UJIBAKAT ARTIS BUDAYA ISTANA BUDAYA
Saya menganggotai panel pemilih ini sejak tahun 2000 , tahun ini sekali lagi saya dilantik menjadi salah seorang panel ujibakat Artis Budaya B17 Istana Budaya pada tarikh 18 dan 19 Januari, . Namun memandangkan adanya pertemuan Pegawai Kebudayaan di PD maka saya hanya bertugas untuk ujibakat sehingga jam 12.30 tengahari sahaja. Saya selalu bertanya dengan diri sendiri setiap kali saya dilantik dan diundang menjadi salah seorang panel. Adakah saya ini seorang yang mempunyai kemahiran menilai seorang calon? Adakah saya ini menilai seorang calon berdasarkan kriteria yang betul? atau Adakah penilaian saya lebih berupa satu penilaian subjektif yang akhirnya sama seperti orang lain juga? Akhirnya saya tiada jawapan. hari itu beberapa calon saya lihat punya potensi dan hadir dengan pakej yang baik berpersonaliti, berbakat dan menarik. Siti Suria, Norelia, Macynthia, Hadi Zakaria pun turut hadir.
PERTEMUAN PEGAWAI KEBUDAYAAN DI PORT DICKSON
Saya tiba di PD pada jam 1.30tengahari, agak kelam kabut kerana sukar sekali mencari bilik menginap, sedangkan jam 2.00 petang ada sesi taklimat oleh Dato' Norliza dan 2.30 petang acara perasmian oleh YBhg. Dato' Zakiah Ahmad. Jenuh saya mencari di bawah panas terik (memang panas dan ia ketara pada kulit saya sekarang) dan bila tiba di bilik nyatanya ia sebuah bilik yang menyenangkan, di atas permukaan air, lantainya ada petak kaca dan dapat dilihat olak air laut. Apabila pintu bilik 083A itu dibuka, kita akan menemui bilik air yang amat besar yang menempatkan bath tub, shower, ruang bersiap (Its so huge) dan perlu menempuh pintu yang lain bagi memasuki ruang rehat dan tidur (its really cozy).
Menghadiri sesi bersama YBhg Dato KSU, ia seperti satu sesi pertemuan di antara adik beradik. Apabila dimaklumkan bahawa ucapan beliau berupa visi dan misi beliau kepada KEKKWA dan harapannya kepada Pegawai Kebudayaan. Saya macam orang sesat kerana mencari-carinya dan tidak bertemu. Apatah lagi apabila Kami pegawai kebudayaan dikaitkan sebagai pegawai JKKN. Dasarnya kami memahami kekeliruan beliau namun akhirnya ia menggambarkan bahawa beliau bukanlah arif sangat dengan kementeriannya dan apatah lagi takhtanya yang menaungi perkhidmatan kami.
Sesi pertama bersama KP JKKN lebih merupakan laporan aktiviti JKKN dan pejabat negeri. Saya hanya mendengar dan mengutip makluman mengenai aktiviti mereka. Sebagai pegawai kebudayaan saya seharusnya peka dan menjadi mata telinga kepada aktiviti kesenian dan kebudayaan ini biarpun ia tidak berkait dengan kerja hakiki saya di ASWARA. Dan malamnya adalah sesi Dato' Norliza dan wakil agensi KeKKWA yang melaporkan struktur organisasi dan perjawatan di jabatan masing. Sesi ini lebih kepada melihat prospek dan taburan perjawatan pegawai kebudayaan di KEKKWA. Agak mengantuk sedikit sesi ini apatah lagi speaker yang di depan kurang arif cakapnya. Cuma Siri Neng Buah agak menyelamatkan keadaan.
Hari kedua adalah hari yang meletihkan kerana sesi di isi dengan tuntutan tenaga dan komitmen. Kepenatan itu ditambah lagi apabila saya, Abang Joe dan Rosnan keluar malam tadi mencari minum lewat malam. Itu sengaja dicari untuk mengisi aktiviti malam kami dan ia disambung pula di bilik berborak-borak sehingga jam 4.00 pagi sedangkan jam 5.30 pagi kami perlu bangkit untuk sesi team building. Hari kedua, diisi dengan kursus etika dan penampilan dan team building. Tiada perkara baru yang dipelajari namun banyak pengajaran yang dapat saya kutip apatah lagi apabila aktiviti yang melibatkan kerjasama dan persefahaman.
ASWARA JUARA PERSEMBAHAN
Sebenarnya, semasa menerima jemputan daripada JKKN, kami diarahkan untuk menyediakan beberapa perkara termasuklah menyediakan sebuah persembahan. Itu kami tahu tetapi yang kami tidak tahu apakah persembahan yang nak dipersembahkan. Apatah lagi ia perlu melibatkan semua pegawai. Bila tiba di PD kami tertanya-tanya apakah yang nak dilakukan. Masing-masing bertanya sesama sendiri. Fikiran saya jika boleh biarlah saya di belakang sahaja sebab selalu sangat di pentas. Sehingga petang 19hb. kami masih tidak tahu apa nak dilakukan. Bila aktiviti team building selesai pada jam 5.30 petang, Kak Ros ambil inisiatif mengumpulkan kami dan merancang persembahan untuk malam itu. Kak Ros memilih beberapa babak dari Muzika Kesuma untuk kami lakonkan. Kami berlatih hanya untuk tahu aturannya sahaja.
Asalnya bila berlatih kami rasa macam tidak ada peluang apa-apa tetapi lebih kepada buat untuk terlibat. Namun semua itu berubah apabila sedikit tambahan dibuat dan akhirnya persembahan kami dipilih sebagai juara. Tak sangka Ghazali Dollah hebat!
No comments:
Post a Comment