Jom Kita Jadi Geng

Saturday, July 27, 2013

LAGU RAYA SITI: ANUGERAH AIDILFITRI


Kali ini saya nak bercakap pasal lagu raya Siti Nurhaliza, bukan semua lagu rayanya tetapi hanya satu sahaja lagu raya iaitu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini dihasilkan oleh Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh saya. Tapi bukanlah sebab saya yang tulis maka perlu sangat saya gembar-gemburkan. Dato Siti telah menghasilkan sebuah album penuh lagu-lagu hari raya pada tahun 2003, dengan mengambil judul lagu Anugerah Aidilfitri sebagai tajuk albumnya. Itu kira satu bonus juga untuk saya. Memang bukan senang dan mudah untuk menghasilkan karya dan mengisi album penyanyi unggul Malaysia ini. Mungkin, saya kira kerana melodi lagu Anugerah Aidilfitri ini sedap dan senang ditangkap dek telinga apatah lagi ia memang buah tangan Raja Irama Malaysia, Pak Ngah @ Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Album Anugerah Aidilfitri turut memuatkan  tujuh lagi lagu dan dua instrumental. magiknya buah tangan Pak Ngah, lagu-lagu raya ciptaannya bertaraf klasik, nilai authentic dan estetikanya cukup tinggi. Kerana itulah, bila lagu Sesuci Lebaran mula diputar, ia terus melekat dan diminati ramai.

Untuk pengetahuan semua, sepanjang saya menulis lirik, Siti Nurhaliza hanya menyanyikan tiga lagu sahaja iaitu Anugerah Aidilfitri, Kudus SinarMu dan Nirmala. Tiga lagu sahaja. Ini saya perlu tegaskan kerana ramai sekali orang keliru dan menyebut saya yang menulis lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang lain terutama lagu Nazam Lebaran, Hati Kama dan beberapa lagu irama Malaysia yang lain. Al-maklumlah, Pak Ngah sinonim dengan beberapa penulis lirik sahaja terutama Hairul Anuar Harun dan Siso. Jadi, saya sebenarnya penulis yang muncul selepas zaman kemuncak irama Malaysia. Selepas Nirmala, Pak Ngah tidak lagi menjuarai kategori Irama Malaysia. Peminat lagu-lagu melayu sudah beralih pada irama pop etnik yang ala-ala arab seperti ciptaan Yasin Sulaiman.


Sebelum lagu Anugerah Aidilfitri, saya pernah menulis sebuah lagu hari raya untuk Siti (lupa tajuknya) tetapi ditolak kerana masalah teknikal bahasa kot. Atau pun saya rasa lirik lagu itu memang tak sedap hahaha. Ikutkan lagu itu sepatutnya keluar bersama-sama dengan lagu Nazam Lebaran dan Airmata Syawal. Rezeki tak ada lah tu, Siti pun ada 'team' nya sendiri yang memilih dan menentukan kesesuaian. Saya kira betullah cara begitu. Apatah lagi status Siti sebagai penyanyi no.1. Bila Pak Ngah bagi peluang untuk tahun berikutnya, saya sangat bersyukur. Masa itu saya kata, kali ini Siti mesti nyanyi lagu ini hahahaha. 

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lirik lagu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini mempunyai tiga form dan ia semacam satu penceritaan sebab perlahan di awal lagu kemudian penghujungnya kedengaran seperti satu seru-seruan. Apabila mendengar melodinya berulang kali dan mengkaji beberapa lirik lagu raya Siti yang sebelumnya, saya dapat idea untuk menitip unsur kemanusiaan dan ketuhanan dalam lagu rayanya. Bukanlah saya menidakkan lagu lain tiada unsur itu, tetapi jika di perhati di awal lirik lagu ini ia menyebut:

Di sana apakah ertinya Syawal
Tangisan dan rintihan tiada henti
alangkah hibanya di Aidilfitri
Buminya bagai ambal duri

Ia membawa pendengar mengimbau kehidupan umat Islam di bumi yang bergolak, pada masa itu isu Iraq, Afghanistan dan Palestin sedang hangat. Dan ia masih lagi relevan dengan keadaan di bumi Mesir, Palestin dan Syria pada hari ini. Dan cuba menyelami penderitaan mereka menyambut hari yang sepatutnya bergembira seperti kita di Malaysia. Di mana lebaran selalu dinanti dan disambut dengan sejahtera. Itulah yang saya masukkan di dalam bait kedua. Lagu ini seharusnya menerbitkan rasa kesyukuran dan rasa bertuahnya kita lahir dan berada di bumi Malaysia. Adat dan budaya menyambut hari raya saban tahun dapat kita amalkan, berpakaian cantik berdendang, bertakbir dari rumah ke rumah, menziarah saudara dan bermacam lagi kesukaan semasa menyambut Aidilfitri. Semua itu saya simpulkan pada korus lagu ini:

Mari puji-memuji kepada Tuhan
Titis kasihNya melimpah seluruh alam
Mari puji-memuji Tuhan yang esa
insafi nikmat diberi di hari raya.

Jadi, bila dengar lagu Anugerah Aidilfitri, dengar-dengarkan liriknya. Semoga anda semua dapat mesejnya. Jangan Lupa Lirik ya!

2 comments:

Shamsul Amin said...

Dalam banyak-banyak lagu yang Chekem tulis untuk Datuk Siti, lagu Kudus Sinarmu antara lagu yang satu ketika dulu saya pernah kerap ulang dengar kerana liriknya yang sangat spritual dan kisahnya menyentuh perjalanan rohani seseorang.

Pun begitu, Anugerah Aidilfitri juga antara lagu 'wajib pasang'saya raya setiap tahun. Wajar kalau kita katakan Anugerah Aidilfitri antara lagu raya malar hijau setanding lagu-lagu raya yang lain.

Tahniah Chekem!

Cekem Mirza said...

terima kasih shamsul,
saya rasa awak pun ada kebolehan menulis lirik

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...