12 Julai nanti adalah hari kelahiran Sasterawan Negara Usman Awang. Hari itu disebut sebagai Hari Usman Awang, khusus untuk mengenang sumbangan dan jasa sasterawan ulung negara ini. Siapa yang tidak kenal dengan nama ini. Jika disebut Tongkat Warrant pun orang tahu itulah Usman Awang. Karya Allahyarham bukan sahaja diminati oleh orang Melayu malah menjadi pujaan ramai peminat bukan Melayu. Karya UA telah merentasi sempadan budaya dan pemikiran. Karya sejak sebelum merdeka hingga ke hujung hayatnya mencetus bermacam cerita, mencuit dan mengkritik secara lembut sosial kita. Waktu Malaya baru menempuh alam kemerdekaan, Usman dengan bijak menegur perubahan sikap orang-orang kita yang mula lupa asal-usul, yang mula menjadi lupa perjuangan asal, meninggalkan pusaka dahulu menggantikan dengan kemodenan yang banyak sekali pengaruh luar sehingga menenggelamkan keindahan seni pusaka.
Pengalaman hidup yang sukar yang merentasi zaman-zaman gelap tanahair, banyak mewarnai karya beliau. Dari seorang buruh di zaman Jepun, beliau bergelar seorang anggota polis di awal zaman Darurat dan seterusnya beralih menggunakan pena sebagai senjatanya, lalu beliau menghasilkan tulisan-tulisan kreatif yang menceritakan pengalamannya serta pandangannya tentang kehidupan. Hal inilah membawa alam Melayu dalam penciptaannya. bahasanya lembut tetapi menusuk bahkan kita boleh merasai melankolik kala membaca bait-bait puisinya. Tulisannya menjadi inspirasi kepada ramai orang, sajak 'ke Makam Bonda', 'Gadis Di Kuburan', "Bunga Popi', 'Mata Ayah' "Melayu', 'Balada terbunuhnya Beringin Tua Di Pinggir Bandaraya' dan banyak lagi mencetus fikiran-fikiran yang tajam terhadap situasi pada masa itu. Begitu juga drama pentas tulisannya seperti 'Tamu Di Bukit Kenny' yang dengan jelas mengkritik perubahan sosial dalam masyarakat Melayu. Konflik antara masyarakat desa dan bandar yang mewujudkan jurang pemikiran dan taraf hidup. Drama ini menjadi titik tolak teater realisme Malaysia, Usman Awang melihat dilema Melayu lebih awal dari kejadian 13 Mei. Dia melihat wujud perpecahan, ali baba, hanyutnya anak muda kebaratan, bagaimana orang Melayu yang hidup bergantung pada kerajaan, malas dan selalu mahu menjadi tuan. Hal ini terang-terang dikritik dalam drama ini. Begitu juga tulisan cerpen beliau tentang 'Malam kemerdekaan', ia sebuah pengkisahan yang cukup dramatik tentang arus dalaman manusia Malaya meraikan kemenangan. Usman berkisah bagaimana segenap umur dan bangsa dari segenap tempat bersatu di Padang Kelab Selangor untuk menyaksikan turunnya bendera Union Jack. Bila kita membacanya, kita seolah berada sama di padang bersejarah itu.
Siapa yang boleh menidakkan Usman Awang. Benarlah beliau berjuang menggunakan senjata, malah pilihannya menggunakan pena sebagai alat perjuangannya membawa bakti kepada kita ke hari ini. Karyanya bukan sekadar merakam fikiran beliau semata-mata tetapi ia merakam suasana, keadaan sosial, seni budaya, warisan lama, akal fikiran Melayu, merakam sejarah, menegur kesilapan dan kekurangan bangsa ketika itu. Dan saya adalah orang yang mengenal sastera melalui Usman Awang. Sajak 'Ke Makam Bonda' adalah antara sajak terawal yang saya baca dan ia mempengaruhi nada tulisan saya di awal saya menulis. Dan sehingga hari ini, saya masih menggemari kata-kata yang digunakan, ia seperti memberi ilham dan mengawal ketertiban saya dalam menulis. Insyaa Allah. Bila usaha pihak tertentu mahu mengenang Usman Awang dan menjadikan tarikh kelahiran beliau sebagai harinya, ia satu usaha yang baik. namun begitu, saya berpandangan bahawa untuk membesar dan menghidupkan Usman Awang, tidak boleh dengan menganjurkan sehari sahaja. Usman Awang harus dihidup dan dibesarkan sumbangannya melalui karya-karyanya. Karya Usman Awang tidak boleh menjadi sangat eksklusif.
Kenapa saya kata eksklusif? Saya ada pengalaman kurang menarik dalam usaha untuk mendekatkan anak muda dengan karya Usman Awang. Saya masih ingat, sewaktu para pelajar putuskan untuk mengangkat drama pentas Usman Awang ke pentas ia menjadi sangat sukar. Para pelajar perlu berurusan dengan peguam yang dilantik oleh pemegang amanah. Alangkah terkejut kami ketika itu, semangat anak-anak muda mahu mementaskan karya sasterawan negara jadi terbantut, tentu sekali hal menjadi tambah kompleks apabila produksi pelajar perlu berurusan dengan pengamal undang-undang. berapa sen pelajar ada untuk bayar? Berapa keuntungan pelajar dapat? Saya anggap apabila pelajar meghubungi pihak pemegang amanah Usman Awang untuk meminta izin mementaskan karya adalah tindakan yang betul, menghormati waris dan keluarga Allahyarham. Tidaklah mementaskannya secara membuta tuli. Tapi apabila dibalas dengan urusan undang-undang ia mencemaskan. Ia seolah hanya orang yang berwang saja boleh menggunakan karya Usaman Awang. Akhirnya matilah semangat pelajar kami, dan mengalih kepada drama pentas tulisan penulis lain yang tidak ada ragamnya. Itu maksud saya eksklusif.
Saya anggap tindakan menjaga kepentingan ke atas karya-karya Allahyarham adalah usaha yang baik agar karya beliau tidak diguna dan diubah sewenang-wenangnya. Kita pun tidak mahu karya Usman jadi seperti karya P.Ramlee yang hak cipta dimiliki oleh orang lain sehingga anak cucu pun tidak mewarisinya. Tapi dalam usaha memelihara hak itu, saya kira pihak pemegang amanah harus juga sedikit longgar di dalam menggalakkan usaha mendekatkan karya Usman Awang kepada khalayak. Buat dalam macam-macam cara selagi ia tidak merendahkan martabatnya. janganlah semua perkara harus dirujuk dengan peguam. Ia merimas dan melemaskan. Perlu ada bentuk dan kaedah berbeza yang membolehkan kelompok seperti pelajar, penggiat seni dan anak-anak muda berkreasi dengan karya sasterawan ini.
Saya pun kurang faham juga dalam hal menjaga kepentingan ini, bila lihat naskhah Uda dan Dara yang dipentaskan di Istana Budaya setahun dua lalu, yang dilakonkan oleh
Misha Omar dan
Razali Husin. Saya tidak lihat ia sebuah produksi yang benar-benar mengangkat kehebatan Usman Awang. Pelakon sesuka hati menambah dialog malah tidak mampu merealisasikan intipati Uda dan Dara itu sendiri. Jika mahu menjaga naskhah, apatah lagi ia tulisan Sasterawan Negara, hal bahasa/ dialog lah yang perlu dipelihara. Itu sebenarnya kuasa sasterawan. Apatah lagi, wujud
polemik menggadaikan karya Allahyarham demi merealisasikan naskhah itu membuatkan saya tambah pelik. Sebabnya, waktu anak-anak muda mahu berkarya secara kecilan dalam projek pengajian, dilayan sebegitu tetapi bila ditangan sendiri, semudah itu mahu menggadai harta intelek Usman Awang ini. Jadi bagaimana ini, apakah betul maksud eksklusif saya ini? Imbangan bagaimana yang mahu dimainkan dalam mengangkat Usman Awang?
Dan kali ini saya dengar, satu lagi usaha mengangkat puisi Usman Awang ke pentas Istana Budaya menemui jalan buntu, sebuah konsert tokoh muzik Malaysia yang akan berlangsung hujung minggu ini amat berhasrat untuk mengangkat puisi Usman Awang namun, pihak pemegang amanah minta berurusan dengan peguam. Kenapa itu tindakannya? Apa sebenarnya yang berlegar dalam fikiran pemegang amanah bila diminta berurusan dengan peguam? Adakah ia urusan sangat sulit? Adakah hanya peguam yang tahu soal ini? Adakah tiada jalan mudah untuk mengatakan ya dan letakkan sahaja harga sebuah puisi jika mahu dipentaskan? Saya rasa itu lebih mudah berbanding dengan berurusan dengan pengamal undang-undang yang banyak sekali selok belok undang-undangnya. Kadang-kala orang kreatif ini, bila terkesan dengan sebuah karya mereka hanya mahu realisasikan karya itu, tidak mahu lagi dibebankan dengan hal yang lebih rumit. Tapi, itulah jalannya. Kalau mahu guna karya Usman Awang, sila berurusan dengan peguam. Apa betulkah begitu?
12 Julai nanti adalah hari Usman Awang. Seperti pandangan awal saya, saya kira Usman Awang tidak perlu ada hari tetapi kalau dah mahu namakan hari itu. Ok saja. Walau bagaimanapun, usaha membesar dan mengangkat seseorang karyawan tidak boleh diukur dan dinilai dengan wang ringgit. Ia tidak boleh bina halangan dan tembok untuk orang mengangkatnya. Ia adalah hal yang berkaitan dengan penghargaan. Ia bermain di dalam, bagaimana karyawan itu memberi kesan pada hidup seseorang. Kenapa anak kecil masih mengenal dan meminati P.Ramlee, kerana karyanya sentiasa bermain dan berlegar depan mata setiap generasi. Semua medium memutar dan memainkan karyanya. Kerana itu kita sentiasa rasa P.Ramlee dekat dan besar. Tapi kalau banyak sangat halangan, banyak sangat laluan untuk membawa karyawan kepada khalayak apatah lagi, hari ini generasi Y - Z kurang gemar membaca buku.
Saya kira apabila badan yang memegang hak karya Usman diwujudkan, ia bernawaitu menjaga hak cipta dan mengangkat ketokohan Allahyarham. Ia tiada langsung obligasi keuntungan.