Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, December 31, 2008

YANG PERGI DAN YANG DATANG



Banyak perkara mahu diceritakan tapi tak tahu yang mana satu mahu diceritakan. tahun baru 2009 sudah diambang, esok. 14300 Hijrah pun sudah masuk hari ketiga. Jadi sebenarnya apa yang tidak cukup? apa yang tidak siap? apa yang tidak sempat dicapai? apa yang termakbul? Banya sungguh mahu diceritakan pasal tahun yang akan pergi ini, 2008.

Lepas entry  pasal arwah dato' syed Alwi, banyak sekali perkara berlaku termasuklah nasir P.Ramlee telah kembali ke rahmatullah. Saya kenal dia semenjak dia bekerja dengan Istana Budaya. Kami bekerja untuk satu majlis Badan Warisan, arwah selaku ketua muzik kombo. Selepas itu, bila jumpa dia yang akan tegur saya dulu. melihatkan caranya, arwah memang bukan jenis sombong. Kita pun jadi tidak fikir dua tiga kali bila mau bercakap dengannya. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya.

Saya baru pulang dari Melaka kerana menjayakan satu acara sambutan Rumah Terbuka Krismas. Ini jadi kemusykilan saya dan adakala saya rasa macam kartun. Perayaan krismas adalah perayaan penganut agama kristian. tetapi untuk sambutan Rumah terbuka, yang sibuk dan bekerja keras adalah kami, kakaitangan Melayu yang beragama Islam. Bukan itu sahaja para penari dan penyanyi mempersembahkan lagu-lagu bertemakan krismas. Bila saya katakan Melayu maka Islam lah agamanya. Jadi serba salah dibuatnya. Berdosakah? Bukan sahaja Krismas malah sambutan perayaan Tahun baru Cina dan Deepavali pun. yang sibuk memikir dan membuatnya adalah kami kakitangan muslim. jadi pada rumah terbuka tempoh hari, penari, penyanyi, vip dan kebanyakkan tetamu islam pun menyanyikan lagu-lagu krismas. Siap bertepuk tangan dan menari-nari. macamana tu? Lagu Jingles bells, Santa comes to town lah dan macam-macam lagu lagi. lebih dahsyat ucapan pemimpin menyebut kesyukuran atas rahmat sebab dapat meraikan krismas dengan aman (beliau  muslim). Saya harap Allah mengerti niat hati saya dan kerana apa saya melaksanakan tugas itu.



jadi apakah azam tahun 2009? Tidak ada! Setakat ini saya belum pernah ada azam. Life goes on. Hajat nak beli Honda... tinggal harapan, duit tiada... gaji kecil. Tidak mengapa asal mimpi lena dan hidup bahagia.

Apa yang menariknya tahun 2008? Saya terima 2 anugerah atas lakonan dalam 1957 Hati Malaya. Alhamdulillah murah rezeki. yang pasti kasih saya anak-isteri tidak pernah putus dan keasih sayang keluarga tidak juga surut.

Wednesday, December 3, 2008

DATO' SYED ALWI PERGI BERSAMA TOK PERAK

Saya betul-betul mengenali Allahyarham dengan duduk bersembang berjam-jam mendengar beliau bercerita kisah-kisah silamnya sehinggalah impiannya. melihat beliau berceloteh seperti menonton sebuah drama. beliau memberi imaginasi yang cukup tinggi kepada saya yang mendengar. Asyik sungguh. Saya yang dahulu mendengar kisah dan peel perangainya dari orang-orang yang pernah bekerja dengannya membuatkan saya kurang gemar dengan ketokohannya. Namun prejudis saya itu terhakis sama sekali bila saya mula mendampinginya, kata orang tak kenal maka tak cinta. Saya sebenarnya jatuh cinta dengan Allahyarham.
Ya Allah, tuhan saja yang tahu betapa beruntungnya saya, yang dahulu hanya mendangar dan membaca kisah beliau. Semasa di UM saya mengkaji sumbangan beliau dalam perkembangan drama dan teater moden Malaysia. Akhirnya saya duduk semeja dan memandang, memeluk dan mendengar beliau berceloteh. Asyik masyuk saya jadinya.

Peluang itu saya peroleh, semasa saya mengendalikan bengkel di ASWARA di mana Fakulti Teater menjemput beliau untuk berbicara tentang teater di hadapan para pelajar teater ASWARA pada 1-2 april 2008 yang lalu. masa tu saya lihat, pelajar semacam tidak tahu bagaimana nak menghargai seorang tokoh di hadapan mereka. Tatkala beliau sedang berbicara pelajar lebih senang berbaring atau melayan game dan sms.


Macam-macam perasaan semasa mendengar ceritanya sari zaman kecilnya ke zaman Jepun hingga kisah-kisahnya di USA dan perjuangannya dengan teater. kecewa beliau pada birokrasi pada politik pada salah guna kuasa. Satu kekesalan beliau yang jelas diluahkan kepada saya ialah mengenai pementasan teater 'Keris'. Allahyarham melahirkan rasa tidak dihargai dan anugerah seniman negara yang diterimanya hanyalah satu mainan orang birokrasi. katanya "kau bayangkan kamarul, Keris tu diarah dan ditulis oleh saya seniman negara dan senirekanya oleh Dato' Syed Jamal seniman negara juga... bagaimana 2 seniman negara ini berkarya tetapi tidak dipandang oleh Istana Budaya malah campakkan kami ke DBP. kalau begitu jangan ada seniman negara kalau kementerian yang bagi tapi mereka yang tak menghargainya". Tapi nadanya tidak keras...tenang saja namun gelodak dalam dadanya menggoncang gemuruh saya.

Oktober lalu semasa pementasan Muzika Tun Razak di ASWARA, saya terpandang beliau... saya sapanya dan saya kata "apa pun dato' saya nak peluk dato'..nanti kita jumpa'. kami berpeluk dan itulah detik pertemuan terakhir kami.

AL-FATIHAH BUAT ALLAHYARHAM DATO SYED ALWI SEMOGA ROHNYA DITEMPATKAN DI KALANGAN ORANG YANG BERIMAN. AMIN.

Tuesday, November 25, 2008

FAUZIAH NAWI


Setiba kami di Stor Teater DBP, ada sebilangan penonton yang sudah menunggu. Suasana agak santai di mana Stefani sengaja meletak atur beberapa bangku di hadapan panggung. Saya suka cara ini kerana ia memberi satu rasa santai, ditambah ada jualan makanan dan minuman panas.
Secara jujurnya, saya agak kurang berkesempatan menonton teater-teater oleh STEFANI, ada sahaja halangan nya. Seingat saya yang pernah saya tonton adalah Dari Bintang ke Bintang dan Opera Ayu Cendana. Tidak ada rasa jelik menonton 2 persembahan itu malah semasa menonton dari Bintang ke Bintang saya cukup asyik dengan melodi gamelan dan alunan lagu-lagunya apatah lagi bila puisi-puisi Usman Awang diteaterkan.
Malam tadi, bila ada peluang menonton Cinta Julia, saya jadi suka sangat kerana dapat peluang dan beroleh masa menonton Fauziah Nawi di pentas setelah sekian lamanya. Saya tiada langsung pengalaman bekerja dengan kak Yah, tetapi mengagumi Fauziah Nawi sebagai pelakon bukan setahun dua ini tetapi ia bagai satu sejarah yang panjang. Saya mula jatuh hati pada lakonannya sewaktu usia saya 9 atau 10 tahun. Rasanya bila saya menonton beliau dalam filem Bintang Pujaan. Wataknya taklah besar dalam filem tu tapi impaknya sebagai pelakon cukup kuat. Masa tu saya dah kata... kenapa dia ni tak jadi heroin? Dan rasanya saya tidak jemu melihat dia di layar atau di pentas... lihat sahaja wataknya dalam Sayang Salmah...Norish dah jadi macam pasu bunga dalam filem tu dek kerana Fauziah Nawi.
Memang adakala kita lihat Fauziah nawi macam tipikal... main watak mak mak mak atau watak menangis menangis menangis tambah tambah lagi kebelakangan ini, bila aje hari raya adalah cerita lakonannya...sediiiih je lah. memang betul ia jadi typecast tapi adakah dia lakonkannya dengan gagal, nyatanya dia tidak pernah gagal. Anehnya, kita jadi begitu pesimis bila selalu sahaja melihat seseorang pelakon yang asyik mengulang watak dan sampai ketika kita dah tak mampu lagi nak melayan lakonannya. Berbeza dengan pelakon seperti Fauziah Nawi, biar wataknya sama tapi mereka memberikan dimensi lain dalam lakonannya. Ini membuatkan kita tak jemu. Mereka macam magnet yang menarik.
Berbalik pada monolog Cinta Julia, awalnya memang saya mula membaca watak-watak dan cerita yang muncul dalam naskhah itu. Tetapi lama-kelamaan semua itu dah tak penting bagi saya, fikiran saya macam dijolok dipulas dan dikuis-kuis supaya lupakan soal kisah Cinta Julia. Saya macam berperang dalam hati. Kotak fikir saya duk mencari apa sebenarnya keistimewaan Cinta Julia ini sehinggakan mata macam tak mahu berkelip dan badan tak mahu berkalih. Di pertengahan cerita, sewaktu kisah Julia mempersoalkan kerja ibunya sebagai penari joget saya mula hanyut bertemu apa yang sebenarnya yang saya lihat... Bodoh! Saya terpesona dengan Fauziah Nawi!
Dia saya lihat macam gadis, saya lihat macam ibu, macam perempuan seksi, perempuan gagah, teguh, ajaib dan macam-macam. Saya membaca dan menampi-nampi. Saya mula membeza banding dengan pelakon yang ada hari ni... saya benci budak muda sekarang yang dah syok jadi bintang, saya benci pada pelakon yang gila nak publisiti, saya benci pada pelakon yang tak tahupun apa yang dia cakap, saya benci pelakon yang gila datang malam anugerah dan gila tayang badan, saya benci pelakon yang macam clown muka mereka, saya benci saya benci saya benci. Itu semua bermain semasa Cinta Julia berlangsung. Bodoh betul! Kenapa saya lari dari niat asal saya niiii...
Akhirnya saya temu jawapan... Inilah dosa Fauziah Nawi. Di mana dia peroleh tenaga itu semua? Anda yang membaca entri ini, saya cadangkan pergilah menonton, tidak rugi... ketika kita menonton sebenarnya kita sedang menonton seorang lagenda.
CINTA JULIA DI STOR DBP SEHINGGA 2 DIS 2008.

Monday, November 17, 2008

HATI MALAYA: ANUGERAH OSKAR MALAYSIA 2008

MALAM SHUHAIMI BABA
Oleh Farihad Shalla Mahmudfarihad@bharian.com.my

Filem 1957: Hati Malaya raih pelbagai hadiah utama pada Anugerah Oskar 7, Sabtu laluANUGERAH Oskar 7 yang berlangsung malam kelmarin di Grand Ballroom, Hotel Nikko menyaksikan dua pengarah terkenal mencipta sejarah peribadi apabila mereka menerima anugerah yang serupa, selama tiga tahun berturut-turut.

Dua pengarah berkenaan, Shuhaimi Baba dan Rashid Sibir menyerlah apabila masing-masing dinobatkan sebagai Direktor Filem 2008 Pilihan Juri dan Direktor Telefilem 2008 Pilihan Juri. Bukan sekadar anugerah Direktor Filem Pilihan Juri malah Shumi juga boleh dikatakan menang besar malam itu kerana filem arahannya, 1957: Hati Malaya menyaksikan produksi Pesona Pictures itu turut meraih pelbagai hadiah utama malam itu antaranya kategori Aktor Filem 2008 Pilihan Juri yang dimenangi Kamarulzaman Taib, Art Direktor Filem 2008 Sinematografi Filem 2008 serta Melodi Filem 2008 Pilihan Juri menerusi lagu Hati nyanyian Datuk Siti Nurhaliza. Satu kejayaan manis buat Shumi dan team produksinya serta menjadi kebanggaan buat mereka kerana filem yang mengangkat ketokohan pejuang kemerdekaan Tunku Abdul Rahman ini terpaksa bersaing dengan filem komersil lain termasuk filem yang juga pernah menang besar sebelum ini iaitu Kala Malam Bulan Mengambang.

Pun begitu, bagi Shumi, selama tujuh tahun menghadiri acara itu, bukan anugerah yang dikejarnya tetapi kehadirannya adalah lebih kepada memberi sokongan kepada mereka yang terbabit di belakang tabir. "Setiap tahun saya datang hanyalah untuk bergembira dan meraikannya bersama kru syarikat produksi kami. Dan seandainya kami menang, kejayaan itu akan menjadi lebih manis kerana kami dapat berkongsi bersama mereka yang selama ini menjadi nadi dan tulang belakang atas pembikinan sesebuah filem itu. "Justeru, setiap tahun, saya tak pernah miss membeli meja dan saya akan pastikan mana-mana kru yang boleh hadir supaya turut menyertai acara itu kerana malam itu adalah malam mereka serta itulah juga sebuah malam di mana hasil kerja keras mereka selama ini mendapat pengiktirafan," ujar Shumi yang turut melahirkan rasa bangganya kerana anak didiknya, Kamarulzaman Taib yang pertama kali memegang watak utama dalam filem turut dinobatkan sebagai Aktor Filem Pilihan Juri. Sebagai sebuah majlis anugerah yang memberikan pengiktirafan kepada orang di sebalik tabir sebagai objektif utamanya, Shumi berkata sudah sampai masanya untuk mereka ini diberikan imbuhan yang sewajarnya.

"Jika selama ini mereka ini hanya diberikan trofi sebagai hadiah kemenangan, jadi saya rasa tak salah jika pada masa akan datang, mereka ini diberikan imbuhan seperti hadiah wang tunai. Bukannya apa, sekurang-kurangnya ganjaran ini mampu memberi dorongan kepada mereka untuk meningkatkan lagu mutu kerja mereka. Jadi saya harap perkara ini mendapat perhatian pihak kementerian kerana sokongan mereka amat diperlukan dalam situasi seperti ini," ujar Shumi yang bakal muncul dengan filem baru tidak lama lagi. Berkongsi pendirian yang sama dengan Shumi adalah pemenang kategori Aktor Telefilem 2008 Pilihan Juri, Rosyam Nor. Jelas Rosyam, kehadirannya juga adalah untuk memberi sokongan kepada penggiat seni yang terbabit secara langsung dalam industri ini. "Saya terkilan juga apabila melihat tidak ramai selebriti hadir pada majlis seperti ini berbanding majlis anugerah lain.
Bagi saya, anugerah ini sama prestijnya dengan majlis anugerah lain. Malah inilah juga masanya untuk pelakon seperti kita menghargai pengorbanan yang dilakukan mereka yang terbabit di belakang tabir selama ini. "Dan kalau kita dengar tadi sewaktu ucapan penganjur yang mengatakan yang Anugerah Oskar mungkin tak akan dilangsungkan kerana berdepan dengan masalah kewangan, kita sebagai pelakon sepatutnya perlu membantu mereka. Apalah salahnya jika kita membeli seorang sebuah kerusi kalau kita tak mampu nak beli sebuah meja. Jadi dengan usaha kita itu sekurang-kurangnya dapat juga mengurangkan beban yang ditanggung mereka dan secara tidak langsung menunjukkan kita begitu komited dalam usaha untuk mengiktiraf jasa dan pengorbanan kru ini," ujar Rosyam yang memenangi kategori itu menerusi telefilem Lahad yang diinspirasikan kisah bekas Presiden Iraq, Allahyarham Saddam Hussein yang melarikan diri dan bersembunyi di dalam lubang sebaik saja negara Iraq diserang.
Selain Shumi, Rashid juga mengungguli kategori Direktor Telefilem 2008 Pilihan Juri secara hatrik. Mengulas kemenangannya itu, Rashid berkata trofi itu sekurang-kurangnya mampu meredakan kesedihannya kerana tidak berpeluang menaiki pentas sewaktu Anugerah Skrin tempoh hari. "Kebanyakan drama saya disiarkan di Astro dan masalah rating menyebabkan drama saya tidak berpeluang disenaraikan sebagai calon. Jadi menerusi Anugerah Oskar inilah saya mampu mengubat kekecewaan itu,” katanya. Ditanya apakah resipi yang diamalkannya sehingga berjaya memenangi anugerah yang sama selama tiga tahun berturut-turut, jelas Rashid, keikhlasan dalam berkarya adalah rahsia pertama untuk berjaya. "Paling penting, kita kena buat drama yang dekat dengan hati penonton.
Mungkin ada yang mengatakan Rashid ni asyik buat cerita orang menangis saja, tetapi tahukah mereka bahawa drama seperti itulah yang penonton mahukan. Kalau hendak diikutkan, saya hanya buat cerita sedih setahun sekali saja. Itupun pada hari raya dan tak banyak, cuma dua saja. Tapi berdasarkan maklum balas yang saya terima, kebanyakan penonton memang menggemari cerita seperti itu. "Jadi bagi saya, selagi mereka mahukan cerita seperti itu, saya akan berikannya. Biarlah drama saya tak menang di hati juri asalkan menang di hati penonton, itu sudah cukup menggembirakan saya," ujar Rashid yang bakal mengarahkan sebuah filem komedi berjudul Bidadari, tahun depan. Lebih santai, realisitik USIA penganjuran yang memasuki ke angka tujuh menjadikan Anugerah Oskar yang bertemakan Tegar ini berlangsung dalam suasana penuh santai dan ceria. Mungkin pihak penganjur mengambil kira pandangan serta kritikan yang diberikan media yang pernah membuat liputan untuk acara ini sebelum ini. Perjalanan majlis yang berlangsung lebih dua jam ini bagaikan tidak terasa.
Perbezaan yang paling penulis rasakan sewaktu membuat liputan untuk acara ini adalah tetamu yang hadir lebih jujur dan tidak plastik. Maksud penulis, sebagai sebuah malam yang mengiktiraf mereka di belakang tabir maka acara malam itu lebih bersifat realistik dan tidak seperti malam anugerah lain yang lebih bersifat terlalu ‘protokol’ dan memaksa tetamu menjadi hipokrit. Biarpun percikan glamor tetap ada kerana ia turut dihadiri selebriti yang berpakaian tuksedo atau gaun petang namun ia tidaklah keterlaluan. Tanpa acara permaidani merah yang sebelum ini bagaikan acara wajib untuk majlis anugerah, Anugerah Oskar tetap memberi makna kepada sebilangan besar yang hadir. Cuma apa yang tidak sedapnya, masih ada lagi pelakon yang menang tapi tidak nampak batang hidungnya. Mungkin mereka ada alasan tersendiri seperti sibuk dengan penggambaran atau komitmen lain namun rasanya tak salah jika mereka meluangkan masa mereka yang berharga itu untuk meraikan golongan yang sebelum ini menjadikan mereka hebat, cantik dan bermutu di layar kaca atau layar perak. Apalah sangat masa selama dua atau tiga jam itu jika hendak dibandingkan dengan usaha serta keringat yang ditumpahkan oleh orang di belakang tabir ini.
Dari segi pemilihan pengacara, maaf mungkin gandingan Roslan Shah dan Ifa Raziah hanya sesuai untuk majlis hiburan yang bukan berkonsepkan anugerah. Roslan terutamanya sering melakukan kesilapan sewaktu membuat pengumuman. Malah ada ketikanya dia sendiri kurang pasti apa yang hendak diumumkannya sehingga memaksa Ifa mencantasnya sebelum pengacara dan juga penyanyi kelahiran Singapura menjadi lebih merapu. Mujur juga penganjur bertindak bijak dengan menjadikan Ifa sebagai gandingan Roslan untuk malam itu. Kalaulah mereka mengekalkan keputusan untuk membiarkan Roslan seorang diri mengendalikan malam anugerah itu, hmmm tak tahulah apa yang akan berlaku. Cuba lari dari kebiasaan, acara persembahan malam itu tidak ada seorang pun membabitkan penyanyi popular tanah air. Sebaliknya tetamu dihiburkan oleh Kombo Royal de' Amor yang dianggotai oleh 20 pemuzik termasuk penyanyi dari Angkatan Tentera Malaysia. Tidak salah apabila penganjur cuba membuat kelainan seperti itu cuma apa salahnya jika mereka dapat mencari seorang dua penyanyi popular untuk meraikan golongan ini.
Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia, Datuk Mohamed Mohd Daud ini menyaksikan 58 anugerah diberikan kepada pemenang. Apa Kata Pemenang

· Raja Azura (Karakter Wanita Jahat 2008)
"Selepas tiga tahun tak berlakon, saya akhirnya termakan pujukan Rashid untuk menerima watak Nora ini. Memang banyak pengorbanan yang terpaksa saya lakukan sebab sepanjang seminggu di lokasi, saya terpaksa berulang alik dari KL ke Melaka. Anugerah ini juga takkan berjaya saya genggam tanpa sokongan pelakon lain yang turut membintangi drama Takbir Suci. Mereka banyak membantu saya untuk menghidupkan watak Nora.

· Adi Putra (Karakter Lelaki Jahat 2008)
"Ini adalah anugerah pertama saya sepanjang menjadi pelakon. Saya memang tak pernah sangka untuk menang. Apapun, saya jadikan anugerah ini sebagai dorongan untuk meningkatkan mutu lakonan pada masa akan datang. Walaupun mungkin ada yang mengatakan anugerah ini taklah seprestij anugerah lain tapi pada saya, sama saja, yang penting ada orang yang mengiktiraf bakat saya.

· Kamarulzaman Taib (Aktor Filem 2008 Pilihan Juri)
"Selepas sepuluh tahun saya tidak berlakon, 1957: Hati Malaya membukakan kembali pintu hati saya untuk kembali beraksi di layar perak. Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya memang terkejut kerana saya ingatkan Rosyam yang menang. Bagi saya watak Tunku Abdul Rahman memang berat. Saya betul-betul diuji ketika menghayati wataknya. Saya perlu mengetahui kesusahannya, kekuatannya dan mencari sendiri identiti Tunku. Proses itulah yang menyukarkan saya.

· Ahmad Puad Onah (Filem 2008 Pilihan Juri)
"Ini adalah kemenangan hatrik untuk skrip filem Sepi. Saya bersyukur kerana filem ini berjaya memikat hati ramai pihak. Dan saya juga bangga apabila filem Antoo Fighter juga mendapat beberapa pengiktirafan malam ini. Mungkin saya akan gunakan kemenangan ini sebagai satu promosi untuk menarik lebih ramai penonton menyaksikan filem ini apabila ditayangkan di pawagam kelak.

Wednesday, November 12, 2008

MACBETH 14-16 NOV 08

Para pelajar Tahun 3 Diploma Teater ASWARA akan mementaskan naskhah Macbeth di bawah araha Pengarah dan Pelakon yang disegani Ahmad Yatim. Persembahan ini seupaya mungkin cuba mendekati dunia dan suasana yang digambarkan oleh Shakespeare. Cabaran pementasan ini amat besar khususnya buat para pelajar yang masih mencari-cari tafsirannya. We open the show to public.

Friday, November 7, 2008

CALON BEST ACTOR ANUGERAH SKRIN 2008



Malam ni Anugerah Skrin 2008, dalam surat khabar perkatakan bahawa saya salah seorang daripada calon yang bertanding bagi kategori pelakon lelaki terbaik kategori filem. Saya pun tak tahu sebab tidak pernah membaca senarai pelakon yang dicalonkan. Jadi malam ni macam teka-teki sahaja. saya berasa peluang itu ada tapi tidaklah besar memandangkan peranan saya di dalam 1957 Hati Malaya tidak cukup untuk dikategorikan sebagai pelakon utama. Rosyam punya peluang besar begitu juga Afdlin dalam Sepi tapi kita tak tahu peluang Farid Kamil melalui Anak Halal. Siapapun yang menang malam ni... Tahniah.

Dan saya menerima jemputan dan insyallah akan hadir.

Tuesday, October 14, 2008

KETUPAT MEK : LEGASI TAK BERGANTI

(ini bukanlah bentuk ketupat mengikut cara bungkusan Mek - ini contoh ketupat palas - foto oleh UmmAbdrahmaan)

Tahun ni dah masuk tahun ketujuh saya menyambut raya pertama di Kepala Batas. Ingat lagi masa mula-mula kahwin, untuk dua tahun pertama kami beraya di Pasir Mas dan rupanya itulah dua tahun terakhir kami beraya bersama Mek dan Wan. Sejak tahun 2001 tu, saya mula sedar bahawa Nida juga seperti saya, ingin beraya bersama orang tuanya jadi selepas tahun-tahun berikutnya sementara ibubapa masih di sisi, sementara tuk dan nenek aish rhea masih ada, biarlah kami mengecapi kasih sayang yang masih bersisa. Sejak pemergian wan dan mek, saya begitu menghargai seorang ibu dan ayah. Saya tahu Nida pun berperasaan begitu dan istimewanya Nida dia tidak pernah menunjukkan rasa terkilannya bila saya mahu pulang ke kampung pada raya pertama 9 tahun lalu. Ingat lagi selalunya 2 tiga hari sebelum raya rumah kami di pasir mas akan dilimpahi dengan daun palas, dan timbunan ketupat palas yang menunggu giliran untuk direbus. Arwah Mek mengambil tempahan ketupat palas beribu-ribu biji banyaknya. Adakala tempahan ketupat siapnya menjelang pagi Syawal. Saya tumpang kesian dengan arwah. tapi itulah musim Mek mengecapi nikmat berniaga.
Mek pula seorang yang mementingkan kualiti. Jadi hanya orang-orang tertentu sahaja yang boleh membungkus ketupatnya, ketupat mek bentuknya istimewa - tegap, kemas dan ada satu teknik ikatan yang beridentiti. Jadi kalau banyak tempahan Mek akan memberi sebahagian pulut untuk dibungkus oleh Mokcik yam (Mak sepupu saya). Mokcik yam tinggal selang serumah dengan rumah kami jadi arwah mek dan mokcik yam akan berjaga sampai subuh dan bangkit semula sebelum tengahari. Jadi proses itu meletihkan. Kami Adik beradik masih mewarisi resipi Mek daripada cara mengukus, mengarun, membungkus, mengikat, memotong sehinggalah merebus dan merangkai ketupat. Biasanya saya akan disuruh membuka daun palas, memotong tangkai ketupat dan menjaga api dapur sehingga mengangkat dan mengeluar ketupat dari periuk yang direbus.
Jadi kami adik beradik seramai sembilan orang, rutinnya setiap menjelang syawal, akan mengemas rumah sambil meneman Mek membungkus ketupat. Wan selalunya akan bertindak sebagai orang yang mengangkat, merebus dan mengukus. Memang wan cukup cekap bab merebus ketupat. Itulah memori yang terbekas dalam hidup syawal bila datang syawal. Memang dalam kawasan rumah kami yang ada 6 buah rumah tu, rumah saya sahaja yang tak ada biskut raya, mek hanya menyediakan ketupat sahaja, jadi kalau nak makan biskut kenalah kongsi bajet dengan jiran sebelah Mokcik yah atau nik maheran.Sejak Mek dan Wan tak ada, tradisi buat ketupat dah tak ada lagi walau resipi tu masih kekal, cuma mat kali yang selalu menyediakan ketupat menjelang raya. Bentuk dan rasanya masih sama cuma tahun ni dia salah guna pulut... dia pakai pulut susu jadi tekstur ketupat tu jadi lumat lek it. Takpa ya ghazali nanti buat lagi.
Memang kami mewarisi resipi ketupat yang bagi kami anggap paling sedap di Pasir Mas. Sebab itu kalau orang lain yang cuba mengubah resipi dan mengajar kami cara membuat ketupat berbeza dari cara Mek, hati kami jadi bengkak. Kerana inilah cara yang kami tahu, kami kenal, kami hidup, kami hargai, kami warisi.
Mengubahnya bagai mengikis ingatan dan semangat kami kepada mereka.

Tuesday, September 23, 2008

PASIR MAS: STESEN ITU TAMAN PERMAINAN

bangunan Stesen keretapi pasir mas dahulunya menjadi pusat aktiviti perniagaan dan sistem perhubungan terpenting bagi perjalanan jauh. Kalau diperhatikan bentuk tiangnya dan lurus bangunan itu, saya rasa arkitek yang membinanya sangat mahir. Ini antara warisan sejarah Pasir mas.
(foto ini saya ambil dari mohdzawi.blogspot.com)
Saya baru tiba dari Pasir Mas pagi tadi menaiki keretapi. kami ambil kabin yang boleh memuatkan 4 orang. cukuplah walaupun sendat sikit tapi bolehlah sementara 2 anak saya masih kecil. keretapi memang rapat dengan saya. Wan saya kerja sebagai buruh cat KTM dan setiap pagi sewaktu darjah satu dia akan menghantar saya ke sekolah dengan basikalnya melintasi jalan keretapi berdekatan dengan Rumah Tg. Iskandar (Dusun Green) dan mulai darjah dua sehingga darjah enam saya ke sekolah Dato' Abdul hamid berjalan kaki melintasi stesen keretapi pasir mas.
sudut hadapan stesen lama...

Setiap hari saya memerhati aktiviti sekitarnya. bagaimana tok peraih berniaga beras, anak-anak muda bekerja mengangkat beras ke gerabak, bunyi loceng stesen kletung kleting setiap kali keretapi mahu tiba atau berangkat. dan setiap kali itulah aktiviti di stesen akan sibuk sesibuk pasar pasir mas. Ada sekali tu, masa saya darjah 5, dek ghalib berjalan, semasa melintas jalan keretapi...saya dijeritkan oleh Mok Tuo suruh saya melintas cepat...Ya Allah rupanya keretapi tak sampai 100meter dari jarak saya berdiri. Pernah saya hampir terjatuh dari jambatan keretapi sewaktu berjalan meniti selipar kayunya. peristiwa ini semasa saya darjah 3, Jambatan tu letaknya di belakang sekolah cina, bawahnya ada alur dan ada juga kubur cina di tebingnya...memang kalau malam-malam agak seram juga. Semasa berjalan dengan beberapa kawan, saya tersalah langkah sehingga terjatuh...saya sempat berpaut pada selipar rel tapi kaki dah tergantung ke bawah. Alhamdulillah syukur. Jika tidak...

Ini rupa baru stesen pasir mas

Ada sekali sekala saya duduk di stesen waktu tengahari, saja duduk-duduk berhenti penat kerana jarak dari sekolah ke rumah jauhlah juga. Seronoknya duduk di stesen keretapi pasir mas ni kerana binaannya batu-bata, teguh, ada jejantas kayu tinggi, besar dan panjang bangunannya, jadi bila berteduh dan duduk di tunggul tiang kita rasa sejuknya, di hadapan stesen ada padang jadi angin sering menderu. Saya duduk-duduk aje tak pernah sampai tertidur, takut juga nanti wan nampak. Di sinilah saya memerhati tingkah laku orang-orang pasir mas, kuat memahat azam saya untuk tidak menjadi sebahagian daripada mereka, saya tak mahu jadi budak pemunggah barang, tak nak jadi peraih, tak nak jadi pengayuh beca, tak nak jadi penjual minuman atau makanan kepada penumpang keretapi... itu memang saya tak mahu! Saya bukan menghina punca rezeki itu tapi saya perlu jadi seseorang. Saya rasa mereka juga punya cita-cita tetapi banyak halangan yang memerapkan mereka di situ. Syukur pada Allah.
dulu tiangnya batu dan bumbungnya bata. tiangnya boleh duduk berehat. yang baru ni nampak lebih tinggi
Tambahan lagi masa tu wan saya kerjanya buruh cat KTM dan mek saya pula berniaga ketupat palas di pasar pasir mas, saya cukup faham akan derita mereka. Jadi bila ada peluang pulang ke kampung kubang panjang seboleh mungkin saya mahu naik keretapi. saya jadi seronok berada di dalamnya, walau banyak masa saya isi dengan baring-baring. tapi suasana itu banyak mengimbau nostalgia.
rumah kedai kayu ni, kalau tidak dipelihara akan hilang kecantikan pekan nya

Hari ni stesen pasir mas dah lain, bangunan lama yang saya kira bersejarah dah diubah suai lebih 70% dari bentuk asalnya. Ia kelihatan moden dan hilang sejarahnya, jejantas pun dah tak ada. Sukar nak terima kerana senibina stesen dahulu memang menarik. Nak buat macamana orang yang mentadbir sekarang kurang senang dengan sejarah agaknya. Bandar Pasir Mas pun kini dah sendat, banyak bangunan nak dibina, sistem jalan yang huru hara, kereta melimpah, parking banyak diblok oleh pemilik kedai dan banyak lagi. Jadi saya lihat Pasir Mas macam bandar yang sedang makeover, bila dalam keadaan tu maka rupanya berserabut, tiang sana sini, debu melimpah, jalan simpang siur dan memang rasa chaos nya.
Saya pulang tempoh hari kerana ingin menziarahi pusara arwah wan dan mek, kakak saya ipah dan saudara mara lain. memang setiap tahun saya pulang semasa ramadhan memandangkan raya pertama saya pulang ke kepala batas.
Bak kata orang 'tempat jatuh lagi dikenang, inikan pula tempat dibesar' Segala kenangan dan hidup saya di Pasir Mas sentiasa mekar dan abadi, Isteri saya adakala lahirkan rasa pelik pada tingkah saya bila pulang, saya tidak tahu bagaimana nak berkongsi, susahnya kerana setiap manusia itu punya latar pengalaman berbeza. Pengalaman batin itu yang mengikat kita dengan sesuatu dan itu tidak akan sama selamanya. Mungkin saya ni seperti bangau, jauh terbang akhirnya balik ke denai juga . Saya pasti anda pun punya cerita seperti ini.

Entri akan datang akan saya ceritakan tentang kampung saya kampung Kubang panjang/tasik Putera/ Jln Mara...

Tuesday, September 16, 2008

3 TAJUK

tabiat tu macam pergi
Rasanya saya agak renggang dengan DVD sejek dua menjak ni. biasanya saya akan menonton dua-tiga movie dalam seminggu, tak kisahlah filem apapun, europe ke, korea ke ataupun hollywood. Tapi ada satu tolakan untuk aku tidak duduk depan tv, menekan butang player dan berbaring menonton filem. Entah apa yang menolak. mungkin beberapa desakan tugas dan emosi yang tidak mententeramkan aku dua tiga menjak ini. Aku harap tabiat menonton tu balik semula pada aku.
selamat datang
Di ASWARA minggu ni menerima kemasukan kakitangan baru yang bergelar pensyarah. tahniahlah kepada mereka semua kerana berjaya memboloskan diri serta menawan hati panel-panel temuduga. Aku pun jadi hairan apa tarikan mereka untuk bertugas di ASWARA. Mungkin imej ASWARA sudah berubah dan menjadi simbol sekolah seni yang tulen atau mereka mahu kerja di sini sebab dah tak mampu menawan sekolah seni yang lain. Wajah-wajah yang mendaftar semalam menunjukkan kegembiraan, baguslah dan harapannya semoga keceriaan itu akan mewarnai jiwa anak-anak muda yang ingin bergelar sebagai orang sani, ada wajah yang selalu saya nampak dan bertugas secara sambilan di sini, tapi ramai juga yang baru dan saya tak tahu latar belakang mereka. Ada terdetik dibenak saya, betul ke mereka ni... besar ke passion mereka... bolehke mereka mengajar... bolehke mereka menyumbang... sanggup ke mereka deal dengan macam-macam hal... mereka ni datang nak mengajar aje ke... apa yang bermain dalam minda mereka.... sanggupke mereka lepaskan kenikmatan yang telah mereka kecap diluar... mampuke mereka mengikat kaki di aswara...ahh macam-macam lah pikirnya. tapi aku positif yang setiap orang mahu memberikan yang terbaik walau dalam apa juga kerja. Untuk mereka aku ucapkan SELAMAT BEKERJA.
nafsu besar
Puasa tahun ni rasa lain sikit. nafsu makan aku macam tak boleh nak control. last year saya berjaya turunkan berat badan dari 83kg ke 75kg tapi tahun ni nampaknya tak turun malahan akan bertambah. Cadangnya memang nak ikut diet last year tapi memandangkan this year tak ada project yang emnarik maka saya layan saja makanan. Nida memang berusaha keras melaksanakan dietnya tapi tergoda juga dengan makanan saya. Dia pun macam tak nak tinggalkan sesi yoga yang baru diikuti, saya harap yoga tu membantu dan berterusan.

Monday, September 8, 2008

PENANGAN DALCA

Pengalaman ini saya lalui khamis lalu apabila pada petang Rabu saya ke pasar ramadhan di Desa Pandan. Balik dari pejabat tidak sempat masak, jadi saya cadangkan pada Nida untuk membeli lauk pauk serta kuih. Jadi petang itu saya berbelanja cuma RM10. Dengan RM10 itu dapatlah saya membeli pau goreng, cekmek, rojak, dalca dan cempedak goreng. Emm memang sedap. Kami sekeluarga berbuka dengan rojak dan kuih. Saya simpan dalca untuk sahur saja sebab ia memang nampak sedap. Malam saya tidur lena.
Bangkit sahur, saya minta isteri panaskan dalca, sedapnya..sayurannya lembut, terasa kerisik dan dagingnya pun sudah lambut. Saya kata kat Nida ' cuba rasa ayam dalca ni... kita boleh kunyah sampai tulangnya sekali'. Nida ambil seketul sahaja. Dia uzur jadi tidaklah menikmat dalca itu. Saya bersungguh-sungguh menikmatinya.
Bencana menimpa... sementara tunggu subuh, saya berlari ke tandas dan memancut-mancut macam air yang keluar... kesanya saya termuntah dan terberak selama dua hari, makanan ditarik dari mulut saya macam keluar alien. memang saya memaki hamun orang berniaga yang pikirkan untung sahaja. Saya rasa macam tak percaya bila di dalam bulan ramadhan ada yang sanggup menipu dan menjual makanan yang boleh disifatkan seperti racun.
Nida pun sampai terbaring sepanjang hari dek kerana seketul kecil ayam dalca. Nasib baik dua orang anak saya tak makan dalca tu. Apapun pasar ramadhan tetap saya singgah kerana itulah budaya berpuasa di Malaysia.

Monday, August 25, 2008

PHOTOS IN LONDON


Lawatan ke Universiti Oxford

3. Dato' di University Surrey 4. Lepak dan makan di Apt. 46

5.Terbang tinggi di London 6. Celebrate selepas show

7. Saya di Oxford 8. Kami di Middlesex Universiti


9. The cool gang 10. Saya, joseph dan rakan
11. Gamelan Troup 12. aktiviti di ladang buah

Monday, August 11, 2008

HATI MALAYA: TERIMA KASIH

Alhamudillah syukur di atas kemenangan saya sebagai Pelakon Harapan lelaki Festival Filem Malaysia ke 21. Secara peribadi saya tidak merasa kecewa jika gagal meraih sebarang anugerah, malah dicalonkan sebagai top 5 cukup memadai, apatah lagi semasa filem ini ditayangkan saya menerima penghargaan yang cukup baik dari penonton, media dan penggiat perfileman. Itu sudah memadai. Ditambah lagi saya turut bersaing dengan 2 lagi rakan saya Kanari dan Zaefrul di mana saya sedia terima jika anugerah harapan ini diberikan kepada salah seorang daripada mereka. Namun rezeki tetap menyebelahi saya.

Rasanya penghargaan dan terima kasih saya perlu saya berikan kepada Isteri, Nida dan kedua anak-anak saya Aish dan Rhea yang menjadi penyokong dan pendorong kepada kejayaan saya. saya masih ingat lagi, apabila Pesona tawarkan watak Tunku, saya pulang dengan bingung dan takut dengan tawaran itu walau dalam hati nak terima, Nida membakar semangat saya. Terima kasih juga buat seluruh ahli keluarga di Pasir Mas dan Kepala Batas yang bertanggung jawab mendewasakan dan mematangkan kehidupan saya.

Untuk Shumi, Aida, Kak Fati, nizam, esmi, sha, harlina dan seluruh keluarga Hati Malaya saya melutut dan menumpahkan rasa terima kasih di atas sokongan dan bimbingan yang diberikan, anda semua telah melengkapi kisah-kisah pahit manis yang turut sama mencorak warna lakonan saya.

Untuk rakan-rakan di ASWARA, Joseph, rosman, jefri dan sekelian yang menyokong penglibatan saya dalam Hati Malaya, tiada ucapan semanis terima kasih.

Friday, August 8, 2008

MALAYSIA WEEK : HUJAN EMAS DI LONDON

Sepanjang 12 hari di London banyak tempat dan institusi yang sempat saya dan rombongan ASWARA lawati. Pastinya kunjungan ke beberapa buah universiti seperti Middlesex University, Goldsmiths University dan Surrey University memberikan pengalaman dan buah fikiran baru kepada kami warga ASWARA. Pertembuan dengan beberapa orang wakil universiti telah membuka peluang baru kepada ASWARA untuk melihat potensi membina jaringan berupa pertukaran tenaga pengajar, penempatan pensyarah dan kakitangan serta peluang melanjut pelajaran di dalam beberapa bidang. Pelajar ASWARA juga sempat melawat Universiti bersejarah iaitu Oxford University, yang kini bukan sahaja menjadi pusat pengajian malahan pusat tarikan pelancongan.
Cuaca di London yang sekejap panas sekejap hujan menjadikan kita perlu selalu bersedia untuk menerima perubahan cuaca. Pada hari kedua Malaysia Week in London, London dilanda panas yang terik, seolah matahari di atas kepala, kulit saya yang sawomatang terus jadi legam dan dah tak boleh dibezakan antara kulit dengan rambut hahaha...
Dipendekkan cerita, ASWARA telah membawa 3 repertoire dengan 3 konsep yang menarik dan pastinya kumpulan kesenian ASWARA meletakkan kumpulan kami dalam kategori yang berbeza jika dibandingkan dengan persembahan dari Istana Budaya, Istamuzika dan peragaan fesyen. Kami menghidangkan 3 citarasa untuk kelompok penonton yang mahu melihat dari kesenian tradisional sehingga ke kontemporari. Saya dan joseph menerima maklum balas yang memberansangkan dan salah satunya saya didatangi oleh wakil pemerhati untuk pemilihan kumpulan ke festival Seni di Edinbrugh 2009. Mereka menyatakan minat dan melahirkan rasa gembira kerana sejak 3 tahun penganjuran Malaysia Week, ASWARA menggambarkan nilai dan mutu kesenian yang tepat mengenai Malaysia.
Saya dan Joseph amat berpuashati dan berbangga dengan pelajar tari dan muzik yang mengikuti rombongan ini, mereka telah menunjukkan kualiti peribadi yang tinggi, semangat bekerjasama secara berkumpulan dan sentiasa mencari kelemahan untuk diperbaiki. Jika ada rezeki, tahun hadapan ASWARA ke sana lagi kalau takdapun takpa kerana ASWARA sudah membawa satu cermin kesenian Malaysia yang terbaik.

Sunday, July 27, 2008

SUMMER IN LONDON

Saya kini berada di kota metropolita London sejak 24hb yang lepas. Saya bersama-sama 24 orang rombongan ASWARA ke sini kerana menghadiri dua program antarabangsa ASWARA iaitu kunjungan dan perbincangan dengan beberapa universiti di UK dan menyertai Malaysia Week in London dari 30-3 ogos.
Hati saya sebenar gelisah juga nak meninggalkan keluarga memandangkan Rhea baru sahaja pulih dari sakitnya. Namun selepas pemeriksaan doktor pada 21hb yang lalu, ia memberi keyakinan untuk saya berangkat ke sini.
Apapun saya akan ceritakan pengalaman saya di sini nanti.
Untuk Isteriku Nida dan kedua anakku Rhea dan Aish, Baba rindu!

Saturday, July 19, 2008

RHEA SUDAH BALIK RUMAH

Alhamdulillah, Rhea sudah pulang ke rumah dan keadaannya semakin pulih. Rhea sudah menunjukkan reaksi positif di mana sudah mampu duduk dan bangkit dari baringan. Pa dan Ma pun turun dari penang kerana risau akan keadaannya malah mereka turun lengkap dengan air penawar dan ubatan tradisional. Terima kasih abah dan mama. Cuma dorktor pesan agar sentiasa memerhati perkembangan Rhea dan perlu melalui rawatan fisioterapi seperti renang dan senaman.

Terima kasih sekali buat anda semua yang mendoakan kesihatan anak saya dan kesejahteraan keluarga saya. hanya Allah yang mampu membalasnya

Hanyut kayu dari bukit
Dari gunung barkati-kati
Segunung budi bukan sedikit
Tidak tertanggung sampai ke mati

Thursday, July 17, 2008

ALHAMDULILLAH...

Syukur saya ke hadrat Allah s.w.t di atas limpah rahmat, sesungguhnya Dialah maha pengasih lagi maha penyayang yang tidak pernah mengecewakan permintaan hamba-hambanya.
Alhamdulillah, berkat doa anda semua, Rhea sudah menunjukkan reaksi yang positif, kakinya sudah boleh diluruskan dan dia pun sudah mula berjalan 2 hari lepas. Namun masih lagi lemah dan belum dapat bangkit seperti biasa. Dia masih memerlukan bantuan ketika mahu bangun dari baringan. Jalannya masih lemah walau kadang-kadang cuba berlari, awal-awal dia seperti tidak boleh mengimbangi badannya. Pagi tadi doktor menasihatkan kami agar rhea terus menjalani rawatan fisioterapi memandangkan bahagian pinggangnya lemah, hasil x-ray selasa lalu belum dapat diketahui punca sebenar penyakit rhea. Doktor masih cuba mengenal pasti jenis apa sakit rhea ini walaupun ujian darah telah dibuat. Saya cukup berharap ia tidak berbahaya hanyalah sekadar jangkitan sementara.

Terima kasih di atas sokongan dan pengertian yang kalian berikan. Saya sangat menghargainya. Semoga dalam masa terdekat ini, kesihatan dan semangat Rhea balik sediakala.

Rhea masih dirawat di Hospital Selayang sejak ahad lalu.
Doa untuk Rhea...

Saturday, July 12, 2008

DOA...

Rhea admit di hospital Pantai Indah jam 12.45 tadi. Atas nasihat doktor untuk membuat pemantauan dan pemeriksaan darah. Rhea tetap tak mahu jalan dan kakinya tak mahu diluruskan. She refuse to do that kerana katanya sakit. Tapi tiada apa yang menunjukkan demam atau any complication kesihatan. Dr. Margaret pakar kanak-kanak pun hilang klue dan masih mencari punca....
Ya Allah, aku mohon dan sujud padaMu, peliharalah kesihatan Rhea, jika ini kesusahan kau temukanlah puncanya, dan permudahkanlah kehidupan kami....hanya pada Mu.....

Doakan kesihatan Rhea....

Friday, July 11, 2008

RHEA SAKIT LAGI...

Entri ini masih mengenai kisah murung saya. Tambah murung bila anak kedua saya, rhea kembali sakit. ujian Allah ini saya terima dengan redha namun saya tetap mendoakan keselamatan dan kesihatan anak saya ini. Entri lepas saya pernah ceritakan kisah Rhea dimasukkan ke wad kerana demam panas. Dan selasa lepas rhea kembali tidak sihat tapi bukannya diserang demam panas. sakitnya merunsingkan dan tidak tahu punca.
Ahad lepas 6hb Julai, saya dan keluarga keluar bersama dengan kakak ipar saya, kak Ju dan Daniel ke KLCC. Asalnya, Kak Ju ajak ke zoo negara tapi saya cadangkan ke KLCC kerana saaya dah berjanji dengan anak sulung saya untuk membawanya menonton Kung Fu Panda. Kak Ju bersetuju dan menukar plan untuk membawa aish dan daniel ke Petrosains. Selepas meninggalkan aish kepada kak ju, saya, isteri dan rhea ke TGV untuk membeli tiket, malangnya tiket hanya ada pada jam 6.45 petang. Waktu tu jam sudah hampir 4.00ptg jadi Nida cadangkan agar bersiar sahaja di KLCC. kami pun berjalan-jalan, taklah window shopping cuma membuang masa menunggu aish dan waktu tayangan. Hari itu, Rhea seperti anak yang lain berlari ke sana-ke mari, naik segala mesin yang bergerak, naik escalator sendiri tak mahu dipegang dan kalau kita duduk dia akan merayau sekitar kita, sekali sekala dia minta didukung. rhea ni macam anak yang baru terlepas ke ruang besar apatah lagi sejak demamnya sembuh kami memang jarang keluar. Memang rhea aktif sangat hari tu.

Malam tu, tidur rhea asyik terganggu, dia akan berkalih kiri kanan dan merengek-rengek. paginya dia agak keberatan untuk bangun, mungkin kerana tidur yang tidak cukup. Tapi saya tetap menghantarnya ke tadika/nursery kerana dia masih aktif seperti biasa. Isnin Malam Selasa, tidurnya masih meragam, berkalih kiri kanan-kiri kanan dan malam ini dia menangis macam orang sakit, setiap sejam atau setengah jam dia mesti menangis dan tidurnya macam ada mimpi ngeri. tangisannya melemahkan saya. Pagi esoknya, saya tidak sampai hati mengejutkannya dari tidur untuk dihantar ke tadika kerana saya tahu jika dihantar ke sana pastinya dia perlu bangkit untuk ke kelas dalam keadaan tidur yang kurang cukup. Jadi saya biarkan dia lena sehingga dia betul sedia. Dan dia bangkit aktif seperti biasa tapi agak malas untuk ke bilik air. Saya mengesan peelnya ini dan saya rasa dia juga merasa tidak selesa dengan perubahan dalam dirinya. Saya menghantarnya ke tadika agak lewat.

Malam pulang dari tadika, rhea dijemput oleh Maminya, guru-guru di tadika memberitahu rhea agak aneh hari tu kerana tak mahu diganggu oleh rakannya dan mahu tidur berasingan serta sering menangis. Saya maklum hal itu dan rhea pernah mengadu sakit dipeha. Nida bawanya bertemu doktor di salah satu klinik di Desa Pandan. kata doktor, rhea kepenatan dan agak biasa bagi kanak-kanak yang aktif di mana kakinya akan kesakitan. lalu doktor itu tidak memberi sebarang ubat kecuali 'koyok' untuk ditampal di bahagian yang sakit. Malam tu, tidur rhea tambah kacau. dia meracau-racau setiap kali berkalih. Dan malam ini betul-betul merisaukan kami, ya rhea pernah menangis-nangis seperti ini tapi tidak seperti ini. Malam ini rhea mengadu sakit tidak hanya di bahagian kaki tapi juga di lehernya di mana dia tidak boleh mengalihkan kepala dengan mudah, malah jika saya mahu mengangkatnya saya harus menampu kepala, belakang dan kakinya. Jika silap sikit Rhea akan mengerang sakit. risau.

Hari Rabu, saya sudah tidak sanggup menghantar rhea ke Tadika, saya berada di rumah, Nida cuba dapatkan emergency tapi hanya dilepaskan tengahari sahaja. tapi sehingga tengahari Rhea Ok, bercakap dan berbual seperti biasa, tidak demam cuma dia senang berbaring dan tidak mahu bangkit dari sofa apatah lagi berjalan dan berlari. Dia langsung tidak mahu bergerak dari sofa itu. Saya keraskan juga untk memandikannya dan saya perhatikan dia tidak seriang dulu bila mandi, mahu cepat habis. Dia tidak senang berdiri. Bila nida balik kami terus bawa rhe ake Pantai Indah Hospital, tempat rhea dirawat tempoh hari dan kami bertemu pakar kanak-kanak Dr.Margaret yang merawat demamnya. Pemeriksaan doktor mendapati Rhea tidak demam atau menunjukkan sebarang punca sakit. Tapi bila dia mendengar peristiwa yang kami lalui, dia cukup risau. Rhea diberi ubat tahan sakit. Dan malam itu, rhea tetap mahu tidur di sofa, tak mahu berjalan dan bangkit, berbual seperti biasa, makan pun banyak cuma dia tak mahu bangkit. Tapi malam itu, tidur rhea cukup nyaman, dia tidak lagi mengerang sakit dan terjaga setiap sejam.

Khamis, Nida cuti dan saya segan untuk ke pejabat kerana memikirkan berbagai kemungkinan, tambahan rhea sering sahaja minta saya buatkan sesuatu. dalam keadaan begini saya percaya emosi anak-anak perlu dijaga. Namun saya menerima panggilan telefon dari pejabat bertalu-talu tambahan ada beberapa perkara yang perlu saya uruskan menghambat saya ke pejabat. Ada dua tiga yang urgent termasuklah menyiapkan lirik lagu hari kebangsaan untuk dikemukakan kepada menteri. Saya janji pada Nida untuk bawa rhea jumpa dr. hisham malam nanti.

Malam tadi, kami bertemu dr.hisham di klinik kita wangsa maju. Dr.Hisham memang istimewa dan Nida cukup selesa dan yakin dengan consultationnya. Nak dijadikan cerita semasa di KLCC kami memang bertemu Dr.Hisham dan dia perhatikan rhea dan aish. Jadi setelah kami cerita panjang lebar dari rhea diserang suhu 40 darjah sampailah petang tadi, Dr.Hisham hairan dan sukar nak membuat andaian atau telahan. Tapi dia ada beri satu analisa yang meyakinkan. Katanya "orang yang diserang demam panas akan hilang beberapa sel.... yang boleh melemahkan ingatan atau tenaganya , tapi dalam kes rhea mungkin dia masih berada dalam halusinasi sakitnya dan melemahkan ingatannya kepada pengalaman aktifnya. Mungkin rhea jadi selesa berada di sofa kerana dia bangkit dari demam demasa di wad. Mungkin juga rhea betul merasa kesakitan itu pada kakinya atau mungkin rhea memang sakit yang hanya boleh dikenal pasti selepas pemeriksaan darah. Kata dr. melihat kepada luaran, fizikalnya adalah 5/5 iaitu normal. Tapi atas pengalaman kami yang melaluinya kemungkinan rhea masih trauma dan berada dalam pembaikpulihan sel" Jadi Dr.Hisham menasihati kami agar membuat pemeriksaan darah agar rawatan lanjut boleh diambil.

Saya dan Nida betul-betul rungsing dan kacau. Mengenang kisah Rhea, dari hari kelahirannya sehinggalah kini, memang banyak betul ujian yang dilalui, sebagai ibu bapa, kami mula memandang cermin melihat kesilapan-kesilapan lalu....

Tuesday, July 8, 2008

BELENGGU

Sampai ketikanya kita berada dalam ruang waktu di mana kita tidak mengerti apakah yang sedang melingkungi perasaan dan jiwa kita. Kita pernah terfikir atau mungkin merancang sekiranya kita terkandas dalam situasi begitu, namun ia tidak seperti yang dirancang kerana detik yang muncul membuat kita panik atau sekadar redha memerhati apa yang membebani jiwa dan perasaan itu. Payah sungguh dikupas belenggu yang ada. Kita mendengar dan Kita melihat tapi kita tiada suara. Kita cuba bertindak mengikut suara hati tapi dinding yang tebal tidak mampu diceroboh. Adakala mungkin kita dilihat manusia paling dayus pernah hidup namun ia jadi terlalu dramatik. Jadi apa sebenarnya yang kita mahu jadi sekiranya begini landaannya.
diam. Bisu. memerhati. Orang macam aku bukan begitu! Lemas betul dengan belenggu ini!

Friday, July 4, 2008

AIR CON: METAFOR KITA

Semalam saya dan Joseph pergi menonton teater AIR CON di KL Pac. Air Con karya Shahnon Shah (penyanyi Dilanda Cinta) dan arahan bersama Joe Kukathas dan Zalfian. Sebelum menonton teater ini saya mengelak dari dari membaca article atau bertanya mereka yang terlibat dalam produksi ini. Saya memang merancang untuk menonton air con, pertama kerana ia dibarisi oleh beberapa pelajar ASWARA, kedua nak melihat bagaimana pelajar saya ditangani oleh Joe dan Zalfian dan ketiga saya tidak mahu membuat apa-apa andaian tentang ceritanya. Jadi bila malam tadi saya masuk panggung, saya masuk dengan fikiran kosong tentang Air Con, tiada pre-judgement.

Masuk saja ke panggung, kita akan melihat set sebuah ruang putih dengan suggestion tingkap dan pintu. Dalam kepala saya ia menggambarkan sebuah bangunan sekolah. Dan saya dan Joseph meneka bahawa, set ini boleh dibuka dan ditutup serta boleh berubah dimensinya. Sebenarnya tidaklah begitu mengagumkan visual pentasnya. Itu persepsi awal saya.

Persembahan bermula dan ia mendaki dengan menarik sekali, satu persatu persoalan dan lapis-lapis diri karakter dibuka, sampai saya meneka-neka orang itu orang ini. Saya amat tertarik dengan teknik penulisan dan kepengarahannya. Kita boleh merasa kebijaksanaan pengarah mengupas dan membiarkan audien bertanya serta berada dalam dilema sendiri.

Dalam buku program, ada catatan pengarah "AIR CON we hope does more than deal with race, religion and gender inequalities in Malaysia and the cosequences of moral policing on societies. It begs the questions - Who are we? Where are we headed? It is coming of age play: exploring love,friendship, homosexuality, gender, religion, education, and above all identity". jadi tepatnya AIR CON membuka pekung masyarakat kita yang selalunya kita selindungi. Ia mengupas dilema pelajar lembut dan persepsi budak-budak lelaki kepada mereka yang lembut dan mengupas identiti pondan itu sendiri. Moralnya banyak di dalam ini, termasuklah soal keagamaan, hubungan remaja dengan dunia luar keremajaan mereka, racist dan banyak lagi.
Jadi bila dihubungkait dengan isu semasa, isu tuduhan Saiful diliwat Anwar Ibrahim, isu pengakuan bersumpah penyiasat bebas tentang penglibatan Najib dan Altantunya, pengakuan bersumpah Raja Petra tentang peranan Rosmah dalam kematian Altantunya seterusnya saya hubungkaitkan dengan isu tuduh menuduh orang politik tentang siapa yang berdrama, isu orang politik sedang membuat anjakan baru dari melindungi kisah-kisah besar sehinggalah kepada isu-isu dalam masyarakat tentang kisah bunuh, rogol, rompak, dadah, tipudaya, botox dan sebagainya, membuatkan saya jadi bingung tentang tanahair saya ini. AIR CON seolah-olah menyelongkar kisah durjana masyarakat kecil sebuah sekolah yang sebenarnya metafora kepada kedurjanaan besar. AIR CON seperti menitih kesilapan-kesilapan kita menanam benih kebencian, prejudis, dosa pahala dan banyak lagi kesilapan kita.

A.Kadir Jasin dalam blognya pun bernada bingung kerana tidak pasti sama ada suasana negara sekarang adakah bagus atau tidak. Beliau kata ada yang menganggap kini Malaysia menjadi negara paling aktif, komples dan sensasi berpolitik dan cukup demokrasi. Tapi beliau akui suasana begini yang mewujudkan Malaysia hari ini. Pro kontra itu tetap wujud. Dr Mahathir tak nak memberi apa-apa pandangan lagi tentang suasana sekarang. Jadi bila AIR CON mengupas soal identiti, gender, agama dan beberapa lagi, sebenarnya kita sedang menyaksikan masalah sosial sebuah negara. Kisah AIR CON nampak kecil kerana ia kisah pondan dihina yang melarat kepada pembunuhan dan pemilihan identiti diri- kalau fikir apalah sangat jika nak dibandingkan dengan apa yang melanda kita sekarang- minyak, makanan, harga, sosial dan sebagainya. AIR CON bercerita tentang penyakit kecil yang boleh merebak dan terbukti membentuk satu sistem dan strata soasial yang baru dan menakutkan lagi ia juga boleh menunggang-terbalikkan fitrah kehidupan. Apalah yang saya merepek ni, tapi itulah yang berlegar semasa menonton persembahan AIR CON malam tadi. Mungkin perkara ini diluar sedar mereka yang bekerja untuk AIR CON.
Akhirnya saya temui kebijaksanaan set, menarik dengan mengambil konsep sebuah sekolah, pintu dan dinding boleh berubah menjadi satu laluan dan perakam peristiwa. Warna putih boleh menjadi simbol jiwa bersih anak-anak kecil yang menunggu dicorakkan atau mungkin boleh difahamkan sebagai institusi itu adalah murni namun manusia itu yang mewarnai kecurangannya. Agak simple tapi smart, padat dan lengkap kepada cerita. Sudut pengarahan tidaklah terlalu sukar untuk saya fahami atau rangkumkan tapi saya berpendapat pengarah cukup berperanan di dalam membentuk lakonan, pemaparan adegan dan campur tangan dalam merangkai plot cerita.

Lakonan harus dipuji. mereka yang bermain ramai yang baru kecuali namron, kinwah dan ismadi. Tiada yang lemah di antara mereka. Tapi pujian harus saya beri kepada muka-muka baru. Watak chepp melitupi banyak pergolakan dalaman. Dia menyelubung segalah kekacauan dan kekeliruan dirinya. Amerul yang memainkan Chepp menghantar dengan baik setiap kekacauan itu. Mengenali Amerul yang fleksibel daripada segi keinginan mencuba, meninggal dan merubah sesuatu pada dirinya memang tidak mustahil watak Chepp dapat ditangani dengan baik. Burn pula berlatar belakangkan kehidupan miskin namun melalui proses perubahan diri secara perlahan, mengenal satu persatu dunia baru dan akhirnya sesal dengan kejahatannya tetapi kalah di dalam menangani gangguan. Burn dimainkan oleh zahiril juga pelajar ASWARA juga tidak mengecewakan, namun mengenali zahiril, dia selalunya selesa dengan apa yang dia ada dan sering membawa tabiatnya ke dalam lakonannya. Kadangkala lakonan dua rakan baik mengganggu imaginasi saya kerana adakala tidak berada di lingkungan pelajar sekolah menengah.

AIR CON berlangsung hampir 3 jam namun 3 jam itu tidak dirasa panjang dan meletihkan. Ia diselamatkan dengan banyak comic relief yang ditangani dengan baik oleh Ahmad Firdaus Che Mustafa yang memainkan watak adik-adik yang confirm nak jadi adik-adik. Tapi permainan ini tidaklah asing bagi saya bila menonton ahmad firdaus, cuma saya harap di masa depan dia tidak menjadi klise. Watak Mona, William dan Asif juga menarik dan melekat. Mereka mewakili kelompok yang keliru dengan identiti dan akhirnya melalui proses transisi sebelum menemui identiti mereka. Kinwah dan Dara pun patut dipuji.

Ada juga beberapa adegan kurang penting dan boleh dipendekkan. Tapi setiap adegan ada kekuatannya sama ada sebagai plot kepada cerita ataupun adegan itu berdiri kerana kekuatan lakonan. dan saya juga merasakan AIR CON patutnya tamat sehingga Cheep dipukul mati.


Tuesday, July 1, 2008

ROSMAN-NAIN-RHEA: sebuah kisah

Sabtu lalu 28 Jun, saya ada tugasan sebagai MC untuk pelancaran KL Fest 2008 di Esplanade,KLCC. Saya berpasangan dengan Maya Karin sepertimana saya ceritakan dulu. Alhamdulillah acara itu berjalan lancar dan disiarkan secara langsung di TV1 namun seperti biasa wujud kesilapan kecil di sana-sini. Walau bagaimanapun saya memuji sikap profesional Maya dan kebolehan serta kegigihan melaksanakan tugasannya.

KISAH ROSMAN
Sebenarnya Entri ini bukanlah hendak bercerita sangat soal saya jadi MC di KLCC tapi ada kisah yang terjadi selepas malam itu. Selesai acara sekitar jam 10.30mlm, Enal (Koreogarfer IB) call saya ajak keluar minum dan saya kata ok. Tapi saya katakan bahawa urusetia jemput minum di Chinoiz KLCC. Jadi saya akan call dia nanti jika nak jumpa. Lepas minum di Chinoiz bersama orang-orang penting KLFest (Maya dah lama blah lepas kena kerumun) saya call Enal dan tanya kat mana nak jumpa, Enal tak sure kerana dia tengah isi minyak. Sementara tunggu dia call balik, saya call rosman dan rosman cakap dia kat KLCC. Saya pun ajak ajelah rosman join sesi saya dan enal. Bila enal call balik, saya cadang jumpa di Rosdet dia kata dia dah terlajak ke Ampang. Jadi saya tak nak bantutkan mindset saya yang nak keluar borak terus cadang pada rosman jumpa di Oldtown White Coffee Jln Yap Kwan Seng. kami pun jumpalah. Tapi memang jaranglah rosman bersetuju jumpa kalau dia tak free atau fikirannya tenteram. Tapi malam tu memang Rosman nampak resah dan sorang-sorang. Saya pun boleh menelah kekusutannya.

Rosman kata dia baru tengok Sepi dan cuba mencari makna sepi yang ada dalam dirinya. Tapi tak jumpa, tambah dia lagi dia tak puashati dengan aspek lakonan dalam sepi....tawar...tak cukup asam garam tak seperti Cinta. Rosman ni kalau marah...marahnya membakar tapi sejuknya menyamankan. Lama berborak sambil kami minum white coffee dan French Toast. Satu-satu saya menyelak kekusutan dalam diri rosman dan akhirnya pintu itu terkuak dan rosman rela bercerita. Saya terkejut dengan ceritanya, dapat saya rasa beban yang ditanggung rosman apatah lagi seluruh keluarganya. Melihat rosman saya bagai melihat diri saya sendiri yang selalu meletakkan keluarga ditempat terbaik. Rosman itu adalah tulang belakang keluarganya. Jiwanya lembut walau luarannya seperti seorang yang kasar. Dia melawan banyak kekurangan namun keyakinan dirinya cukup tinggi. Saya tidak dapat bercerita di sini tentang beban rosman kerana ia terlalu peribadi. Untuk Rosman dan keluarganya saya doakan kebahagian, kekeruhan hari ini harap ditenangkan dahulu, tafsir dan tangani dengan bijaksana. Insya Allah, setiap ikhtiar dan kesabaran akan menyuluh ke satu titik....

KISAH ZULKARNAIN DAN KAK JULIE
Pagi 28hb tu, saya ada SMS Zulkarnain (saya panggil Abg Nain) saya katakan padanya 'mesti kutuk saya semalam', saya hantar padanya pagi kerana malam 27hb tu kami hanya berbalas senyum sahaja. Jadi pagi tu tujuan saya hantar sms adalah jalan untuk memulakan bicara. tapi SMS saya tidak berbalas berjam- lamanya. Saya tunggu sehinggalah pada jam 1.00tgh (jika tidak silap) Che Ah telefon beritahu anak abang nain, Sarah dah meninggal dunia. Saya terkedu dan SMS yang saya nanti sudah terjawab. Innalillah...

Sarah, anak keempat abang nain. Dia pergi menyertai 2 arwah abangnya yang meninggal di usia yang kecil kerana penyakit misteri. Ujian terlalu berat buat abang nain dan kak julie, kerana 3 daripada 4 anaknya pergi dahulu sewaktu usia masih kecil apatah lagi sewaktu abang nain dan kak julie berbahagia dengan mereka. Saya menelefon abang nain untuk ucap takziah. Dari nada suaranya saya tahu dia sangat bersedih atas pemergian itu. tapi mengenali abang nain dan kak julie, mereka berdua adalah insan yang kental jiwanya. Dugaan ini ditempuh penuh kewarasan. Mereka tidak pernah menyalahkan sesiapa dan sentiasa redha dengan ujian dari Nya. Saya tak mampu nak bercerita panjang tentang kesedihan ini. Al-Fatihah buat Alahyarham Sarah bt Zulkarnain, semoga rohnya bersemadi dengan sejahtera.

KISAH RHEA DAN KAMI SEKELUARGA
Malam selepas di KLCC dan pertemuan dengan Rosman di Oldtown, saya pulang ke rumah sekitar jam 2.00pg. Nida dah maklumkan pada saya baha Rhea demam. Bila saya pulang saya dapati Nida dan Rhea sedang senang menonton TV di bilik. Kami bertiga berborak-borak. Di dahi Rhea, nida letakkan coolfever untuk redakan panas badannya. Rhea asyik bercerita kisahnya di tadika, petah sungguh. Saya minta dia tidur kerana esok pagi-pagi akan ke klinik. Bila Nida dan Rhea dah tidur, sementara lelap saya baring di ruang tamu sambil menonton travel n living tetapi terus tertidur kurang lebih jam 4pagi.

sekitar jam 5 lebih, Tiba-tiba saja saya dengar jeritan nida, . Saya terkejut dan Nida memang akan menjerit cemas babah babah babah....bila sesuatu berlaku, saya dengar suaranya tetapi aish yang meluru dahulu ke arah saya. 'Babah adik..'. 'babah cepat pegi mana-mana doktor...' Nida dalam cemas sedang mendukung Rhea. Ya memang mencemaskan. Saya mengambil Rhea dari Nida. Badan Rhea sudah menyentak-nyantak, matanya memandang ke atas. tangannya kaku. Tiada suara. Tiada reaksi. Saya dukung rhea dalam keadaan badannya menyentak melawan sakit. Saya beristighfar... Nida dah mula panik. Aish membantu bawa mangkuk dan kain untuk lap badan rhea. Kami berlari ke kereta. Nida drive. Saya tampu rhea sambil melurut-lurut urat lehernya agar dia tidak tegang. alhamdulillah badan rhea yang menyentak terhenti dan rhea muntah dan mula menangis.... Nida panik dan memandu dengan laju, saya sempat memarahi nida kerana itu boleh bawa bahaya. Masalah nida dia tak boleh kontrol diri bila cemas. Aish cukup bekerjasama. Memang dia abang yang baik dan anak yang baik. Kami decide ke hospital pantai indah kerana yakin saat kecemasan begini wang bukan lagi di fikiran tapi meyelamatkan rhea dengan rawatan segera. 40 degree suhu rhea ketika itu.

Bila keadaan tenang baru saya sedar bahawa saya hanya bersinglet buruk dan berkain pelikat sahaja dan kami tidak membawa apa-apa- hanphone, wallet walaupun sesen duit! Saya berterima kasih di atas rawatan segera Pantai Indah.

INI UJIAN
Bila saya renung kembali peristiwa yang berlaku dalam bulan June ini, saya mula merasakan bahawa Allah tidak meletakkan sebarang petanda untuk memberikan sesuatu ujian. Mungkin ada petanda itu tapi kita ini manusia yang daif, gagal untuk membaca tanda-tanda itu. Kehilangan Mie pada pertengahan Jun cukup mengejutkan. Bila dah terjadi baru kita membelek setiap inci maksud perbuatan dan kesilapan kita. Apapun setiap yang terjadi ada hikmahnya dan Allah tidak menjadikan sesuatu untuk sia-sia. Saya simpulkan apa yang terjadi pada saya dan mereka adalah ujian untuk mengukur keimanan. Dan kerana cinta kita berperasaan begitu. Saya tutup Jun dengan ketabahan.

Thursday, June 26, 2008

LITTLE RED DI ET



Hari ni 26hb dah berakhir Bengkel Produksi Teater kanak-kanak. Kagum saya melihat semangat dan keinginan guru dan pensyarah yang menjadi peserta bengkel ini. Kita ingatkan mereka akan liat untuk bergerak dan memberi kerjasama tapi nyatanya mereka bergolek berguling malah menunjukkan sesuatu yang di luar jangkaan. Beradasarkan cerita The Little Red Riding Hood, para peserta diminta menginterpretasi naskhah tersebut ke sebuah pementasan selama 15 minit. Ada 3 kumpulan dan mereka memberikan 3 penafsiran yang berbeza dengan 3 pendekatan yang menarik.

Tuesday, June 24, 2008

LOST....

(lamp shade di ruang tamu rumahku)


Dua tiga hari ni ASWARA banyak program dan sayapun banyak terlibat dalam aktiviti dalam dan luar kampus. Nak sambut birthday pun tak sempat dengan famili. Saya memang berhutang dengan mereka, nasib baik nida faham tetapi aish dan rhea? tak tahu nak cakap, mungkin mereka pun bertanya apa kerja saya sebenarnya kerana hanya pagi saya dapat bertemu. PeTA 08 dah selesai dan pada 21Jun lalu berlangsung sidang pleno.

Nak dijadikan cerita program baru anjuran ASWARA pun bermula hujung minggu lepas. Fakulti Teater sahaja menganjurkan tiga aktiviti iaitu Bicara Eksekutif Teater yang berlangsung 21hb, Teater Malam Gelap Di Bukit damansara mulai 21-22hb dan Bengkel Teater Kanak-kanak mulai 23-26hb. gayanya sepanjang minggu ni penuh aktiviti di ASWARA. Ini tidak termasuk aktiviti anjuran lain fakulti seperti pada pagi ini di mana saya dijemput sebagai pengacara kerana majlis menerima kehadiran YB Menteri dan KSU sempena Majlis Perasmian Seminar sastera. Menariknya setiap kali saya menjadi MC yang melibatkan kehadiran penulis dan guru-guru, apabila selesai majlis mesti akan ada beberapa orang yang hadir datang (Ini juga berlaku semasa persidangan seni budaya di PWTC) kepada saya dan mahukan teks MC saya malah mereka turut memberi alamat e-mail dengan harapan akan memiliki sesalinan teks saya itu. Ya, bagi saya tiada masalah untuk saya berikan, lagipun saya banyak memetik kata-kata penulis dan disesuaikan dengan keperluan majlis. Hujung minggu ini saya ada tugasan untuk KL Fest tapi skrip belum lagi saya siapkan. Entahlah macam malas nak mula menulis apatah lagi memikirkan hal yang kurang menyenangkan saya.

Saya selalu ingat apabila kita menangguhkan kerja bermakna kita merugikan masa, tetapi saya memang menangguhkan kerja ini dan saya selalu menantikan mukjizat untuk melakukan sesuatu kerja. Mukjizat itu saya sebut sebagai MOOD.

Thursday, June 19, 2008

MAYA & ME

Insya allah, saya akan bekerjasama dengan Maya Karin sekali lagi dalam satu event di KLCC. masih dalam perbincangan dan persiapan. Saya dan Maya digandingkan sebagai pasangan pengacara. Bukan senang nak disamatarakan dengan Bintang Besar ini. Saya harap bila kami disatukan akan wujud chemistry dan saya tidak kelihatan kekok kerana saya cukup pasti Maya memiliki aura dan keyakinan yang tinggi bila di pentas. Acara itu adala KL Fest pada 28 Jun 2008 di Esplanade, KLCC

Tuesday, June 17, 2008

MIE & MY BIRTHDAY

Ulangtahun saya jatuh pada hari ahad (15 Jun) yang lalu sewaktu saya berada di Kuching, Sarawak kerana bertugas untuk Rumah Terbuka Hari Gawai. Istimewanya hari itu kerana saya turut sama meraikan Hari Bapa. jadi handphone saya silih berganti menerima ucap selamat. Terima kasih kepada mereka yang sentiasa mengingati saya. Terima kasih juga buat abangku di Jepun.
Sebenarnya banyak kisah yang berlaku sepanjang saya berada di Kuching. Dan beberapa hari sebelum menyambut hari lahir saya, saya dikejutkan dengan pemergian rakan saya iaitu Mie (Rozaimie). Seorang rakan yang ikhlas dalam berkawan, dia pergi ketika usianya 39. Mengenang beliau saya jadi terharu kerana arwah seorang yang cukup kuat dan tabah. Dia sudah menghidap penyakitnya sejak bertahun lamanya dan beberapa kali telah koma di hospital namun Arwah mempunyai kekuatan yang luar biasa sehinggakan kita tidak sedar bahawa arwah sedang menanggung penderitaan. Kali terakhir saya bertemunya adalah pada 8hb selepas menonton 'No Exit' dan kami tidak berbual seperti selalu dan saya tidak memerhati tingkahnya seperti biasa. Serasa seperti masa tidak mahu saya menatap Arwah untuk kali terakhir. Sehinggalah pada 11hb Jun saya dikejutkan dengan panggilan daripada Rosman yang menyatakan arwah pergi selepas Asar.
Namun saya percaya kenapa Allah menemukan arwah dengan kami rakan-rakan di ASWARA. Untuk arwah saya sedekahkan Al-fatihah.

Tuesday, June 10, 2008

PeTA'08 - MEREKA YANG DIUJI

Inilah wajah-wajah yang akan dinilai di dalam Penilaian Tahun Akhir (PeTA) Fakulti Teater 2008. Saya melihat mereka semua memiliki potensi besar untuk mengisi ruang persembahan di Malaysia.
(Xavier, Yusman, Amerul, Mazlan)
Namun semua itu tergantung kepada komitmen, kesungguhan dan disiplin diri yang tinggi. Adakalanya apabila berdepad dengan pelajar-pelajar ini, kita jadi serba salah antara kemahuan mereka dengan potensi yang kita lihat dalam diri mereka. Bila semarak semangat mereka tengah tinggi, idea mereka yang merebak-rebak, teguran dan pandangan kitapun bagai sepi.
(Zahiril, Fared, Amelia, Natalia)
Adakala juga kita dapat lihat, di antara mereka ini sudah meletak dan menetapkan apa yang mereka mahu. Walaupun kita merasakan bahawa dia tidak cukup diduga dengan bermacam percubaan. Akhirnya 3 tahun pembelajaran itu tidak dipergunakan sebaik mungkin di dalam menyelongkar potensi dalam diri mereka. Ego pun sudah terserlah.


(Aishah, farah, Kusharil, Intan)
Adapula yang merasakan 3 tahun tidak cukup untuk mereka membuktikan kebolehan mereka, mereka menuntut tambahan satu tahun lagi kerana menagih masa untuk mempersiapkan diri. Namun, dalam teater atau dalam apa jua, jika kamu tidak ada disiplin, minda tidak dipersiap, keliru pada kemahuan dan enggan mendengar pandangan maka akhirnya walau selama mana kamu memperoleh masa, ianya akan jadi sia-sia.
Apapun kata dan perbuatan tidak mampu membentuk manusia, mungkin perjalanan mereka mematangkan kehidupan mereka. Insyaallah.

Friday, May 30, 2008

VERTIGO...BILA PANDANGAN BERPUTAR

...apabila pandangan berputar semuanya jadi tidak menentu...

kisah teater eksperimen arahan Namron yang dipentaskan oleh para pelajar Tahun 2 Fakulti Teater pada 23-25 mei lepas. sepanjang menonton saya jadi teringat-ingat pada kisah isteri namron. Entahlah, tempo cerita yang dibawa pun agak sayu dan melankolik, ia seperti satu pensejarahan sahaja. Konsep dan teknik menarik.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...