Jom Kita Jadi Geng

Friday, July 4, 2008

AIR CON: METAFOR KITA

Semalam saya dan Joseph pergi menonton teater AIR CON di KL Pac. Air Con karya Shahnon Shah (penyanyi Dilanda Cinta) dan arahan bersama Joe Kukathas dan Zalfian. Sebelum menonton teater ini saya mengelak dari dari membaca article atau bertanya mereka yang terlibat dalam produksi ini. Saya memang merancang untuk menonton air con, pertama kerana ia dibarisi oleh beberapa pelajar ASWARA, kedua nak melihat bagaimana pelajar saya ditangani oleh Joe dan Zalfian dan ketiga saya tidak mahu membuat apa-apa andaian tentang ceritanya. Jadi bila malam tadi saya masuk panggung, saya masuk dengan fikiran kosong tentang Air Con, tiada pre-judgement.

Masuk saja ke panggung, kita akan melihat set sebuah ruang putih dengan suggestion tingkap dan pintu. Dalam kepala saya ia menggambarkan sebuah bangunan sekolah. Dan saya dan Joseph meneka bahawa, set ini boleh dibuka dan ditutup serta boleh berubah dimensinya. Sebenarnya tidaklah begitu mengagumkan visual pentasnya. Itu persepsi awal saya.

Persembahan bermula dan ia mendaki dengan menarik sekali, satu persatu persoalan dan lapis-lapis diri karakter dibuka, sampai saya meneka-neka orang itu orang ini. Saya amat tertarik dengan teknik penulisan dan kepengarahannya. Kita boleh merasa kebijaksanaan pengarah mengupas dan membiarkan audien bertanya serta berada dalam dilema sendiri.

Dalam buku program, ada catatan pengarah "AIR CON we hope does more than deal with race, religion and gender inequalities in Malaysia and the cosequences of moral policing on societies. It begs the questions - Who are we? Where are we headed? It is coming of age play: exploring love,friendship, homosexuality, gender, religion, education, and above all identity". jadi tepatnya AIR CON membuka pekung masyarakat kita yang selalunya kita selindungi. Ia mengupas dilema pelajar lembut dan persepsi budak-budak lelaki kepada mereka yang lembut dan mengupas identiti pondan itu sendiri. Moralnya banyak di dalam ini, termasuklah soal keagamaan, hubungan remaja dengan dunia luar keremajaan mereka, racist dan banyak lagi.
Jadi bila dihubungkait dengan isu semasa, isu tuduhan Saiful diliwat Anwar Ibrahim, isu pengakuan bersumpah penyiasat bebas tentang penglibatan Najib dan Altantunya, pengakuan bersumpah Raja Petra tentang peranan Rosmah dalam kematian Altantunya seterusnya saya hubungkaitkan dengan isu tuduh menuduh orang politik tentang siapa yang berdrama, isu orang politik sedang membuat anjakan baru dari melindungi kisah-kisah besar sehinggalah kepada isu-isu dalam masyarakat tentang kisah bunuh, rogol, rompak, dadah, tipudaya, botox dan sebagainya, membuatkan saya jadi bingung tentang tanahair saya ini. AIR CON seolah-olah menyelongkar kisah durjana masyarakat kecil sebuah sekolah yang sebenarnya metafora kepada kedurjanaan besar. AIR CON seperti menitih kesilapan-kesilapan kita menanam benih kebencian, prejudis, dosa pahala dan banyak lagi kesilapan kita.

A.Kadir Jasin dalam blognya pun bernada bingung kerana tidak pasti sama ada suasana negara sekarang adakah bagus atau tidak. Beliau kata ada yang menganggap kini Malaysia menjadi negara paling aktif, komples dan sensasi berpolitik dan cukup demokrasi. Tapi beliau akui suasana begini yang mewujudkan Malaysia hari ini. Pro kontra itu tetap wujud. Dr Mahathir tak nak memberi apa-apa pandangan lagi tentang suasana sekarang. Jadi bila AIR CON mengupas soal identiti, gender, agama dan beberapa lagi, sebenarnya kita sedang menyaksikan masalah sosial sebuah negara. Kisah AIR CON nampak kecil kerana ia kisah pondan dihina yang melarat kepada pembunuhan dan pemilihan identiti diri- kalau fikir apalah sangat jika nak dibandingkan dengan apa yang melanda kita sekarang- minyak, makanan, harga, sosial dan sebagainya. AIR CON bercerita tentang penyakit kecil yang boleh merebak dan terbukti membentuk satu sistem dan strata soasial yang baru dan menakutkan lagi ia juga boleh menunggang-terbalikkan fitrah kehidupan. Apalah yang saya merepek ni, tapi itulah yang berlegar semasa menonton persembahan AIR CON malam tadi. Mungkin perkara ini diluar sedar mereka yang bekerja untuk AIR CON.
Akhirnya saya temui kebijaksanaan set, menarik dengan mengambil konsep sebuah sekolah, pintu dan dinding boleh berubah menjadi satu laluan dan perakam peristiwa. Warna putih boleh menjadi simbol jiwa bersih anak-anak kecil yang menunggu dicorakkan atau mungkin boleh difahamkan sebagai institusi itu adalah murni namun manusia itu yang mewarnai kecurangannya. Agak simple tapi smart, padat dan lengkap kepada cerita. Sudut pengarahan tidaklah terlalu sukar untuk saya fahami atau rangkumkan tapi saya berpendapat pengarah cukup berperanan di dalam membentuk lakonan, pemaparan adegan dan campur tangan dalam merangkai plot cerita.

Lakonan harus dipuji. mereka yang bermain ramai yang baru kecuali namron, kinwah dan ismadi. Tiada yang lemah di antara mereka. Tapi pujian harus saya beri kepada muka-muka baru. Watak chepp melitupi banyak pergolakan dalaman. Dia menyelubung segalah kekacauan dan kekeliruan dirinya. Amerul yang memainkan Chepp menghantar dengan baik setiap kekacauan itu. Mengenali Amerul yang fleksibel daripada segi keinginan mencuba, meninggal dan merubah sesuatu pada dirinya memang tidak mustahil watak Chepp dapat ditangani dengan baik. Burn pula berlatar belakangkan kehidupan miskin namun melalui proses perubahan diri secara perlahan, mengenal satu persatu dunia baru dan akhirnya sesal dengan kejahatannya tetapi kalah di dalam menangani gangguan. Burn dimainkan oleh zahiril juga pelajar ASWARA juga tidak mengecewakan, namun mengenali zahiril, dia selalunya selesa dengan apa yang dia ada dan sering membawa tabiatnya ke dalam lakonannya. Kadangkala lakonan dua rakan baik mengganggu imaginasi saya kerana adakala tidak berada di lingkungan pelajar sekolah menengah.

AIR CON berlangsung hampir 3 jam namun 3 jam itu tidak dirasa panjang dan meletihkan. Ia diselamatkan dengan banyak comic relief yang ditangani dengan baik oleh Ahmad Firdaus Che Mustafa yang memainkan watak adik-adik yang confirm nak jadi adik-adik. Tapi permainan ini tidaklah asing bagi saya bila menonton ahmad firdaus, cuma saya harap di masa depan dia tidak menjadi klise. Watak Mona, William dan Asif juga menarik dan melekat. Mereka mewakili kelompok yang keliru dengan identiti dan akhirnya melalui proses transisi sebelum menemui identiti mereka. Kinwah dan Dara pun patut dipuji.

Ada juga beberapa adegan kurang penting dan boleh dipendekkan. Tapi setiap adegan ada kekuatannya sama ada sebagai plot kepada cerita ataupun adegan itu berdiri kerana kekuatan lakonan. dan saya juga merasakan AIR CON patutnya tamat sehingga Cheep dipukul mati.


No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...