Jom Kita Jadi Geng

Friday, December 13, 2013

KOLUMPO: 3 JENIS BAIK


Ruminah Sidek memang power. Never fail. Energy nya superb.
Kuala Lumpur itu kuala yang berlumpur. Lumpur adalah konotasi kepada kekotoran. Kuala adalah persimpangan dua sungai atau mungkin juga dua arus. Arus itu aliran air yang mengalir yang dibawa bersamanya bermacam-macam benda hidup dan mati. Bila kuala (sungai) berlumpur ia memberi kesan yang lebih berat; suatu perlambangan pada kehidupan yang penuh rencam, di lihat indah tapi sangat hanyir dan tidak menyenangkan bila dialami. Namun manusia suka pada kuala dan sesekali senang dengan lumpur. Walau lumpur itulah yang mempalitkan kekotoran. Tapi manusia di situ percaya mesti ada indah dan mesti ada rezeki di kuala yang berlumpur itu.

Kolumpo adalah nama lain bagi Kuala Lumpur. Ia kata ringkas oleh orang luar. Kolumpo bagi anak muda adalah kota harapan, kota yang membuka banyak sekali peluang. Anak muda dari daerah yang jauh melihat Kolumpo sebagai kota warna-warni, kota batu puncak segala keinginan. Jadi apabila tiga pengarah lulusan akademi Filem Malaysia (AFM) memilih Kolumpo sebagai latar ceritanya, saya yakin ada hal yang mahu didalami. Bront Palarae, Rozi Isma dan Sheikh Munasar cuba menyeberang jalan lain selain dari jalan-jalan yang pernah kita lihat dalam filem sebelum ini. Kolumpo bukan tempat mat rempit, gangster, polis dan penjahat tembak menembak, kisah anak dara kemaruk nak jadi artis atau kisah-kisah korporat yang penuh tipu helah. Kolumpo tidak cuba mendekatkan kita kepada fantasi yang memaksa kita untuk melangkau jauh dari kehidupan sebenar. Tiga pengarah ini cuba menceritakan ada sudut kecil yang terlepas dek mata kita.

Saya lihat ada tiga perkara pokok yang cuba disingkap oleh mereka. Tiga cerita yang membawa tiga perkara tentang Kolumpo. Tentang pertembungan manusia di Kolumpo.

Cerita 1: Baik yang Jahat
Rahul lakonan Azad tiba di Kolumpo dari daerah yang sangat jauh malah dari negara yang punya tamadun besar, India. Rahul terbang bersama harapan menggunung, memasang cita-cita yang tinggi untuk merubah kehidupan. Dia dijanjikan dengan tawaran kerja yang lumayan sebagai penolong pengurus di syarikat grafik, Rama-Rama Graphic. Setibanya di KLIA, Rahul disapa oleh Rahim (Sabri Yunus) yang mengaku bahawa dia orang yang dihantar syarikat. Kemesraan Rahim menambah keyakinan Rahul, bahawa Kolumpo memang untuknya. Namun sesampai di Kolumpo, Rahim rupanya kaki sapu. Rahul ditipu. Rahul tiba di Rama-Rama Graphic dan didapati syarikat itu sudah tutup. Lalu atas pertolongan Uncle. Uncle kemudian menjadi Bossnya apabila dia dijadikan pekerja di restoran. Rahul menganggap Boss sebagai malaikat yang menyelamat dia. Namun semua itu terjawab bila nasib cerita Rahul adalah sama dengan rakan-rakan sekerjanya. Boss yang dianggap malaikat adalah kuasa jahat. Rahul tewas pada cerminan pertamanya, dia tidak kenal Kolumpo.

Bak kata bapak Rohani dalam Madu Tiga "baik ada makna tuu". Saya suka usaha artistik dan pembikinan filem ini. Ia menampakkan sudut-sudut menarik Kuala Lumpur. Menjengah rumah sewa pekerja restoran mamak dan kehidupan mereka. Saya suka Vasu (Mano maniam), awalnya saya berkenan dengan lakonan Azad yang menampakkan warna lain, namun di pertengahan cerita apabila banyak sangat pembawakan komedi, saya jebih saja sebab dia ambil stok lama. Saya kira Azad ada potensi jika dia cuba jadi serius. Pengerjaan Bront sebagai pengarah tidak mengecewakan, mengenali beliau di belakang kamera, saya tahu Bront suka ambil pendekatan ringan walau sebenarnya isu cerita berat.


Cerita 2: Baik yang Bohong
Cerita kedua arahan Rozi Isma. Ia cerita mudah mengisahkan pertembungan dua wanita dalam satu perjalanan. Nell Ng sebagai Gienna dan Ruminah Sidek sebagai Nek Wok. Saya kira gandingan mereka ini satu chemistry yang menjadi. Gienna seorang andartu yang bekerja sendiri yang saya kira berjaya (melihatkan kepada jenis kenderaan yang dipandu). Dia wanita yang 'confused' yang tidak erti mengatakan tidak, membuat perkara yang disuruh dan memilih diam jika enggan lakukan. Satu hari waktu menghantar anak buahnya dia bertembung dengan Nek Wok yang minta dibawa ke Ampang. Bermulalah perjalanan Gienna dan Nek Wok. Matlamat Gienna adalah menghantar Nek Wok balik. Tidak banyak bicara antara mereka, sesekali Gienna bertanya arah tetapi Nek Wok asyik mengulang soalan "Nama siapa, tinggal mana, dah kahwin ke belum, kerja apa, bapak masih hidup?" sehingga menimbulkan misteri. Nek Wok semacam pasti jalan ke rumahnya di Ampang dari cara dia gambarkan, tepi lombong dan ada pokok tebu kemudian bertukar ke Setapak.

Bermacam jalan, lorong dan simpang dilalui mereka berdua. Ia perjalanan dua wanita berbeza latar. Dua generasi yang bertembung. Gienna yang berkonflik dengan diri sendiri, yang belum berkahwin dan selalu mengelak bercakap dengan ibunya (saya kira mengelak diaju soalan yang sama). Dia  terperangkap dalam konflik Nek Wok, Nek Wok wanita Banjar yang hidup lama di Kuala Lumpur, yang menolak pembangunan dan merasakan itu kejahatan yang mengganggu kehidupannya. Nek Wok membohongi Gienna dan membohongi realitinya dek kerana keengganan menerima perubahan. Nek Wok sebenarnya tidak menipu hati dan ingatanya pada kehidupan lampau dengan rumah yang bertanah dan berhalaman. Konflik antara Nek Wok dan Gienna menemukan jalan keluar yang membuka mata Gienna. Gienna harus berpatah balik pada asas hidup yakni kasih sayang.

Cerita kedua ini yang terbaik. Syabas Rozi Isma. Ia mencuit hati saya. Hal menolak pembangunan dan mangsa pembangunan memang kisah lapuk yang dilalui semua orang. Tapi kisah manusia yang terperangkap dalam nilai dan kemanusiaan adalah menarik. Kisah pertembungan dua generasi dan dua bangsa yang akhirnya bertemu pada titik yang sama, saya kira ia satu mesej yang cukup besar. memang lumrah dalam hidup, apa yang ditentukan tuhan pasti ada hikmah dan rahmatnya. Satu saja yang saya belum boleh terima dalam cerita ini, apakah begitu mudah kita membawa masuk 'stranger' yang 'weird' ke kereta?

Cerita 3: Jahat yang Baik
Arahan Sheikh Munasar ini berpusat pada watak Hafid (Amirul) yang sangat prejudis. Yang suka menghukum sebelum menilai. Hafid adalah budak baik yang berkonflik dengan diri sendiri, selalu berperang dengan itu-ini yang sebenarnya bersarang dalam fikirannya sahaja. Hafid mendambakan seorang teman wanita tetapi dirinya keliru apakah ada gadis yang mahukannya. Apakah orang sepertinya disukai gadis kerana dia bukanlah seperti pemuda lain yang melepak, main bola, minat muzik dan sebagainya. Dia rasa dia lelaki yang sepi yang terasing dan tidak seperti kebiasaan remaja lain. Dia rasa dia lelaki yang sudah terajar dengan hukum baik buruk, boleh tidak, hitam putih dan nakal itu salah. Hafid awal-awal lagi sudah menghukum dirinya. Dia menolak keistimewaan dan perbezaan setiap orang.



Bila datang ke Kolumpo, Hafid dikelilingi dengan semua itu. Nalurinya kata mahu tapi dirinya menolak. Sehinggalah di suatu malam dalam perjalanan pulang dia bertembung dengan Siti Nur Hayy (Sharifah Amani). Desakan Hayy memaksa Hafid merelakan dia menemani Hayy sepanjang malam itu. Hayy yang manja keletahnya dan berani approach bukanlah ciri-ciri digemari Hafid. Itu gambaran gadis kurang bagus baginya. Namun Hayy mambawa Hafid melalui jalan-jalan yang belum ditempuh Hafid. Hayy menemukan Hafid dengan dua tiga jenis manusia. Yang pada mata Hafid buruk tapi Hayy membuka pandangan hafid pada kacamata yang berbeza. Memandang positif sebelum menghukum. Tidak salah mencuba, jangan kata tidak jika belum mencuba. Itu antara erti dalam bicara Hayy. Hafid pelik lihat kesungguhan Hayy membantu Sherry (Sherry Al-Hadad- love you) yang terbaring mabuk tepi jalan dan janggal dengan kemesraan Hay dan Nurul Atiqah Abdul Rahman (Fairuz Tauhid - love you). Dua watak itu bagi Hafid ada kejahatan. Tapi Hayy membuka hijab Hafid melihat manusia dalam manusia. Hayy hilang dari Hafid di satu perhentian. Dalam sebuah LRT Hafid memberanikan diri, menyapa seorang gadis. Dia sudah menyerap pesanan Hayy 'tidak salah mencuba'.

Cerita ini mengungkap kejahatan dalam baiknya manusia itu. Manusia jahat bila lekas menghukum dan meletakkan dosa pada manusia lain. Hafid itu baik tapi fikirannya jahat dek asuhan dan prasangkanya. Dia menyamaratakan manusia walhal hati dan keimanan manusia berbeza-beza. Saya suka lakonan Amirul, terjaga sekali kekeliruannya. Dia jadi sangat naif. Walhal saya belum pernah lihat Amirul mainkan watak sebesar ini (dia ni budak ASWARA). Dia banyak kerja belakang tabir. Saya pernah panggilnya James Dean. Hari tu saya bersembang dengan kawan, dia kata cerita ini sebenarnya kisah pengarahnya. betulkah Mun?

Akhir kalam, memang Kolumpo menghidangkan sesuatu yang berbeza. Ia semacam ada usaha macam filem Cinta - Kabir Bhatia atau filem arahan Robert Altman 'Short Cuts 1993' tapi tidak sampai ke situ lagi. Ini baru permulaan. Saya sangat tertarik dengan pilihan pelakon, ensembel yang baik yang menghimpunkan wajah-wajah kurang popular tapi berkesan. Kalau KIL tampilkan Anne James, Kolumpo bawa masuk Mano dan Nell Ng yang sudah teruji di pentas teater. Watak kaum Cina dan India tidak dibiarkan stereotype adalah usaha membina jambatan sebuah filem Malaysia. Seorang kawan berbangsa India selalu menyindir saya, dia selalu cakap "kalau ada watak security guard panggilah saya". Betapa klisenya filem kita bila kita bahagikan watak mengikut keturunan - jeliknya bila cina selalu jadi tauke jahat kongsi gelap.

4 comments:

Shamsul Amin said...

Saya secara peribadi sukakan segmen kedua- yang menampilkan lakonan cemerlang Nell Ng dan Ruminah Sidek. Ceritanya sederhana, tetapi kesederhaanan itu dibesarkan oleh manfaat mis-en-scene yang membawa simbol banyak perkara dan dibantu oleh jiwa besar karakternya. Segmen kedua ni juga membawa banyak subtle yang berkait politik dan sosial.

Tapi sayang, sewaktu menonton filem ini bersama kawan-kawan, boleh kira berapa kerat sangat yang menonton!

Cekem Mirza said...

samalah kita min. cerita kedua bagus. audien kita xyakin filem xpromo hebat mcm filem bajet besar.

Shimoziki said...

Terima kasih atas ayatnya dan menonton filem kecil ini :)

Cekem Mirza said...

sama sama. filem kecil tapi jiwanya besar. Saya tunggu yang baru ya

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...