Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, October 25, 2011

SUPIAT MUKRI : WIRA TAK DIDENDANG

Ini lukisan yang saya hadiahkan buat Tuan Haji Supiat
semasa majlis Persaraan beliau pada tahun 1999

Sepanjang penglibatan beliau dalam bidang kesenian dan kebudayaan, beliau adalah antara pemimpin dan pentadbir seni yang menjadi antara ’master-mind’ kepada perkembangan seni persembahan pada hari ini.  Ketika bidang pendidikan negara tidak begitu memberikan tumpuan kepada bidang seni persembahan, institusi di bawah pimpinannya telah menjadi asas kepada penubuhan dan pembentukan pengajian seni persembahan tanahair khususnya dalam bidang seni tari dan teater. Pada tahun-tahun 80-an, sewaktu universiti-universiti tempatan menyedia pengajian dalam drama dan sastera, institusi Kumpulan Budaya Negara yang ketika itu berfungsi  sebagai unit penggalak dan pengembang kesenian, namun atas keinginan untuk melihat kemajuan dalam seni pentas tanahair dan institusi tersebut sedia mempunyai bakat-bakat terbaik, maka beliau telah menggerakkan satu program khusus yang bertujuan meningkatkan keilmuan karyawannya di dalam memperkayakan ilmu kesenian mereka.
Dzul, Pn. Habsah, En. Salehuddin, Tn. Hj Supiat, En. Zakaria dan Dr. Joseph

Atas inisiatif ini, telah lahir beberapa program bimbingan bersifat bengkel dan produksi, di mana pemuzik dan penari yang terpilih dilatih untuk memahami dan menguasai bidang koreografi dan gubahan muzik khususnya seni persembahan tradisional bagi memenuhi tuntutan khalayak Malaysia ketika itu. Dari sini lahirlah beberapa produksi yang telah mengangkat mutu kesenian negara, apabila Malaysia melalui Kompleks Budaya Negara (KBN) telah dijulang sebagai Juara dan Kumpulan Kesenian Terbaik dalam beberapa Festival Kesenian pada peringkat antarabangsa. Selain itu, KBN terus mengorak langkah dengan menerbitkan drama-drama pentas bersifat perdana dan mengumpulkan tenaga-tenaga kerja KBN yang membentuk satu sistem kerja secara profesional dalam aspek pengurusan pentas, muzik, tari dan pengurusan produksi. Program ini juga turut menghasilkan manual bagi pembelajaran seni tari tradisional dan manual permainan muzik tradisional. Program ini membimbing pemuzik, penari, juruteknik dan kakitangan untuk lahir sebagai pereka tari, pengarah muzik, penata cahaya, pelakon-pelakon teater yang mengisi persada seni hiburan tanahair ketika itu. Nama-nama seperti Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd Zain, Datin Sharifah Mahani, Omar Taib, Mahmood Ibrahim, Maziah Omar, Norini Ariffin, Ahmad Omar (Allahyarham), Said Manap (Allahyarham), Pauzi Majid, Othman Abdullah, Sulong Ismail, Yusuf Wahab, Norsiah Yatim, Wan Maimunah,  Zulkarnain Ramly, Lokman Ghani, Juhara Ayob adalah antara seniman kesenian Melayu yang lahir dari KBN.

Keyakinan yang dibina melalui program pendidikan tidak formal itu, KBN telah mengorak langkah berani dengan menganjurkan program latihan secara formal. Program yang dinamakan sebagai Institut Bimbingan Seni (IBS) diwujudkan untuk melatih anak-anak muda yang cemerlang dalam seni tari dan teater. Institut ini menganjurkan kursus selama 3 bulan secara sepenuh masa. Program IBS ini telah berjaya melahirkan penggiat-penggiat kesenian yang aktif pada hari ini antaranya pengarah teater dan filem Aminah Rhapor dan Dr.Kipli Abdul Rahman . Kursus ini telah diiktiraf oleh USM dan menjadi syarat kemasukan ke program Sijil Seni Kreatif USM. IBS dilaksanakan dari tahun 1983-1986 dan menjadi perintis kepada penubuhan Akademi Seni Kebangsaan yang kini dikenali sebagai ASWARA.
Foto ini dirakam sewaktu kami bekas kakitangan KBN
meraikan Tuan Hj Supiat dalam majlis Reunion X-KBN
pada 24 Sept 2011 di Istana Budaya

Sewaktu kemalapan kegiatan berteater di sekitar tahun-tahun akhir 70an ke awal 80an, pementasan-pementasan teater pada waktu itu kurang menarik khalayak dan dianggap satu bentuk persembahan yang berat. Sebagai Pengarah Kompleks Budaya Negara pada masa itu, Supiat Mukri telah menemui formula yang baru. Beliau telah menukar teater kepada satu bentuk hiburan yang kontemporari dan sesuai dengan keperluan masyarakat mutakhir. Program Drama Sebabak yang diperkenalkan pada tahun 1990, telah merubah perkembangan teater tanah air. Formula baru yang menghidangkan drama pendek sebabak, ringan, ada nilai komersil yang digunakan telah mampu menarik khalayak baru ke panggung. Program Drama Sebabak ini telah menggamit ramai aktivis–aktivis muda yang akhirnya menjadi nama penting dalam seni teater tanahair seperti Marlia Musa, Rosminah Tahir, Tiara Jacquelina, Erma Fatima, Zaifri Husin dan ramai lagi. Mereka ini menjadi pengisi kepada program-program drama sebabak sehingga mencambahkan generasi-generasi teater yang lebih baru.

Susulan dari kejayaan program ini, Kompleks Budaya Negara telah dinaik taraf dan membuka sebuah Panggung Eksperimen pada tahun 1994. Kewujudan panggung ini menambah lagi kepesatan pementasan teater di Malaysia. Panggung ini juga menjadi ruang untuk karyawan KBN melatih dan mempersiapkan diri mengisi keperluan Panggung Negara. Beliau menyahut cabaran itu dengan memperkenalkan beberapa program seperti Pementasan teater 33 malam berterusan, program Teater Perdana (untuk teater bersifat serius), program teater kanak-kanak dan satu program khusus mengkaji profil penonton dan khalayak baru.


Banyak sumbangan peneraju institusi ini dalam meletakkan taraf seni persembahan pada hari ini. Sungguhpun ianya menjadi sebahagian daripada tanggungjawab beliau sebagai Pengarah Kompleks Budaya Negara pada masa itu, namun atas kredibiliti beliau sebagai seorang pentadbir dan pengurus institusi seni yang berwibawa, beliau telah berupaya meletakkan batu asas yang sangat kukuh dalam mewujudkan satu sistem dan perancangan program seni yang berkesan sehingga impaknya ternampak ke hari ini. Apatah lagi di bawah pimpinan beliau jugalah lahirnya sejumlah tokoh seni terbilang yang menjadi penyumbang kepada kemajuan kesenian dan warisan negara. 

Catatan saya ini hanyalah secebis daripada sumbangan besar beliau kepada seni persembahan di Malaysia. 

2 comments:

Pencinta Seni said...

Setinggi-tinggi tahniah kepada Tuan Haji Supiat Mukri atas penerimaan Sarjana Kerhormat ini dan kepada ASWARA atas inisiatif ini.

ce'kem said...

pecinta seni,
adakala yang lebih berjasa tak terlihat...yang popular ternampak jasanya walau sedikit

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...