Jom Kita Jadi Geng

Thursday, November 24, 2022

SUPIAT MUKRI - ARKITEK SENI PERSEMBAHAN MALAYSIA

 

Tuan Haji Supiat bersama isteri, Puan Umi
dan anak didiknya Zulkarnain Ramly dan saya. 


Kata orang ‘kalau ada yang baharu tentulah ada yang lama’ . Yang lama tentulah memulakan banyak perkara , apatah lagi fitrah manusia menghasilkan sesuatu untuk mengisi kehidupan. Maka manusia berinteraksi dengan alam, peradaban dan kemajuan sezaman.

Tuan Haji Supiat Mukri adalah ‘master mind’ kepada kegiatan kesenian di tahun-tahun tujuh puluhan sehingga tamat perkhidmatan beliau sebagai penjawat awam. Meski pun berada di kerusi pentadbir, kesenimanan beliau terserlah melangkaui bidang tugasnya. ‘Passion’ telah menolak beliau menggali, meneroka dan menyumbang lebih besar kepada kesenian tanahair. 

Beliau mula menunjukkan minat yang tinggi dalam kesenian apabila terlibat secara aktif dalam beberapa pertubuhan dan kelab seni sekitar tahun enam puluhan. Beliau menyertai Angkatan Pelukis Semenanjung, Badan Kesenian Ibu Kota dan Drama Council. Kecenderungan beliau bukan hanya pada bidang teater tetapi beberapa bidang lain seperti seni tari, seni lukis dan teknikal pentas. Beliau pernah bergelar koreografer terbaik, pengarah terbaik, pereka set terbaik dan kumpulan tarian terbaik.

Di atas kecenderungan yang tinggi, dalam tahun 1974, beliau di tempatkan di Kementerian Belia dan Sukan untuk menguruskan kegiatan seni budaya bertaraf nasional. Di sinilah kewibawaan dalam memimpin seni budaya terserlah. Beliau bersama-sama seniman di Taman Budaya membentuk standard baharu dalam persembahan seni tari dan muzik di Malaysia. Nama-nama seperti Dato Ahmad Tamimi Siregar, Dato Zulkifli Zain, Dato Hail Amir, Uji Rashid, Datin Normala Omar, Bob Khalil, Nik Mustapha Nik Salleh adalah antara penari dan pemuzik yang menyinar di situ. Dari sini juga wujud manual-manual dalam permainan muzik tradisional dan pengajaran seni tari Melayu.

Daripada sebuah unit yang kecil, taman budaya berkembang fungsi dan aktivitinya. Tuan Haji Supiat bersama tokoh seperti Datuk Rahim Razali menggerakkan teater. Pada tahun-tahun 70an, sewaktu gerakan teater oleh orang-orang muda seperti Johan Jaafar, Hatta Azad Khan, Dinsman dan gerakan Anak Alam menampakkan taringnya. Tuan Haji Supiat dan Datuk Rahim Razali menyatukan beberapa nama besar seperti Sasterawan Negara Usman Awang, Seniman Negara Syed Ahmad Jamal, Dato Krishen Jit, Dato Faridah Merican, Dato Syed Alwi dan ramai lagi untuk membantu menyemarakkan teater di Malaysia. Lahirlah muzikal Uda dan Dara dan Muzikal Kuala Lumpur Kuala Lumpur. Ia meletakkan standard tinggi kepada seni persembahan di Malaysia. Saban hari di majalah dan akhbar orang memperkatakan tentang teater.

Wawasan Tuan Haji Supiat dalam seni budaya bukan hanya pada kegiatan persembahan sahaja. Seperti kata Allahyarham Pak Ngah "KBN adalah universiti saya". Benar sekali, KBN menjadi sebuah makmal yang melaksanakan eksperimen dan membentuk satu sistem dalam persembahan pentas. Terhasil dari sini karya-karya kontemporari. KBN berkolaborasi dengan Federal Academy of Ballet, Temple of Fine Arts, LIDRA, MATG, Dramatic Arts, British Council dan banyak lagi. 

Melihat pendidikan adalah pemangkin kepada kelahiran karyawan berilmu, KBN mewujudkan Institut Bimbingan Seni (IBS) . Daripada IBS, ia meyakinkan para pembuat dasar bahawa betapa pentingnya pendidikan seni dalam melahirkan seniman berilmu. Lalu berkembang menjadi Sijil Seni Kreatif di Universiti Sains Malaysia dan seterusnya tertubuh Akademi Seni Kebangsaan di bawah kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia (1994). Hari ini ASK bergelar ASWARA yang berjaya menawarkan pengajian sehingga Ijazah kedoktoran.

Tahun-tahun lapan puluhan, dunia teater menempuh fasa kemalapan. Penonton mula menjauhi panggung teater dan seni teater dilihat terlalu rumit dan mengaburkan. Vakum 80an seperti kehilangan arah dan tersalah kemudi. Dalam tempoh itu, Tuan Haji Supiat mengembara mempertajamkan ilmu di dalam seni di East West Centre, University of Hawaii dan menerima Fellowship melalui Fullbright, UNESCO, Japan Foundation, Australian Drama Council dan British Council. Setelah pulang, beliau ditempatkan semula di Kompleks Budaya Negara sebagai persiapan menuju Panggung Negara.

Tahun 1987, sebagai Pengarah KBN, beliau menggerakkan satu strategi drastik  dengan memperkenalkan program drama sebabak. Beliau mengajak semula tokoh tokoh teater dan membawa masuk nama-nama popular bertaraf selebriti sebagai pemancing audien. Strategi ini merubah landskap seni budaya di Malaysia. Penonton mendekati semula seni pentas dan demografi khalayak mula berkembang. Strategi membangun teater dan mengembangkan seni budaya tanahair masih terlaksana sehingga hari ini. Susulan daripada itu, ramai artis popular menyertai teater dan menjadi antara penggerak kepada populariti teater. Media massa mewujudkan ruangan dan liputan khusus mengenai teater, bahkan lahir ramai pengkritik dan pengulas teater selepas Krishen Jit.

Dari tahun 1974 hingga menamatkan perkhidmatan di kerusi ketua Pengarah Istana Budaya pertama (1999), jasa dan sumbangan beliau di dalam perkembangan seni budaya tanahair cukup bermakna. Daripada wawasan hebat beliau, kita dapat melihat lahirnya tokoh-tokoh besar di bawah bimbingannya. Nama-nama seperti Pak Ngah @Datuk Suhaimi Mohd Zain, Dato Ahmad Tarmimi Siregar, Dato Hail Amir, Dato Zulkifli Zain, Datin Sharifah Mahani Syed Kassim, Datin Normala Omar, Maziah Omar, Mahmood Ibrahim, Yusof Wahab, Lokman Ghani, Prof Madya Aminah Rhapor, Prof Kipli Abd Rahman, Juhara Ayob, Wan Maimunah dan ramai lagi. Jika mahu disebut nama dan program yang lahir sewaktu beliau tentu banyak sekali.  

Pada tahun 2011, Di atas perananya sebagai arkitek seni pentas Malaysia, beliau telah dianugerahkan Anugerah Ijazah Sarjana Kehormat ASWARA.

Hari ini, di usia 81 tahun. Meski beliau kelihatan jauh daripada perkembangan seni budaya tanahair. Namun, apabila diajak untuk menyumbang buah fikiran ternyata wawasan dan idenya masih tajam dan signifikan. Ternyata jiwa seninya belum pudar. Pada 22 Oktober 2022 , Tuan Haji Supiat Mukri telah dianugerahi gelar Tokoh Teater Sepanjang Zaman dalam Anugerah Teater Malaysia anjura Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Syabas!


Padi tuan di atas junjung,

Letak melintang diikat tali;

Budi tuan tetap kami sanjung,

Seperti bintang di langit tinggi.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...