Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, July 24, 2013

UMI KALTHUM PULA PERGI



Langit redup di Kuala Lumpur, semalam jerebu tetapi hari ini sudah berawan. Keredupan itu bagai cuba bercerita bahawa hari ini seorang lagi insan besar dalam dunia hiburan telah pergi. Sewaktu menonton Selamat Pagi Malaysia, saya sudah mendapat khabar ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Datin Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin. Beliau pergi di usia 81 tahun dan meninggal dalam keadaan tidur di rumah anaknya.

Kita baru sahaja kehilangan Bawang Merah, Latifah Omar dan hari ini Bawang Putih pula mengusul. Begitulah kehidupan setiap yang hidup akan pergi bertemu penciptanya. Seniwati Umi Kalthum adalah seniwati yang berhemah sepanjang kariernya. Beliau pernah diberi gelaran Wanita Tercantik Asia oleh sebuah majalah antarabangsa Australia. Walaupun sering membawa watak antogonis dalam lakonannya, namun watak itu tidak membuatkan kita jemu dan benci melihatnya. Wataknya dalam filem Bawang putih Bawang Merah terbayang-bayang di mata. Bagaimana Putih berusaha menyanyi di buaian walaupun sumbang dan tiada kemerduan langsung. Tapi itulah keberkesanan wataknya. Wajah eksotiknya yang tidak seperti wajah pelakon filem Melayu yang lain, menjadikan dirinya berbeza dan mudah diingati. Tubuh tinggi langsing memudahkan beliau selalu tampil menarik di dada majalah dan layar perak.

Beliau meninggalkan lapan orang anak dan 22 orang cucu. Sejak kehilangan suaminya Allahyarham Datuk S.Roomai Nor di Mekah, beliau sering sahaja melepaskan kerinduannya di sana. Perkahwinan Allahyarham dengan S.Roomai Nor sering dijadikan contoh pasangan bahagia. Sering sahaja mereka berdua muncul sebagai suami isteri di layar. Lakonan mereka dalam filem Abang sangat meyakinkan. Saya teringat waktu Fuad (Rahim Razali) semakin lemah dan berada di ambang kematiannya, naluri keibuan yang ditunjukkan Allahyarham sangat menyentuh, hatinya seakan mengetahui ada sesuatu akan terjadi. Memang selepas zaman studio Jalan Ampas, apabila industri filem berkembang di Kuala Lumpur, Allahyarham banyak memainkan watak ibu. Bakat mereka berdua mengalir dalam tubuh seniwati Noor Kumalasari.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...