Jom Kita Jadi Geng

Saturday, June 8, 2013

TANDA PUTERA: CATATAN KECIL SAYA


Semua sudah tahu, Tanda Putera akan ditayangkan sempena sambutan kemerdekaan negara tahun ini. Saya sambut dengan perasaan syukur alhamdulillah atas keputusan ini. Setelah hampir dua tahun filem ini terperap menunggu keputusan birokrasi dan menghadapi tekanan-tekanan yang saya anggap hal yang tidak munasabah, akhirnya Tanda Putera akan menemui masyarakat. Memang Tanda Putera sudahpun ditayangkan secara tertutup di beberapa IPT dan kelompok khalayak namun saya anggap tayangan pada 29 Ogos nanti adalah yang sebenarnya.

Sepanjang tempoh menunggu ini, saya hanya sempat menonton sekali sahaja. Namun saya membaca review dan pandangan orang yang menonton, rata-rata suka dan memuji cerita ini. Filem ini bermula dengan tragedi 13 Mei 1969 yang membawa kepada kemusnahan negara baru dan menuju kepada kebangkitan pemimpin sehinggalah berakhir dengan tragedi kematian pemimpin yang membangunkan negara ini. Ia kisah yang sangat romantis, kisah perjuangan dan kesetiakawanan antara dua sahabat. Dalam Tanda Putera, politik hanyalah sebagai alat yang menghantar cerita tetapi kisah pengorbanan, persahabatan dan patriotisme itu melebihi segala. Kisah cinta isteri pada suami, anak kepada ayah, kasih berbeza budaya, kisah yang muda menghormati yang tua, kisah pemimpin dihormati, kisah rakyat biasa yang berjuang, kisah manusia kecil menjadi insan yang besar dan bermacam sub-plot yang saya kira sungguh menyentuh hati. 


Bagaimana sebuah filem yang sebegini besar maknanya kepada negara boleh dipandang sepi dan diperap kerana bimbang boleh menghantui dan mendatangkan kerosakan pada yang lain. Bagaimanakah perasaan itu boleh timbul? Saya tiada jawapan. Peristiwa dahulu sudah menjadi sejarah dan sejarah ditafsir daripada pelbagai sudut. Tanda Putera mentafsir sejarah Malaysia di tangan Tun Abdul Razak dan Tun Dr. Ismail melalui perjuangan dan pergorbanna mereka. Itu tidak salah dan kenapa pula harus ada pihak menidakkan fakta yang wujud. Hal ini saya hairan. Banyak filem-filem besar menterjemah ketokohan dan sejarah bangsa mereka mengikut sudut pandangan mereka. Lihat Gandhi dan Nixon. Lihat juga filem Che Guevara atau Cut Nyak Dhien bukankah mereka juga membuat tafsiran. Kenapa jadi sukar membuat filem di Malaysia, banyak sekali tangan-tangan di luar kreativiti yang masuk dan cuba mengadun.


Saya ditawarkan untuk terus bermain watak yang sama dalam Tanda Putera. Dalam perbincangan, saya mohon diberi watak lain kerana bimbang Tunku menjadi sangat sinonim dengan saya. Ternyata cadangan dan pelawaan saya ditolak mentah-mentah oleh Pesona Pictures. Saya tiada pilihan selain menerima tawaran ini, bodohlah saya jika menolak untuk terlibat dalam filem yang saya kira besar dan berguna ini. Bila sudah terima, watak Tunku tidaklah besar tetapi peranannya penting dalam menentukan peralihan kuasa. Secara peribadi, Tanda Putera adalah filem yang merakam kejatuhan Tunku. Tewasnya Bapa Kemerdekaan yang dilihat tidak lagi relevan dalam perjuangan bangsa dan kepimpinan negara. Saat menghadapi tekanan oleh the Young Turks dan surat Mahathir, Tunku juga harus berhadapan dengan krisis dalaman yang memperlihatkan adanya usaha sulit menjatuhkannya. Ini memberi kesan kejiwaan yang besar. Berulang kali saya khatam "13th Mei Before and After" untuk memahami tulisan Tunku itu, menyelami perasaan dan pergolakannya.


Tetapi dalam saya membaca buku itu, Shuhaimi dan produksinya melakukan lebih daripada sekadar menyedia dan merealisasikan skrip. Produksi Pesona melakukan kajian sehingga ke luar negara untuk mendapatkan bahan-bahan yang sahih. Mereka menemuramah individu-invidu yang terlibat dalam kejadian 13 Mei, tokoh dan individu yang berkerja sekeliling Tun Razak dan Tun Ismail dan membelek akhbar,kertas, fail, dokumen dan buku untuk memahami urutan peristiwa dan sebab-musabab yang membawa berlakunya kejadian. Fesyen dan gaya setiap peribadi individu diperhati dan dijadikan sumber untuk dimunculkan di layar. Pesona tidak sambil lewa meletakkan sesuatu di setiap frame-nya. Para pelakon dipilih berdasarkan kesesuaian, kami diberi latihan sebelum masuk lokasi. Chemistry dibina agar tidak wujud rasa kekok antara pelakon. Hal ini sangat membantu para pelakon untuk berkolaborasi dan memahami keperluan dan kehendak pengarah. Kesilapan dan kekurangan diperbetul sewaktu latihan, intonasi dan intention dapat kami temui sebelum kamera merakam kami.


Jadi apabila Tanda Putera digantung tak bertali hampir dua tahun, saya anggap ia sangat tidak adil kepada Pesona dan kami yang bekerja untuk filem ini. Bagaimana Tanda Putera boleh dianggap filem yang boleh menghasut sedangkan filem-filem yang langsung tidak mengangkat pemikiran dan membawa kesan kepada peradaban Malaysia bersenang lenang memenuhi panggung. Jika begini sikap orang Malaysia yang takut berhadapan dengan sejarah, selama itulah kita tidak akan belajar sesuatu dari sejarah. Dan saya tidak hairan jika generasi muda tidak berminat pun dengan sejarah dan memandang sepi pada perjuangan lalu. Lupa pada  jasa dan pengorbanan mereka yang membina Malaysia.


Menutup entri saya ini, walau siapapun yang memerdekakan negara ini, semua itu tidak akan bermula tanpa kebangkitan dan kesedaran yang muncul di kalangan orang Melayu. Di awal abad ke 20, perlahan-lahan orang Melayu memupuk kesedaran nasionalisme. Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) sebagai contoh sudah menghasilkan novel Putera Gunung Tahan yang sangat sinikal dan sangat patriotik kepada tanahair, Pak Sako memperlekeh British dan mengangkat orang pribumi dengan bijaksana. Novel yang lahir di tahun 1937 ini, mula diperhati British dan menangkap Pak Sako sehingga dianggap sebagai anti-Inggeris. Di masa itu, siapa sahaja yang anti-inggeris dianggap sebagai ekstrem dan berhaluan kiri. Dan kerana dek khianat kepada British jasa dan pengorbanan mereka kepada bangsa dilupakan.

Tetapi karya seni tetap terus hidup. Kesannya seni besar dalam mengangkat dan mengubah pemikiran masyarakat. Tetapi hari ini, seni hanya diguna sebagai alat hiburan semata-mata. Malangnya kita orang Melayu, lupa dan malas untuk berfikir lalu filem seumpama Tanda Putera ini dianggap kurang mustahak. 

1 comment:

zizi ejayzi said...

Saya dah tonton filem ini.Menghasut? i dun think so.Sebagai generasi muda yg dilahirkan setelah pemimpin2 hebat ini tiada, filem ini byk membantu saya utk lebih mengenali dan memahami perjuangan Tun.Abd Razak dan Tun Dr. Ismail.*Lakonan Zizan Nin dan Rushdi Ramli harus diberi pujian :)

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...