Jom Kita Jadi Geng

Monday, January 15, 2007

BRAINSTORMING TARI ISTANA BUDAYA



Tiba di Melaka sedang elok waktu Maghrib dan sedang elok terus untuk dinner. Di Coffee House sudah kelihatan Dato' Azhar, Pak Ngah (Suhaimi Mohd Zain) , Kak Pah (Sharifah Mahani), Abg Joe (Tn Hj Johari), Che Amud (Mahmud Ibrahim) dan ramai lagi. Noraini ingatkan saya bahawa sesi taklimat bersama KP Istana Budaya pada jam 8.30 malam. Jadi sempatlah saya ke bilik-mandi-bersiap untuk sesi. Semasa saya menerima edaran aturcara untuk retreat brainstorming ini, saya jadi keliru dan tidak faham apa tujuannya saya ke sini. Apatah lagi sesi ini seperti tidak selari dengan tajuk retreat ini. Di surat jemputan menyebut Brainstorming Repertoire Tari sedangkan di dalam aturcara tidak menyebut repertoire tari tapi menyebut taklimat oleh KP IB, 2 ceramah iaitu muzik dalam muzikal oleh Pak Ngah dan Tari dalam muzikal olehKak Pah dan Che Amud. Seterusnya adalah kerja di dalam kumpulan. Semasa dalam perjalanan dari KL ke Mahkota Hotel Melaka, saya berceloteh dengan Rosnan dengan macam-macam isu dan beberapa kekeliruan yang tak terjawab mengenai kerja-kerja kreatif di Istana Budaya. Saya persoalkan pada Rosnan tentang kehadiran saya ini, apakah perlu atau sekadar untuk mengisi kekosongan orang luar daripada IB.Nayatanya Rosnan tiada jawapan.


Dato' Azhar memulakan taklimat yang awalnya kelihatan 'very formal' tetapi lama kelamaan menjadi tidak formal dan lama-lama lagi ianya menjadi sesi meluahkan pandangan, pengalaman dan apa yang terbuku! Saya jadi keliru dan tambah-tambah keliru apabila sidang brainstorming dah jadi macam sidang 'lihatlah dunia'. Apatah lagi saya merasakan keanggotaan retreat ini tidak dipilih selengkapnya. Sidang ini dihadiri oleh Pak Ngah dan Mak Ngah sebagai pakar jemputan, saya (disebut mempunyai latar mentadbir tari), Ku Zahir dan Nik Nizam (pemuzik), Zubaidah Sual, Zaiton Md Desa, Rosnan, Zainal Abidin Bujang, Khalid, Norsiah Yatin, Sharifah Raha, Mutalif Abu Bakar, Ray Redzuan, Rudy d Luna, Lokman Ghani dan dipengerusikan oleh Abg Joe (TKP Artistik IB). Setelah selesai taklimat Dato'Azhar, barulah saya mendapat kefahaman bahawa retreat ini adalah untuk memikir, menggubal dan merekabentuk repertoire tari Istana Budaya untuk tahun 2007. Ia bukanlah untuk muzikal ataupun untuk tahun baru cina. Jadinya, ia lebih kepada menyingkap latarlama IB dari masa lampau KBN dulu dengan mengorek repertoire lama ke zaman Datuk sabaruddin ke Datuk Kadir ke zaman Datuk Rais. Barulah saya mendapat kefahaman dan barulah saya tahu tuntutan ruang dan kehadiran saya di sini.




APA PANDANGAN ANDA TENTANG KUMPULAN TARI IB ?

Itu adalah pertanyaan yang dibuka oleh Dato' Azhar setelah dia mengupas mengenai senario yang berlaku di dalam IB mengenai tuntutan persembahan dan kualiti kumpulan tari IB mutakhir ini. Orang pertama yang ditanya adalah Pak Ngah, Dia kata IB sekarang bukanlah IB dahulu. Apa yang dilakukan oleh IB walau pada zaman siapa pun bukanlah silap IB kerana ia menurut tuntutan stake holdernya. Namun begitu IB tidak boleh menjadi leka kerana IB kena menerima hakikat bahawa IB menjadi perhatian dan pusat tumpuan kumpulan-kumpulan kesenian yang ada di Malaysia. Fenomena ini ketara berlaku apabila Repertoire Malaysia Truly Asia dilancarkan, IB melakukan itu kerana tuntutan Touristic dan tuntutan stake holders semasa itu. Kebudayaan menjadi pengisian Pelancongan. Maka repertoire itu merebak dan melimpah hingga ke borneo sehingga semua orang menari tidak lagi lembut tetapi kejung kerana mengejar muzik yang seperti komuter lajunya. Hal inilah yang perlu dilihat semula oleh IB. Betullah pandangan Pak Ngah itu.

Apabila saya diberi peluang memberi pandangan, sekali lagi hati saya berbelah bagi sama ada saya perlu luah apa yang saya rasa sebenarnya atau saya tapis dan keluarkan yang baik-baik saja. Di kertas ada saya catatkan beberapa perkara dan pada pandangan saya adalah hal yang perlu saya buka. Fikiran saya naik turun sewaktu Pak Ngah bercakap tadi, geram, marah, kecewa dan pastinya ingin melihat perubahan. Tapi saya tahu lidah saya ini tidaklah tajam dan tidak mampu menghunus pemikiran orang lain apatah lagi fikiran-fikiran mereka yang mentadbir IB itu! "Kem, apa kau nak bagitahu?" ulang Dato'. Saya diam dan mula tergagap. Tergagap? macamana boleh jadi.... yang saya tahu ada benda yang perlu diberitahu tetapi bagaimana untuk luahkan agar ianya tidak menyakitkan dan tidak membuat orang lain rasa marah. Saya betulkan lidah dan betulkan maksud, saya tampi dan ambil keputusan bahawa inilah masanya sewaktu IB membuka tangan untuk menerima teguran!

"Saya rasa bersyukur kerana dipindahkan daripada IB pada tahun 2001!". That is my first statement! kata-kata itu meluncur laju. "Bukanlah saya bermaksud bahawa saya ingin lari dari IB tetapi kerana keluar daripada IB maka saya mempunyai pandangan dan persepsi yang berbeza. Semasa di dalam, saya jadi buta, tidak mahu menerima teguran kerana merasakan hanya KBN/IB yang terbaik. Namun apabila berada di luar dan bergaul dengan mereka yang bergiat secara bebas dan mempunyai pandangan lain, Tanggapan saya kepada IB menjadi kendur dan mula melihat apakah kelemahan yang saya tidak nampak semasa di dalam" tenang sahaja aliran suara saya. "Saya sayangkan IB dan saya saya sayangkan Kumpulan Budaya Negara kerana itulah permulaan tapak kerjaya saya di kementerian ini. Kerana itu saya sayangkan KBN" saya lihat semua mata terpaku pada saya dan menunggu apalagi yang akan keluar.



IB SESAT

"IB dah sesat!" itu yang keluar. Pak Ngah kata "Ce'Kem lagi teruk!" tetapi saya harus katakan itu. Bagi saya IB sudah tidak mempunyai Kumpulan Budaya Negara. yang IB punyai sekarang hanyalah kumpulan tari/residen artis. IB tidak boleh dirujuk sebagai institusi yang menjaga dan mempraktik tarian-tarian warisan negara. Memang sejak Malaysia Truly Asia, IB sudah tidak melihat peranannya lagi dan tidak melihat asal usulnya. IB tenggelam dengan slogannya 'Seni pentas bertaraf dunia'. Saya lontarkan pandangan bahawa jika dahulu IB/Panggung Negara di bawah KKKP yang mana hujungnya adalah pelancongan maka kebudayaan menjadi tempelan untuk pelancongan tetapi kini IB sudah di bawah KKKW dan di hujungnya adalah Warisan. IB perlu menukar intipatinya kepada warisan. IB perlu melihat kembali sejarah penubuhannya. daripada sebuah kumpulan budaya kepada sebuah Kompleks Budaya negara kemudiannya Panggung Negara dan kini Istana Budaya. Falsafah dan inspirasi penubuhan IB adalah beraliran daripada semangat dan keteguhan mereka yang berhasrat mempertahankan seni budaya bangsa. Itu jika dilihat kepada tapak letaknya peranan Istana Budaya, bagaimana pula kualiti seni dan karya mereka di dalam IB. Saya nyatakan juga walaupun berat kerana memikirkan mereka yang berhadapan dengan saya adalah rakan saya juga. Karya tari IB sudah tiada kualitinya, bak kata Pak Ngah "Apabila kita melihat satu tarian daripada IB, maka kita telah melihat semuanya". Apakah maksud itu? Kerana jurulatih/koreografer IB tidak lagi memikirkan kualiti dalam berkarya tetapi kuantiti dan lebih memikirkan gesture dan formasi dalam tari bukannya melihat tari daripada segi keseniannya. Mencipta tari lebih kepada menyiapkan tarian! Apatah lagi IB tidak membekalkan ilmu kepada penarinya. Cuba bayangkan, penari yang baru mendaftar tanpa asas tari dan keelokkan menari terus ke pentas kerana tuntutannya memerlukan mereka segera ke pentas. Ini menyebabkan mereka terlahir sebagai Artis Budaya yang tidak tahu asas tari, kefahaman kesenian, keprofesionalisme seorang artis dan semestinya menjadi Artis Budaya yang buta tari. mereka adalah mesin yang digerakkan.




KOREOGRAFER BERILMU?

Itu hal mengenai penari, bagaimana pula jurulatih atau koreografernya? Jiwa saya menjadi kacau apabila bercakap hal ini. Tetapi saya pegang kepada kata 'better something than nothing dan saya yakin bahawa saya bukan mengatakan sesuatu yang salah'. Saya katakan bahawa artis budaya di IB tidak diberi ilmu tari yang cukup dan saya tidak salahkan penari kerana ilmu itu datangnya daripada Jurulatih. Adakah jurulatih yang mengajar betul-betul memahami apa yang diajar. Saya melihat mereka seperti melepaskan kambing dari kandang - muzik dpasang dan berlarilah penari menarikan gerak yang disusun tanpa dirawat kesilapannya. Jika salah maka jeritanlah yang diterima. Kerana itulah apabila penari yang tamat kontraknya selepas 10 tahun bekerja, mereka tidak mampu aplikasikan pengalaman seninya. Dan agak malang apabila mereka akhirnya menjadi jurupakaian ataupun mak andam ataupun surirumah sepenuh masa. Apabila hal ini dibangkitkan oleh saya maka yang lain mula berkumat-kamit untuk mengatakan sesuatu. Seorang demi seorang diberi peluang untuk melontarkan pandangan. Kak Pah yang lebih banyak memerhati dan mendengar turut menyokong pandangan saya dan mengimbau kami dengan peranan yang dimainkan oleh En Supiat. Kak Pah dan Che Amud bercerita bagaimana En Supiat mendidik mereka menjadi seorang pereka tari, pemimpin tari dan pengamat seni dan menyedarkan mereka untuk lebih berani dan berilmu. Sebenarnya banyak lagi diperkatakan dan lebih merupakan lontaran pengalaman dan kekecewaan kepada kesilapan mutakhir ini. tapi yang peliknya Kenapa Rosnan dan Kak Ton tidak diberi peluang perkatakan sesuatu?


MENGGUBAL REPERTOIRE

Pagi Sabtu dimulakan dengan ceramah oleh Pak Ngah yang asalnya diberi tajuk Muzik dalam Muzikal tetapi ditukar kepada Merancang sebuah persembahan tari. Kata Abang Joe memang tajuk asal itu hanyalah working title sahaja. Dan saya tak persoalkan dari mana datangnya idea untuk tajuk asal itu? Pak Ngah membuka pagi ini dengan satu pertanyaan, adakah repertoire IB relevan dengan seni persembahan semasa? Adakah itu yang ingin ditonjolkan? banyak yang menarik diperkatakan oleh Pak Ngah khususnya aspek artistik dan pengarahan untuk persembahan tari. Sesi Kak Pah dan Che Amudd menyusul. Kak Pah tidak mengemukakan sebarang alat bantu untuk presentationnya. Dia mengambil sesi itu dengan santai dan lebih kepada bertukar fikiran dan melontar pengalamannya selama 30 tahun sebagai insan seni. Dia mengajak para jurulatih dan peserta menyelongkar kemampuan diri dan apakah pengisian yang dilakukan sebelum bergelar jurulatih/koreografer. Che amud agak melankolik, dia mengimbau kegetiran bekerja di zaman dahulu sebelum dia bergelar koreografer. namun kesimpulan yang boleh diberi daripada sesi mereka berdua bahawa hanya yang berusaha untuk berilmu mampu mengangkat karya seseorang koreografer itu. di hujung sesi sekali lagi kami diberi peluang untuk memberi pandangan dan sesi ini tambah hangat. saya tidak lepaskan peluang untuk mengemukakan pandangan dan yang pasti saya bangkitkan soal keilmuan jurulatih di dalam menggarap tarian (proses koreografi) dan pengurusan berkarya yang lemah dan tidak bersistem.

SAYA KELIRU
Saya ditempat satu kumpulan bersama Kak Pah dan memang kumpulan kami mengendalikannya dengan cara yang mudah sekali. Senaraikan apa tarian yang ada, apakah tarian yang boleh dicipta dan untuk jalan lebih selamat kami sediakan beberapa repertoire yang difikirkan sesuai untuk IB. Akhirnya kumpulan kami mencadangkan 6 bentuk repertoire dan senaraikan hampir 70 jenis tarian (lama dan ciptaan). Malamnya, kami bertemu dan dua kumpulan perlu bentangkan hasil perbincangan. Kumpulan yang diketuai oleh Che Amud mengemukakan dua cadangan repertoire yang lebih mirip repertoire sedia ada cuma ditokok tambah dengan elemen baru seperti Mek Mulong, Makyung dan Awang Batil. Kumpulan kami mengemukakan senarai tarian dan 6 bentuk repertoire iaitu tarian berkonsepkan kegiatan harian, tarian-tarian Malaysia (14 buah negeri), Repertoire Ethnik dan ritual, repertoire Tarian rakyat, Repertoire tarian traditional dan ritual dan Repertoire Pesta rakyat berdasarkan lagu-lagu rakyat. Selesai pembentangan kami menunggu pandangan Abang Joe dan apakah ada perubahan atau pilihan yang nak dibuat tetapi ia hanyalah pembentangan dan tiada pandangan dan tiada pilihan! Semua diterima dan ditimbang! .

ROSNAN MENGOMEL
Pagi Ahad adalah sesi Abang Joe menggulung dan membuat ketetapan. Namun dibuka kepada sidang untuk memberi pandangan. Rosnan yang sepanjang sesi banyak diam membuka pagi itu dan mengajak para jurulatih melihat ke hadapan. Dia persoalkan di mana kesungguhan para koreografer di dalam menghadiri retreat ini kerana ramai di kalangan mereka tidak membuat catatan, banyak mendengar dan melihat yang kemudian akan hilang begitu sahaja. Dia mengusulkan agar IB mengangkat Che Amud sebagai tempat merujuk dan orang yang bertanggungjawab di dalam menyelia kerja-kerja koreografi di Istana Budaya. Nyatanya ia disokong.
SAYA TINGGALKAN RETREAT INI DENGAN BANYAK PERTANYAAN. BETULKAH? APAKAH IA AKAN...? MUNGKINKAH DIA...?

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...