Friday, March 16, 2012

TANDA PUTERA

Saya sebenarnya tak sabar menunggu hasil filem terbaru Tanda Putera yang dijangka bakal ditayangkan sekitar bulan merdeka 2012. Walaupun peranan saya sebagai Tunku tidaklah besar sebagaimana dalam Hati Malaya namun perasaan mahu melihat hasilnya sangat tinggi. Saya senang bekerja dengan team pesona dan castingnya seperti Rusdi dan Zizan. Sebenarnya kami banyak share beberapa kenangan khususnya semasa shoot di Carcosa Seri Negara ...hahaha. Tambah-tambah lagi filem ini menumpukan sepenuhnya era pemerintahan Tun Razak, tiada campur aduk zaman dan istimewanya menggunakan khidmat pakar untuk kesan khas seperti CGI.  pengalaman bekerja dengan Shuhaimi baba dan teamnya memang menarik, mereka tidak bermain-main dengan sejarah. Diselidik dan dicari dokumen agar rakaman dan catatan di dalam filem itu nanti tidak bercanggah ataupun secara tidak langsung menyampai fakta yang betul. Dalam serius mereka tetap bersenang di lokasi. Saya sebagai aktor, setiba di lokasi sudah diatur kostum dan mekapnya, jadi ianya balance antara research kita dengan research production. Itu memang menarik. Shumi yang juga selaku dramatur akan berkisah apa di sebalik adegan. Sebab apa dan kenapa watak dan situasi begitu. Memang saya akui bila kerja dalam produksi historical movie, kita sebagai aktor harus menyumbang dan tambah kerjanya. So i collect, read and read books/articles and after that interpret. So tunggulah TANDA PUTERA. (Tulisan di bawah ini saya petik dari Harian Metro)

BORAK LOKASI: Gambaran semangat patriotik Shumi

Oleh Wan Asrudi Wan Hasan
wanasr@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

TATKALA melangkahkan kaki masuk ke dalam Studio KRU di Cyberjaya, baru-baru ini, ia membuatkan hati penulis terpegun. Terasa seperti kita berada pada dekad 1970-an apabila melihat binaan set yang tersergam di dalam studio itu bercorak retro dan antik. Lebih teruja lagi apabila mendapat tahu rekaan set itu bagi babak kacau-bilau yang pernah tercetus pada 13 Mei 1969. Itulah antara kehebatan karya terbaru, Tanda Putera arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba. Mungkin ramai sedia maklum mengenai sejarah peristiwa yang pernah menggoncang perpaduan di Malaysia itu. Tragedi hitam itu mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda. Ia susulan daripada Pilihan Raya Umum 1969 tetapi keadaan tegang itu berjaya dipulihkan dengan usaha pihak berkuasa dan pemerintah ketika itu.

Difahamkan, bagi mendapatkan set berkenaan, kru Tanda Putera bertungkus-lumus menyumbangkan idea masing-masing dan membinanya mengikut kehendak skrip.


Tinjauan Rap di situ bagi ruangan Borak Lokasi kali ini menyaksikan penggambaran berkenaan berlangsung dengan lancar dan masing-masing begitu serius bekerja. Paling bersungguh-sungguh dan memberikan sepenuh fokus adalah Shuhaimi atau Shumi sendiri.Ternyata Shumi bertuah kerana dia berupaya menggabungkan ramai bintang handalan seperti Rusdi Ramli sebagai Tun Abdul Razak, Zizan Nin (Tun Dr Ismail), Tunku Abdul Rahman (Che Kem), Faezah Elai (Tun Rahah) dan Linda Hashim (Toh Puan Norasyikin). Tanda Putera turut menampilkan pelakon pembantu lain seperti Ida Nerina, Sharifah Shahira, Fizz Fairuz, Nazril Idrus, Alan Yun, Zoey, Kavita Sidhu, Hasnul Rahmat, Nasrizal Ngasri dan Razali Hussain.

Kata Shumi, pengalaman menjalani penggambaran di Studio KRU itu buat pertama kalinya memudahkan segala perancangan serta jadual yang ditetapkan pihaknya.“Penggambaran di studio ini sangat penting kerana kami perlukan suasana dan set yang tidak diganggu orang awam. Apatah lagi ia bagi menggambarkan keadaan rusuhan ketika pilihan raya dan Tragedi 13 Mei, kami sangat memerlukan ketelitian dan fokus.
“Walaupun membabitkan kos yang mahal namun demi menampakkan suasana sebenar era 1970-an, saya rasa ia berbaloi. Bukan sekadar cerita menarik mengenai pemimpin terulung negara itu, saya juga mahu berkongsi pelbagai peristiwa yang perlu kita tahu sebagai rakyat Malaysia,” kata Shumi.

Terbukti semangat patriotik Shumi sangat menebal sejak dia menghasilkan 1957: Hati Malaya. Shumi sedar sebagai pembikin filem, dia bertanggungjawab menghasilkan sesuatu buat Malaysia. Shumi gembira kerana bagi projek kali ini, dia mendapat kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Multimedia Development Corporation Sdn Bhd (MDeC) dari segi sokongan dana. Shumi memaklumkan selain penggambaran yang sukar, dia juga menyelitkan penggunaan imej janaan berkomputer (CGI) untuk menampakkan suasana realistik pada babak yang diperlukan.

Katanya, cuaca tidak menentu dan masalah lokasi turut memberi kesan kepada penggambaran. Penggambaran berlangsung selama 47 hari membabitkan lokasi di sekitar Lembah Klang, antaranya Kelab Golf Saujana, Kampung Baru Felda Sungai Loi, Negeri Sembilan; Makam Pahlawan; Tugu Negara serta Bangunan Sultan Abdul Samad. Tidak ketinggalan penggambaran di sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Jalan Othman, Petaling Jaya; Universiti Malaya (UM) dan Pawagam Coliseum. Seterusnya membabitkan lokasi di London bagi babak akhir Tun Abdul Razak menjalani rawatan di sana.

Tanda Putera antara lain mengisahkan persahabatan akrab antara Perdana Menteri Malaysia kedua, Tun Abdul Razak dan Timbalannya, Tun Dr Ismail yang terpaksa berahsia dan mengetepikan masalah kesihatan masing-masing bagi memulihkan keadaan negara ekoran tragedi 13 Mei 1969.Kata Shumi, Tun Razak terpaksa menyimpan rahsia penyakit leukemia yang dihidapinya kerana tidak mahu keluarganya tertekan selain bimbangkan keselamatan negara. Antara yang tidak diketahui rakyat adalah bilik bacaan di rumah Tun Dr Ismail menjadi klinik rahsia bagi rawatannya oleh Dr Macpherson tanpa pengetahuan sesiapa termasuk ahli keluarga Tun Dr Ismail sendiri.

Monday, March 12, 2012

DIRANG : SAMBUNGAN KISAH NURIN

Nak salahkan ibunya yang leka melayan facebook dan membenarkan anak kecil sendirian ke kedai membeli maggi kerana lapar pun memang patut, kerana anaknya kecil tambah-tambah lagi budak perempuan. Namun mungkin ibunya terlalu mempercayai masyarakat sekitarnya dan yakin bahawa mereka akan melindungi anaknya? Nak disalahkan facebook tak boleh juga sebab FB hidangkan macam-macam hal, kita yang tentukan berapa kerap dan lama mana nak bersidai di depannya. Apapun ini pengajaran buat kita semua. Anak selagi boleh kita lindungi, lindungilah. Memang fitrahnya ibubapa akan melindungi anaknya. Namun kejadian ini mungkin untuk menyedarkan kita.
Dirang : Al-Fatihah
Kes Allahyarham adik Nurul Nadhirah Abdullah atau Dirang hilang-diculik-dibakar dan mati sama sahaja sebagaimana berlaku pada Allahyarham adik Nurin Jazlin. Sama!!!! Saya beranggapan ibubapa melepaskan mereka keluar atas yakin bahawa anak mereka dilindungi. Kedua-dua hilang dan ditemui dalam keadaan yang tidak mampu untuk difikirkan. Kejamnya manusia yang membunuh. Di mana belas kasihan? Saat anak-anak itu diseksa apa perasaan mereka? 


ibu bapa Dirang
Hal ini sangat kompleks bila mahu memikirkan punca mengapa manusia boleh bersikap dan bersifat sedemikian rupa. Berapakah harga yang perlu dibayar untuk kita dapatkan semula keamanan. Saban hari kita melihat, membaca, mendengar kisah-kisah manusia dikejami, membuat kita rasa dunia ini betul-betul tidak waras. Bagaimana mahu mengimbangi kehidupan ini? bagaimana nafsu jahat manusia itu boleh ditundukkan? Bagaimana mahu menjaga sifat manusia agar tidak bertukar menjadi makhluk paling jahat? Dalam hidup hari ini, ketika negara kita menapak tahun ke tahun untuk menjadi negara maju kita sebenarnya mengundur dalam soal insaniah. Apabila kemajuan itu diukur pada hal-hal ekonomi, pendidikan, kesihatan dan apa sahaja, bagi saya itu hanyalah ukuran untuk menjadi orang lain. Kita tidak maju selagi kita tidak mampu membentuk masyarakat menjadi manusia yang punya kemanusiaan yang tinggi. Berapa ramai orang berharta dan berpendidikan menyeleweng malah hari ini sahaja bermacam cerita di akhbar kisah orang politik dan orang berpangkat dituduh dan didapati bersalah atas tidak amanah. Kita tidak boleh menjadikan kayu ukur dengan mengeluarkan ramai lulusan diploma, ijazah dan bermacam gelaran akademik demi untuk mencapai negara maju namun pada hakikatnya kita mempermudah mempermain corak pendidikan, menurunkan tahap demi menaikkan bilangan dan peratusan. Cara itu amat salah. Kayu ukur sebenar adalah mengimbangi rohani, emosi dan intelektualnya. Itu formula melahirkan insan insani.
Kesempatan diambil di mana sahaja, dulu pantun Melayu menyebut
 "kalau ada sumur di ladang, boleh saya menumpang mandi...''
 tapi hari ni kena bayar tau...no tumpang-tumpang

Jadi hari ini, dengan tuntutan hidup yang komples, duit menjadi punca utama. Manusia bersaing bukan untuk keharmonian tapi untuk memenuhi tuntutan dunia. Kita ramai orang terpelajar, kita ramai manpower, kita ramai foreigner, kita banyak ruang dan peluang pekerjaan...kerajaan saban kali menaikkan gaji dan memberi subsidi namun ia tidak mampu membeli manusiawi. Saya sering bertemu anak-anak muda yang baru lulus pengajian dan impiannya bergaji besar. Okay, tapi yang peliknya mereka tidak mahu susah dan tidak mahu memiliki lebih kepandaian dan pengalaman. Mereka cuma mahu duit untuk membeli kehidupan. Ini salah!!! 
Hantu pun pandai sayang manusia
Ahhh sudah jauh saya merepek ni. Kisah adik Dirang yang berlaku buat kali ke berapa ini adalah siri ulangan. Saya amat kasihankan arwah dan keluarganya. Saya tahu awak semua seperti saya sedih dengan peristiwa ini. Ini sebenarnya berita kekalahan Malaysia. Kekalahan negara membentuk rakyatnya. 

Al Fatihah buat Dirang. Juga Al Fatihah buat Nurin. Semoga Allah mengirimkannya ke syurga bersama-sama bidadari.

Tuesday, March 6, 2012

ABSTRAK 5 : ANAK GONDANG?

Saya harap anda tidak bosan dengan entri saya. Mana tidaknya asyik lukisan saja....kalau elok ok juga kan. Lukisan ini telah saya kerjakan beberapa minggu sudah. Masih tidak pasti tajuknya. Tetapi masa saya melukis saya bayangkan satu adegan dalam cerita makyung yang kesannya kuat dalam kehidupan bukan sahaja saya, mungkin juga anda. 


Bagaimana pendapat anda? 

Thursday, March 1, 2012

3FACES : PENARI KELAS TINGGI

Tajuk ini bukanlah memperkecilkan penari lain atau cuba mengangkat bakul sendiri sebab saya ini dari ASWARA. Bukan. Realitinya begitulah. Kalau saya kata berkelas dunia nantikan banyak orang marah, ada pula kumpulan-kumpulan utama kebudayaan marahkan saya. Ya lah apalah hebatnya budak-budak ASWARA tu menari. Memang saya akui mereka bukan berkelas dunia jika kayu ukur kehebatan penari itu pada ketinggian, rupa paras dan ketrampilan mereka di luar. Apalah nak harapkan budak-budak ASWARA bergaya sakan kalau cuma harapkan duit saku mak bapak hehehe. Jangan marah ya...

3Faces tidaklah mengejutkan bagi saya yang selalu menyaksikan persembahan sebegini, namun ia amat menakjubkan apabila pada satu malam sekumpulan anak muda Malaysia menunjukkan kehebatan dalam tiga genre tari yang sangat berbeza. Perbezaan itu bukan sahaja pada irama, gerak dan stailnya tetapi cukup berbeza dalam soal meluah dan mengekspres bahasa badan mereka mengikut konteks genre yang ditarikan. 


Malam ini mereka mempamerkan kecekapan nuansa India yang bagi saya bukan calang-calang penari boleh menguasai dan menyampaikannya dengan baik. Dalam persembahan segmen klasik India, tentu sekali tumpuan diberikan kepada Norbaizura dan Yunus Ismail. Kedua-dua mereka kini mencatat sejarah peribadi apabila Baizura diangkat sebagai Wanita Melayu pertama mencapai tahap cemerlang dalam Bharata Natyam, begitu juga Yunus yang mengikut jejak Ramli Ibrahim dan Chandrabanu malah telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Seni Selangor.


Segmen kedua pula menyusul sebuah Teater tradisional Makyung 'Dewa Indera Indera Dewa'. Ia memetik salah satu babak penting dalam cerita tersebut. Segmen ini mempertontonkan kebolehan mereka dalam menarikan tarian tradisional Melayu 'Mengadap Rebab' serta kebolehan mereka melakonkan watak-watak dalam cerita makyung. Nyata mereka diuji dan patut dipuji. Ismadian selaku pemain utama terserlah dengan kehebatannya sebagai pelakon makyung. Nyanyiannya sangat indah. Air makyungnya mengena, lidah Kelantannya menyerap. Kita ada seorang lagi pelapis makyung.


Segmen terakhir adalah 'Plan B' sebuah tarian kontemporari yang menerap gaya dan ciri hip hop dalam persembahan. Plan B menampilkan 3 watak utama iaitu Failul, Murni dan Marul. Dramatari moden ini melengkapkan kehebatan kumpulan ini sebagai penari berkelas tinggi. Permainan emosi oleh Murni dan Marul sangat memikat. Seolah mereka pun pelajar senilakon. Failul@Boy hebat dengan hip hop dan breakdance nya...sangat natural. Ramai yang menyerlah dalam segmen ini termasuklah penari utama Bhrata Natyam, Baizura dan Pakyung, Ismadian. 

Jadi kenapa saya harus malu untuk mengatakan bahawa mereka ini adalah penari kelas tinggi di Malaysia. Saya berani mengatakan bahawa Istana Budaya harus memiliki penari seperti mereka dan betul-betul menonjolkan kebolehan tari mereka. Barulah boleh disebut penari negara. Namun itu tak akan menjadi realiti sebab Istana Budaya akan kekal begitu. Kalau zaman KBN dulu, ianya berbeza kerana KBN melahirkan penari terbaik, mengekalkan warisan dan bereksperimen dengan kesenian. Apa nak dikata, zaman selalunya relevan dengan trendnya. Jadi ASWARA harus kekal dengan semangat dan slogan nya ''...melangkah ke hadapan bersama tradisi''.

Tahniah sekali lagi buat ASWARA DANCE COMPANY di bawah Pengarah Artistiknya Dr. Joseph Gonzales merangkap Dekan Fakulti Tari ASWARA. Malam ini sekali lagi mereka membuktikan bahawa ASWARA adalah sekolah terbaik dalam mengeluarkan bakat tari berkelas tinggi. Tahniah buat guru-gurunya.

3Faces akan dipentaskan 1 - 4 Mac 2012 di Panggung Eksperimen, ASWARA jam 8.30 malam. 

Sunday, February 26, 2012

DATO' OMAR AWANG SAMAN KSU KPKK

myMetro | ‘Saya kena fitnah’

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LUMPUR: Bekas Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Datuk Omar Awang memfailkan saman menuntut ganti rugi RM4.2 juta kepada Ketua Setiausaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dan Kerajaan Malaysia atas dakwaan mengeluarkan surat berunsur fitnah sehingga beliau ditukar ke bahagian lain perkhidmatan awam serta diturunkan pangkat.
Omar yang kini berkhidmat di Penempatan Khas, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) memfailkan saman itu di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, semalam melalui peguamnya G Ravi Shankar.

Beliau menamakan Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan kedua.
Dalam pernyataan tuntutannya, Omar (plaintif) berkata, pada 12 Mei 2009, Kamaruddin dengan niat jahat menyalahgunakan kuasanya untuk menandatangani dan menyebabkan penyiaran surat bertarikh sama dan dialamatkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah Aswara.

Omar sebagai plaintif berkata, perkataan dalam surat itu adalah berunsur fitnah dan berniat jahat yang membawa maksud Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan memutuskan untuk tidak melanjutkan peminjaman beliau sebagai rektor Aswara.

Menurutnya, perkataan itu tidak benar dan disiarkan defendan pertama bertujuan menjatuhkan reputasi dan nama baiknya.

Beliau juga berkata, pada atau lebih kurang 4 Disember 2009, Kamaruddin dengan niat jahat dan salah guna kuasa menandatangani dan menyebabkan sepucuk surat dikeluarkan, dengan menukarkan dan menempatkannya kepada sektor lain serta menurunkan pangkatnya daripada Gred Utama B (Terbuka) kepada Gred M54 tanpa apa-apa sebab munasabah.

Omar mendakwa, tindakan defendan jelas bagi tujuan menghalang kenaikan pangkatnya serta berniat jahat apabila mengemukakan Laporan Asas Kenaikan (LANP), Jawatan Utama Sektor Awam (Jusa) miliknya kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) melalui surat bertarikh 1 Oktober 2010 dan mencadangkan kenaikan pangkat beliau ke Gred Utama C sedangkan dia tahu plaintif sudah mencapai pangkat Gred Utama C pada masa itu.
Foto ini saya rakam semasa beliau menyampaikan ucapan dalam majlis doa selamat sempena Teater merdeka Muzikal Tun Abdul Razak 2009


Dakwa beliau lagi, defendan juga berniat jahat apabila membuat permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia dengan memendekkan tempoh pelantikan plaintif sebagai Setiausaha Bahagian, Bahagian Antarabangsa (Sektor Penerangan) Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan daripada 1 Disember 2009 hingga 31 November 2011 kepada 1 Disember 2009 hingga 14 September 2010 tanpa sebab munasabah Menurutnya, tindakan defendan pertama itu jelas menunjukkan beliau gagal memberikan notis selama 30 hari kepadanya seperti diperuntukkan dalam Klausa 14 Syarat-Syarat Pelantikan Pertukaran Sementara dan disebabkan tindakan itu, beliau ditukarkan ke Penempatan Khas, Intan mulai 15 September 2010.

Sehubungan itu, Omar menuntut daripada defendan antaranya ganti rugi, teladan dan teruk masing-masing sebanyak RM1.4 juta, perintah bahawa beliau dinaikkan pangkat ke Gred Utama B dengan serta-merta dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

SETIAP INSAN DIUJI DENGAN BERMACAM-MACAM UNTUK MENCUKUPKAN RIWAYATNYA SEBAGAI MANUSIA. MENGENALI DATO OMAR YANG SANGAT OPTIMIS DAN PUNYA TAHAP KEYAKINAN DIRI YANG TINGGI, TIDAKLAH MEMERANJATKAN SAYA. APAPUN SAYA HARAP KES INI SELESAI SEPERTI KATA PEPATAH 'BAGAI MENARIK RAMBUT DARI TEPUNG...RAMBUT TIDAK PUTUS TEPUNG TIDAK TUMPAH'.


UNTUK DATO OMAR AWANG:
"DI MANA DAN DALAM EMOSI APAPUN DATO' BERADA, SAYA DOAKAN SEMOGA ALLAH PERMUDAHKAN PERJALANAN HIDUP DATO' DAN DIMAKMURKAN KEHIDUPAN HARI INI DAN ESOK."

Friday, February 24, 2012

REALITI TV: KEJARLAH MIMPI ITU

Mungkin entri saya dah lapuk topiknya. Tidak mengapa lah. Sewaktu meninjau-ninjau di Youtube, saya terpandang video ini dan setiap kali itulah saya mahu menontonnya. Ia tidak pernah membosankan.

Video ini kisah seorang lelaki, Paul Potts ialah penjual telefon mobil yang bercita-cita menjadi seorang penyanyi opera. Pada pandangan pertama memang ada rasa ''eeee... tinggi sungguh cita-citanya''. Namun pabila dibuka mulut dan dilontar suaranya, satu dewan terpukau. 

Saat itu bermulalah realiti sebenarnya. Kisah lelaki yang punya banyak kekurangan pada rupa dan keyakinan diri apatah lagi diperlekehkan orang akan cita-citanya. Paul Potts menurut sahaja nalurinya. Dia punya kekuatan yang tinggi dan percaya pada bakatnya. Dia punya mimpi dan dia berkata ''my dream is to spend my life what i feel i was born to be'' dan dia menyungguhkan kata-katanya.

Banyak pelajaran dari video ini. Di mana ada kemahuan di situ ada jalan. Kita dilahirkan dengan beribu pilihan dan kita yang memilihnya. Usaha dan kecekalan akan membawa seseorang itu ke satu destinasi impiannya. Peribadi dan jiwa itu harus diyakinkan untuk melawan apa sahaja yang boleh meruntuhkan. Tuhan membuka rezeki dalam bermacam-macam cara. Ia mungkin tidak datang bagai dalam mimpi namun ia memenuhi kemahuan mimpi itu. Tuhan tidak pernah menganiayai umatnya selagi umatnya berusaha. Batas yang kita ada mungkin bisa mengejutkan kita sendiri. Siapa tahu?

Jika anda bermimpi untuk jadi chef, ia takkan menjadi kalau anda tidak mahu kenal mana kunyit mana haliaa. Jika anda mahu jadi angkasawan, jangan fikir naik roket terus sampai bulan. Jika anda mahu jadi guru, kena tuntut ilmu dan kuasai bidang itu. Waima kalau mahu jadi 'maid' pun kena tahu macamana nak basuh berak baby. Apatah lagi budak-budak nak jadi penyanyi atau pelakon...langkah anda bukan setakat masuk ASWARA saja.....


"SEGERALAH BERPEGANG PADA IMPIAN, KERANA JIKA IMPIAN MATI, 
HIDUP AKAN MENJADI SEPERTI BURUNG YANG PATAH SAYAP"
Langston Hughes

"JIKA KITA TIDAK TAHU PELABUHAN MANAKAH YANG KITA TUJU
NESCAYA ANGIN PUN TIDAK AKAN DAPAT MEMBANTU"
Seneca

"CITA-CITA HARUS DIPERBUAT DARI BAHAN YANG KERAS"
William Shakespeare


Monday, February 20, 2012

LATIF IBRAHIM DAN KEHILANGAN

Kehilangan seseorang memberi kesan dalam hidup seseorang yang lain. Kesan itu tentu sekali hadir secara emosi dan adakala turut memberi kesan kepada fizikal. Dalam hidup ini, secara sedar atau tidak kita menerima setiap pertemuan itu ada perpisahannya. Hati selalu mengatakan bersedialah untuk menerima takdir ketika saat terakhir bertemu. Itu kata hati dan selalunya lah hati kita menipu. Kita selalu kata kita kuat namun banyak sungguh yang tewas saat menerima perpisahan. Apatah lagi menerima perpisahan yang bererti kehilangan abadi.
Takziah saya ucapkan buat my brother,Joseph atas kehilangan ibundanya 

Mendiang Victoria Gozales (94  tahun) pada hari khamis malam 16 Feb lalu. 

Saya sering diceritakan kisah ibunya, kisah kekuatan dan kecekalan 

seorang wanita. Dalam nada nakal Joseph selalu bercerita namun jauh di sudut 
hati, saya tahu kesan kehilangan itu amat berbekas dalam diri Joseph. 
Apatah lagi beliau adalah anak bongsu dan tinggal bersama ibunya 
sehingga nafas terakhir. Moga mendiang Victoria aman 
bersemadi dan semoga kekuatan mengiringi semangat mereka sekeluarga. 
Takziah.
Dalam seminggu ini, saya dan mungkin anda telah menerima beberapa berita kematian. Pemergian insan tersayang sama ada ahli keluarga rakan atau ahli keluarga anda sendiri. Setiap kali itulah hati saya melahirkan kesedihan atas pemergian itu. Dalam hidup saya, saya menghadapi beberapa kali saat sukar menerima perpisahan itu. Memang orang selalu kata 'setiap insan yang kita kasihi hanya dipinjamkan buat kita, sampai masa dia akan kembali pada yang hak'. Saya akur dan terima kebenaran itu. Selalu juga kita menyebut 'Allah lebih mengasihi dia' dan macam-macam lagi kata-kata yang mahu merangsang dan menyedapkan hati agar terpujuk hati kita untuk redha dengan perpisahan itu. Namun percayalah, berat bibir yang mengucap tidaklah seberat jiwa yang meratap.
Whitney Houston adalah tragedi. 

Seorang diva yang diangkat atas kehebatan bakatnya. 

Mendiang disebut orang sebagai antara penyanyi terhebat yang 

pernah dilahirkan. Lagu-lagunya bukan sedikit tapi banyak yang 
mengungguli carta dunia. Siapa boleh lupa lagu I will Always Love You 
yang dinyanyikan sehingga menenggelamkan nyanyian asal 
Dolly Parton. Itulah hebatnya seorang diva. Namun seperti 
saya sebut mendiang adalah contoh tragedi seorang diva. 
Manusia sering melakukan kesilapan, kesilapan Whitney bukan kecil, 
beliau silap memberi cinta dan akhirnya cinta itu membawa kemusnahan. 
Kehidupan gelapnya menjadi kisah hitam yang tidak mahu diingati 
tentang Whitney Houston. Mendiang gagal mengurus emosi 
dan hidupnya. Hari-hari terakhirnya sangat menyedihkan...
kemurungan, kegelapan, kecewa, musnah semuanya 
terhimpun di hari kematiannya. 
Hari ini 20 Feb 2012, Seniman Latiff Ibrahim pergi meninggalkan 

kita buat selama-lamanya.  Mungkin buat generasi hari ini 

tidaklah begitu terkesan namun orang seperti saya yang membesar 

dengan lagu-lagu dan filem-filemnya merasakan suatu kehilangan. 
Lagu Nora, Pilihlah Aku dan Mengenang Dikau Kembali adalah 
antara hits beliau. Siapa boleh lupa lakonanya dalam 
Dendang Perantau dan Sumber Ilhamku? Waktu itu beliaulah 
hero malaya pujaan, kacak dan miliki suara jantan yang hebat. 
Allahyarham pergi meninggalkan bingkisan kenangan. 
Al-Fatihah.
Bagaimana mahu mengukur kesan itu dalam hati kita? Tentu sukar kan. Sekuat manakah emosi anda apabila cuba menyebut dan berbicara dengan insan yang telah pergi itu...cubalah. Ia amat sukar apabila kita membayangkan Arwah berada di hadapan. Saat ingin kita ucapkan...semua patah kata-kata bergumpal bersama emosi dan keengganan hati menerima kenyataan dia sudah tiada. Untuk diri saya ia terlalu sukar, saya kalah dengan emosi itu. Sebaris nama panggilannya disebut sederas itulah hujan yang turun. Bagaimana mampu kita kumpul kekuatan nak melawan kenyataan itu. Antara kerinduan, ingatan, kasih sayang, perkongsian pahit manis semuanya berbaur dan bergulung-gulung menerkam saat saya cuba berbicara. Ini selalunya terjadi sewaktu menziarahi pusara. Yang terbaik kita sedekahkan doa-doa dan ayat-ayat suci buat mereka. Agar ketenangan mengiringi kehidupan mereka di sana.

Bagai kata lirik lagu di atas
 ''I know you're there, A breathe away's not far...To where you are"