Jom Kita Jadi Geng

Monday, January 15, 2007

Kesuma Realisme Versi Zakaria Ariffin

(ARTIKEL INI DITULIS OLEH AZMAN ISMAIL, UTUSAN MALAYSIA 15 JAN 2007)
Pengembaraan Ismail (bersongkok) di tengah-tengah kehidupan remaja kosmopolitan dalam teater muzika Kesuma yang dipentaskan di Panggung Eksperimen, Aswara, Kuala Lumpur baru-baru ini. Sebuah sudut di kota metropolitan Kuala Lumpur. Di situ terdapat sekumpulan anak muda yang menyanyi dan menari gembira dengan penuh keceriaan. Pada masa yang sama seorang tua bernama Ismail bersila di hadapan ubat-ubat tradisional jualannya. Sesekali dia bercakap sendiri dengan bahasa yang lucu sambil memukul gendang tua yang menjadi teman untuk melariskan jualan. Kerap kali Ismail memerhati kumpulan remaja tersebut dengan sedikit terhibur.
Sebenarnya Ismail yang terjebak antara dunianya dengan alam remaja kosmopolitan itu sedang ‘mengembara’ mencari anak yang hilang, Husin. Rosminah Tahir yang merupakan pengarah kepada teater muzika, Kesuma, karya Zakaria Ariffin, mengenengahkan naskhah itu dengan pendekatan realisme. Naskhah itu tidak banyak mengajak penonton berfikir. Pengembaraan dan pencarian anak oleh Ismail digambarkan secara kronologi serta mendatar menyebabkan tidak ada beban sama sekali kepada penonton.
Malah, Kesuma seolah-olah sebuah konsert pentas dengan penyampaian lagu-lagu yang penuh gembira dan mampu menggamit jiwa anak-anak muda. Memang menarik dan ringan.
Gaya dan pendekatan Zakaria serta Rosminah itu sedikit mengingatkan penonton kepada pengembaraan psikologi dalam naskhah besar Rakaman Terakhir Krapp, karya Samuel Backett, peraih hadiah Nobel Kesusasteraan 1969. Rakaman Terakhir Krapp menceritakan ‘pengembaraan’ watak Krapp dalam sebuah bilik dengan bertemankan sebuah meja usang, kerusi, beberapa dokumen lama, pita rakaman dan lampu malap.
Namun, Rakaman Terakhir Krapp sebuah naskhah yang berat dan memerlukan penonton untuk berfikir bagi mengetahui jalan cerita dan penghujung daripada pementasan.
Tidak bagi watak Ismail di tangan Rosminah dan Zakaria dalam pementasan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) tersebut.
Ismail mengembara secara zahir dalam suasana kota metropolitan Kuala Lumpur yang mempunyai 1001 ragam manusia. Dengan menggunakan pengalaman sebagai bekas Peran dalam makyung, ia terus mencari si anak ke setiap penjuru kota iaitu Jalan Chow Kit, Benteng Kecil, Jalan Masjid India dan Tugu Negara. Agak menarik, naskhah tersebut dibangunkan tanpa plot yang sempurna sebagaimana yang banyak ditemukan dalam drama-drama realisme karya beberapa tokoh ternama seperti Hendrik Ibsen dan George Benard Shaw.
Struktur cerita juga tidak dibina secara lengkap tetapi dengan bantuan muzik di bawah arahan Ketua Jabatan Muzik Aswara, Ramlan Mohd. Imam dan tarian oleh Joseph Gonzales sehingga menjadikan Kesuma ‘sempurna’ dan mampu memberi mesej kepada penonton. Dalam teater muzika itu, Zakaria dan Rosminah juga membangunkan watak- watak secara keseluruhan tanpa kupasan yang terperinci. Sering kali ia kelihatan ringkas seolah-olah watak dapat berkomunikasi secara langsung dengan penonton seperti dalam babak penjual ais krim dan kacang rebus menjaja dagangan masing-masing.
Selain pembinaan watak secara ringkas dan mudah itu, beliau juga mampu memaparkan secara jujur tentang realiti dalam kehidupan masyarakat kota daripada pergaulan atau pergaduhan antara kumpulan remaja hingga suasana lucu penjual tanpa lesen melarikan diri daripada pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Jalan cerita juga terlalu ringkas dan Zakaria memanfaatkan sepenuhnya 19 lagu dalam naskhah tersebut untuk bercerita tentang konflik kehidupan remaja dan 1001 kisah kota metropolitan. Teater sekitar sejam setengah tersebut mengisahkan pengembaraan Ismail akhirnya telah menemukannya dengan remaja kota yang mempunyai keperibadian tinggi. Beliau menemui Burn (Sharip Zainal).
Melalui Burn, Ismail diperkenalkan kepada Ben (Akmal Ayub), Linda (Sabihah Abdul Wahid) dan lain-lain yang hidup dalam kelompok tersendiri kerana kekontangan kasih sayang di rumah.
Watak utama, Kesuma (Mardiana Alwi) merupakan salah seorang anak kota yang terkapai-kapai mencari kasih sayang. Konflik mula timbul apabila berlaku pergaduhan antara Burn dan Jack (Salehudin Abu Bakar) yang merupakan pemuda suruhan ayah Kesuma supaya membawa gadis itu pulang.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...