Sabtu lalu 28 Jun, saya ada tugasan sebagai MC untuk pelancaran KL Fest 2008 di Esplanade,KLCC. Saya berpasangan dengan Maya Karin sepertimana saya ceritakan dulu. Alhamdulillah acara itu berjalan lancar dan disiarkan secara langsung di TV1 namun seperti biasa wujud kesilapan kecil di sana-sini. Walau bagaimanapun saya memuji sikap profesional Maya dan kebolehan serta kegigihan melaksanakan tugasannya.
KISAH ROSMAN
Sebenarnya Entri ini bukanlah hendak bercerita sangat soal saya jadi MC di KLCC tapi ada kisah yang terjadi selepas malam itu. Selesai acara sekitar jam 10.30mlm, Enal (Koreogarfer IB) call saya ajak keluar minum dan saya kata ok. Tapi saya katakan bahawa urusetia jemput minum di Chinoiz KLCC. Jadi saya akan call dia nanti jika nak jumpa. Lepas minum di Chinoiz bersama orang-orang penting KLFest (Maya dah lama blah lepas kena kerumun) saya call Enal dan tanya kat mana nak jumpa, Enal tak sure kerana dia tengah isi minyak. Sementara tunggu dia call balik, saya call rosman dan rosman cakap dia kat KLCC. Saya pun ajak ajelah rosman join sesi saya dan enal. Bila enal call balik, saya cadang jumpa di Rosdet dia kata dia dah terlajak ke Ampang. Jadi saya tak nak bantutkan mindset saya yang nak keluar borak terus cadang pada rosman jumpa di Oldtown White Coffee Jln Yap Kwan Seng. kami pun jumpalah. Tapi memang jaranglah rosman bersetuju jumpa kalau dia tak free atau fikirannya tenteram. Tapi malam tu memang Rosman nampak resah dan sorang-sorang. Saya pun boleh menelah kekusutannya.
Rosman kata dia baru tengok Sepi dan cuba mencari makna sepi yang ada dalam dirinya. Tapi tak jumpa, tambah dia lagi dia tak puashati dengan aspek lakonan dalam sepi....tawar...tak cukup asam garam tak seperti Cinta. Rosman ni kalau marah...marahnya membakar tapi sejuknya menyamankan. Lama berborak sambil kami minum white coffee dan French Toast. Satu-satu saya menyelak kekusutan dalam diri rosman dan akhirnya pintu itu terkuak dan rosman rela bercerita. Saya terkejut dengan ceritanya, dapat saya rasa beban yang ditanggung rosman apatah lagi seluruh keluarganya. Melihat rosman saya bagai melihat diri saya sendiri yang selalu meletakkan keluarga ditempat terbaik. Rosman itu adalah tulang belakang keluarganya. Jiwanya lembut walau luarannya seperti seorang yang kasar. Dia melawan banyak kekurangan namun keyakinan dirinya cukup tinggi. Saya tidak dapat bercerita di sini tentang beban rosman kerana ia terlalu peribadi. Untuk Rosman dan keluarganya saya doakan kebahagian, kekeruhan hari ini harap ditenangkan dahulu, tafsir dan tangani dengan bijaksana. Insya Allah, setiap ikhtiar dan kesabaran akan menyuluh ke satu titik....
KISAH ZULKARNAIN DAN KAK JULIE
Pagi 28hb tu, saya ada SMS Zulkarnain (saya panggil Abg Nain) saya katakan padanya 'mesti kutuk saya semalam', saya hantar padanya pagi kerana malam 27hb tu kami hanya berbalas senyum sahaja. Jadi pagi tu tujuan saya hantar sms adalah jalan untuk memulakan bicara. tapi SMS saya tidak berbalas berjam- lamanya. Saya tunggu sehinggalah pada jam 1.00tgh (jika tidak silap) Che Ah telefon beritahu anak abang nain, Sarah dah meninggal dunia. Saya terkedu dan SMS yang saya nanti sudah terjawab. Innalillah...
Sarah, anak keempat abang nain. Dia pergi menyertai 2 arwah abangnya yang meninggal di usia yang kecil kerana penyakit misteri. Ujian terlalu berat buat abang nain dan kak julie, kerana 3 daripada 4 anaknya pergi dahulu sewaktu usia masih kecil apatah lagi sewaktu abang nain dan kak julie berbahagia dengan mereka. Saya menelefon abang nain untuk ucap takziah. Dari nada suaranya saya tahu dia sangat bersedih atas pemergian itu. tapi mengenali abang nain dan kak julie, mereka berdua adalah insan yang kental jiwanya. Dugaan ini ditempuh penuh kewarasan. Mereka tidak pernah menyalahkan sesiapa dan sentiasa redha dengan ujian dari Nya. Saya tak mampu nak bercerita panjang tentang kesedihan ini. Al-Fatihah buat Alahyarham Sarah bt Zulkarnain, semoga rohnya bersemadi dengan sejahtera.
KISAH RHEA DAN KAMI SEKELUARGA
Malam selepas di KLCC dan pertemuan dengan Rosman di Oldtown, saya pulang ke rumah sekitar jam 2.00pg. Nida dah maklumkan pada saya baha Rhea demam. Bila saya pulang saya dapati Nida dan Rhea sedang senang menonton TV di bilik. Kami bertiga berborak-borak. Di dahi Rhea, nida letakkan coolfever untuk redakan panas badannya. Rhea asyik bercerita kisahnya di tadika, petah sungguh. Saya minta dia tidur kerana esok pagi-pagi akan ke klinik. Bila Nida dan Rhea dah tidur, sementara lelap saya baring di ruang tamu sambil menonton travel n living tetapi terus tertidur kurang lebih jam 4pagi.
sekitar jam 5 lebih, Tiba-tiba saja saya dengar jeritan nida, . Saya terkejut dan Nida memang akan menjerit cemas babah babah babah....bila sesuatu berlaku, saya dengar suaranya tetapi aish yang meluru dahulu ke arah saya. 'Babah adik..'. 'babah cepat pegi mana-mana doktor...' Nida dalam cemas sedang mendukung Rhea. Ya memang mencemaskan. Saya mengambil Rhea dari Nida. Badan Rhea sudah menyentak-nyantak, matanya memandang ke atas. tangannya kaku. Tiada suara. Tiada reaksi. Saya dukung rhea dalam keadaan badannya menyentak melawan sakit. Saya beristighfar... Nida dah mula panik. Aish membantu bawa mangkuk dan kain untuk lap badan rhea. Kami berlari ke kereta. Nida drive. Saya tampu rhea sambil melurut-lurut urat lehernya agar dia tidak tegang. alhamdulillah badan rhea yang menyentak terhenti dan rhea muntah dan mula menangis.... Nida panik dan memandu dengan laju, saya sempat memarahi nida kerana itu boleh bawa bahaya. Masalah nida dia tak boleh kontrol diri bila cemas. Aish cukup bekerjasama. Memang dia abang yang baik dan anak yang baik. Kami decide ke hospital pantai indah kerana yakin saat kecemasan begini wang bukan lagi di fikiran tapi meyelamatkan rhea dengan rawatan segera. 40 degree suhu rhea ketika itu.
Bila keadaan tenang baru saya sedar bahawa saya hanya bersinglet buruk dan berkain pelikat sahaja dan kami tidak membawa apa-apa- hanphone, wallet walaupun sesen duit! Saya berterima kasih di atas rawatan segera Pantai Indah.
INI UJIAN
Bila saya renung kembali peristiwa yang berlaku dalam bulan June ini, saya mula merasakan bahawa Allah tidak meletakkan sebarang petanda untuk memberikan sesuatu ujian. Mungkin ada petanda itu tapi kita ini manusia yang daif, gagal untuk membaca tanda-tanda itu. Kehilangan Mie pada pertengahan Jun cukup mengejutkan. Bila dah terjadi baru kita membelek setiap inci maksud perbuatan dan kesilapan kita. Apapun setiap yang terjadi ada hikmahnya dan Allah tidak menjadikan sesuatu untuk sia-sia. Saya simpulkan apa yang terjadi pada saya dan mereka adalah ujian untuk mengukur keimanan. Dan kerana cinta kita berperasaan begitu. Saya tutup Jun dengan ketabahan.
2 comments:
Banyak sabar...bila pandang ke langit, jangan lupa debu di kaki...kerana itu semua ada "indahnya"...carilah ruang berkualiti untuk insan-insan yang dicintai...insyallah akan datang lebih rahmat dari NYA...selalu rindu dgn keletah ash dan rhea..
(org jauh dimata...)
Terima kasih atas pesanan dan ingatan. Juga jaga diri di sana
Post a Comment