Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, July 31, 2013

TAWARAN BIASISWA ASWARA


Peluang terbaik bagi mereka yang mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang seni persembahan. ASWARA kini membuka peluang kepada mana-mana calon yang cemerlang di dalam SPM dan STPM untuk memohon Biasaiswa pengajian. Jadi, untuk maklumat lanjut sila baca iklan di atas dan hubungi www.aswara.edu.my 

480 ORANG MATI DI MESIR


Hari ini 31 Julai 2013, sudah 22 hari rakyat Mesir yang menentang pemerintahan kudeta berpuasa, bertarawih, bersahur dan tiduk di jalanan. hari ini juga genap 29 hari mereka bangkit menentang penipuan kerajaan baru Mesir ini. Rakyat yang menyokong Pesiden Morsi mula sedar bahawa hak mereka telah diperkotak-katikkan. Protes besar-besar menentang Morsi sebelum ini adalah perancangan untuk menjatuhkan Morsi. Merka berkampung di Medan Raba'ah Adawiyah dengan satu matlamat, mendesak agar Morsi dibebaskan.

Perhimpunan tanpa senjata ini digambarkan sebagai perhimpunan kasih-sayang, bersesuaian dengan bulan Ramadhan. ia benar-benar menguji keimanan mereka yang bangkit ini. Kasih-sayang ini tersingkap melalui perkongsian sepanjang mereka berhimpun. Ada yang menyebut, sebotol air mineral dikongsi ramai di mana seorang minum seteguk, berbahagi juadah berbuka, mereka beribadat berama-ramai sehingga melimpah ruah sehingga ada menyamai kesesakan di Masjidil Haram malah ada yang mengatakan 'hanya Kaabah yang tiada untuk mereka tawaf''. Begitu sekali rakyat Mesir bangkit dari lena yang panjang selepas Hosni dijatuhkan. 



Menjelang 27 Julai yang lalu, menyaksikan seramai 120 orang terkorban dan ribuan tercedera akibat insiden tembakan di ahdapan Universiti Al-Azhar. Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan Al-Sisi ini menyaksikan kekejaman baru antara pihak tentera dengan rakyat yang tidak bersenjata. Ia menjadikan korban di bumi Mesir sejak perhimpunan ini berjumlah 480 orang. Namun itu tidak mematahkan semangat rakyat yang bangkit. Kesombongan kerajaan Al-Sisi yang berpegang pada mandat rakyat yang menentang Morsi semasa perhimpunan di Medan Tahrir akan menjadikan konflik ini semakin hebat. Rakyat tidak akan berganjak dan tentera sedaya mungkin cuba menghentikan perhimpunan itu.

Dahsyat sekali ujian rakyat Mesir yang bangkit ini. Mereka berjuang di bulan Ramadhan, mungkin itulah yang memberikan mereka kekuatan. Saya percaya kejatuhan Morsi adalah sebab campurtangan banyak pihak luar yang tidak senang dengan dasar-dasr baru Morsi yang dianggap mengancam kepentingan mereka. Morsi yang dilihat mentadbir berasaskan jalan Islam, memulakan polisi membina kembali peluang dan kendiri rakyat Mesir. Banyak perkara yang membawa kepada kelemahan Islam cuba diatasi termasuklah hubungan dengan Israel yang selama ini sangat dijaga oleh kerajaan Hosni. Jadi pihak-pihak yang melihat tindakan Morsi ini sebagai ancaman kepada kepentingan mereka lalu mengadu-domba sehingga membangkitkan puak yang selama ini sangat sekular serta yang berada di atas pagar. 

Bila kita lihat pembunuhan rakyat Mesir oleh tentera ini, ia tidak memberi keuntungan kepada Mesir pun. Sesama Islam berbunuhan atas kegembiraan orang lain. Ramai kuasa di luar Mesir tidak mahu Morsi kembali ke tampuk. Kenapa? Fikirkanlah - Di Malaysia pun ada yang berbelah bahagi.

Semoga kebenaran dipulangkan kepada Mesir.

Monday, July 29, 2013

FILEM THE NEW VILLAGE DIGANTUNG



Filem The New Village bakal menemui penonton di pawagam mulai 22 Ogos 2013, tarikh itu hampir dengan sambutan Hari Kemerdekaan negara malah ia lebih awal berbanding dengan jadual tayangan filem kenegaraan Tanda Putera. The New Village diwar-warkan sebagai sebuah filem sejarah tanahair yang mengupas perjuangan masyarakat Cina semasa tempoh Darurat. Dalam trailer di You Tube, sinopsis filem ini menyebutkan

"The New Village" adalah sebuah filem yang menceritakan kesusahan dan kesengsaraan bangsa cina semasa zaman penjajahan British di tanah air ini. Seramai 500,000 penduduk cina tempatan telah dipaksa oleh British pindah masuk ke 480 buah "re-settlement camps" di seluruh semenanjung malaya dari tahun 1949 hingga 1954. "Re-settlement camps" tersebut sebenarnya adalah Kampung Baru Cina (New Village). Pada hari ini. masih terdapat 450 buah Kampung Baru Cina di seluruh Malaysia dan diduduki oleh lebih daripada satu juta bangsa cina. Kesemua Kampung Baru tersebut mempunyai sejarah yang agak sama. "The New Village" ingin memberi penghargaan tinggi kepada penghuni-penghuni Kampung Baru Cina di seluruh Malaysia."

Jika dibaca pada sinopsis di atas, kita faham akan maksud filem ini yang cuba mengupas program Resettlement yang dianjurkan oleh kerajaan British melalui Rancangan Briggs bagi menangani masalah keganasan Komunis yang sering mengganggu orang awam khususnya di pendalaman. Apatah lagi, Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) yang mengangkat Parti Komunis Malaya secara majoritinya dianggotai oleh orang-orang Cina. Gerakan mereka tertumpu kepada anti penjajahan. Jadi Rancangan Briggs adalah usaha untuk menangkis penyebaran fahaman Komunis. Sinopsis di atas, secara jelas menerangkan maksud cerita dan objektifnya untuk memberi penghargaan kepada penduduk cina yang terlibat.


Namun, bila kita menonton trailernya, sepintas lalu dapat kita menangkap beberapa sub-cerita yang cuba diangkat oleh pengarahnya. Ada beberapa adegan yang ditonjolkan memperlihatkan kekerasan yang digunakan oleh pihak British ke atas penduduk Cina, hubungan antara gadis cina dengan anggota PKM, tindakan keras tentera British ke atas penduduk dan beberapa aksi yang menampakkan sisi berlawanan antara pihak pemerintah, sisi baik pada watak hero dan sisi antagonis pada si tentera pemerintah. Namun itu adalah pengamatan saya pada trailer yang cuma panjangnya 2 minit 20 saat itu.

Ada beberapa blog sudah menyuarakan protes mereka akan tayangan filem ini, perbandingan dibuat dengan Tanda Putera. Tanda Putera lebih dilihat bernasib malang, terpaksa menempuh beberapa kali tundaan tarikh sehinggalah akan ditayangkan pada 29 Ogos nanti. Namun, The New Village nyatanya menggunakan strategi yang bagus, dalam diam mereka menyiapkan filem dan mendapat tarikh tayangan tanpa diketahui ramai. Tetapi tentu sekali ia perlu melepasi LPF. Di mana peranan LPF sebenarnya jika betul filem ini bersifat menghasut minda penonton mengasihani komunis? Takkan baca sinopsis sahaja? Di mana pula peranan penerbit Astro Shaw yang sepatutnya lebih sensitif di dalam mengangkat isu dalam filem. Tak kan melepaskan lesen kreativiti itu kepada pengarah sahaja? Saya nampak ini seolah wujud double standard dalam hal ini. 

Double standard ini saya rujuk kepada kesan yang diterima oleh Tanda Putera di awal promosinya. Filem itu dihentam, dikatakan bersifat racist sehingga menakutkan pihak yang sepatutnya menyangkannya. Walhal trailernya tidak menampakkan ketara seperti trailer The New Village. Apatah lagi Tanda Putera telah ditayang secara tertutup dan menerima reaksi positif. Namun ia tetap dianggap malang kerana selepas dua tahun terperap, baru boleh keluar panggung. 

Hari ini, imej dan filem adalah medium terbaik dan terpenting dalam menghantar propaganda. Sewaktu gerakan antisemitism memuncak yang bermula di German, kebencian Barat dan Timur terhadap kaum Yahudi begitu tinggi. Sehingga ramai Yahudi mengelak untuk mengakui keturunan mereka dan menukar nama mereka kepada nama-nama biasa barat. Tetapi Yahudi adalah kaum yang bijak, melalui filem digerakkan sentimen kemanusiaan. Banyak sekali filem-filem arahan dan terbitan Yahudi mengangkat tema kemanusiaan tetapi ditonjolkan melalui watak-watak Yahudi. Ini kita dapat lihat dalam filem seperti Schindler's List, Europa Europa, Holocaust, Chariot of Fire, Yentl dan banyak lagi. Sesetengah filem yang dihasilkan oleh pengarah Yahudi ini tidaklah secara terang-terangan mengangkat isu Yahudi, tetapi mereka mengangkat manusia Yahudi dalam tema cinta, romantik broadway, komedi dan sebagainya. Lama-kelamaan persepsi menolak Yahudi itu hilang dan kemudiannya mereka diangkat sebagai hero. Apatah lagi nama-nama besar seperti Spielberg, Elia Kazan, Barbra Streisand, Agnieszka Holland dan ramai lagi sangat berpengaruh dalam industri hiburan dunia. 

Tidaklah saya menyamakan pengarah Wong Kew-Lit dengan mereka di atas, cuma saya anggap itulah usaha yang cuba dimainkan. Mahu menukar persepsi dan merubah fahaman secara halus. Cuba mengangkat hero baru dalam sejarah tanahair. Jika benar filem ini mahu mengangkat perjuangan penduduk cina di kampung-kampung baru, kenapa pula antagonis itu terlihat pada tentera pemerintah? Dan kebiasaannya percintaan akan melahirkan belas kasihan. Bila si heroin bercinta dengan hero, seorang anggota komunis yang diburu pemerintah tentu sekali konflik cinta itu akan menghukum pihak yang menghalang iaitu pemerintah. Jika benar begitu, saya kira Kew-Lit memang bijaksana. Sejarah boleh dilihat dari mana-mana sudut bergantung pada niat orang yang mengangkatnya. Saya masih ingat sebuah dokumentari mengenai Singapura, bagaimana mereka mengolah fakta sehingga langsung tidak menyebut peranan Malaysia, langsung tiada fakta tentang asal-usul Singapura di Nusantara ini dan peranan bangsa Melayu. Yang diungkap bagaimana Singapura dilahirkan oleh British dan kepimpinan Lee Kuan Yew. Saya percaya ramai rakyat Singapura percaya tentang sejarah itu. 

Zahid Hamidi sudah mengarahkan menarik balik New Village ke panggung, soalan saya, kalau ini filem tentang sejarah, tak kanlah tidak terdetik pun dihati penerbit untuk menayangkan kepada pihak berwajib, kalau pun kerajaan bukan orang filem tapi bukankah ia juga menyentuh sensitiviti. Nampak sangat cuba main belakang! Lepas ni mari kita tengok bagaimana masalah ini ditangani. 

Saya ni dah menulis panjang, filem belum tengok hanya tengok trailer. Kalau filem ini kena haram, macam Din Turtle juga, saya akan cari juga untuk tonton sendiri apa wawasan Wong Kew-Lit sebenarnya. 

P/S: Wong Kew-Lit adalah rakan seasrama saya di 5th College UM. Memang Kew-Lit seorang yang berhemah dan berfikiran jauh. Kami sama-sama menganggotai Jawatankuasa Asrama.

Sunday, July 28, 2013

BAJU MELAYU TERAKHIR: AL-FATIHAH

Catatan Intan:
Selama ini arwah tidak pernah kisah
tentang baju Melayu. Namun tahun ini
 arwah mahu dua pasang baju Melayu
 untuk Hari Raya,
satu krim dan satu lagi hitam. Katanya,
 dia mahu ibu juga memakai baju raya
 berwarna hitam sedondon
dengan baju Melayu hitamnya.

Allah maha pengasih maha penyayang, 
sewaktu kita merancang yang terbaik untuk dia, 
Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya.

Entah apa perasaan di dalam ini, bila membaca catatan Dr. Tengku Intan Marlina. Berbaur, cuba menyelam tetapi tidak kesampaian kerana saya tahu beban itu tidak terpikul oleh saya. Dia sedang mengendong emosi yang berat. Perasaan seorang ibu direntap, kehilangan tiba-tiba anakandanya dalam sekelip mata. Anakanda sulungnya meninggal akibat kemalangan jalan raya. 

Entah apa perancangan Allah kepada hambaNya, di bulan Ramadhan dan di kala Syawal kian hampir. Bulan dan hari-hari yang selalu bertamu dengan kenangan dan kerinduan. Bulan yang selalu buat kita tersenyum mengenang hari-hari lepas, mengenang mereka yang pernah hadir. Tapi, hari ini Allah mengetuk pintu kegembiraan itu dengan kedukaan. Ujian ini sangat besar buat Intan. Saya yakin, walau sesiapa pun di tempat Intan, air mata adalah lautan. Pasang-surutnya bersilih ganti pada setiap kali wajah anakanda muncul.

Sebelum ini, saya ada membuat catatan mengenai kematian adik Nawal Iris akibat 'heat stroke'. Catatan itu hampir sama, tetapi kali ini rasa itu berbeza, ia menimpa sahabat saya. Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan buat Intan dan keluargnya, juga buat mereka yang kehilangan insan tersayang di bulan Ramadhan ini.  Semoga aman perjalanan mereka. Al-Fatihah.

Ini catatan Intan di facebooknya @Elyna Hasnulnawi:

Buat Allahyarham anakanda, Muhammad Hasnul Imran (21.11.96 - 24.7.13), damailah anakanda di alam barzakh. Bonda redha atas pemergianmu, namun bonda masih tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir sehingga ke saat ini.

Anakanda telah dipinjamkan kepada bonda dan ayahanda hampir 17 tahun, terlalu banyak kenangan manis bersamamu. kasih sayang bonda terhadap anakanda tidak dapat digambarkan melalui kata-kata, namun Allah lebih menyayangimu. Terbayang-bayang wajah, senyum manis, gelak tawa dan kelembutanmu di segenap ruang rumah dan mata ini.

Bahagialah anakanda di alam barzakh sana kerana anakanda meninggal dunia syahid kecil Insya-Allah, dalam tiga keadaan:
1) Meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.
2) Meninggal dunia kerana menuntut ilmu.
3) Meninggal dunia dalam keadaan berpuasa, dan di bulan Ramadhan yang mulia.

Anakanda seorang anak yang sangat baik, tidak pernah meninggikan suara, sentiasa menghiburkan hati bonda. Segala kebaikan ada pada diri anakanda. Bonda ampuni segala kesalahanmmu, bonda halalkan makan minum dan segalanya.

Bonda tidak tahu bagaimana keadaan bonda tanpa dirimu dalam meniti kehidupan yang sementara ini, namun bonda tahu bonda harus terus tabah. Semoga kita dapat bertemu di Syurga kelak. Al-fatihah.

Saturday, July 27, 2013

LAGU RAYA SITI: ANUGERAH AIDILFITRI


Kali ini saya nak bercakap pasal lagu raya Siti Nurhaliza, bukan semua lagu rayanya tetapi hanya satu sahaja lagu raya iaitu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini dihasilkan oleh Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh saya. Tapi bukanlah sebab saya yang tulis maka perlu sangat saya gembar-gemburkan. Dato Siti telah menghasilkan sebuah album penuh lagu-lagu hari raya pada tahun 2003, dengan mengambil judul lagu Anugerah Aidilfitri sebagai tajuk albumnya. Itu kira satu bonus juga untuk saya. Memang bukan senang dan mudah untuk menghasilkan karya dan mengisi album penyanyi unggul Malaysia ini. Mungkin, saya kira kerana melodi lagu Anugerah Aidilfitri ini sedap dan senang ditangkap dek telinga apatah lagi ia memang buah tangan Raja Irama Malaysia, Pak Ngah @ Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Album Anugerah Aidilfitri turut memuatkan  tujuh lagi lagu dan dua instrumental. magiknya buah tangan Pak Ngah, lagu-lagu raya ciptaannya bertaraf klasik, nilai authentic dan estetikanya cukup tinggi. Kerana itulah, bila lagu Sesuci Lebaran mula diputar, ia terus melekat dan diminati ramai.

Untuk pengetahuan semua, sepanjang saya menulis lirik, Siti Nurhaliza hanya menyanyikan tiga lagu sahaja iaitu Anugerah Aidilfitri, Kudus SinarMu dan Nirmala. Tiga lagu sahaja. Ini saya perlu tegaskan kerana ramai sekali orang keliru dan menyebut saya yang menulis lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang lain terutama lagu Nazam Lebaran, Hati Kama dan beberapa lagu irama Malaysia yang lain. Al-maklumlah, Pak Ngah sinonim dengan beberapa penulis lirik sahaja terutama Hairul Anuar Harun dan Siso. Jadi, saya sebenarnya penulis yang muncul selepas zaman kemuncak irama Malaysia. Selepas Nirmala, Pak Ngah tidak lagi menjuarai kategori Irama Malaysia. Peminat lagu-lagu melayu sudah beralih pada irama pop etnik yang ala-ala arab seperti ciptaan Yasin Sulaiman.


Sebelum lagu Anugerah Aidilfitri, saya pernah menulis sebuah lagu hari raya untuk Siti (lupa tajuknya) tetapi ditolak kerana masalah teknikal bahasa kot. Atau pun saya rasa lirik lagu itu memang tak sedap hahaha. Ikutkan lagu itu sepatutnya keluar bersama-sama dengan lagu Nazam Lebaran dan Airmata Syawal. Rezeki tak ada lah tu, Siti pun ada 'team' nya sendiri yang memilih dan menentukan kesesuaian. Saya kira betullah cara begitu. Apatah lagi status Siti sebagai penyanyi no.1. Bila Pak Ngah bagi peluang untuk tahun berikutnya, saya sangat bersyukur. Masa itu saya kata, kali ini Siti mesti nyanyi lagu ini hahahaha. 

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lirik lagu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini mempunyai tiga form dan ia semacam satu penceritaan sebab perlahan di awal lagu kemudian penghujungnya kedengaran seperti satu seru-seruan. Apabila mendengar melodinya berulang kali dan mengkaji beberapa lirik lagu raya Siti yang sebelumnya, saya dapat idea untuk menitip unsur kemanusiaan dan ketuhanan dalam lagu rayanya. Bukanlah saya menidakkan lagu lain tiada unsur itu, tetapi jika di perhati di awal lirik lagu ini ia menyebut:

Di sana apakah ertinya Syawal
Tangisan dan rintihan tiada henti
alangkah hibanya di Aidilfitri
Buminya bagai ambal duri

Ia membawa pendengar mengimbau kehidupan umat Islam di bumi yang bergolak, pada masa itu isu Iraq, Afghanistan dan Palestin sedang hangat. Dan ia masih lagi relevan dengan keadaan di bumi Mesir, Palestin dan Syria pada hari ini. Dan cuba menyelami penderitaan mereka menyambut hari yang sepatutnya bergembira seperti kita di Malaysia. Di mana lebaran selalu dinanti dan disambut dengan sejahtera. Itulah yang saya masukkan di dalam bait kedua. Lagu ini seharusnya menerbitkan rasa kesyukuran dan rasa bertuahnya kita lahir dan berada di bumi Malaysia. Adat dan budaya menyambut hari raya saban tahun dapat kita amalkan, berpakaian cantik berdendang, bertakbir dari rumah ke rumah, menziarah saudara dan bermacam lagi kesukaan semasa menyambut Aidilfitri. Semua itu saya simpulkan pada korus lagu ini:

Mari puji-memuji kepada Tuhan
Titis kasihNya melimpah seluruh alam
Mari puji-memuji Tuhan yang esa
insafi nikmat diberi di hari raya.

Jadi, bila dengar lagu Anugerah Aidilfitri, dengar-dengarkan liriknya. Semoga anda semua dapat mesejnya. Jangan Lupa Lirik ya!

Friday, July 26, 2013

DUIT RAYA: BANTUAN KE BONUS?

Memang kita akui kebolehan MB mengurus kewangan,
lagipun RM30 juta saja yang diperuntukkan.
Selangorkan negeri paling kaya, ishhh bagi dua bulan gaji pun boleh tu.
Bila Perdana Menteri umumkan semalam bahawa semua kakitangan awam Persekutuan akan menerima duit bantuan Hari Raya sebanyak RM500, macam-macam reaksi muncul. Ada yang 'Alhamdulillah' tapi ada juga yang "500 jer'. Yang lebih ganas, mereka membandingkan bantuan duit raya dengan Bonus sebulan gaji oleh Kerajaan Selangor kepada semua kakitangan negeri tetap, kontrak dan sambilan. Pada mata kasar memanglah nampak macam, kerajaan pusat tidak berkemampuan berbanding kerajaan Selangor, tapi ia dua perkara berbeza. Satu bantuan dan satu lagi bonus. Kan beza bunyinya. Kerajaan Selangor bagi Bonus kerana prestasi ekonomi yang baik pada tahun-tahun pemerintahannya. tapi yang lebih menarik MB Selangor siap cakap, kalau Kerajaan persekutuan bagi sebulan gaji, Selangor akan bagi sebulan setengah. Haahaha nasib baik lah tak jadi macam filem melayu klasik 2 kali 5, akibat nak sangat merebut hati pelanggan, masing-masing mahu tunjuk siapa lagi hebat, akhir sekali dua-dua jatuh susah. 

Tapi kita lihat, PM tidak melatah dengan tawaran yang diberi oleh MB Selangor itu. PM lebih rasional dengan melihat kemampuan ekonomi negara juga. Kalau ikut budaya bantuan selama ini, hujung tahun nanti akan ada lagi bonus untuk anak-anak sekolah. Itu semua kena congak juga. PM juga bagi rasional bahawa pemberian bantuan hanya RM500 ini bersesuaian dengan penerimaan dua kenaikan gaji pada tahun ini. Jadi kira oklah tu. 

Bagi saya, soal bantuan atau bonus ini bukanlah hak kita. Ia adalah rezeki. Kalau ada - adalah. Kalau tak ada - bersyukur sahaja dengan rezeki yang dapat. Itu semua atas ehsan kerajaan persekutuan. Kita yang memang diberi gaji setiap bulan, perlulah berhemah dalam memastikan musim mana dan ketika mana duit belanja diperlukan. Saya kira tabiat menabung sangatlah penting. Bukan sebab saya punya tabungan melimpah-ruah tapi, saya tengok cara orang kita berbelanja memang sakan. Apatah lagi zaman kad kredit mudah dapat, beli kereta mudah, pinjaman peribadi mudah, ansuran itu-ini mudah. Namun itu semua bersifat kredit di mana bebannya akan tiba pada setiap penghujung bulan dan ia memakan bertahun-tahun. 

Abang Jib tok sah nak pening, bukan sikit nak kena belanja.
RM835 juta tu banyak, kalau sebulan gaji lagilah banyak.
Tak pa Abang Jib, simpan untuk bonus hujung tahun.
Kata pepatah 'Besar periuk, besarlah keraknya'. Saya masih ingat, masa saya mula bekerja dengan kerajaan kira-kira 17 tahun lalu, gaji pokok kurang RM1,500 dan bila dicampur sedikit elaun jadilah sekitar RM1,600. Dengan gaji sebanyak itulah saya perlu mengagihkan perbelanjaan saya. Mana nak bayar pinjaman pelajaran, potong epf, ansuran motor, sewa rumah, perkakas rumah, hantar ke kampung dan macam-macam lagi. Saya hanya mampu memiliki kereta selepas lima tahun bekerja. Itu pun selepas punya seorang anak. Ya lah nak beli kereta masa itu, bukan semudah macam hari ini, kita perlu kumpul wang deposit dahulu. Kalau 10% wang deposit maka ansuran bulanan tinggi jadi kenalah kumpul lebih sedikit. Dulu ansuran 5 tahun saja kemudian ditambah 7 tahun. Itu pun saya hanya mampu beli proton wira sahaja. Tapi hari ini, saya tengok, perbelanjaan bukan sahaja pergi pada kereta jenama luar negeri tapi smartphone, ipad, branded items yang saya sendiri pun tak mahulah fikir bagaimana mereka memusing perbelajaan itu. Mungkin kerana itu, orang-orang muda yang baru bekerja selalu fikir nak gaji besar tanpa melihat pengalaman dan kebolehan diri.

Panjang pula saya merepek ni. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat ya. Banyak sikit gaji, tinggi rendah pangkat itu bukanlah ukuran kebahagiaan. Kalau anda pegawai gred 41 kata gaji anda kecil, fikirkan bagaimana gred yang rendah N17 atau B11 yang sudah berkeluarga perlu menampung hidup di kota besar ini. Kalau MyVi cukup kenapa mahu cari Civic?

Wednesday, July 24, 2013

UMI KALTHUM PULA PERGI



Langit redup di Kuala Lumpur, semalam jerebu tetapi hari ini sudah berawan. Keredupan itu bagai cuba bercerita bahawa hari ini seorang lagi insan besar dalam dunia hiburan telah pergi. Sewaktu menonton Selamat Pagi Malaysia, saya sudah mendapat khabar ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Datin Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin. Beliau pergi di usia 81 tahun dan meninggal dalam keadaan tidur di rumah anaknya.

Kita baru sahaja kehilangan Bawang Merah, Latifah Omar dan hari ini Bawang Putih pula mengusul. Begitulah kehidupan setiap yang hidup akan pergi bertemu penciptanya. Seniwati Umi Kalthum adalah seniwati yang berhemah sepanjang kariernya. Beliau pernah diberi gelaran Wanita Tercantik Asia oleh sebuah majalah antarabangsa Australia. Walaupun sering membawa watak antogonis dalam lakonannya, namun watak itu tidak membuatkan kita jemu dan benci melihatnya. Wataknya dalam filem Bawang putih Bawang Merah terbayang-bayang di mata. Bagaimana Putih berusaha menyanyi di buaian walaupun sumbang dan tiada kemerduan langsung. Tapi itulah keberkesanan wataknya. Wajah eksotiknya yang tidak seperti wajah pelakon filem Melayu yang lain, menjadikan dirinya berbeza dan mudah diingati. Tubuh tinggi langsing memudahkan beliau selalu tampil menarik di dada majalah dan layar perak.

Beliau meninggalkan lapan orang anak dan 22 orang cucu. Sejak kehilangan suaminya Allahyarham Datuk S.Roomai Nor di Mekah, beliau sering sahaja melepaskan kerinduannya di sana. Perkahwinan Allahyarham dengan S.Roomai Nor sering dijadikan contoh pasangan bahagia. Sering sahaja mereka berdua muncul sebagai suami isteri di layar. Lakonan mereka dalam filem Abang sangat meyakinkan. Saya teringat waktu Fuad (Rahim Razali) semakin lemah dan berada di ambang kematiannya, naluri keibuan yang ditunjukkan Allahyarham sangat menyentuh, hatinya seakan mengetahui ada sesuatu akan terjadi. Memang selepas zaman studio Jalan Ampas, apabila industri filem berkembang di Kuala Lumpur, Allahyarham banyak memainkan watak ibu. Bakat mereka berdua mengalir dalam tubuh seniwati Noor Kumalasari.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.

MURID MAKAN DALAM TANDAS?



Nak kata apa pun tak tahu dengan sikap orang kita ini. Mudah sangat melatah. Bila orang cakap pelajar disuruh makan dalam tandas, habis satu malaya mengutuk tindakan Guru Besar sekolah tersebut. Dalam mengutuk itu, berapa ramaikah yang sebenarnya mendapat gambaran dan cerita sebenar? Inilah yang kita samakan dalam 'games' theatre sebagai radio rosak iaitu apabila cerita disampaikan dari mulut ke mulut, cerita mula berubah mengikut situasi yang diterima penyampai. Kalau nak tambah meyakinkan maka ditokok tambahlah cerita itu. lalu untuk menyedapkan lagi cerita, tambah lagi ajinomoto, jadilah rasa sedap tiruan cerita itu. Tapi yang seronoknya orang kita ni, mereka tak mahu berpatah balik kepada cerita asal dari penyampai asal. Mereka cuma mahu dengar dan cakap cerita yang mereka suka sahaja. Jadilah ia radio rosak.

Kisah pelajar bukan muslim disuruh makan dalam tandas ini semasa Ramadhan sebenarnya menyimpang sekali dari hakikat sebenarnya. Mungkin cerita ini tersebar hanya berdasarkan sekeping foto. Lalu ditafsir macam-macam. Al-maklumlah ia kelihatan macam tandas. Apabila Mazidul pergi sendiri ke sekolah Sri Pristana itu dan melihat sendiri kedudukan sebenar cerita itu, jelaslah cerita yang tersebar itu sangat palsu. Pelajar disuruh makan dibilik persalinan yang bukannya bilik untuk buang air kecil atau besar. Bilik persalinan itu bersih dan kemas malah turut digunakan oleh murid-murid muslim juga untuk berehat. Bilik persalinan itu kemas dan bersih, mungkin lebih bersih dari tandas rumah-rumah orang yang menyebar cerita palsu ini. 

Syabas saya ucapkan kepada guru besar Sri Pristana yang tidak melatah dengan tohmahan ini. saya kira tindakan yang diambil sangat sesuai memandangkan kantin sekolah sedang dibaik pulih. Logiknya tak kanlah seorang guru, pengurus sekolah bertindak di luar batas kemanusiaan dan keislaman. Saya yakin, guru besar dan guru-guru Sri Pristana tidak mahu mencemarkan kesyumulan Islam dengan tindakan yang bodoh. 

Jadi, pengajaran untuk kita semua, jangan jadi radio rosak menyampai berita tidak betul. Apabila kita nak bercerita eloklah kita selidik dahulu kesahihannya. Kena ingat, orang Malaysia malas membaca tapi suka dengar cerita. Kalau tidak taklah telenovela dan drama bersiri mereka boleh layan tahap gaban.

Tuesday, July 23, 2013

TELEMOVIE SUDAH-SUDAHLAH

Pada yang terlepas menonton drama ini, sempena dengan Pilihanraya kecil Kuala Besut juga, saksikanlah drama Sudah-sudahlah sepenuhnya. Semoga dapat manfaat dari cerita ini.




SATU UNDI KUALA BESUT RM19,000?


Saya dapat rasa pentingnya Kuala Besut pada hari ini di mata Barisan Nasional dan Pas. Sebuah daerah yang tidak begitu pesat membangun jika dibandingkan dengan daerah yang berdekatan dengan Kuala Terengganu. Namun hari ini, pemergian Allahyarham Dr . A.Rahman Mokhtar telah memberi rahmat kepada penduduk Kuala Besut. Bukanlah maksud saya ia satu doa tetapi rahmat ini bermaksud, bagaimana pemergian Allahyarham telah menarik perhatian semua pemimpin di Malaysia ke Kuala Besut. Sehinggakan A.Kadir Jasin di dalam blognya, mengulas pilihanraya kecil Kuala Besut adalah PRK yang tidak menjanjikan keselesaan buat BN. Apatah lagi Datuk Sri Najib yang tergugat kesan daripada kekurangan majoriti di parlimen. Jadi, Kuala Besut betul-betul harus dimenangi oleh BN, ini kerana kerusi Kuala Besut juga adalah penentu kepada kedudukan BN di Terengganu.

PRK Kuala Besut yang akan berlangsung pada Rabu ini (24 Julai 2013) bersamaan 16 Ramadhan, akan menjadi medan pertandingan yang terbaik antara PAS dan UMNO. Dua parti Melayu Islam. Pada hari itulah yang akan melihat pengaruh siapakah yang paling kuat. Khabarnya jentera pilihanraya PAS bukan sahaja dibantu oleh ahli-ahli PAS seluruh negara bahkan, turut disokong oleh Pakatan Rakyat. Ini pun soal untuk menakluk satu lagi negeri di bawah Pakatan. Calon PAS yang lebih dikenali sebagai Che Long, atau nama sebenarnya Hj Azlan Endut yang merupakan ahli perniagaan perkayuan kontraktor kelas A.. Beliau akan dicabar oleh calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, seorang jurutera lulusan Universiti Sains Malaysia yang berusia 37 tahun, juga merupakan bekas Ketua Pengarah bahagian Korporat Jabatan Pengairan dan Saliran. Kedua-dua calon ini adalah anak jati Kuala Besut.

Tengok berapa besar orang yang turun


Oleh kerana Kuala Besut menjadi tumpuan, maka banyak sekali janji dan harapan dilimpahkan oleh kedua-dua parti. Rezeki orang-orang Kuala Besut. Bergantunglah siapakah pula pilihan mereka. Namun dalam Harakah telah menyebut bahawa, BN telah menggunakan duit kerajaan demi kemenangan di Kuala Besut. betulkah? Kata Harakah Daily, sebanyak RM377 juta lebih  dijanjikan untuk penduduk Kuala Besut dan jika dibahagikan kepada jumlah pengundi, maka setiap undi berharga RM19,000. Sampai ke situ analisa yang dibuat. Dalam huraian dibuat, Jumlah RM377 lebih  itu merangkumi:

"...PAS berpendapat peruntukan sebanyak RM377.45 juta untuk projek-projek yang diumumkan kerajaan setakat ini jelas menunjukkan ia merupakan pembelian undi menjelang PRK.

Sebanyak sembilan projek yang dijanjikan kerajaan BN, termasuklah projek mendalamkan Sungai Besut bernilai RM250 juta, membina pangsapuri empat tingkat di Kampung Lay Out bernilai RM10 juta, projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi Tok Saboh bernilai RM28 juta dan projek masjid terapung dengan kos RM12 juta.
Terbaru, kerajaan mengumumkan projek pembinaan Empangan Lowvier bernilai RM35 juta untuk para petani khususnya penanaman padi di Pengkalan Nangka."



Bagi saya, cara menarik undi BN ini sudah biasa, memang dari dahulu itulah caranya. Jadi tak perlu PAS nak berkira-kira tentang jumlah peruntukan. Sudah memang kuasa mengurus Persekutuan itu di tangan Barisan Nasional, jadi tidak mengapa. Pas perlu mencari kekuatan lain untuk memancing pengundi. Tetapi saya rasa, Allahyarhan Dr. A.Rahman Mokhtar telah pun melaksanakan tugasnya sebagai ADUN dengan baik dan diterima oleh rakyat Kuala Besut. Jadi apa salahnya kalau kesinambungan itu terus berlaku.

Monday, July 22, 2013

SENI KAKI LIMA DI MADRID





Pasangan ini hanya duduk, tiada dialog dan tiada aksi pun.
mereka hanya menampilkan magik. Kekauatan wanita itu mengangkat lelaki menggunakan sebelah tangan sahaja. Puas saya menilik dan memikir bagaimana mereka boleh bertahan. Rupanya ada teras di dalam kostume mereka



Betul lah kata orang jauh perjalanan, banyak pemandangan. Saya bertuah dapat melawat tempat seperti ini yang menghidangkan seni secara percuma. Melihat bagusnya pelakon-pelakon kaki lima beraksi ini, dan hanya mendapat bayaran atas ehsan orang yang lalu lalang. 

Ini persembahan demonstrasi. Tiada kostume dan aksi dramatik. Yang berkemeja biru sedang menerangkan bagaimana alat itu digunakan pada zaman dahulu.yang menariknya alatan itu adalah pusaka lama. Ia seperti pengandal untuk mengangkat barang yang berat. Cara demonstrasi ini menarik dan informatif.



Namun Madrid hidup dengan kehadiran mereka. Mereka bukan sekadar orang yang dipakaikan kostume tetapi mereka adalah pelakon yang dibekalkan ilmu persembahan. Cara mereka melakukan gerakan, bertahan dalam karakter dan melawan halangan waktu cuaca yang panas, saya kira ia latihan yang cukup bagus. Bukan senang. Bila dibandingkan dengan street performance di KL, memang kita sangat jauh tertinggal malah bukan sahaja tertinggal, kita sebenarnya hanya meniru tetapi tidak lahir dari semangat yang betul. 








Yang ini imitasi pokok. tapi saya suka kerana pemain ini  berjaya sustain karakternya begitu lama sekali. setiap gerakan postur dan gesturenya sungguh menarik. Ia seakan pohon yang melambai.



Ada orang kata, bolehlah berjalan kalau banyak duit, tapi itu bukan alasannya. ke mana pun perjalanan kita, mata harus tajam melihat dan mengamati ragam masyarakat. Berjalan bukan sekadar ambil gambar dan shopping semata. Bila kita dapat melihat sendiri baru mata kita percaya. Kerja saya sebagai pegawai kebudayaan menuntut untuk selalu menonton dan mengapresiasi kerja seni orang. Tapi kalau mengharapkan berjalan atas tajaan kerajaan semata, memang payahlah nak dapat.



Ini persembahan teater berkumpulan, ada aksi dan jalan cerita. Tapi mereka selaraskan kostumenya. Anak-anak muda ini begitu rileks sekali melakukan persembahan. Saya tidak sempat menontonnya habis kerana mahu ke tempat lain. Tapi saya kira ini bagus untuk kelas lakonan juga.


Kenapa saya kata begitu, biasanya yang pergi ke luar negara melihat dan melawat karya orang adalah big boss, balik dari sana mereka arahkan kita buat. Senang dan seronok berjalan bagi boss-boss tapi susah memikir dan mencerna ke pentas itu jatuh pada anak buah. Nasiblah tu, siapa suruh jadi anak buah hehehe. 

hari itu hari Ahad, waktu baru sahaja memulakan perjalanan saya ternampak sekumpulan orang sedang menyanyi diiringi alunan muzik. Sesekali mereka menari dalam perarakan. Ia sangat folk. Wanita di tengah itu mengalunkan suara soprano mendendangkan lagu klasik flavour opera. Saya kira ini kumpulan kebudayaan gereja dari sekitar Madrid. Mereka tidak mengutip wang, hanya membuat persembahan di jalanan.



Dua askar ini saya kira sangat terlatih. Sifat kejantanan mereka terserlah. Menariknya, mereka adalah patung gangsa tetapi apabila mahu berubah kedudukan, mereka melakukan gerakan slow motion. Sangat-sangat menarik Saya kira mereka merancang dengan baik persembahan mereka ini. Kita boleh ralik dengan hanya berdiri dan memerhati. Persembahan mereka ini menarik minat kanak-kanak, khususnya lelaki.



Ini lakonan Jesus yang disalib. Waktu saya melintas, pelakon ini
sedang bersiap untuk memulakan aksi. Tetapi dalam persiapannya menjadi Jesus, dia sudahpun berada dalam karakter. Badannya yang kering dang berdarah itu, bergerak danbersiap dalam rasa kesakitan. saya macam percaya dia sedang sakit. Bila ready sambil menahan kesakitan, dia mengangkat pancang itu. Dia sangat profesional.




Seingat saya, trip tajaan kerajaan yang betul-betul bermanfaat adalah pada tahun 2008, apabila ASWARA menyertai Malaysia Week. Rombongan kami diberi kesempatan oleh Dato Omar Awang untuk menonton muzikal dan melawat universiti-universiti. Malah bukan itu sahaja, atas inisiatif kami, khususnya Joseph Gonzales yang memastikan para pelajar memanfaatkan lawtan mereka ke London, ada pelajar sempat mengikuti kelas tari di pineapple studio.



Sewaktu melawat Plaza Mayor, ramai sekali persembahan jalanan. Saya tertarik dengan pelakon ini. Dia menjadi halimunan. Tidak berwajah tetapi bercermin mata. Hahaha sangat cute. Adakah dia lelaki atau perempuan? Saya tidak tahu tapi yang pasti tubuhnya kecil dan pendek sehingga boleh berupa mejadi orang tak berkepala.







Yang ini menguji mata kita. Ada dua pelakon tetapi salah satunya sebenarnya patung. Kita harus tengok lama-lama untuk kenal yang mana satu pelakon sebenarnya. Pelakon ini perlu ada stamina yang tinggi, bagus dalam mengawal pernafasan dan mampu bertahan dalam kedudukan yang lama. 












Jadi, jika kita berminat dengan seni budaya atau jika kita ini memang kerjanya  berorientasikan seni budaya macam pegawai kebudayaan ke, artis budaya ke, pensyarah seni ke, pemuzik, penari ke atau yang sewaktu dengannya, kalau dapat peluang berjalan, janganlah kita fikirkan untuk pakai lawa-lawa sambil pose depan patung dan gedung-gedung mewah. manfaatkan perjalanan kita untuk belajar dari orang lain. Ia akan membantu meningkatkan pengetahuan kita. Saya berpesan untuk diri saya juga.Walau ke mana pun kita pergi, mesti ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Tidak semestinya ke Madrid!






ANAK MATI DALAM KERETA


Dugaan apakah yang diterima oleh ibu kanak-kanak yang meninggal di dalam kereta akibat heat stroke ini? Saya tidak mampu melihat foto kanak-kanak yang malang itu. Tidakk terbayang di mata saat dia melawan kesakitan. Ya Allah! Bila situasi begini, kecuaian ibunya, Nor Zatusy Hazwa dijadikan punca. Namun bila membaca dan memahami situasi yang berlaku, sukar sekali untuk saya selami perasaan Nor Zatusy. 

Kehilangan anak kecil, Nawal Iris akibat kecuaian ini amat mendukacitakan. Tentu sekali ia menjadi bebanan yang berat buat Zatusy. Bagaimanakah beliau sekeluarga mahu menghadapi hari-hari mendatang dengan Ramadhan dan Syawal yang bakal tiba. Saya sendiri berat merasakannya. Kemalangan yang di luar jangkaan. Besar sekali ujian yang diterima Zatusy. Semoga beliau tabah dan kuat melawan tekanan. Memang itu kesilapannya tetapi ia bukan dilakukan dalam sedar. Minda bawah sedarnya menguasai tindakannya pada hari itu. Dan itulah hari yang selalu akan menyedarkannya.

Semoga ini juga menjadi pengajaran buat kita semua. Dalam hal ini, saya pasti Zatusy seorang ibu yang penyayang dan tidak merelakan pemergian Nawal Iris dalam cara sebegitu. Tabahlah Zatusy, Allah sedang menguji anda.

Al-fatihah buat Allahyarham Nawal Iris Shamsuddin. Sesungguhnya syurga yang menyambutnya.

Sunday, July 21, 2013

SEKSUALITI MERDEKA DI MADRID

Ini pemandangan biasa pada hari pertama saya tiba.
Tajuk entri kali ini memang sensasi. Saya pun terpanggil untuk menulis perkara ini setelah beberapa tahun negara kita tersentak dengan satu gerakan Seksualiti Merdeka. Kunjungan saya ke Madrid awal Julai lalu, menambahkan lagi keinginan saya mahu menulis entri mengenai perkara ini. Malaysia dikejutkan dengan satu perhimpunan yang melaungkan kebebasan berpasangan dan mengamalkan orientasi seks secara terbuka pada tahun 2008, di waktu negara mahu menyambut perayaan kemerdekaan ke 51 dengan membawa tagline "If one of us ain't free, none of us are". perhimpunan itu berjaya menghimpunkan antara 400-500 orang. Dan beberapa siri program bersifat sedemikian diadakan termasuklah pada tahun 2011 bertema "Queer without fear" yang berlangsung di The Annexe Gallery, Pasar Seni.

Petang sebelum perarakan, mereka bersidai di
Mc Donald
Namun tidaklah saya ingin memperkatakan tentang gerakan di Malaysia kerana siapalah saya untuk memperkatakannya. Jika daripada sudut penganut Islam, saya memang menolak gerakan dan amalan ini. Malah sejak gerakan seksualiti merdeka yang bersamaan dengan gerakan LGBT dunia ini berlangsung, saya kurang ambil peduli, sekadar membuat bacaan tetapi untuk memperkatakannya, tidak. tetapi bila kunjungan saya ke Eropah tempoh hari dan melihat menular dan berkembangnya budaya baru ini, ia memang menakutkan saya. Setibanya saya di kota Madrid, sudah terpampang billboard besar yang mewar-warkan 'Gayparade'. Mula-mula saya tak faham sebab bahasanya Spanish, kawan saya maklumkan bahawa sekarang ni di Eropah berlangsung gayparade. Fahamlah saya. Jadi, sepanjang tiga hari di Madrid, di sepanjang jalan saya melihat lelaki-lelaki tua dan muda bertubuh sasa berjalan berpasangan atau berkumpulan. Ada yang berpimpinan malah di taman ada yang santai berbaring berpelukan. Saya lihat orang ramai sama ada tua, muda atau kanak-kanak langsung tidak melihat itu sebagai pelik. Ia seperti diterima dengan baik sekali. 

Apa yang mereka jual?
Malam itu sewaktu saya menemani rakan saya, Tariq ke Hard Rock Cafe, dari jauh kami terdengar bunyi seakan konsert. Saya kata 'agaknya malam ni kot parade tu?' lalu saya ajak Tariq untuk melihat apa yang berlaku. Kalau tidak lihat dengan mata sendiri, kita sekadar membuat andaian tentu sekali tidak tepat pengalaman itu. Jadi malam itu, jauh sekali perjalanan kami. Dari Hard Rock menuju ke Rege Carolo III jaraknya beberapa kilometer. Dalam hati saya memang mahu sangat melihat bagaimana orang Madrid menyambutnya. Kalau di Malaysia, haram saya singgah. Ya Allah terkejut saya, ia seperti lautan manusia di sepanjang jalan utama kota Madrid. Manusia pelbagai bangsa dan umur meraikan festival itu, seolah-olah ianya satu folklore. Kalau kita di Malaysia, Citrawarna lah ukurannya. Tapi perarakan ini jauh lebih ramai dan hebat sekali sambutannya. Manusia di kota itu, berpesta menari dan mabuk-mabukan. Ada yang sudah hampir telanjang di jalanan. Ibu tua pun ada yang mabuk-mabukan apatah lagi yang muda-muda. Anak-anak kecil turut sama hadir ke pesta itu. Saya perhatikan antara mereka lelaki dan perempuan sudah tiada sempadan, apatah lagi antara sejenis, mereka berpelukan dan berciuman di khalayak. memang malam itu malam meraikan percintaan sejenis. Saya sudah ajak Tariq pulang tapi kami sudah terkepung di dalam lautan manusia. Terpaksa kami mengikut arus gerakan manusia-manusia itu. 

lautan manusia 
Perarakan mereka bukanlah perarakan yang menarik pun. Kumpulan mewakili negara-negara Eropah, dilonggokkan kumpulan tersebut beramai-ramai di atas bas atau lori kemudian mereka menari-nari dan bersorak-sorai. Ia bukanlah seperti perarakan Mardi Gras di Rio de Janeiro yang memukau dengan kostume dan hiasan kereta berhiasnya atau pun Citrawarna yang lebih menarik dengan penonjolan kesenian. Tetapi perarakan gayparade ini lebih kepada mengekspresikan kebanggaan sebagai LGBT. Itu sahaja. Saya tidak nampak sebarang mesej yang baik dalam perarakan itu. Ia menonjolkan tarikan seksualiti di mana lelaki-lelaki hanya berseluar kecil manakala wanita berbikini di atas kereta perarakan. Itu sahaja. Perarakan ini sangat-sangat menghanyutkan pengunjung dengan arak dan muzik tari-menari. Menariknya, sepanjang jalan itu, saya disapa oleh orang-orang yang mabuk agar diambil gambar mereka.

aksi begini ada di mana-mana 
Dunia hari ini sangat Eurocentric, kita menghadap dan menerima pengaruh dunia barat secara meluas. Pengaruh Eropah yang menular dalam kehidupan kita bukan sahaja dalam soal mengatur kehidupan berteknologi, mengagumi kehebatan kreativiti mereka, meniru corak dan sistem mengurus mereka malah hal-hal yang negatif turut menjadi antara budaya besar yang diterima oleh orang-orang kita. Terbukanya dunia tanpa sempadan mengizinkan lagi, orang-orang kita meniru dan menerap masuk unsur-unsur tidak sihat. Hari ini, barat secara terbuka menerima perkahwinan sejenis atas nama hak asasi sehingga mengetepikan agama dan tata hidup alami. Golongan agama sendiri mengamalkan hubungan sejenis malah mereka yang sepatutnya mempertahankan kesucian agama mereka, sudah berkompromi menikahkan pasangan sejenis. Tamadun yang dibina oleh manusia bukanlah terbina atas nafsu tetapi oleh peradaban dan ilmu tinggi. Tetapi hari ini, Barat telah mengangkat hawa nafsu atas nama hak asasi di tempat yang tinggi sehingga ia tidak boleh ditegah atau dilarang oleh agama. Mengikut nafsu sama lah seperti menurut sifat kebinatangan, kerana nafsu seharusnya dibendung oleh akal fikiran yang dimanifestasikan melalui amalan keagamaan. Percayalah, tamadun yang dibina atas nama hawa nafsu akan binasa. Kita harus belajar dari sejarah silam. 

sepanjang jalan orang menari. Ini dikira sopan
Memang tidak dinafikan, di Malaysia wujud kelompok ini. Ia berkembang dan menular di kalangan muda-mudi. Ada yang menyalahkan sebab kelahiran semulajadi mereka. Benar ada sesetengah dilahirkan atas kecacatan jantina, namun yang sebegitu ramai hari ini bukan atas alasan itu, ia lebih kepada turutan hawa nafsu. Jadi tidak hairan jika di YouTube muncul lelaki Islam yang secara terbuka berkempen supaya tidak malu mengakui orientasi seks mereka. Ia seolah-olah satu perjuangan kerana ditindas dan dipencilkan. Malah surat khabar kita sendiri pun tidak ada langsung usaha menapis berita-berita kehidupan golongan LGBT dan pengamal freesex. Ia semacam perkara biasa bila menyiarkan artis barat punya anak di luar perkahwinan bahkan kisah Elton John dan kekasihnya macam satu cerita seisi keluarga. Saya anggap itu satu usaha mempopular dan melahirkan lebih ramai manusia Malaysia yang merasa okay jika menjadi LGBT. 

di pasar San Miguel ada makanan
dijual sempena gayparade
Ini kek pelangi yang jadi kegilaan kakak-kakak
di Malaysia. Tahukah anda warna pelangi
adalah warna LGBT
Janganlah kerana tidak mahu menindas lalu kita mengangkat dan menyokong usaha Seksualiti Merdeka atau Free Seks ini dalam masyarakat kita. Save Malaysia!

Saturday, July 20, 2013

PROMO: DRAMA KELANTAN 'SUDAH SUDAHLAH...'



Pengumuman! Pengumuman! Pengumuman! drama 'Sudah Sudahlah...' akan ditayangkan pada 20 Julai 2013 di TV1 jam 2.00 petang. Jangan terlepas pulak, dah bagitahu dah ni. Ceritanya menarik ada banyak sub-plotnya. Tapi cerita pokoknya mengenai perebutan jawatan Pengerusi Koperasi di sebuah kampung (lokasinya di Kuala Besut, Terengganu) antara pemimpin lama, Abe Him (Saya lah tu) dengan pemimpin muda yang baru keluar universiti, lakonan Asrul (Budak Kelantan). Drama ini diarahkan oleh saudara Asri Alias (orang Kelantan jugok). Cerita ini sepenuhnya dalam dialek Kelantan. Ini pertama kali, saya berlakon dengan barisan pelakon Kelantan dan Terengganu. Memang hebat-hebat belaka sampai ada ketikanya saya rasa kecil dan hilang perkataan. Kita ingat kita bagus sebab lahir dan dibesarkan di Kelantan, tapi sebab dah lama duduk di luar, perbendaharaan kata Kelantan pun banyak pupus. betullah kata orang, seniman itu hidup dalam lingkungannya.

jadi, jangan lupa temujanji kita pada Sabtu 20 Julai 2013, TV1 pukul 2.00 petang.

Friday, July 19, 2013

SAJAK DAYANA BUAT ASHRAF MUSLIM

Mereka disatukan di Tanah Suci, terdetik juga hati saya ketika itu;
Apakah Dayana benar-benar pilihan Ashraf
Kisah kontroversi Ashraf Muslim yang berkahwin dua, sudahpun bertiup sebelum Ramadhan lagi. Ramai desas-desus kata Ashraf kembali bertaut dengan Sherry Ibrahim (heroin Teduhan Kasih) yang pernah menjadi kekasihnya dulu. Namun khabar angin itu tidak benar apabila, Ashraf mengesahkan telah pun menikahi Wan Sakinah, bekas kru produksi TV di negara Thailand. Katanya Ashraf dan Wan Sakinah sudah pun berhubungan sekian lama selepas Ashraf mendirikan rumahtangga dengan Dayana. Hari ini, kita lihat Dayana sebagai mangsa keadaan, wanita yang dimadukan dan dinafikan kehadirannya sewaktu Ashraf mahu menikah sekali lagi. Kesian kan.
Namun, dalam hidup berumah tangga saya percaya, perkara hubungan suami-isteri ini ia berlaku seperti bertepuk tangan. Kita tidak mengetahui apa masalah dalaman antara mereka. Kenapa Ashraf mencari jalan sebegini? Sehingga digelar melupakan jasa bapa mertuanya yang merupakan tokoh perubatan alternatif yang terkenal, Ustaz Lokman. Peristiwa ini bukan sekadar kisah kecurangan si suami terhadap isterinya, bukan sekadar suami mahu memenuhi nafsunya atau kegagalam pasangan mendapat zuriat. Tapi pasti ada bibit-bibit lain yang membawa kepada tindakan Ashraf ini. Adakah Wan Sakinah muncul di saat Ashraf mencari jalan keluar? Atau memang Dayana memang betul-betul berniat mengacau hubungan suami isteri ini. 
itulah Sakinah, isteri kedua Ashraf

Lalu di media sosial pada masa ini kecoh memperkatakan tentang kisah tiga orang ini. Biasalah tu, orang Melayu suka yang sensasi. Ada yang tuduh jalang pada sakinah, bodoh pada Dayana, curang dan kejam pada Ashraf dan bermacam-macam lagi tohmahan dan 'statement' yang diberi secara membuta tuli. Bagi saya, kita sepatutnya tidak harus mudah menjatuh hukuman. Biarlah mereka melalui ujian ini dengan penuh ketabahan. Semoga Allah memberi kekuatan kepada mereka bertiga. 
Ini adalah sajak yang dikatakan ditulis oleh Dayana, mengisahkan kedukaannya:
Tak usah bicara tentang payung emas

Kerana
Aku belum layak iktiraf diri sesuci khadijah atau fatimah
Tak usah bicara tentang zuriat
Kerana
Aku bukan Allah…mudah menyebut kun fa ya kun…
Tak usah bicara tentang setia
Kerana
Aku pasti kau tahu aku bukan perempuan jalanan
Tak usah bicara tentang tanggungjawab
Kerana
Aku tahu kau lebih arif tentang itu

Tak usah bicara tentang kesempurnaan

Kerana
Aku terima kekurangan kau kerana Allah
Tak usah bicara tentang dia
Kerana
Aku diasingkan darimu kerana dia
Sucinya aku, kau miliki ketika di Makkah
Hebatnya dia, kau sembunyikan ketika di Thailand..
Berhenti beralasan ini semua jodoh ketentuan Allah..
Kerana satu dunia tahu
Hanya itu lah jawapan mudah utk lepaskan kekhilafan yg disengajakan

Saya petik sajak ini dan bacalah kisah selanjutnya di http://www.currentlife2u.com

Wednesday, July 17, 2013

VIVIAN-ALVIN: INI KALI MEMANG KENA



Sudah lama saya tahu kisah pasangan ini. Pasangan kekasih Alvin dan Vivian yang mengejutkan media Malaysia dan Singapura dengan blognya. Blog yang memaparkan secara terbuka aktiviti seks mereka. Mereka secara terang-terangan meluah dan mengekspresikan naluri semulajadi mereka itu kepada umum. Bagi mereka berdua ianya tidak salah, yang salah adalah kita masyarakat yang memandang negatif pada soal seks dan hal-hal yang sangat sensitif dalam budaya timur.


Aksi-aksi mereka bukan sekadar foto-foto tetapi turut memuat turun video lucahnya. Saya pun jadi hairan melihat keterbukaan mereka yang melampaui batas kita masyarakat di Malaysia. Adakah mereka ini adalah generasi masa depan yang melihat norma dan nilai timur itu tidak lagi sepadan dengan generasi hari ini. Memang saya akui ada segelintir dalam masyarakat kita yang hidup mereka melebihi cara orang Barat, tapi tidak seberani pasangan ini. Syabaslah Alvin dan Vivian, sebab kamu berdua benar-benar tak berbangsa! Ini bukan soal bangsa Melayu, Cina atau India atau apapun tetapi ini soal sikap dan pandangan mereka, sensitiviti mereka terhadap sesuatu perkara.


Saya kira bagi mereka berdua, apa yang orang lain fikir bukan lagi hal mereka. Bukan masalah mereka. Itu masalah orang lain. Lihatlah bagaimana indiviualistik dan bagaimana manusia hari ini enggan bermasyarakat. Mereka berdua ini mewakili generasi 'new media' yang sangat berani dan ekspresif. Tetapi berani mereka ini tidak hadir bersama tanggung jawab. Mereka sangat lemah dalam inter-personal skill. Tidak mahu memahami, mengerti, merasai, menyelami dan meletakkan bahu mereka ke atas beban orang lain. Itu tidak penting, yang penting adalah diri-sendiri! Agaknya mereka sudah tidak ada mak bapak? 


Jadi apabila isu foto ucapan Selamat menyambut ramadhan dengan hidangan Bak Kut Teh oleh mereka berdua, saya kira ia betul-betul bagi penangan yang terbaik buat mereka. Dalam hal positif, tercapailah hajat mereka berdua untuk popular dan terkenal tetapi daripada sudut lain, mereka silap percaturan. Mempersendakan isu agama sewaktu Islam sedang menyambut Ramadhan. Jangan main-main dengan puasa, ia bukan sahaja ibadah tapi ia menjadi satu bulan yang benar-benar mengikat kukuh jiwa Islam, memupuk sensitiviti yang tinggi dan mengetuk pintu-pintu politik untuk berperanan atas nama Islam. Mula-mula bolehlah kita bersikap sangsi dan anggap Alvin dan Vivian didajalkan (kena hacked) oleh mereka yang mahu mengenakan mereka namun apabila mereka memuat naik video memohon maaf, jadi sahlah perangai buruk mereka ini benar-benar BURUK!


SKMM dan pihak yang bertanggujawab, silalah laksanakan peranan. Harus bertegas dalam soal ini, jangan kalah dek hak asasi mereka. Kita tidak mahu ramai lagi manusia Malaysia yang lahir macam mereka berdua ni. Saya lihat dua-tiga media berbahasa Inggeris sudah memberi publisiti dan mengangkat mereka berdua ini sebagai hero. Jangan terlambat jika tidak situasi ini akan merubah kepada kita yang tidak betul!

Wednesday, July 3, 2013

MESIR DAN MUHAMMAD MURSI



Apa yang berlaku di Mesir pada hari ini mendukacitakan. Dunia melihat Mesir sebagai negara kucar-kacir. Ketenteraman tiada lagi ekoran penentangan rakyat terhadap kepimpinan Muhammad Mursi. Presiden Mesir yang dipilih melalui pilihanraya yang sah pada Jun 2012. Sewaktu pemilihannya sebagai Presiden, rakyat bergembira menyambutnya setelah berlaku demonstrasi dan gerakan menjatuhkan Hosni Mubarak berjaya. Hosni yang memerintah Mesir lebih kurang 30 tahun telah merubah hidup rakyat Mesir dalam pelbagai kelompok. Jurang ekonomi antara penduduk sangat besar. Kemunculan Morsi sebagai pemimpin berpendidikan Islam dan menjadikan Islam sebagai teras dalam pentadbirannya mendapat reaksi cukup positif. Ia menjadi penanda kepada Arab Spring bahawa tiba masanya dunia Arab kembali kepada pemerintahan berasaskan undang-undang Islam. Namun, cita-cita Mursi itu, menghadapi tentangan dari banyak penjuru. Protes dari kelompok sekular dan rakyat bukan Islam serta pengikut-pengikut tegar Hosni Mubarak membuatkan usaha Mursi mengubah pentadbiran menjadi sangat berintangan. Ini juga dikira kesan daripada ketepuan minda yang terasuh oleh pemerintahan Hosni Mubarak. Rakyat selesa dalam hidup serba kedaifan. Bagaimana sebuah negara yang antara terawal menerima kemodenan, kota Kaherah yang sangat kosmolitan dahulunya berubah kini menjadi sangat padat dan ramai sekali golongan fakir dan miskin yang hidup kais pagi makan pagi. 


Mesir sebelum Hosni Mubarak, telah menempuh banyak sekali peristiwa. Sebelum Hosni diangkat sebagai Presiden, Presiden Anwar Sadat mati ditembak di dalam satu majlis kebesaran negara. Dari detik itulah, Mesir mencari pemimpin dan menemui Hosni Mubarak. Harapan yang ditumpahkan kepadanya rupanya membawa kepada kemalapan Mesir. Bagaimana sebuah negara yang kaya dengan sumber bumi, bumi anbia dan memiliki tamadun terawal dunia, destinasi pelancongan paling strategik dan bermacam lagi. Namun itu semua gagal digunakan Hosni untuk memakmur dan meningkatkan taraf hidup rakyatnya. 


Apabila Mursi mendapat persetujuan undang-undang dengan memberikan kuasa penuh kepadanya di dalam menentukan pemerintahannya tanpa perlu merujuk kepada judicial, beratus ribu rakyat keluar melalukan protes dijalanan. Namun jangan terkesan dengan protes sedemikian, rakyat Mesir memang terkenal dengan aktiviti berkumpul dan protes. Rakyat Mesir suka meluahkan kemarahan malah kegembiraan di jalanan. Jika menang bolasepak pun, beratus ribu akan meraikannya. Itu perkara yang bukan luar biasa. Apatah lagi dalam soal berkaitan undang-undang dan pelaksanaan dasar. Oleh kerana sebilangan besar masyarakat Mesir berpendidikan randah, mereka kurang ilmu dan keupayaan untuk mentafsir sesuatu perkara dnegan baik, sering sahaja mereka terhasut dengan puak-puak yang menentang kerajaan. Rakyat Mesir sangat kasar, mereka sangat ekspresif dalam banyak hal. Mereka akan berada di jalanan bersama-sama yang lain dengan bermodalkan pengertian yang cetek. Jadi saya anggap tuntuan sesetengah rakyat Mesir yang mahu melihat perubahan segera Mesir adalah sangat tidak munasabah. Masakan Mursi yang baru sahaja setahun memerintah mahu membaiki kerosakan yang dibuat selama 30 tahun.

memang benar, saya tidak nampak satu gambar pun
tergantung di mana-mana bangunan walhal
beliau baru sahaja dilantik sebagi presiden.
berbeza sekali di Malaysia.

Tahun lepas saya berpeluang melawat Mesir. lebih 10 hari saya berada di Kaherah dan ia sangat memberi kesan kepada saya. Bumi Mesir yang memiliki tinggalan sejarah penting, memiliki ilmuan dan cendikiawan yang hebat, memiliki pemikir dan ulamak Islam tinggi ilmunya namun semua itu dikaburi oleh politik. Politik yang sangat sekular mengetepikan pandangan para ilmuan. Jadilah Mesir sebuah negara yang tersesat dalam kemodenan. Dan kini kemodenan adalah beban yang tidak terpikul oleh ramai rakyat dan itulah yang cuba diselamatkan Mursi.


Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...