Jom Kita Jadi Geng

Sunday, January 7, 2007

TIRAI KESUMA PUN DIBUKA.....

CERITA KESUMA
Kesuma bertitik tolak dari istilahnya jiwa, elok, pemuda, pemudi bangsa dan apa sahaja yang mengaitkannya dengan insan. Di dalam Kesuma, ia mengungkap kisah jiwa-jiwa manusia yang mengembara dan meneroka dalam mencari tujuan hidup yang berbeza di tengah Metropolitan Kuala Lumpur. Daripada kisah seorang lelaki lara , Ismail (Eijat) yang berkelana mencari anaknya yang dipercayai hilang. Ismail dipotretkan sebagai bekas seorang Peran dalam makyung yang menggunakan kemahirannya di dalam berjual ubat. Berjual ubat bukanlah tujuan utamanya. Yang dicari adalah anaknya, Husin (Shukor Ibrahim) yang hilang sejak bertahun lamanya. Akhirnya Ismail menerima hakikat bahawa anak yang dicari telah lama pergi dan terkorban semasa mempertahankan Negara. Kedegilannya untuk tidak mempercayai kematian anaknya telah melarakan hidupnya sehingga meninggalkan anak dan isteri. Pengembaraan Ismail telah menemukannya dengan sekelompok remaja yang zahirnya dilihat sebagai kutu tetapi mempunyai keperibadian yang tinggi. Jiwa remaja itu sebenarnya terisi dengan berpusat kepada rakan mereka yang memiliki sifat dan sikap berhemah, Burn (Sharip Zainal). Melalui Burn diperkenalkan watak-watak lain seperti Ben (Akmal Ayub), Linda (Sabihah Abdul Wahid) dan Kesuma (Mardiana Alwi). Kesuma adalah remaja yang racau jiwanya, dia berada bersama rakan Burn kerana ingin lari daripada kesepian dan kekontangan kasih sayang di rumah. Ibu (Zamzuriah Zahari) Kesuma mengabaikan tanggungjawab kerana sibuk dengan politik manakala Ayah (Hairi Safuan), bergelar Datuk Seri yang sibuk dengan perniagaannya, menjadikan Kesuma seorang remaja yang terkapai-kapai mencari kasih sayang. Konflik mula timbul apabila berlaku pergaduhan di antara Burn dan Jack (Salehuddin Abu Bakar). Jack menjadi suruhan kepada Ayah Kesuma supaya menjaga dan membawa Kesuma pulang. Namun kengganan Kesuma telah menyedarkan ibubapanya bahawa kebahagiaan adalah bukan wang ringgit semata tetapi kasih sayang. Jelasnya, Kesuma adalah sebuah teater yang mengungkap perjuangan hidup atau pengembaraan manusia dua generasi yang mendepani realiti.

TENAGA KREATIF
Tenaga kreatif yang menjadi tunjang kepada produksi ‘Kesuma’ adalah terdiri daripada kakitangan dan pensyarah di ASWARA yang memiliki pengalaman dan nama yang besar di dalam seni persembahan. Kesuma ditangani oleh Rosminah Tahir sebagai pengarah. Beliau memiliki pengalaman yang luas di dalam mengarah teater-teater seperti Lantai T-Pinkie, Muzika Hang Li Po, Bangsawan Tengku Anum (kesemuanya dipentaskan di istana Budaya), Anugerah, Cucu dan banyak lagi. Memiliki Ijazah Sarjana Seni Persembahan USM dan kini menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Teater ASWARA. Pengarah Tari ‘Kesuma’ ialah Joseph Gonzales, satu nama yang tidak asing lagi dalam bidang seni tari kontemporari dan juga merupakan Ketua Jabatan Tari ASWARA. Joseph memiliki pengalaman yang luas di dalam teater muzikal, beliau adalah bekas pelakon/penari tetap teater muzikal “The King and I” yang dipentaskan di West End London sekitar tahun 90-an dan beberapa buah teater muzikal yang dipentaskan di London di awal tahun-tahun 90an serta memiliki Ijazah Sarjana Koreografi dari Middlesex University, London. Pengarah Muzik ‘Kesuma’ diterajui oleh nama yang tidak asing dari persada muzik tanahair khususnya apabila disebut nama ‘Imam’. Beliau ialah Ruslan Mohd Imam yang merupakan penggubah dan pencipta lagu yang berpengalaman luas dalam pelbagai genre muzik klasikal, moden, tradisional, jazz dan sebagainya. Selain Ruslan Mohd Imam, beliau turut dibantu oleh Pak Nasir Yusof dan Kamrul Bahri Husin bagi muzik tradisional khususnya irama makyung. Juruvokal pula ditangani oleh Amri Mohd Zain yang mempunyai pengalaman luas di dalam melatih vokal khususnya bersama Syafinaz Selamat . Lain-lain tenaga kreatif adalah Hamzah Tahir sebagai Sinografer, Sharul Mizad (Pereka set), Rosman Ishak (Pereka Kostume), Juhara Ayub dan Eliza Mustapha(Rekaan tatarias), Nurul Hazirin Samsul Kamar (Pereka Props), Ce’Kem (Pengurus produksi/Penolong pengarah 2), Shariful Akma (Penolong pengarah 1), Shariffah Mariam (Penurus pentas) dan ramai lagi.
Skrip ‘Kesuma’ pada asalnya berjudul Kembara Raja Gondang ditulis oleh Zakaria Ariffin yang merupakan Ketua Jabatan Penulisan. Idea asal ‘Kesuma’ diilhamkan pada tahun 1986 dan disimpan sehinggalah ASWARA membongkarnya. Zakaria Ariffin adalah nama besar di dalaman penulisan dramatik dan merupakan Penerima Anugerah SEA Write Award tahun 2001. Antara skrip teater yang telah dihasilkan ialah Pentas Opera, Raja Lawak, Bangsawan Siti Zubaidah, Jangan Bunuh Sam dan banyak lagi.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...