Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, July 23, 2013

SATU UNDI KUALA BESUT RM19,000?


Saya dapat rasa pentingnya Kuala Besut pada hari ini di mata Barisan Nasional dan Pas. Sebuah daerah yang tidak begitu pesat membangun jika dibandingkan dengan daerah yang berdekatan dengan Kuala Terengganu. Namun hari ini, pemergian Allahyarham Dr . A.Rahman Mokhtar telah memberi rahmat kepada penduduk Kuala Besut. Bukanlah maksud saya ia satu doa tetapi rahmat ini bermaksud, bagaimana pemergian Allahyarham telah menarik perhatian semua pemimpin di Malaysia ke Kuala Besut. Sehinggakan A.Kadir Jasin di dalam blognya, mengulas pilihanraya kecil Kuala Besut adalah PRK yang tidak menjanjikan keselesaan buat BN. Apatah lagi Datuk Sri Najib yang tergugat kesan daripada kekurangan majoriti di parlimen. Jadi, Kuala Besut betul-betul harus dimenangi oleh BN, ini kerana kerusi Kuala Besut juga adalah penentu kepada kedudukan BN di Terengganu.

PRK Kuala Besut yang akan berlangsung pada Rabu ini (24 Julai 2013) bersamaan 16 Ramadhan, akan menjadi medan pertandingan yang terbaik antara PAS dan UMNO. Dua parti Melayu Islam. Pada hari itulah yang akan melihat pengaruh siapakah yang paling kuat. Khabarnya jentera pilihanraya PAS bukan sahaja dibantu oleh ahli-ahli PAS seluruh negara bahkan, turut disokong oleh Pakatan Rakyat. Ini pun soal untuk menakluk satu lagi negeri di bawah Pakatan. Calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long, atau nama sebenarnya Hj Azlan Endut yang merupakan ahli perniagaan perkayuan kontraktor kelas A.. Beliau akan dicabar oleh calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera lulusan Universiti Sains Malaysia yang berusia 37 tahun, juga merupakan bekas Ketua Pengarah bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran. Kedua-dua calon ini adalah anak jati Kuala Besut.

Tengok berapa besar orang yang turun


Oleh kerana Kuala Besut menjadi tumpuan, maka banyak sekali janji dan harapan dilimpahkan oleh kedua-dua parti. Rezeki orang-orang Kuala Besut. Bergantunglah siapakah pula pilihan mereka. Namun dalam Harakah telah menyebut bahawa, BN telah menggunakan duit kerajaan demi kemenangan di Kuala Besut. betulkah? Kata Harakah Daily, sebanyak RM377 juta lebih  dijanjikan untuk penduduk Kuala Besut dan jika dibahagikan kepada jumlah pengundi, maka setiap undi berharga RM19,000. Sampai ke situ analisa yang dibuat. Dalam huraian dibuat, Jumlah RM377 lebih  itu merangkumi:

"...PAS berpendapat peruntukan sebanyak RM377.45 juta untuk projek-projek yang diumumkan kerajaan setakat ini jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

Sebanyak sembilan projek yang dijanjikan kerajaan BN, termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.
Terbaru, kerajaan mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka."



Bagi saya, cara menarik undi BN ini sudah biasa, memang dari dahulu itulah caranya. Jadi tak perlu PAS nak berkira-kira tentang jumlah peruntukan. Sudah memang kuasa mengurus Persekutuan itu di tangan Barisan Nasional, jadi tidak mengapa. Pas perlu mencari kekuatan lain untuk memancing pengundi. Tetapi saya rasa, Allahyarhan Dr. A.Rahman Mokhtar telah pun melaksanakan tugasnya sebagai ADUN dengan baik dan diterima oleh rakyat Kuala Besut. Jadi apa salahnya kalau kesinambungan itu terus berlaku.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...