Jom Kita Jadi Geng

Friday, March 7, 2008

TERIRING DOA - SUDIRMAN




Bercerita mengenai Allahyarham Sudirman Hj Arshad membuat diri saya tersenyum sendiri dan fikiran saya melayang ke hari-hari lepas sewaktu di bangku sekolah rendah. Saya masih ingat dan ingatan itu masih kuat bermain. Karakter dan keletah Sudirman yang mencuit hati. Dulu di RTM selalu ada rancangan hiburan disebut Anekaria, Puspawarna dan bermacam lagi. Dan biasanya apabila Sudirman yang menjadi host rancangan itu, kami akan melekat di TV apatah lagi jika dia berpasangan dengan Noor Kumalasari. Mereka jadi cukup serasi. Ingat lagi lagu yang mereka duet berjudul Asam Jawa dari Kuala pada tahun 1979 dalam rancangan Anekaria.

Biasanya kita akan mengajuk apa yang dipersembahkan, masih terbayang bagaimana video muzik sudirman bersama Yusni Jaafar dalam lagu Basikal Tua. Cute dan menghiburkan dan nakalnya video muzik sudirman dalam lagu Jamilah (kisah jururawat). Hari ini kita kehilangan dia dan belum bertemu insan istimewa yang bakatnya mekar dalam sanubari generasi seperti saya.

Peluang menjadi moderator yang bagi saya bukanlah seorang moderator di mana sesi petang itu lebih santai dan saya lebih berperanan sebagai pengacara satu sesi apresiasi bersama tokoh dan insan yang rapat dengan Sudirman- Habsah Hassan, Jadi saya merasakan satu penghormatan kerana saya adalah peminat Allahyarham dan hampir semua lagu-lagunya saya minati dan ingati. Saya membesar dan dewasa dengan lagunya. Satu memori yang masih saya tidak boleh lupa ialah semasa di tingkatan 4, saya menerima surat cinta dari rakan sekelas dan di dalam surat itu ada lirik lagu Nilai Cintamu dendangan Allahyarham.


Di usia sebegitu kita amat naif dengan resam dan saya jadi hairan apabila perpisahan Sudirman dan Kay berlaku, sampai sekarang pun saya tidak tahu sebab musababnya. Dan apabila orang tanya, kita nak sangat sudirman kahwin dengan Noor sebab mereka serasi, tapi bila sudah kita faham makna cinta dan persahabatan baru kita tahu kenapa sudir tak kahwin dengan noor. Begitulah saya dulu, bila kawan perempuan bagi surat cinta dan bagi lirik lagu kita jadi asyik mahsyuk tapi kita tidak tahu erti sebenar rasa cinta, mungkin ia sekadar suka dengan orang itu. bagusnya cinta tu tak menjadi pun!



Meminati sudirman, membuat kita menjadi seorang yang setia dan menghormati kasih sayang. lagu-lagunya yang melankolik, romantis, lucu membentuk hidup saya menjadi seorang yang lebih berkasih sayang dan sentiasa ingin melihat orang terhibur. Saya rasa sudirman juga mempengaruhi minat saya dalam bidang seni. Dia meyakinkan saya bahawa banyak cara yang boleh dibuat dengan hidup ini, jika kita cenderung kepada kesenian kembangkanlah walaupun kita punya keupayaan dan pilihan lain.

Saya masih ingat semasa menjejak sekolah menengah, saya berada di dalam kelas khas iaitu 1PK (1 Perdagangan Khas) di mana semua pelajar adalah yang terbaik di dalam ujian kemasukan dan rata-ratanya punya Penilaian Darjah 5 yang banyak A nya, juga menjadi kelas eksperimen
kepada sekolah Sultan Ibrahim 2 Pasir Mas. Jadi rakan-rakan di dalam kelas itu sasarannya adalah berjaya dalam aliran sains dan matematik. Tapi saya sudah meletakkan sasaran yang lain, saya ingin berada di dalam aliran sastera lepas SRP dan nyatanya saya letakkan diri saya di situ. saya tahu kecenderungan saya dan tidak mahu sekadar berbangga berada dalam lingkungan pelajar Sains. Yang saya mahu adalah kepuasan dan minat saya. saya rancang cita-cita saya dan tidak mahu ikut-ikut orang. Bagi saya Sudirman turut mengikut kata hati, dia cemerlang di dalam akademik tapi nalurinya adalah seni.

Dan hari ini sebenarnya kalau kita lihat, mereka yang mempunyai minda kreatif dan memiliki keupayaan yang pelbagai, tidak melihat persaingan di dalam memanjat kerjaya, itu bukanlah kepuasan baginya, mereka lebih melihat pencapaian peribadi atas prinsip dan pegangan diri bukan meletakkan segala keupayaan di dalam lingkungan kuasa orang lain. Bila orang usulkan cadangan supaya saya kekal dengan jawatan dan tidak berada di ASWARA, kerana di sini bagi meraka adalah tempat mereka yang kalah dan tidak berkembang, maka saya tolak dengan baik kerana saya tahu prinsip hidup manusia itu berbeza dan kemahuan hidup kita juga tidak sama. Terima kasih Sudirman dan Al-Fatihah buatmu.

Rahsia kematian Sudirman terlerai
(Dipetik dari Berita Harian tulisan Zainuri Misfar 29 Februari 2008)


KELUARGA Allahyarham Sudirman membuat keputusan untuk 'menyembunyikan' Penghibur Nombor Satu Negara itu mengenai penyakit dan punca kematiannya kerana tidak mahu peminat sukar menerima hakikat mengenai keadaannya yang sangat menyedihkan.Walaupun ia menyebabkan timbul pelbagai andaian sehingga ada yang mengaitkan Sudirman menghidap penyakit Aids, tetap mereka tegas untuk tidak mendedahkan kepada umum mengenai punca penyakit dan kematian penyanyi itu. Rakan karib Sudirman yang juga penulis lirik terkenal tanah air, Habsah Hassan berkata, bagaimanapun, sejak kebelakangan ini keluarga penyanyi itu seperti sudah bersedia untuk bercerita dan merungkai rahsia sebenar mengapa mereka bertindak 'menyorokkannya'.


"Selepas bertahun-tahun, barulah rahsia itu terungkai. Keluarganya tidak mahu mendedahkan atau memberi peluang masyarakat Malaysia melihat Sudirman pada waktu itu kerana mereka tidak mahu melihat keadaan sebenar Sudirman yang sangat menyedihkan. Mereka sudah biasa tengok Sudirman dalam sentiasa ceria dan 'cute'."Secara perubatan, Sudirman disahkan mati kerana kegagalan hatinya berfungsi dengan sempurna. Tapi sebenarnya, ada punca kematian yang tidak boleh dijelaskan secara perubatan kerana pada waktu itu, Sudirman sedang menghadapi pelbagai perkara aneh. "Saya akui, ia juga disebabkan ajalnya memang sudah sampai. Tetapi Sudirman melalui banyak perkara misteri dan mistik yang sukar untuk dipercayai pada zaman moden ini. Tetapi hakikatnya itulah yang dihadapi oleh Sudirman sehingga membawa kepada kematian," katanya. Habsah berkata demikian ketika menjadi tetamu siri Pesona Seni Aswara - Mengenang Sudirman: Program Kecil Berjiwa Besar di Dewan Orkestra, Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara), baru-baru ini.

Program yang dilancarkan oleh Ketua Pengarah Aswara, Datuk Omar Awang itu menampilkan Mohd Kamarulzaman Taib sebagai moderator.Habsah berkata, berdasarkan keakrabannya dengan penyanyi itu, beliau mendapati Sudirman ialah seorang pemerhati, ada pandangannya sendiri, memiliki ilmu dan pengetahuan am yang sangat baik. Katanya, hal ini boleh ditemui menerusi kebanyakan lagu nyanyiannya kerana itu ia menjadikan Sudirman satu-satunya penyanyi yang berani tampil dengan lagu mencakupi pelbagai tema kehidupan.


"Saya secara peribadi berasakan apa yang dibuat oleh Sudirman belum boleh digantikan oleh penyanyi sekarang. Saya bukanlah hendak melebihkan Sudirman kerana rapat dengan Allahyarham, tetapi anda boleh kaji sendiri lagu nyanyiannya, tulisannya, komik yang pernah dihasilkannya. Anda akan dapat apa saja daripada soal isu semasa, kerjaya, kemasyarakatan sehinggalah kepada soal hati. "Memang soal hati amat mengusik perasaan kerana Sudirman yang saya kenali lebih daripada seorang yang romantis," katanya. Katanya, Konsert Jalanan yang dibuat oleh Sudirman pada tahun 1984 adalah konsert terbesar yang berjaya menarik lebih 100,000 orang untuk menyaksikannya dan ia adalah antara bukti penyanyi itu mempunyai kesungguhan dalam kerjayanya. "Untuk memastikan konsert itu berjaya, dia tidak menyerahkan semua urusan 100 peratus kepada orang lain. Sebab itu, Sudirman menguruskan banyak perkara termasuklah mendapatkan permit polis," katanya.


Habsah berkata, Sudirman juga tidak menafikan dia bukanlah seorang penyanyi yang mempunyai suara berkualiti, fizikalnya pendek dan tidak tampan seperti kebanyakan penyanyi lain dan itu semua dianggap dirasakan sebagai kekurangan pada dirinya. Katanya, Sudirman juga sangat berani dalam menentukan lagu yang hendak dirakamkan dalam albumnya tanpa mempedulikan sama ada ia boleh diterima oleh peminat dan pendengar."Sudirman seorang yang tidak kisah sama ada peminat mahu terima atau tidak. Baginya, sebagai penyanyi, bukan masyarakat yang berhak menentukan pilihan lagu yang hendak dinyanyikannya. Sudirman berasakan dia yang berhak tentukan dan memang banyak lagunya berjaya. "Seingat saya, Sudirman adalah satu-satunya penyanyi di negara ini yang berani bercakap pasal patriotik. Dialah penyanyi yang merakamkan album yang semua lagunya bertemakan patriotik. "Dia bukan sekadar seorang yang tidak takut mencuba tapi memang tidak takut untuk buat. Dan, Sudirman juga penyanyi yang ada jati diri cukup kuat. Dia buat album lagu Melayu seperti deli, joget, asli. Sememangnya dia seorang berfikiran jauh seolah-olah tahu dan yakin dia tidak hidup lama," katanya. Tambahnya lagi, Sudirman juga mahu membuktikan sesuatu iaitu sekiranya dia sudah tiada di dunia tetapi namanya tidak mudah dipadamkan dalam sejarah kerana penyanyi ini meninggalkan jejak yang sukar diganti. "Dia seorang yang kerja kuat. Mungkin pelik tetapi untuk mendapatkan tenaga, Sudirman suka makan telur mentah," jelas Habsah lagi.


Dalam diskusi itu, Mohd Kamarulzaman atau Che' Kem yang kini dikenali sebagai Tunku Abdul Rahman dalam filem 1957: Hati Malaya, mengemukakan beberapa persoalan kepada Habsah berhubung dengan beberapa seni kata tulisannya yang cukup menyentuh jiwa apabila dinyanyikan oleh Sudirman seperti lagu Terasing, Merisik Khabar, Jauh Di Sudut Hati dan Salam Terakhir.
Mengulas perkara itu, Habsah menjelaskan, dia menulis seni kata secara tidak dirancang dan kebanyakannya disiapkan pada saat akhir iaitu ketika Sudirman sedang bersiap sedia untuk memulakan rakaman suara. "Misalnya lagu Terasing. Lagu dan melodinya sudah disiapkan oleh Manan Ngah. Dia dan Sudirman sudah berada di studio untuk memulakan rakaman. Manan juga sudah menyiapkan liriknya tetapi Sudirman menolak. Manan kemudian menghubungi saya minta tulis lirik untuk Sudirman. "Saya rasa dalam masa tidak sampai dua jam, lirik Terasing disiapkan dan Sudirman terus merakamkannya. Tapi disebabkan keakraban saya dengan dia menjadikan sedikit sebanyak memang boleh memahami perasaannya," katanya.


Tambah Habsah, keakraban itu menjadikan Sudirman dianggap sebagai adiknya dan penyanyi itu sering bercerita mengenai harapan, impian dan cita-cita serta bebas menelefon pada bila-bila masa saja. "Nasib baik suami sudah memahami sangat hubungan saya dengan Sudirman. Ada suatu ketika dia menelefon saya dalam keadaan sedih, sayu dan menangis. Dia memang berterus terang dengan apa yang tersimpan di hatinya. Saya tidak dapat berbuat apa-apa melainkan suruh dia bersabar dan banyak beristighfar. "Lagu Merisik Khabar dinyanyikan Sudirman dengan penuh perasaan kerana liriknya memang satu luahan dalam dirinya pada waktu itu," katanya.

INFO: Sudirman
·
Sudirman anak bongsu daripada enam beradik dilahirkan di Temerloh, Pahang pada 25 Mei 1952
·
Menang pertandingan Bintang RTM pada tahun 1976.
·
Menjadi artis syarikat rakaman EMI pada tahun 1977 hingga ke akhir hayatnya.
·
Lulus dengan ijazah undang-undang dari Universiti Malaya pada 1981 dan diterima sebagai peguam pada 1983.
·
Menghasilkan album Inggeris/Melayu seperti Aku Penghibur pada 1978, Perasaan (79), Anak Muda/Lagu Anak Desa (80), Lagu Dari Kota/Twinkle Twinkle Little Star (81), Abadi/Lagu Cinta (82), Image (83), Lagu Dari Sebuah Bilik/Orang Baru (84), Kul It (86) dan One Thousand Million Smiles (89).
·
Membuka sebuah studio rakaman, Sudirman Production dan berjaya mengeluarkan sebuah album nyanyian anak saudaranya, Atai.
·
Menjadi penyanyi Melayu pertama ditawarkan menyanyi di Paddock, Hotel Hilton pada 1983.
·
Dipilih sebagai Penghibur Terbaik, Anugerah Sri Angkasa RTM pada 1985.
·
Menjadi Penyanyi Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian pada tahun 1989.
·
Dipilih sebagai Penghibur Terbaik Nombor Satu Asia di Anugerah Muzik Salem di London pada 1989.
·
Pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan Penyanyi Tanahair (Papita) pada 1987.
* Berlakon dalam filem Kami arahan Patrick Yeoh keluaran Indra Film Productions pada 1982.
·
Berjaya mengadakan konsert besar-besaran dihadiri kira-kira 40,000 penonton di Chow Kit pada 1986.
·
Mewakili Malaysia di Pertandingan Lagu ABU 85 di Perbadanan Penyiaran Singapura menerusi lagu Pesta Dunia ciptaan Manan Ngah, Festival Rock Singapore sempena Hari Kebangsaan Singapura (86), Konsert Sukan SEA ke 15 di Stadium Merdeka (1989) dan konsert terakhir di Ayer Keroh, Melaka (91).
·
Berkahwin dengan Kamariah Jamaluddin pada 14 Februari 1981 tetapi berpisah pada 25 Mei 1984.
·
Sudirman dianugerahkan pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) oleh Sultan Pahang dan Ahli Mangku Negara (AMN) oleh Yang di-Pertuan Agong pada 1990.
· Penyanyi dan penghibur ini meninggal dunia pada 22 Februari 1992.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...