Jom Kita Jadi Geng

Friday, October 18, 2013

MAIN DABUS TIKAM DIRI

Ini dabus di Indonesia. Lihat pemain
mencucuk dadanya. Ini sudah di tahap
Lipa
Kali ini saya mahu bercerita serba sedikit tentang permainan dabus. Saya kira anda semua pernah dengar tentang kesenian ini. Hari ini orang lebih mengenalinya sebagai tarian dabus walhal dabus adalah sebuah kesenian bersifat spiritual pada asalnya. Namun zaman bergilir, orang sekarang sudah enggan menonton yang mistik dan spiritual, mereka berkehendakkan hiburan sahaja. Apatah lagi anak-anak muda yang saya percaya langsung tidak pernah mendengar dan melihat dabus.

Dabus di dalam Kamus Dewan membawa maksud permainan atau pertunjukan kekebalan dengan mencuba melukai diri atau dengan lebih mudah dabus ialah satu permainan kekebalan. Daripada istilah itu, tarian Dabus adalah sebuah persembahan yang memiliki ragam dan rentak tertentu dengan aksi-aksi yang menguji kekebalan si penari. Penggunaan alat yang dinamakan sebagai ‘anak dabus’ adalah satu kemestian di dalam persembahan. Anak dabus adalah sejenis alat tajam yang runcing di hujungnya manakala bahagian atasnya disebut telinga yang dihiasi dengan cincin. Cincin itu bertujuan untuk menghasilkan bunyi gemerincing apabila menari. Anak dabus mestilah dibuat menggunakan besi. Pendek kata tarian Dabus tidak lengkap tanpa menggunakan anak dabus.

 Asalnya permainan dabus menguji lebih daripada sekadar mencucuk anak dabus tetap menggunakan beberapa senjata yang lain seperti pedang, buluh panjang, keris, pisau belati, batu giling dan sebagainya.  Penggunaan alat-alat tersebut adalah dengan satu tujuan iaitu menguji kekebalan si pemain dabus. Permainan dabus yang menggunakan pelbagai senjata masih lagi dipersembahkan di Aceh dan beberapa tempat di Sumatera. Di Malaysia, khususnya Perak hanya menggunakan anak dabus untuk tujuan persembahan. Hal ini mungkin mengambil-kira, dabus bukan lagi sebuah permainan tetapi lebih kepada sebuah persembahan kesenian. Jika dahulunya, permainan dabus dijayakan oleh pemain lelaki memandangkan ia dipersembahkan oleh anak-anak muda yang telah dilatih dalah ilmu persilatan. Pada hari ini, dabus sebagai sebuah persembahan tarian telah dipersembahkan secara berpasangan atau oleh penari wanita sahaja. Ianya lebih kepada tujuan persembahan tanpa melibatkan pantang larang dan hal-hal bersifat spiritual.
 
anak dabus, tajam di hujungnya
Di dalam persembahan dabus, ada beberapa peringkat  bermula dengan pulih gelanggang, nasyid dabus hinggalah ke peringkat penutup dan pemulihan. Tahap yang paling menarik dalam persembahan dabus adalah Lupa. Bunyi macam tidak ingat saja tapi sebenarnya tahap ini sudah berlaku transisi dari alam reality kepada alam mistik. Bukan pada penonton tetapi pemainnya.

Peringkat ini diistilah sebagai peringkat di mana para pemain telah dikuasai oleh semangat lain atau disebut juga sebagai ‘naik sheikh’. Status lupa dalam tarian dabus bukanlah sama seperti ‘naik sheikh’ dalam permainan kuda kepang. Dalam permainan dabus, pemain dikuasai oleh semangat ekoran daripada penghayatan pada zikir dan nyanyian berzanji serta paluan rebana apatah lagi pemain berada dalam keadaan bersih diri . Pemain dabus berada dalam keadaan separuh sedar di mana pergerakan mereka masih terkawal dan berpandu pada lagu dabus. Berbeza dengan kuda kepang, apabila naik sheikh para pemainnya akan bertindak agresif dan di luar kawalan seakan kuda sembrani.

pelajar ASWARA menarikan
tarian dabus. Acah-acah aja tu

Semasa pemain dabus dalam peringkat lupa ini, keaktifannya meningkat. Pada peringkat ini jugalah muzik dan lagu dabus berada di kemuncak di mana permainannya lebih dinamik dan rancak. Pemain akan menari mengikut rentak tetapi ia mungkin melompat dan berpusing-pusing selari dengan rentak yang dipalu. Peranan khalifah sangat penting di peringkat ini di dalam memastikan pemain masih dalam kawalan. Khalifah akan menyapu air penawar sebelum ujian kekebalan dilakukan dan mengatur pemain agar kelupaan mereka terkawal. Khalifah akan mengatur ujian kekebalan dengan aksi mencacah anak dabus di tangan. Ada juga yang beraksi dengan pedang dan batu yang berat. Di peringkat inilah tahap kekebalan dan kepahlawan pemain benar-benar teruji.

Lupa atau pun naik sheikh ini bukanlah sesuatu yang asing dalam kesenian Islam, peringkat ini berlaku apabila si pelaku berada di dalam penumpuan dan penghayatan yang tinggi kepada sesuatu yang dilakukan. Hal ini diulas oleh Isma’il R.al-Faruqi dan Lois Lamya al-Faruqi dalam bukunya Atlas Budaya Islam terdapat beberapa istilah di dalam Islam khususnya dalam ilmu sufi yang mendorong manusia  bersekutu dengan dunia luar yakni tidak sedarkan diri. Isma’il dan Lois menyatakan Sama’ (mendengar Al-Quran atau bacaan sembahyang atau doa khas ahli sufi), ghina (bacaan puisi sufi dan sastera lain dengan sepenuh hati), musiqa dan raqs (bermain, mendengar atau menari dengan muzik yang indah) boleh membawa manusia menuju ke arah tarab (kegembiraan, keseronokan yang mendalam melalui pendengaran), nashwah (tunggangan emosi) dan ghaybah (laluan ke dunia luar dan persekutuan dengan hakikat transenden).

Jadi, permainan dabus yang menggunakan puisi-puisi Arab (zanji) dan pantun Melayu yang memuji Allah dan Rasul dilagukan dengan paluan rebana secara berulang-ulang dihayati dan didalami oleh si pemain dabus sehingga membawa kepada keseronokan dan menggamit mereka kepada suatu alam di luar realiti.


No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...