Jom Kita Jadi Geng

Monday, June 10, 2013

LATIFAH OMAR & S.SHAMSUDDIN : CITRA MELAYU

6.30 petang tanggal 9 Jun 2013
Beliau pegi menemui Pencipta
kerana sakit kanser usus
Kehilangan dalam jarak waktu yang dekat, dua insan yang akrab dengan kita. Saya sangat pasti ramai antara kita membesar dan dibesarkan dengan lakonan mereka berdua. Tidak lengkap menyingkap filem Melayu tanpa menyebut nama mereka berdua. Sehinggakan nama dan imejnya melekat kuat. Bahkan kita mengingat wajah-wajah mereka sewaktu gemilang. Suara, mimik muka, dialog, gerak badan buat kita teringatkan mereka berdua.

Semakin tahun berganti, semakin ramai yang pergi. Seperti juga P.Ramlee, mereka mewariskan ilham dan inspirasi buat kita semua. Melihat lakonan mereka, seolah-olah kita menyelami suasana di masa lampau. Di mana hendak dicari wajah klasik Melayu asli jika tidak pada Latifah Omar. Kelembutan wajahnya dengan rambut ikal hitam pekat dan tahi lalat di bibir cukup menyerlah keayuan wanita melayu. Filem-filem lakonannya cukup memberi kesan, dari watak seorang gadis pulau sehinggalah muncul sebagai watak-watak besar dalam filem Laila Majnun, Gurindam Jiwa, Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, Bawang Putih Bawang merah, Lanchang Kuning dan banyak lagi. Latifah Omar menyakinkan kita bahawa itulah gadis Melayu, lembut tuturnya dan sopan sekali budi bahasanya. Saya kira jika pelakon wanita mahu menghayati watak gadis Melayu masa lampau, belajar sahaja dari lakonan Latifah Omar. 

Tanggal 4 Jun 2013 jam 10.56 pagi
Beliau menghembuskan nafas terakhir
akibat serangan jantung
Begitu juga dengan S.Shamsuddin, saya anggap dia antara pelakon yang paling bersahaja. Watak lakonannya masuk dalam apa sahaja karakter. Dari seorang comedian sehinggalah watak serius seperti dalam Antara Dua Darjat. Yang paling kita ingat tentu sekali trilogi Bujang Lapuk. S.Samsuddin dalam watak Sudin tampil seperti Sudin sebenar, lakonannya seperti air lalu, ingat tak bagaimana Sudin mambacakan jampi mambang atau waktu sudin baca surat dari Roseyatimah dalam Pendekar Bujang Lapuk. Ianya cukup mencuit dan ditonton berulang-ulang. Begitu juga kemunculan S.Samsuddin dalam 3 Abdul, walau sekadar seorang pencerita, namun imejnya sangat memberi kesan. Kita terpesona dengan cara beliau memulakan penceritaan. Saya kira lakonannya sangat besar melebihi peribadi S.Shamsuddin. Beliau memasukkan dirinya dalam watak-watak yang dimainkan dalam peratusan yang besar. Kerana itu, lakonan komedi S.Samsuddin sangat berbeza dengan komedi Aziz Sattar, A.R.Tompel ataupun Wahid Satay apatah lagi dengan pelawak-pelawak terkemudian.


Latifah Omar dan S.Shamsuddin adalah penyeri ruang tamu rumah kami sewaktu saya kecil, bahkan menjadi penyeri kehidupan saya yang mencintai seni lakon. Semalam, sewaktu memandu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur, saya bercerita kisah Bawang putih Bawang Merah kepada kedua-dua anak saya, kisah itu tentu sekali dari filem lakonan Latifah Omar. Dialog dan lagu dari filem itu saya lakonkan, anak saya mendengar sehingga disuruh menyambung berulang kali. Waktu bercerita, imej bawang merah yang menangis di perigi, menyanyi di buaian berlari-lari di kepala saya. Kuat sekali imej Latifah Omar. Rupanya hari ini beliau pergi.

Kata orang, Allah meminjamkan seseorang untuk kita hargai dan kasihinya. Kita bertuah kerana pernah memiliki Latifah Omar dan S.Shamsuddin bahkan lebih bertuah, kita masih boleh meminjam kasih sayang mereka secara berulang-ulang. Sinar kedipan bintang mereka tetap menyeri rumah hidup kita. 

Al-Fatihah. 

1 comment:

Lady Windsor said...

saya tak boleh lupa tahi lalat latifah omar ni..melekat!

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...