Jom Kita Jadi Geng

Sunday, June 9, 2013

LAYAKKAH PENDAKI EVEREST DAPAT 5OK?


Saya tidak tahu bagaimana nak beri reaksi dengan berita ini. Pendaki Everest yang berjaya ke puncak diberi ganjaran RM50,000 seorang dan beberapa yang lain mendapat inisiatif RM10,000 oleh Felda Global Ventures Holding. Maka 7 orang pendaki sudah pun menerima replika cek tersebut dan secara otomatik RM350,000 sudah pun dibelanjakan. Walau bagaimanapun, saya perlu ucapkan tahniah buat mereka yang berjaya (saya mungkin cukup di kaki gunung sahaja). Baca petikan Sinar Harian ini.

Memang usaha mendaki Everest ini adalah usaha untuk mengangkat ketinggian diri dan keupayaan belia-belia Felda, juga memberi kebanggaan buat Malaysia. Bukan calang-calang orang yang mampu sampai ke puncak, dan kumpulan anak-anak Felda ini adalah antara beberapa kumpulan pendaki dari Malaysia. Jika sebelum ini kita saksikan N.Mohandass dan M.Magendran menjadi rakyat Malaysia terawal ke puncak, kemudian kumpulan pendaki dari RTM di mana salah seorang daripadanya adalah seorang wanita. Inisiatif mereka ini didorong oleh beberapa pihak yang sangat ingin melihat kejayaan anak bangsa menakluk puncak dunia itu. Sudah pastinya ada peruntukan yang diperuntukkan bagi membiayai kos latihan sebelum ke Himalaya dan kos sepanjang di Himalaya. Dan saya percaya ianya bukan jumlah yang kecil. 

Mohandass dan Magendran
Jadi kemenangan apa yang cuba dirai oleh Malaysia atas kejayaan belia-belia ini. Adakah 7 orang ini mewakili nisbah keseluruhan belia Felda? Adakah berbaloi dengan segala perbelanjaan yang dikeluarkan? Apakah signifikannya kepada Malaysia dan belia-belia yang lain? Adakah ini mendorong belia dan rakyat yang lain pergi menakluk Everest juga?  

Itu beberapa soalan kecil dari saya, setelah peruntukan menanggung mereka ke sana, dan kini mereka diberi ganjaran yang besar; apakah ini memberi kesan bangga kepada belia yang tidak berpeluang. Saya kira ganjaran itu seperti menang pertandingan walhal mereka ditaja dan dipilih dalam sifat yang agak eksklusif. Malaysia mudah memberi ganjaran pada usaha yang didokong sendiri bukan atas inisiatif peribadi. Kita harus mendidik masyarakat untuk cemerlang bukan kerana ganjaran tetapi atas keinginan untuk berjaya dan mengharumkan negara. Itu lebih patrotis sifatnya.

Hari ini, banyak sekali kerajaan harus belanjakan termasuklah mengupah rakyat bagi kerja sukarelawan. Bahkan mahu mengajak rakyat untuk menyertai perbarisan atau upacara kenegaraan juga harus diupah. Bayangkan upah yang perlu dikeluarkan jika mahu memenuhkan stadium, apatah lagi upah kepada petugas-petugas berstatus sukarela untuk upacara besar seperti Sukan Komanwel atau kejohanan Dunia. Hal ini sangat berbeza dengan China dan negara-negara maju yang lain. Rakyat mereka berbangga jika terpilih sebagai sukarelawan bagi acara-acara besar. Saya kira inilah juga hasrat terilhamnya IM4U. Tapi bukankah ganjaran buat pendaki ini macam berlawanan.

P/S: Berbaloikah mereka terima ganjaran, bila seorang telah terkorban?

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...