setara kehebatannya dalam irama pop. Bagaimana bagusnya Siti mengalunkan Bukan Cinta Biasa dan Purnama Merindu begitulah bagusnya Siti menyampaikan Patah Hati dan Cindai. Saya tidak boleh memilih lagu mana paling sedap pada malam itu, telinga saya serap semuanya. Tapi aksi dan suntikan pengarahan persembahan yang cukup melekat dan terbawa hingga ke rumah adalah keajaiban Dato' M.Daud Kilau menukar 10 baju dalam 2 lagu, Aksi minimal tapi mengancam oleh 4 Dara dan kemunculan Isey Salak Madu dalam segmen Dikir Timur. Mereka ini menyeri Lentera Timur dan melengkapkan kesedapan malam itu.
Thanks Budiey. 
Kekurangan? Mana mungkin tidak ada. Saya kira pengarah muzik berlebihan dalam gubahannya. Saya bayangkan Orkestra Tradisional Kebangsaan hanya menggunakan alat muzik tradisional sahaja tapi silap, kebergantungan pada instrument moden masih kuat. Adakah alat muzik tradisional tidak cukup untuk melantun iramanya? Saya tidak percaya. Segmen Sedayung Pakyung dan Dikir Barat elok saja bunyinya. Jadi di masa akan datang ada baiknya Orkestra Tradisional menumpukan pada alat tradisional sahaja. Gitar bass, drum atau piano mungkin eloknya kita cuba lupakan. Satu lagi, elemen fusion hadir dalam sebahagian besar lagu sehingga dalam lagu Damak pun ada elemen cina. 

Sinografi, saya kira multimedia dan propset tidak banyak membantu dan tidak mewakili apa-apa konsep. Tidak semacam menonton konsert M.Nasir yang lalu. Masakan separuh persembahan struktur sangkar tergantung begitu sahaja. Penggunaan bangku, tangga rumah adalah sangat literal dan memerlukan banyak keluar masuk. Eloknya dihasilkan sebuah pentas yang boleh mewakili banyak segmen memandangkan Lentera Timur bukanlah persembahan realis semata-mata. 
M.Daud Kilau contoh performer yang hebat. Dua kali saya menonton,
dua kali saya boleh terkekek-kekek ketawa. Siapa designer baju dia?
Tarian, saya kira ia beri impak pada persembahn. Tambah lagi pada segmen-segmen muzikal dan 3 lagu terakhir termasuk Popaleh Weh. Cuma saya tercari-cari tarian tradisional sepanjang malam itu. Semuanya kreasi baru. Gerak tari dalam Sedayung Pakyung bukanlah tarian, ia lebih kepada gerak improvisasi pakyung. Hampir kesemua lagu tariannya kreasi baru. Banyak gerak-gerak kontemporari sehingga sepanjang malam itu saya lihat tariannya sama sahaja, yang berbeza adalah rentaknya. Sayanglah Lentera Timur adalah konsert tradisional. Koreografer harus merancang mana lagu dan segmen yang perlu tonjolkan seni tari asli.  Apapun Artistana Istana Budaya hebat dan kostumnya menarik.

Saya mahu tutup entry ini dengan ucapan beribu-ribu Tahniah kepada Siti Nurhaliza Production dan Istana Budaya. Bukan senang usaha mengangkat seni budaya dalam arus globalisasi ini. Waktu Irama Malaysia sekadar mengisi radio Klasik Nasional, kedua-dua pihak berani mengambil inisiatif menyegarkan kembali irama yang pernah menjadi fenomena di dekad lalu. Saya percaya mereka yang hadir sangat menghargai keindahan lagu-lagu Melayu, mengagumi kehebatan Siti Nurhaliza dan berbangga dengan keunikan irama Malaysia. Saya sangat berharap gelombang yang di bawa Siti ini membawa kepada kebangkitan semula irama Malaysia.

Wednesday, September 25, 2013

BINI MATYO BUKAN BODOH! BUKAN BODOH! BUKAN BODOH!


Semalam ada tiga berita buruk buat Malaysia; 1) Pelatih PLKN dibunuh. 2) Budak 17 tahun bunuh polis dan 3) Bini Matyo Tak Bodoh. Malaysia harus berkabung!

Mari kita raikan kemenangan Pak guard Azman Md Nayan kerana berjaya menyerlahkan kebodohan bini Matyo. Resam dunia hari ini, orang suka membanggakan diri dan merasakan betul segala tindak tanduknya. betul pada hak dan fikirannya sahaja tanpa mempedulikan hak orang lain. Dalam kes video bini Matyo ni saya pun heran mulanya, kenapa dia muat naik video ini sedangkan ia memperlihatkan kebodohan dan kebongkakannya. Bila tenung dalam-dalam, saya tahu bahawa ini contoh jenis penyakit hari ini. Penyakit bongkak dan bangga diri, rasa betul, yakin betul, pasti cerdik, yakin itulah tindakan terbaik. Maka kejadian yang dirakam oleh bini Matyo dan dimuat naik ke laman sosial adalah dengan harapan, dia akan dijulang sebagai manusia yang menegakkan hak dan menyerlahkan keberaniannya melawan peraturan. Tahniah bini Matyo, kecekapan awak merakam dan memuat naik, telah membuka mata kami bahawa salah satu ciri-ciri isteri pemain bola yang handal adalah MESTI BONGKAK!

kreatif betul orang yang buat ni. Ia beri signal bahawa
orang kita cepat bereaksi
Sekali lagi mari kita tepuk tangan dan bersorak atas kecekapan bini Matyo ini. Bini Matyo telah berjaya memperlihatkan sisi baik Matyo sebagai suami kerana berjaya melatih bininya menjadi sangat berani dan menegakkan keadilan. Ya lah sebelum ini pun, bini dia juga yang marahkan Annuar Musa. Hebat! Hebat! Jadi bila Matyo terpaku dan diam memerhati cara isterinya bertelagah dengan pak guard sambil mengeluarkan kata-kata hina nista kepada seorang yang lebih tua, yang rendah pekerjaannya, yang cuba melaksanakan tugasnya, yang cukup sabar melayan kerenahnya, yang dihina oleh wanita muda, yang digelar dayus, yang digelar bodoh- Matyo hanya diam tanpa menegur tingkah isterinya. Jadi syabas untuk Matyo kerana berjaya menjadi seorang suami yang pendiam, sabar dan merasa OK melihat bininya begitu. Syabas Matyo!

Hari ini, surat khabar jadikan kisah ini sebagai tajuk berita utama. Sukalah bini Matyo sebab dia akan popular. Dari orang tak mahu tahu kisahnya kini dia jadi carian popular di google. Tapi orang tak taiplah namanya, orang taip carian 'bini matyo'. Saya harap bini apek jangan buat kerja macam ini. Mungkin bini Matyo rasa dia sudah berada dalam kelompok berbeza, sangat eksklusif, tak boleh ditegur, status Matyo hari ini adalah kebanggaannya. Bukan senang nak capai, hanya berbekalkan kaki suami dia sudah mampu berkereta mewah dan jinjing beg mahal. Kalau di United Kingdom, bini Matyo tentu dah masuk kelompok WAG. Tahu tak apa itu WAG? Maksudnya Wife And Girlfriend pemain bolasepak Liga Inggeris. Bezanya, WAG di sana memang kelas, dan berpendapatan jutaan ringgit. Tapi kalau setakat bini Matyo - diludah Victoria Beckham saja. HaiitttPuiihh!

Kasih isteri membawa ke syurga?
Abang Azman Mat Nayan pun jadi hero ekoran kejadian itu. Tahniah bang, abang adalah cerminan Melayu.
 Sabar dan sedar  tetapi pantang bila dihina. Ketegasan yang ditunjuk adalah bukti bahawa masih ramai pegawal keselamatan yang dedikasi dan melakukan tugas dengan tanggunjawab. Video bini Matyo ini juga bukti bahawa betapa pekerjaan sebagai guard itu jadi hinaan orang, dipandang rendah. Agaknya berapa ramaikan guard diperlakukan begini? Ada statement bini Matyo yang dicerita abang Azman yang buat saya rasa 'alahai perempuan ni memang daki dunia'. Boleh dia kaitkan 'kerabat' untuk minta dihormati! Memang daki lah manusia begitu, malulah istana yang dipergunakan. Jika benarlah dia kata begitu, maka saya anggap mentaliti bini Matyo berada di tahap paling rendah.

Kesian Matyo, dia bekerja keras dengan kakinya untuk dapat puluhan ribu, isterinya hanya buat video tak sampai 1 minit sudah dapat ratusan ribu like dan view. Syabas bini Matyo, anda hanya letak otak dikaki untuk jadi hebat.

Kita harus tunjukkan kebencian pada sifat dan sikap begini, jangan diam. Biar jadi kepochi di alam maya. Jika tidak akan lebih ramai manusia bongkak lahir di Malaysia.

Monday, September 23, 2013

KESULTANAN BRUNEI SIMBOL MELAYU



Pengislaman Raja Brunei, Awang Alak Betatar setelah berkahwin dengan puteri Johor (Singapura Tua) dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah dianggap sebagai titik mula kemuculan Brunei sebagai negeri merdeka dan berdaulat.  Sebagaimana disebut, sebelum Islam Brunei terlebih dahulu menerima pengaruh Buddha dan Hindu dan ini mempengaruhi corak kehidupan, amalan dan budaya masyarakatnya. Walau bagaimanapun, setelah Sultan Sharif Ali ditabal menjadi Sultan Brunei ketiga, Islam mula diterima secara menyeluruh dan merubah kehidupan masyarakat Brunei.  Apatah lagi, Kerajaan Islam Melaka pada masa itu menguasai alam Melayu . Dalam Silsilah Raja-raja Brunei ada menyebutkan bahawa selepas pengislaman Awang Alak Betatar cara pemerintahan Brunei turut berubah:

“ …kerajaan dalam kandang daerah negeri Brunei Darul’aman yang turun-temurun yang mengambil pesaka nobat negara dan genta alamat dari negeri Johor Kamalu’-maq-am dan mengambil nobat negara dan genta dan alamat Minangkabau, iaitu negeri Andalas.”

            Kegemilangan Brunei dipercayai semasa pemerintahan Sultan Brunei kelima, Sultan Bolkiah atau dikenal sebagai Nakhoda Ragam.  Sultan Bolkiah memerintah dari tahun 1473-1521, mengahwini Puteri kepada Betara Sulu, Lela Menchanai. Di bawah pemerintahannya Brunei berkembang maju dan menyusun pentadbiran negeri secara lebih tersusun. Semasa Sultan Bolkiah telah diperkenalkan jawatan Bendahara dan pengiran Temenggung sebagai pegawai terkanan untuk membantu pentadbiran negara. Kegemilangan Brunei ini mengambil peluang atas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis. Hughes Hallet mengatakan bahawa pada zaman keemasan Brunei ini, empayarnya melangkaui Borneo Utara, Sarawak, Kepulauan Sulu dan keseluruhan pulau-pulau Balabac, Bangi, Balambangan, Mantani dan Barat Laut Palawan.
            Kemunculannya sebagai sebuah negara Islam yang kuat di rantau ini sesuai dengan dasar Benua China pada masa itu yang melaksanakan dasar membangunkan hal-ehwal dalam negeri dan mengurangkan pengaruhnya di negara-negara rantau sini telah member peluang kepada kerajaan Brunei mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Melaka dan Majapahit. Ini telah menarik pedagang-pedagang Arab, China, Portugis dan lainnya menjadikan Brunei sebagai pelabuhan perdagangan mereka.  Kegemilangan kerajaan di bawah Sultan Bolkiah ini telah membentuk organisasi masyarakat Brunei teratur dan lebih kompleks dengan sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan ketenteraannya sudah mencapai tahap yang tinggi.

            Kemangkatan Sultan Bolkiah memberi kesan kepada keteguhan kerajaan Brunei di mana sultan-sultan selepas beliau gagal mengekalkan pengaruh dan kekuasaan Brunei. Banyak negeri-negeri jajahan Brunei mengambil peluang untuk melepaskan diri dari naungan Brunei. Walaupun Sultan kesembilan Brunei, Sultan Muhammad Hassan (1582-1698) cuba mempertahankannya dengan memeperkenalkan beberapa dasar termasuklah memperkenalkan Hukum Kanun Brunei, menambah jawatan pembesar seperti Pengiran Di-Gadong, namun usaha baginda gagal memandang pada abad ke-16, kuasa Barat sudah memasuki dan menakluk negeri-negeri di rantau Melayu. Sepanyol di Filipina, Protugis di Melaka dan Belanda di kepulauan Indonesia. Hal ini menggoyahkan kedudukan dan pengaruh Brunei apatah lagi, Brunei turut menerima ancaman Sepanyol yang ingin menguasai keseluruhan utara pulau Borneo setelah berjaya menakluk Manila di Filipina. 

            Secara ringkasnya, kuasa-kuasa Barat menguasai rantau nusantara pada abad ke 17 hingga ke 19 telah memusnahkan sedikit demi sedikit unit-unit politik Melayu. Pada ketika itu, kesultanan Melayu yang tinggal ialah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Namun kedua-dua kerajaan ini sangat lemah berbanding dengan pengaruh Barat yang begitu kuat di dalam menguasai ekonomi perdagangan dan politik. Thailand menjadi satu-satunya negara yang berdaulat tanpa dikuasai oleh barat ketika itu. Penguasaan Inggeris di Borneo khususnya di Sarawak pada tahun 1845 sehingga membawa kepada penyerahan Limbang pada 1890 telah menjadi rentetan awal kejatuhan Brunei. Ekoran daripada konflik dalaman dan tipu helah yang digunakan oleh James Brooke serta serangan-serangan yang dilakukan oleh Inggeris ke atas beberapa daerah di Brunei seperti Belait dan Tutong telah membawa kepada perjanjian dibuat. Pada tahun 17 September 1888, Brunei telah menandatangani perjanjian dengan James Brooke yang disebut sebagai Perjanjian Proctectorate, ini membawa kepada akuan Brunei menerima penglibatan Brooke dalam hal ehwal negerinya. Muslihat Brooke asalnya adalah untuk menghapuskan negeri Brunei dengan menjadikan ianya satu wilayah Borneo namun campur tangan British pada tahun  1906 dan menempatkan seorang Residen British telah menggagalkan rancangan James Brooke.  Sejak itu, Brunei di bawah jajahan dan naungan British sehinggalah kemerdekaannya pada 1984.

Sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Brunei telah dipimpin oleh seramai 29 orang Sultan. Sebagai sebuah kerajaan yang pernah bernaung di bawah pentadbiran British dari tahun 1888-1984, Brunei telah merentasi tempoh mematangkan diri dalam mempelajari selok belok pentadbiran sesuai dengan keperluan antarabangsa. Dasar-dasar yang dilaksanakan Brunei telah mengambil-kira keupayaan menyerlahkan negara kecil ini di persada antarabangsa. Kekayaan hasil minyak menjadi sumber terpenting dan meletakkan Brunei dengan mudah di dalam peta dunia. Tahun-tahun 1960 hingga 1970 menyaksikan Brunei betul-betul dicabar dengan berbagai rintangan di dalam mengekalkan kedaulatan negaranya. Penubuhan Parti Rakyat Brunei pada tahun 1957 yang menjadi kumpulan pendesak utama di dalam menggoncang institusi di raja dan kerajaan Brunei pada masa itu sehingga membawa kepada kemenangan Parti Rakyat Brunei di bawah pimpinan A.M. Azahari dalam pilihanraya tahun 1962 dan menular kepada peristiwa berdarah dalam tahun yang sama, benar-benar menggoyahkan Kesultanan Brunei selaku pemerintah. Selain itu, Gagasan Malaysia yang mempunyai pelbagai perkara pro dan kontra yang membawa kepada perbincangan yang panjang turut meletakkan Brunei di dalam dilema.  Provokasi yang dimainkan oleh mereka yang berkepentingan yang menghasut rakyat,serta desakan Kerajaan Persekutuan Malaya di bawah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah meletakkan pemerintah Brunei dalam tekanan.

            Di sinilah letaknya kebijaksanaan Sultan yang mentadbir Brunei semasa itu, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.  Sejak kedatangan kuasa British dalam Brunei pada tahun 1906 telah menyebabkan kepupusan pengaruh Hukum Kanun Brunei yang pernah dikuatkasakan semasa Sultan Mohammed Hassan (1582-1598). Hukum ini boleh dianggap sebagai perlembagaan Brunei namun menjadi kurang berfungsi selepas  pentadbiran hal ehwal dalam dan luar negara menjadi tanggungjawab Residen British. Namun atas kewibawaan Sultan Haji Omar Saifudden yang berfikiran moden dan melihat perlunya asas di dalam memastikan kedaulatan  negara Brunei dan keutuhan Kesultanan Melayu islam Brunei yang berlandaskan kepada kebudayaan dan identiti melayu Brunei sendiri maka Hukum Kanun Brunei difikirkan sesuai sebagai alat yang menjadi asas terbentuknya satu perlembagaan baharu. Pada 29 September 1959, atas desakan dan cadangan baginda, Brunei berjaya memastikan Bristish mengisytiharkan Perlembagaan Negara Brunei. Pembentukan perlembangaan ini dianggap sebagai titik awal pemodenan sistem politik Brunei. Memetik titah baginda:

“… Perlembagaan yang baru beta masyhurkan adalah satu langkah yang besar dalam kemajuan perlembagaan Negeri ini menuju kea rah kejayaan sendiri yang penuh dan merdeka… maka kejayaan perlembagaan ini dan cepatnya Negeri brunei dapat mencapai taraf kerajaan sendiri yang  penuh akan bergantung kepada taat setia rakyat kepada perlembagaan ini…”  (Intisari Kebudayaan Brunei, 1988)

Perlembagaan ini yang menggantikan pentadbiran lama sebelum 1959 yang meletakkan Sultan samatara dengan Residen British. Perlembagaan telah memberi jaminan yang lebih menguntungkan rakyat Brunei apabila residen digantikan dengan Pesuruhjaya Tinggi yang tidak lagi mengambil tempat di dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Majlis Mesyuarat negeri yang bertanggungjawab kepada Sultan tentang pentadbiran dalam negeri diketuai oleh seorang Menteri besar yang dilantik oleh sultan sendiri. Syarat lantikan seorang menteri besar itu hanyalah terhad kepada rakyat Brunei dan beragama Islam bermazhab Safie. Ini kejayaan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien  di dalam memastikan anak tempatan mentadbir dan memerintah negeri mereka sendiri. Apa yang penting ialah kenyataan Bab 41 (b) Perlembagaan 1959 yang meletakkan Sultan adalah pemerintah tertinggi dan menunjukkan bahawa kuasa dan tampuk pemerintahan berada di tangan baginda. Yang lebih penting, baginda mengekalkan kedaulatan negeri dan keutuhan Kesultanan Brunei sejak turun temurun. Baginda berpendapat perubahan politik melalui Perlembagaan ini adalah dalam usaha melatih anak tempatan berkelayakan mentadbir dan memastikan kestabilan bentuk pemerintahan tradisi yang diamalkan sejan abad ke 14 diteruskan sesuai dengan keperluan dan perubahan yang berlaku di dalam negeri dan serantau.

            Kesan daripada polisi Sultan yang memastikan corak pemerintahan tradisi ini bertahan digambarkan melalui rundingan-rundingan dan ucapan-ucapan baginda.  Semasa Brunei berupaya mendapat kemerdekaan lebih awal, baginda secara lembut menolak atas perihatin baginda melihat keupayaan Brunei sendiri yang kurang mampu melindungi negaranya di rantau ini. Hal ini tergambar melalui peristiwa berdarah 1962 apabila kumpulan pendesak menganjurkan protes sehingga membawa kepada kematian. Bantuan ketenteraan British telah menolong Kesultanan Brunei lenyap di tangan rakyat  khususnya Parti Rakyat Brunei yang mahukan rakyat mentadbir sebagaimana amalan Malaya, Indonesia dan Filipina.

Sultan Hj Omar Ali Saifuddein
           Penolakan Sultan Haji Omar Ali Saifuddein meletakkan Brunei dalam Malaysia pada tahun 1963 jelas memperlihatkan bagaimana baginda menjaga kedaulatan Brunei dan Kesultanannya. Keengganan baginda menyertai Malaysia atas beberapa perkara yang cukup berasas khususnya daripada sudut ekonomi dan politik. Soal pembahagian harta Brunei kepada Malaysia dan pemilikan hasil minyak Brunei telah menjadi isu utama di dalam rundingan itu,  baginda menganggap ianya sebagai satu ufti yang seolah-olah Brunei di bawah takluk jajahan Persekutuan Tanah Melayu. Ini pernah dititah baginda sebagai “Jangankan $40 juta, setitik susu getah atau sebiji kelapa pun beta tidak mahu member kepada Malaysia” . Baginda yang amat sedar kekayaan dan kedaulatan Brunei akan pupus apabila menyertai Malaysia kerana ianya meletakkan Brunei sama seperti negeri-negeri lain. Termasuklah setara dengan Sabah dan Sarawak yang pada sejarahnya pernah menjadi jajahan Brunei.  Daripada segi kedudukan baginda sebagai pemerintahan pula, ianya jelas meletakkan baginda di bawah Persekutuan dan tiada beza dengan pemimpin negeri-negeri yang lain sedangkan selama ini baginda adalah seorang Raja pemerintah yang punya kuasa, naungan, kekayaan dan lebar salasilahnya. Titah baginda ini menunjukkan keinginan baginda sebenarnya  (Osman S. , 2001):

“Beta dan kerajaan telah membuat keputusan bahawa kepentingan bagi kebajikan Brunei dan rakyatnya tidak dapat dicapai dengan kita memasuki Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu pada masa ini.”

 Tulisan ini saya berdasarkan beberapa buah.

Friday, September 20, 2013

LELAKI GAGAH NAFSU KUDA



Mampu angkat?
Sebelum saya tulis, saya sudah dua tiga kali ketawa dan masih belum boleh percaya dengan cerita yang bakal saya tulis ini.

Sebenarnya cerita ini dah lama tapi saya baru saya terbaca di sebuah blog namanya Ilmu Pedoman Hidup. Blogger tu singgah kat my CBox jadi kenalah kita balas kunjungan itu. Bila tengok pada entri-entrinya, saya tertarik pada cerita ini, kisah lelaki terkuat di dunia yang berasal dari Mesir. Hmmm Mesir ya, bukan calang-calang bumi ya, itu bumi kelahiran banyak tokoh Islam dan punya seribu satu macam cerita hebat. Lalu saya pun layarlah beberapa info berkenaan si lelaki terkuat ini. Yang menariknya, dia pun telah diwawancara oleh TV untama Kaherah. Maknanya ia mungkin cerita benar dan bukan karut.

Nama lelaki yang bertuah ini ialah Sayyed Muhhamad Ahmad Abdallah pernah berkahwin sebanyak 28 kali dan kini bersama 4 isterinya. Hasil perkahwinannya, dia memiliki 35 orang anak yang berusia antara 24 tahun hingga 3 bulan (saya rujukvideo tahun 2007).  Sayyed Muhammad ini bolehlah disebut sebagai Samson atau Incredible Hulk kerana dia mengakui kekuatan yang dimilikinya, diperakui oleh doktor pakar bahawa dia memiliki kekuatan setara dengan 260 kuasa kuda. Wahhh ia sangat hebat, di mana kehebatannya ini bersamaan dengan tenaga 30,000 orang manusia. Jika seekor kuda boleh mengangkat 165kg dari ketinggian 30 meter dalam tempoh 1 minit, maka bayangkan kekuatan Sayyed menyamai 260 kuasa kuda. Mampukah anda mengangkat 165kg seorang diri dalam seminit? Menurutnya, ia mewarisi bapanya yang dipercayai memiliki 840 kuasa kuda. Masyaa Allah! Dan Sayyed tidak pernah tidur sejak hari pertama dia lahir. 

Inilah Sayyed Muhammad Ahmad Abdallah

Untuk meyakinkan kita, Sayyed telah menunjukkan kekuatannya dengan membengkokkan sekeping duit syilling menggunakan matanya. Apabila ditanyakan kenapa Sayyed memilih persembahan begitu, katanya itulah tahap kesukaran tertinggi. Malah dia enggan mempamerkan kekuatannya seperti orang lain yang memburu gelaran Guinness Book seperti tarik bas dengan rambut atau angkat batu besar dan sebagainya, kerana baginya itu sifat takbur. Kekauatan yang dimiliki adalah kurniaan Allah. Kuasa Tuhan yang kurnia. Bagus juga Sayyed ini. Katanya lagi, dia bimbang orang takut sebab kelebihan itu. Dan kerana itulah Syyed diberi pengesahan doktor di mana dia tidak boleh bekerja kerana dibimbangi boss tidak mampu mengawalnya. Kata Sayyed bukanlah sebab dia 'bad person' dan suka memukul tetapi dibimbangi adanya provokasi dan sesuatu yang boleh menyakitkan hati Sayyed. Kalau sudah marah dia mungkin tidak dapat mengawal diri.  Sayyed pernah dipenjara tetapi diampuni Presiden. Dia dipenjara kerana lari dari perkhidmatan tentera. Dia lari kerana tidak mahu menyakiti orang. Sayyed mengakui sebab itu jugalah dia tidak mahu bersentuhan sembarangan termasuklah tidak berjabat tangan. Klik video di bawah.


Dalam sehari dia perlukan 15 kali bersama isterinya. macamana dia buat tak tahulah tapi katanya dia ada masa membahagikannya. Katanya itu adalah keperluan hariannya. Kerana itulah dia punya empat isteri. Itu dicatat dalam laporan doktor. Jadi  kalau hanya punya seorang atau dua isteri, ia akan jadi masalah. Makanya seorang isteri  lebih kurang perlu melayannya 3-4 kali sehari. Nampaknya jaranglah dia tengok TV, kalau langgan Astro memang rugi hahahahhaaaa. OK sayyed tidak suka makan processed food dan seasoned food (memang tidak elok pun). Dia suka makan daging terutama daging mentah dan minum mentega cair. Mampu?

Kuatkan?
Apapun saya hormat pada Sayyed kerana dia sangat rendah diri. Cara percakapannya tidak menunjukkan dia bongkak. Memang ada beberapa tulisan mempersendakannya. Bagi saya semua ini kerja Allah. Mungkin Sayyed datang dari generasi beribu tahun dahulu yang memiliki kuasa sebegitu. Sedangkan di Malaysia pun ada orang boleh keluarkan benang dari mata dan batu dari ibu jari. Itu pun kuasa Allah. Tidak semua perkara boleh dihurai dengan sains. Orang moden khususnya barat, semuanya mahu dibuktikan dengan sains. Tapi bukankah '..kun fayakun' itu tertulis dalam al-quran.

Wednesday, September 18, 2013

MISS USA 2014: NINA DAVULURI DIANGGAP TERRORIST



Semalam Amerika terkejut dengan kemenangan Nina Davuluri sebagai Miss USA 2013. Buat pertama kali dalam sejarah US, wanita keturunan India memenangi gelaran itu. Ia memeranjatkan malah mengundang banyak tohmahan berbau perkauman di twitter dan media sosial yang lain. Ramai sekali orang US masih tidak boleh menerima Asia sebagai Amerika. Amerika di pandangan mereka hanyalah berkulit putih. Di tahun-tahun 80an dahulu, stigma perkauman juga berlaku apabila gadis berkulit hitam tidak pernah dinobatkan sebagai ratu US sehinggalah pada tahun 1990, Carole Gist memenanginya dan sekali gus memenangi first runner-up Miss Universe.

Nina Davuluri bukanlah gadis India berwajah heroin Bollywood tetapi seorang pelajar yang bercita-cita menjadi seorang doktor seperti bapanya. Anak kelahiran New York ini, lahir dalam keluarga berpelajaran yang berpindah ke USA sejak 30 tahun yang lalu. Apa yang membanggakan, dalam kategori bakat, Nina mempamerkan kehebatannya menarikan tarian Bollywood. Dikatakan Nina belajar tari klasik India sejak kecil dan bakat menari sudah tebal dalam dirinya. Dalam persembahannya, boleh terpancar kebanggaan Nina pada budaya asalnya. Tiada rasa jelik dan janggal bila dia menari. tengok cara Nina, saya terfikir apakah jika gadis Melayu-Amerika yang bertanding apakah akan dipersembahkan tarian Melayu? Ok, itulah juga sejarah pertama kali Bollywood di pentas Miss USA. Maka makin meluas pengaruh budaya India ini. Lihat bagaimana bangsa yang bangga dengan budayanya menggunakan platform terbaik untuk mengukuh dan menempatkan diri mereka. Macam mana dengan Ratu Malaysia, payah nak cerita, usah cakap nak suruh tonjol dan jual budaya Malaysia, suruh cakap Bahasa Malaysia pun belum tentu lulus.


Melihat Nina yang berdiri dan berhadapan dengan peserta-peserta kulit putih, latino dan kulit hitam, dia seakan tenggelam, apatah lagi, biasalah orang timur sering terasuh dengan keelokan orang putih, dengan mata biru dan rambut perangnya sehingga menenggelamkan rasa istimewa menjadi orang Asia. Tapi malam itu, Asia telah menguasai pertandingan Miss USA. Bukan sahaja Nina tetapi di saat debaran menunggu keputusan siapa bakal dimahkotakan, perhatian tetumpu kepada dua wanita Asia, Nina dan Crystal Lee (Cina-Amerika). Sewaktu host bertanya kepada mereka berdua, Nina dengan yakin menjawab "we really proud...making history as Asian American...we are really proud".

Cara Nina memang meyakinkan, tegas dan bangga dengan keturunannya. Ia tidak berselindung. Tetapi dalam masa yang sama Nina tetap mengatakan bahawa "I have to rise above that. I always viewed myself as first and foremost American." Kata-kata itu dilafazkan selepas banyak sekali cercaan dan penolakan daripada American yang merasakan USA patut diwakili oleh Ratu yang ada America Value.  Ada juga kata berbunyi 'Miss 9/11", 'Miss Al-Qaeda', 'Arab menang Miss Amerika' dan macam-macam lagi. Tapi yang pelik kenapa gadis India dikaitkan dengan terrorism? 9-11 bukankah Osama? Nampak sangat masih ramai orang Amerika pukul-rata Asia sebagai terrorist.


Apapun kemenangan Nina Davuluri menunjukkan USA mengiktiraf kepelbagaian bangsa dan tidak lagi hanya menganggap Amerika hanya boleh diwakili oleh kulit putih sahaja. Bagai kata Obama "What makes someone American isn't just blood or birth but allegiance to our founding principles and faith in the idea that anyone- from anywhere- can write a next chapter of our history".

Sunday, September 15, 2013

PEMERKASAAN BUMIPUTERA: NAJIB PUJUK BALIK



Berkobar-kobar semangat Melayu saya bila mendengar ucapan oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak pagi tadi di Universiti Teknologi MARA. Lokasi perhimpunan dan ucapan penuh sejarah itu dilakukan di lokasi yang cukup signifikan. Sebuah mercu tanda keilmuan bumiputera. Institusi yang telah melahirkan ramai sekali ahli korporat, profesional, cendikiawan dan cerdik pandai Melayu. Bila sebut bumiputera dengan sendirinya kita keturunan Melayu sebagai majoriti dan selebihnya adalah keturunan lain yang berbagai agama dan budaya.

Sepanjang ucapan PM tadi memang cukup bersemangat dan meletakkan kita berasa sangat bertuah berada di bumi Malaysia ini. Sebagaimana kata-kata beliau di hujung ucapan:

"Maka, berpasak dan bertunjang dengan Majlis Ekonomi Bumiputera ini, kepada orang-orang Melayu dan Bumiputera, usahlah berbimbang-bimbang dan bergundah-gundah, kerana, selagi ada bulan dan bintang, selagi hayat dikandung badan, survival Melayu dan Bumiputera tetap menjadi keutamaan dan pelita perjuangan kita sampai bila-bila".

kata beliau lagi sebelum itu:

"Certainly! We are doing what is fair, we are doing what is right, and we are doing what is equitable. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa nawaitu, atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa-bangsa lain".

kata-kata itu berasaskan kepada pengisytiharan yang dibuat oleh sembilan Raja-Raja Melayu:
"Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah Simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain" .

Apa perasaan dan keyakinan anda bila mendengar ucapan begitu, adakah keyakinan kita meningkat kepada kerajaan Barisan Nasional? Apakah masih sangsi dan was-was dengan akur janji PM itu? Apakah anda kurang selesa dengan frasa yang digunakan oleh PM di dalam mengagihkan kekayaan negara?

Di awal ucapan PM, seperti biasa beliau banyak menabur gula-gula, al maklumlah kesemua yang hadir mendengar dan pastinya disedari beliau bahawa ucapannya disiar oleh media perdana maka saya kira gula-gula yang ditabur sudah diambil-kira banyak sudut. Yang saya masih tertanya-tanya ialah kenapa sesi sebegini diadakan? Kenapa diadakan selepas pilihanraya dan bukan sebelum? Kenapa ia diadakan selepas ramai orang Melayu rasa kurang senang dengan 1Malaysia? Adakah sesi ini dibuat kesan sokongan masyarakat Cina yang menolak calon-calon BN? Apakah PM mula sedar kesilapan lalu ekoran terlebih bagi gula-gula demi memancing mereka? Saya kira, peristiwa PSY di Pulau Pinang akan dikenang PM sampai bila-bila. Jadi adakah kesan begitu maka PM menyatakan begini:

"Setelah selesai Pilihanraya Umum yang lalu, kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan halatuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.

Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan......, Yes... indeed!!!... we hear you... we hear you loud and clear"


Saya rasa PM terlalu bersungguh-sungguh menyatakan keperihatinan kerajaan kepada bumiputera. Terlalu bersungguh-sungguh. Kalau dalam lakonan ia memberi tafsiran lain juga. Tapi saya yakin PM benar-benar sedar bahawa selama ini bumiputeralah yang menegakkan Barisan Nasional.

Masa banyak sekali iklan macam ini, saya pun rasa jauh hati
Jadi dalam sesi pagi tadi, PM telah menyentuh banyak perkara dan sempat memberi habuan kepada UiTM pun. Untunglah UiTM! Di awal ucapan PM pun beliau merintis perjalanan awal negara Malaysia. Bagaimana negara ini dibangunkan atas kesedaran untuk membangkitkan kaum bumiputera khususnya di dalam persaingan ekonomi. Peranan Tun Razak sangat disanjung. Kalau tiada usul polisi DEB, saya kira Malaysia tiada langsung polisi yang membawa kepada Rancangan Malaysia ke-10 seperti hari ini. RMK yang masih dilaksanakan  dan terus mendahulukan kepentingan bumiputera. 

Cuma saya kurang gemar bila PM mengukur pembangunan negara kita melalui purata isi rumah, purata pendapatan, purata pemilikan aset dan apa sahaja diambil kira secara purata. Pengiraan secara purata ini sangat tidak tepat dan ia hanyalah andaian sahaja. Bagaimana PM boleh lega dan selesa menyebut purata pendapatan bulanan isi rumah pada tahun 2012 adalah RM 4,457.00. Apakah itu tepat untuk menggambarkan realiti kehidupan bumiputera? Kita harus terima realiti bahawa wujud jurang pendapatan dalam masyarakat. Kalau purata itu mengambil kira pendapatan 1000 orang, antara RM500 ke RM30,000 sebulan dan diperolehi purata pendapatan bulanan, saya kira ia sangat-sangat tidak adil. Jika pembangunan ini berpandukan cara begitu yang diamalkan oleh negara-negara maju dunia, saya anggap memang patutlah kerajaan merasa OK bila harga rumah teres kini mencecah RM400,000. 

Saya percaya Malaysia harus mencari cara lain untuk mengukur taraf kehidupan rakyatnya. Macam-macam cara pun ada selain ikut cara Bank Dunia yang pakai GDP (Gross Domestic Product), GNP (Gross National Product) dan GNI (Gross National Income). Dulu kaedah Human Development Index (HDI) pernah diguna dan kaedah seperti Gini coefficient dan Gini Index pun ada. Harap PM sangat teliti bila melihat kualiti kehidupan rakyat dan jangan sekadar berpandukan purata semata-mata. Kasihanlah para petani, peniaga kecil dan orang-orang kampung yang bekerja kais pagi makan pagi yang selamanya akan tertinggal dan dianggap mendapat pendapatan bulanan RM4,457 walhal RM10 belum tentu sehari.

Walau bagaimana pun hasrat yang diaju oleh PM haruslah kita sambut baik. Memang bukan kerja senang untuk membahagiakan semua orang. Jadi bila PM lancarkan 5 strategi Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, eloklah kita menyambutnya dnegan baik kerana saya yakin semua sudut sudah diteliti. Berikut 5 stategi:

1. MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
     fokus kepada meningkatkan keupayaan bumiputera di dalam pelbagai cabang khususnya akademik dan kemahiran. Strategi ini cuba membuka ruang dan meluaskan peluang bumiputera yang tidak bagus akademik, yang menganggur, yang bekerja tapi kelayakan rendah dan menambah lebih ramai profesional.

2. MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
     Fokus pada skim baru Amanah Saham Bumiputera 2 di mana pemegangan saham ditingkat sehingga 10 billion unit dan skim baru disebut Skim jejak jaya Bumiputera bagi membimbing bumiputera dalam perniagaan.

3. MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA
    Yang ini saya tidak nampak berkesan selagi kerajaan tidak tegas dan kawal harga aset rumah. Kekecewaan kerajaan pada peratusan pemilikan aset peribadi bumiputera tidak bermakna apa-apa selagi dominasi pemaju dalam menetapkan harga pasaran. Berapa ramai kakitangan awam mampu membeli rumah berharga RM400K dengan pendapatan RM3000 sebulan? Di bandar khususnya KL memang ramai bumiputera tetapi rata-rata bekerja dengan pendapatan bulanan yang rendah bukannya RM4,000 ke atas. Jadi silaplah kalau kerajaan resah melihat peratusan rendah di kalangan bumiputera berbanding kaum lain.

PR1MA yang wujud tidak membantu semua hanya yang layak sahaja. Berapa lamakah kerajaan melalui PR1MA mampu menangani keperluan bumiputera? Jenis kediaman juga mempengaruhi gejala sosial. Kita bukan Singapura yang tidak ada tanah, tapi tanah kita sangat mahal untuk peribumi. Jadi tanah hanya untuk yang kaya sahaja. hari ini rumah teres cecah RM400K, entah berapakah nilai untuk generasi anak kita?  

Tapi kata PM, bumiputera khususnya orang Islam tidak pandai urus aset memang saya percaya dan ia membawa akibat harga aset jadi rendah.

Bang, pandanglah kami dan lihat kami dari dekat bukan
dari jauh. 
4. MEMPERHEBAT KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
    Strategi ini benar-benar memperkasakan bumiputera di mana GLC dan GLIC diberi tanggungjawab untuk memajukan syarikat-syarikat bumiputera untuk berkembang. Berapa banyak? Siapa? Jangan bunyi sedap tapi pelaksanaannya hanya menguntungkan para kapitalis. Memang di peringkat PM sudah OK tapi yang di bawah, apakah benar-benar terlaksana maksudnya nanti? PM menjaminkan bahawa pengagihan kepada vendor dan pelaksanaan beberapa projek mega yang menguntungkan bumiputera termasuklahempat projek tambahan yang telah dikenalpasti untuk menyertai program ini ialah Projek Menara Warisan Merdeka, Bukit Bintang City Centre, MATRADE Exhibition Centre dan Program Pembangunan Institut Penyelidikan Getah Sungai Buloh.

Saya kira perhatian kerajaan juga harus dipertingkatkan kepada usahawan kecil dan sederhana di luar bandar di mana mereka inilah golongan bumiputera yang cubah meningkatkan taraf hidup. Baguslah peruntukan untuk Amanah Ikhtiar ditingkatkan. Kesedaran dan kemahiran perlu diperlengkapkan kepada para belia dan orang-orang luar bandar. Di kampung saya masih ada yang bekerja untuk RM10 sehari.

5. MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
kata PM "Unit-Unit Pembangunan Bumiputera atau UPB akan diwujudkan di semua kementerian. Unit Pembangunan Bumiputera ini bertanggungjawab bagi merangka cadangan dan melaksana inisiatif Agenda Bumiputera".


Yang menariknya, sesi pagi tadi menyungguhkan lagi bahawa Malaysia memang sangat bagus dalam mencipta akronim. Hari ini PM telah memperkenalkan SUPERB yang bermaksud Skim Permulaan Entrepreneur Baru Bumiputera. SUPERB menyediakan geran sehingga RM500 ribu untuk usahawan baru yang punya idea kreatif dan inovatif yang dilihat berpotensi di masa hadapan. tapi perlukah SUPERB? Tidak adakah satu akronim Melayu sesuai dengan pemerkasaan Bumiputera?


Tuesday, September 10, 2013

RAFIZI AJAK BAHAS LAGI


Rafizi buat apa pun tetap comel. Jangan terkejut kalau ramai
peminatnya sama tara dengan Aaron Aziz.
Saya tertarik dengan tulisan Rafizi Ramli. Saya fikir ada beberapa hujah yang diutarakan oleh beliau patut dan menarik. Jadi kita yang berada di pihak kerajaan jangan cepat melatah, kita baca dan renung, mungkin ada benarnya teguran dan pandangan yang diberikan. Ini kita bercakap mengenai universiti-universiti ulung negara yang sudah berpuluh-puluh tahun bertapak, belum lagi kita bercakap mengenai kolej universiti dan kolej-kolej yang tumbuh melata dan entah apa tujuan dan matlamat penubuhannya.

Saya perturunkan rencana tulisan YB Rafizi yang saya petik dari akhbar Harakah. Selalu sangat membaca dan mendengar buah fikiran di akhbar perdana tidak elok juga, nanti disebut syok sendiri jadi eloklah sekali-sekala membaca fikiran orang sebelah sana. Minggu lepas ada perbincangan langsung di TV1 dalam Wacana Perdana yang saya anggap sangat menarik konsepnya, beberapa panel seperti Nordin Kardi, Tan Sri Zahid, Zairil Khir Johari (muda sangat patut DAP hantar yang lebih senior), Dr Amla dan seorang wakil dari KPT. Dalam sesi diskusi itu, seolah-olah mengarah kepada polemik pendidikan negara yang sebenarnya sudah sangat sakit. Banyak campur tangan politik sehingga pelaksanaan jadi tak tentu hala. Politikus yang mentadbir menukar sesuka hati dan mahu meninggal legasi mereka tanpa memikirkan mesin-mesin di bawah yang mahu melaksanakannya. Hal ini juga ditulis oleh Rafizi, campur tangan ahli poltik membuatkan pendidikan menjadi mangsa malah lebih malang ia memperjudikan generasi dan Malaysia di masa hadapan. Persoalan yang tidak berjawab dalam sesi itu adalah 'kenapa kita tidak boleh lahirkan pelajar yang berfikir?'.

Ranking universiti utama negara merosot

Rafizi Ramli, 10 Sep 2013

Kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi tahun 2013 yang dilaporkan oleh QS World University Rankings sewajarnya menjadi isu utama negara mutakhir ini, selain dari isu kenaikan harga minyak kerana kedua-duanya mempunyai kesan besar kepada kebajikan rakyat.

Laporan tersebut menunjukkan bahawa enam dari tujuh universiti awam negara yang tersenarai di dalam 800 universiti teratas telah mengalami kemorosotan seperti berikut:



Hanya UTM yang menokok sedikit kedudukannya dari tangga 358 (2012) kepada 355 (2013).
Kedudukan ini dibuat berdasarkan kriteria-kriteria berikut:

1. Reputasi pencapaian akademik (40%)
2. Kemampuan mendapatkan pekerjaan dan pandangan majikan (10%)
3. Nisbah siswa kepada tenaga pengajar fakulti (20%)
4. Rujukan penyelidikan (citation) mengikut fakulti (20%)
5. Keantarabangsaan pelajar (5%)
6. Keantarabangsaan tenaga pengajar fakulti (5%)

Ramai pimpinan Barisan Nasional yang masih berdolak dalih dan tidak mahu menerima hakikat bahawa persoalan mutu pendidikan tinggi dan kedudukan universiti awam negara adalah isu utama yang membawa kesan besar kepada rakyat.

Kedudukan universiti awam negara yang tidak berdayasaing menyukarkan graduan mendapat kerja yang baik dengan gaji yang berpatutan. Malah, masalah pengangguran di kalangan graduan terutamanya di kalangan graduan Melayu/Bumiputra banyak berpunca dari mutu pendidikan tinggi yang merudum yang saban tahun disahkan oleh kedudukan universiti awam negara.

Oleh sebab itu, hakikat bahawa enam dari tujuh universiti awam negara semakin rendah kedudukannya sewajarnya diambil serius oleh semua pihak dengan penuh keterbukaan. Apatah lagi apabila universiti terbaik Asia adalah National University of Singapore (NUS) yang menduduki tangga ke-24 menjadikannya univesiti terbaik Asia mengalahkan universiti-universiti Jepun, Korea Selatan dan China.

Ramai yang tidak tahu bahawa NUS mempunyai sejarah yang sama dengan Universiti Malaya kerana kedua-duanya diwujudkan sebagai University of Malaya di Singapura dalam tahun 1949 mengikut saranan Suruhanjaya Carr- Saunders. Pada tahun 1959, University of Malaya mempunyai dua kampus yang berasingan iaitu kampus asal di Singapura dan kampus baru di Kuala Lumpur. Pada tahun 1962, kedua-dua kampus ini berpisah menjadi dua universiti berasingan iaitu Universiti Malaya (di Kuala Lumpur) dan NUS (di Singapura).

Selepas 50 tahun, walaupun bermula dari titik yang sama, Universiti Malaya tidak pun berada di dalam kedudukan 100 teratas di dunia sedangkan NUS menjadi universiti terbaik di Asia. Ini adalah hakikat yang perlu ditangani secara terbuka tanpa prejudis politik atau perkauman kerana mutu dan kedudukan universiti awam negara mempengaruhi taraf hidup rakyat dan daya saing negara seluruhnya. Oleh yang demikian, saya menyarankan supaya perkara-perkara demikian dibahaskan secara terbuka dan reformasi pendidikan tinggi dijalankan secara segera seperti berikut:

1. Kembalikan kebebasan akademik kepada universiti-universiti awam dengan memberi kuasa autonomi kepada Senat Universiti tanpa campur tangan kementerian dan kerajaan

2. Pemilihan kepimpinan universiti awam mengikut merit berdasarkan kredibiliti akademik, pengalaman mengurus universiti ternama, integriti peribadi yang bebas dari pandangan partisan dan ciri-ciri lain yang ada pada kepimpinan universiti ternama dunia

3. Kembalikan kebebasan minda yang sepenuhnya kepada siswazah dan gerakan mahasiswa dengan menghentikan serta merta sebarang aktiviti atau program yang mengongkong perkembangan minda bebas siswazah, termasuklah program propaganda politik yang dianjurkan oleh BTN dan badan-badan yang serupa dengannya

4. Menilai semula sistem pemberian biasiswa yang menekankan penghantaran pelajar terbaik ke universiti-universiti luar negara dan beralih kepada sistem biasiswa yang memberi tempat terbaik kepada mereka di universiti-universiti terbaik Malaysia, dan

5. Program khusus memperkasakan kredibiliti akademik fakulti di universiti-universiti awam dengan membawa masuk tenaga pengajar dan penyelidik terbaik dari seluruh dunia

Saya percaya langkah-langkah ini adalah permulaan untuk mengembalikan keunggulan universiti awam negara dengan sasaran Universiti Malaya berada di dalam tangga 100 universiti terbaik dunia dalam tempoh 10 tahun dari sekarang.

Saya juga akan membuat kunjungan hormat ke NUS dalam bulan November 2013 untuk mempelajari sendiri langkah-langkah yang dilaksanakan selama ini untuk menjamin kualiti pendidikan di universiti itu.


ANGGOTA RUFFEDGE ROGOL ANAK TIRI?


ni saya dapat dari  www.wanista.com
Ditakdirkan dia adalah anggota kumpulan muzik Ruffedge lalu ia disebut artis. Jika dia bukan artis mungkin dia juga seperti manusia lain yang melakukan kesalahan yang sama. Tambah perit, perhatian masyarakat sangat sensitif seperti ada radar untuk mengesan dan mengambil perhatian terhadap kesalahan artis. lalu bila salah seorang anggota Ruffedge dituduh merogol anak tirinya, maka otomatik ramai akan menggulungkan perilaku dan kesalahan ini sebagai 'alah artis... biasalah!'.

Memang, merogol itu satu jenayah apatah lagi merogol seseorang yang sepatutnya dilindungi. Perbuatan itu seharusnya dikutuk. Namun seharusnya juga kutukan itu tidak merebak kesemua manusia yang disebut artis. Itu salah. Bidang kesenian bukan lembah kejahatan. Seni tidak mengajar manusia untuk jahat. Tetapi kejahatan itu adalah racun yang sudah bersarang dalam diri manusia tidak kiralah dia ahli politik, doktor, peguam atau pencuci bangunan sekalipun. Jadi ia bukan milik mutlak kerjaya seni.

Di awal Ruffedge
Saya tidak pasti yang mana satu anggota Ruffedge itu, tapi yang pasti dia bukan Cat Farish. yang lain perlulah kita lihat dan baca sosok tubuhnya berdasarkan foto. Kumpulan Ruffedge yang sangat popular di awal dekad 2000 ini telah mengalami beberapa perubahan. Ahli-ahlinya bertukar dan keluar masuk. Jadi yang mana satukah yang tertuduh ini? Saya kira tak perlulah kita pening kepala memikirkan siapakah dia, lambat laun sampai juga ke pengetahuan kita.

Ada juga orang persoalkan, kalau kes rogol atau jenayah rumahtangga ini yang melibatkan orang awam, sesenang itu media menyebut nama dan melaporkan si tertuduh tetapi kenapa bila melibatkan artis, ahli politik atau selebriti, nama tidak disebut dan disembunyikan. kata yang mempersoalkannya di facebook "istimewa sangatkah golongan selebriti ini?". Saya tidak ada jawapan. Mungkin media alasan tertentu.

Ini bukanlah kali pertama kes artis disabitkan dengan tuduhan merogol, dulu pernah ada kes penyanyi 70an, M.Sani dituduh. Ada juga kes penyanyi rock dibunuh malah baru-baru ini pun ada juga kes penyanyi realiti TV dituduh merogol penyanyi. Aduhai macam-macam hal. Tapi saya percaya kisah manusia dengan 1001 macam kisah jahat-baiknya tidak akan berhenti, selagi namanya manusia tidak kira siapapun waima ahli agama. Ingat tak dulu kes dua penceramah agama berperang sebab halaman rumah, dah jadi menteri pun.

Sunday, September 8, 2013

ANU ADI PUTRA DAN 6 KALI SEHARI!


Sekitar minggu lepas, Malaysia dapat cerita sensasi. Dari kisah kongsi gelap, minyak petrol, isu pemilihan UMNO sehinggalah isu pendidikan yang dirangka kerajaan. Tapi yang menarik perhatian saya adalah kisah sensasi yang menunjukkan betapa ke depannya masyarakat Malaysia hari ini. Jangan pandang kecil soal bagaimana cara hidup orang kita, kita mungkin menghampiri mereka di barat atau mungkin sudah setanding. Ini barulah boleh disebut Malaysia Boleh! Slogan ini benar-benar buat kita rasa bangga dan percaya diri.

Dua kisah yang sensasi ialah satu kisah perempuan cina kepingin sperma eropah dan cerita kedua pula ialah kisah lelaki hantar gambar anu. Syokkan dua kisah ni. Sangat sensasi. Malah akhbar kita pun memang suka sekali menggandakan kisah-kisah begini. Kalau boleh mahu sahaja diletakkan di muka depan, pakai font paling besar, di bold kan dan pakai tulisan merah. Biar dari jarak sebatu sudah tahu kisah begini. Dulu-dulu kalau kisah dalam kain memang jarang sekali boleh dibaca tapi hari ini hanya alat sulit sahaja yang tidak dipapar, yang lain tu disebut dikupas dan diterangkan. Begitu sekali media membuka kisah dalam kain dan membuka minda masyarakat kita supaya selesa dengan topik-topik begini.

Hari ini saya beli akhbar, letak atas meja kopi dan dilihat anak13 tahun saya. Lalu dia tanya apa maksudnya 'enam kali sehari'? habis apa yang mahu saya cerita. Nak berselindung, nak berbincang atau bagaimana? Saya pula jadi malu.

Jadi kisah wanita cina Malaysia yang disaman bekas teman lelakinya sebanyak RM600,000 kerana didakwa menipu lelaki Bosnia itu semata-mata mahukan benih Eropah. Setelah mendapat anak kacukan, lelaki itu ditinggalkan. Itu versi si lelakilah. Mahu dijadikan cerita, si lelaki Bosnia itu tidak puas hati lalu dicerita kisah dalam bilik tidur yang menampakkan rakusnya wanita itu. Saya gelihati membacanya. Memang cari pasal betullah. Hari ini, wanita bernama Madeleine itu, mahu menyaman dan mendakwa lelaki Bosnia mahu menjatuhkan maruahnya malah banyak peluang perniagaannya terjejas. Dari orang tidak tahu habis terselak semuanya.

inilah lelaki Bosnia itu. Namanya Ervin Ahbabovic.
Nampak tua diusia 41tahun. Betulkah 6 kali sehari?
Yang satu lagi lebih syok, kisah hero pujaan Malaya, Adi Putra (punya peminat yang rata-rata wanita) yang didakwa mempunyai hubungan sulit dengan isteri orang. Lebih malang ianya ditemui oleh suami perempuan itu. Dan lebih menjengkelkan, dikatakan ada beberapa foto termasuklah gambar anu si hero itu. Saya harap ini semua tidak betul. Kesian Adi kalau anunya jadi tatapan seluruh dunia. Al maklumlah, milik peribadi selebriti seharusnya eksklusif. Jadi bermulalah balas-membalas jawapan dan tuduhan. Dan lebih menarik kedua-dua pihak sudah bersedia untuk saman-menyaman. kalaulah benar Adi terlibat, saya sangat kecewa kerana ini kesilapan yang memalukan. Waktu ramai orang menaruh harapan tinggi padanya, dia meletakkan dirinya ditempat yang rendah sekali. Setakat ini saya anggap saja itu hanya tuduhan.

jangan terkejut pula kalau satu hari di Malaysia
ada hari dinamakan Hari Berseluar Dalam Sahaja

Jadi kita rakyat Malaysia harus bersedia, bersedia untuk mendengar dan membaca cerita-cerita yang lebih sensasi. Kalau kisah bunuh-membunuh, tembak-menembak atau jatuh-menjatuh itu sudah biasa, sudah lali macam dalam filem. Tapi kerana Malaysia tiada filem lucah (setahu saya) maka berita-berita macam ini akan selalu jadi hot. Bila ia akan jadi biasa? Apabila yang lucah sudah tidak lagi lucah, apabila persepsi kita terhadap hal-hal sulit diluar batas agama dan adat sudah dianggap OK dan biasa.

Oleh itu, biasa-biasakanlah diri anda ya!

Tuesday, September 3, 2013

KONSERT SITI NURHALIZA "LANTERA TIMUR"


Sudah lama saya menunggu Siti Nurhaliza tampil kembali dengan irama tradisional dan apabila Siti umumkan akan menjayakan sebuah konsert irama tradisional bersama Orkestra Tradisional Malaysia, hati saya kata 'wahh.. ini bonus 2013".

Saya sebenarnya masih samar dengan konsep dan pilihan muzik yang akan dipersembahkan. Sebab kalau konotasi tradisional ia kedengaran sangat authentic dan berat berbanding dengan irama Malaysia. Dua konsep itu bunyinya macam sama dan tentu orang akan cakap 'bukankah tradisional itu masuk dalam irama Malaysia?'. Memang betul, tetapi semenjak konsep irama Malaysia diperkenalkan dalam industri hiburan lewat tahun 90an, konsep itu menjadi satu konsep bersifat folk. Apatah lagi bila muncul pula konsep 'etnik kreatif' yang tambah luas dan mengelirukan. Semua jenis irama dari melayu, cina, india hingga andalusia pun termasuk dalam kategori ini. Jadi bila Siti kata akan pentaskan konsert sulung irama tradisional, maka saya bayangkan irama pergendangan Melayu, rebab, sape, kulintangan mahu pun tak lempong dan lain-lain.

Katanya, pada konsert itu nanti akan menampilkan kesenian makyung, syabas untuk Siti kerana membuat pilihan tepat. Tetapi saya tidak pasti apakah Siti hanya tampil menari sahaja. Andainya Siti memilih untuk mengalunkan lagu Mengadap Rebab atau Kisah Barat, saya betul-betul beri tabik 'spring' kat Siti. Dua lagu itu dalam ensembel makyung adalah antara yang sukar tetapi cukup indah jika dapat dialunkan. Saya fikir, irama tradisional perlu diisi dengan satu atau dua lagu sebegitu. Tentu konsert ini akan jadi sangat eksklusif.

Kalau sebut lagu-lagu irama Malaysia dendangan Siti, tentu sekali tidak boleh mengetepikan nama Pak Ngah @Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Menurut berita, Siti akan tampilkan Pak Ngah dalam konsert ini. Baguslah, dua tokoh bertemu kembali. Bercakap pasal Pak Ngah, selepas kejatuhan irama Malaysia, Pak Ngah sudah tidak aktif mencipta lagu lagi. Ia satu kerugian kerana Pak Ngah telah menempa nama dengan cukup gemilang di persada muzik Malaysia. Menaikkan semula nama Noraniza Idris sehingga menjadi ikon dan meletakkan Irama Malaysia berada di tempat tertinggi dengan standard penghasilan yang berkualiti. Jadi kenalah Siti alunkan lagu Cindai, Nirmala, Balqis, Ya Maulai dan beberapa lagi dalam konsert itu nanti. Jika tidak pasti tidak lengkap.

Satu sahaja harapan saya pada konsert Lantera Timur ini, saya sangat berharap dengan penganjuran konsert tradisional oleh penyanyi no.1 Malaysia ini, ia mampu mengembalikan semula irama Malaysia di tempatnya. Hari ini, saya yakin masih ramai meminati irama Malaysia kerana generasi 90an yang membesar di era itu adalah mereka yang dewasa pada hari ini. Tetapi jika penghasilan irama ini terhenti di era itu sahaja dan dipinggirkan di dekad akan datang, tentu sekali lagu-lagu seperti samarenda, Nazam Berkasih, Dikir Puteri, Ngajat Tampi, Tinting dan lagu yang seumpama itu hanya akan mengisi Radio Klasik dan berada di dalam koleksi kenangan sebagaimana lagu-lagu dendangan Kamariah Noor, Kartina Dahari, S.M.Salim dan lain-lain. Melihat kepada trend hari ini, penyanyi hanya mengeluarkan single dan lagu-lagu lebih mengisi irama kontemporari dan tidak menampakkan langsung ada usaha di kalangan penyanyi atau komposer berdagang dengan irama bernuansa tradisional. Takut barangkali tapi ironinya, penyanyi Indonesia Firman sangat yakin dengan lagu Jangan Pikirin Abang yang lagunya sangat bercitarasa Melayu.

Saya selalu terfikir, kenapa irama Malaysia/tradisional tidak boleh jadi macam lagu-lagu arab yang mendominasi muzik Timur Tengah walhal muzik barat juga popular. Betapa kaya dan luasnya pengaruh-pengaruh yang ada dalam irama Malaysia, dari pengaruh nusantara, arab, India, Cina, Borneo hinggalah muzik masyarakat asli, tetapi hanya mampu muncul sebagai trend kemudian malap dan tetap dianggap muzik kampung. Sedih sebab kita masih belum merdeka!

Klik sini untuk artikel Kosmo

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...