Jom Kita Jadi Geng

Showing posts with label MySelf. Show all posts
Showing posts with label MySelf. Show all posts

Saturday, December 14, 2013

VEKTOR 58 - CERITA ROBOT MALAYSIA


Coda in action. Ini memang buatan Malaysia dan hasil kerja mereka
sudah pun diiktiraf , filem Penanggal menggunakan kepakaran CGI mereka.
Vektor 58 adalah sebuah siri aksi baru yang akan mula ditayangkan di TV9 pada hari ini Sabtu, 14 Disember 2013 jam 5.30 petang. Sepatutnya ditayangkan minggu lepas (7 Dis) tapi TV9 telah beri laluan kepada program lain. Siri ini adalah terbitan sepenuhnya anak muda tempatan yang mempertaruhkan keupayaan mereka dalam teknologi Imej Janaan Komputer (CGI) seperti mana kita lihat dalam filem seperti Transformers dan mana-mana filem Hollywood hari ini. Aksi fiksyen ini bakal memberi impak baru kepada penerbitan drama TV tempatan, memandangkan Vektor 58  memaparkan CGI dengan sarat sekali. Vektor 58 akan ditayangkan sebanyak 13 episod.

sang sutradara - Roshfaizal yang multi talented yang selalu tenang.
All the best Rosh!
Ini watak Izak lawan Coda. Izak tu Che Kem lah ya.
Ini antara babak-babak akhir cerita. 

Menurut Pengarah drama ini, Roshfaizal Ariffin yang saya petik dari blog Budiey ; “Vektor 58 adalah sebuah drama bersiri yang menyediakan hiburan ringan khususnya untuk golongan kanak-kanak dan remaja. Namun, apa yang menarik tentang drama ini ialah watak utamanya, Arif dan beberapa watak makhluk asing seperti robot dijayakan menggunakan kepakaran syarikat kami dalam kesan visual. Kami amat bersyukur kerana usaha kami dalam menghasilkan drama aksi sains fiksyen ini mendapat bantuan kewangan daripada MDeC. Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Media Prima dan TV9 khususnya yang memberi kepercayaan kepada produk kami untuk menjadi salah sebuah program televisyen dibawah penyiaran mereka. Kami berharap untuk terus menghasilkan program televisyen yang berkualiti seperti ini dan secara tidak langsung membawa drama kanak-kanak tempatan ke peringkat global. “

Inilah Ain Satar. Lakonannya bukan setakat ok ya tapi bagus!

Ku Amirul - wajah hero baru kelahiran Terengganu. Dia ada pakej yang
lengkap untuk jadi hero Malaya. Bagi sikit lagi asuhan, dia akan bersinar.

Saya jangkakan siri ini akan menjadi trending di TV9 sebagaimana Upin dan Ipin. Watak-watak robot dalam siri ini bakal menjadi wajah superhero baru milik tempatan. Watak utama siri ini dilakonkan pendatang baru iaitu Ku Amirul dan Ain Satar. Mereka berdua ada potensi besar untuk bersinar. Harap melalui Vektor 58 peluang mereka terbuka. Selain mereka, muka baru yang diperkenalkan adalah Intan Baizura dan Jefri Jefrizal serta beberapa pelakon ternama turut terlibat, antaranya Ogy Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud, Norman Hakim, Kazar, Nasha Aziz dan Aziz Singah. Saya turut terlibat sebagai watak antagonis, robot Izak yang akan muncul di episod ke 10 (ikut skripnya).

Ini pelakon tua tak sedar diri huhuhu... Thanks to Che Mat dan Sam
yang hubungi saya. Thanks to Rosh dan team. You are rock!!
Seronoknya bekerja dalam produksi ini, tenaga kerja yang terdiri orang muda yang bersemangat turut memberi tenaga yang baik kepada saya. Setiap hari macam seronok nak ke lokasi. Moga sukses Vektor58 menemui rakyat Malaysia. Dan syabas buat seluruh team Chain-FX Sdn. Bhd.




Ini yang saya lihat sepanjang di lokasi. Stunt dan aksi pertarungan
dilakukan oleh klik mereka. Nidal in action!!! 
Jadi jangan lupa tonton Vektor58 setiap Sabtu jam 5.30 petang di TV9.

Monday, October 14, 2013

RAYA HAJI DI KELANTAN TIDAK MERIAH!

Klass!!!! Tuanku sendiri yang sembelih
Sejak lebih 20 tahun menetap di Kuala Lumpur, bila tiba sahaja musim raya haji, statement yang selalu keluar oleh orang luar Kelantan ialah "...tapi di Kelantan, Raya Haji lagi meriah dari Raya Puasa." Bila tiap kali keluar statement itu, saya selalunya akan bagi satu jawapan yang agak political yang berbunyi "... meriahlah tapi raya puasa pun meriah cuma raya haji banyak rumah buat kenduri". Cuma soalan yang bermain dalam kepala saya, siapakah yang bagi idea pada orang yang bagi statement itu? Adakah dia pernah berada di Kelantan atau dia sudah lakukan survey di kalangan orang Kelantan dan mereka mengiyakan pernyataan itu?

Saya lahir dan dibesarkan di Pasir Mas, sebelum berkahwin memang setiap tahun saya beraya Haji di kampung. Saya pun tidak ada idea untuk berkata raya haji lagi meriah. Kenapa? Sebab memang cara dan semangat sambutannya berbeza sekali dengan raya puasa. Jika dulu masa kecik, raya puasa sangat dinanti dengan baju raya, kasut raya dan kuih rayanya. Setiap rumah macam tidak sabar mahu menyambutnya. Apatah lagi kami yang budak-budak oleh sebab teruja mahu beraya, mak bapak terpaksa sorokkan baju baru dek kerana setiap hari mahu tengok dan tunjukkan pada kawan. Berbeza dengan Raya Haji, seingat saya baju raya untuk raya haji adalah baju raya puasa. Tiada yang baru.

Mek saya tauke ketupat. Musim raya puasa dia takkan menang tangan membuat tempahan. Malah adakalanya tertinggal sembahyang sunat kerana mahu siapkan tempahan. Tapi raya haji tempahannya tidaklah sebanyak raya puasa. Begitulah juga bila kami berkunjung ke rumah jiran, hidangan di meja tiadalah biskut raya yang bermacam tapi sekadar ketupat palas atau nasi dagang ataupun bihun goreng. Tidak beria-ia macam hari raya puasa. Biasanya Raya haji cukup dua hari saja. Kunjung mengunjung kurang berlaku tapi lebih kepada menghadiri kenduri. Duit raya jarang diberi berbanding raya aidilfitri.

Jadi di mana meriahnya? Mungkin statement itu dibuat apabila perbandingan dibuat antara cara orang kelantan dengan negeri-negeri di Pantai Barat. Kalau perbandingan begitu, saya setujulah yang di Kelantan lagi meriah. Kenapa meriah? Jika di KL atau negeri pantai barat, biasanya korban dilakukan di masjid atau surau dan diagihkan kepada orang ramai. Jadi urusan pengagihan daging korban itu selesai di masjid bukannya di rumah. Kecualilah ada kenduri aqiqah. Selepas acara korban, ia seolah tamat di situ sambutan aidiladha. Tapi di Kelantan, korban banyak dilakukan secara persendirian iaitu korban dianjurkan oleh individu bukan melalui masjid. Banyak rumah akan buat kenduri sama ada aqiqah atau kenduri untuk bersedekah pada Raya kedua. Jadi raya haji masih berlangsung pada hari kedua dan ketiga bergantung kepada jamuan. Dalam satu kampung bukan satu dua rumah yang buat kenduri, banyak sekali lalu suasana kunjung mengunjung inilah yang bangkit kemeriahannya.

Macam-macam jenis masakan disediakan berasaskan daging - sup tulang,sup perut, daging goreng, dalca, gulai darat, gulai buku besar dan macam-macam lagi. Lauk-lauk itu di makan bersama nasi dan dihidang bersama masakan lain seperti agar-agar dan ayam. memang tidak saya nafikan, kami boleh mabuk daging sebab makan daging berlebihan dalam dua tiga hari itu.

Tambah meriah lagi, anak-anak Kelantan memang akan pulang beraya walaupun cutinya hanya dua hari. Jadi penuhlah bandar Pasir Mas dan bandar-bandar lain di Kelantan. Ini tambah lagi meriah berbanding negeri lain. Nilai kekeluargaan masih tinggi dan semangat beraya haji itu masih kuat di Kelantan berbanding di sebelah Pantai Barat. Di mana pengalaman saya masa di awal menetap di sebelah KL mendukacitakan. Sangat lesu dan muram. Tiada inisiatif untuk memeriahkannya.

Saturday, August 24, 2013

TANDA PUTERA MASUK PANGGUNG

Bila Tanda Putera dapat tarikh baru tayangan, selepas satu tahun menunggu jadi pihak Pesona Pictures hanya sempat mengadakan satu dua majlis khas sahaja. Tetapi beberapa tayangan tertutup di beberapa institusi telah sempat diadakan sebelum Sabery Cheek umum tarikh baru. Sebagai salah seorang 'cast' untuk filem ini saya dijemput menghadiri dua majlis khas Tanda Putera. Saya kira ini dua acara penting bagi produksi ini.

MAJLIS TAHLIL, doa selamat dan berbuka puasa telah diadakan pada 3 September 2013 bertempat di Makam Pahlawan, Masjid Negara. Acara ini sangat signifikan dengan Tanda Putera. 

Ahmad Fedtri selaku pengacara majlis, dah lama saya tidak
bertemu orang hebat ini.
Kami kalau bertemu memang ada saja topik. Yang tengah itu
adalah Kamarul Nizam, Pengarah Seni Pesona Pictures.
kalau perasan dari Layar lara - Tanda dia berlakon dan
memang dia bagus dalam berlakon

Orang Pesona memang multitask. Yang tersengih kat saya tu
namanya Ema. Dia juga dari Art Dept Pesona
Salah seorang anak yatim yang terima sumbangan. So Cute
Pemandangan di makam Pahlawan
Alah kasih orang yang membahagiakan mereka
 MALAM TAYANGAN PERDANA pada 20 Sept 2013 di GSC Gardens Signature, MidValley.

Dia selalu nampak hebat. Kavita memang
lagenda supermodel
Thanks Budiey.com
Dua hero sama saiz. Bila saya duk tengah
memang nampak macam gajah
Thanks Budiey.com
Dato' Mahadzir selaku MC malam itu.
Dia sedia bertugas secara percuma atas
semangat patriotiknya. Sempat dia minta saya
sediakan serangkap pantun.
Thanks Budiey.com
Chew Kin Wah; ini memang budak nakal.
Komunis dalam Tanda Putera.
Tapi memang cool! Thanks Budiey.com
Shumi with the main casts. Thanks Budiey.com
Hero Malaya pun hadir sama - Rosyam Nor
Thanks Budiey.com
Tenaga produksi dan pelakon Tanda Putera
Ini pelakon suam-suam kuku!
Thanks Budiey.com
 Jadi jangan lupa tayangan Tanda Putera bermula pada 29 Ogos 2013 di pawagam seluruh negara. Semua foto adalah ehsan Budiey.com dan Pesona Pictures.

Monday, August 5, 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI 2013



Selamat Hari Raya Aidilfitri dari kami sekeluarga. Saya memohon ampun dan maaf atas segala keterlanjuran kata yang mungkin mengguris dan bertetangan dengan fikiran saudara semua. Semoga Ramadhan yang bakal berakhir telah memberi keberkatan kepada kita semua dan Syawal yang bakal tiba menerbitkan sinar kebahagiaan. Insyaa Allah.

Saturday, August 3, 2013

CEREKARAMA OO TAK PUASA YA!

Ini diambil dari blog Admya.
Babak ini adalah kemuncak kemarahan
Imam Kamal pada Ramadhan.
Jangan lupa malam ini Sabtu, 3 Ogos 2013 Cerekarama 'Oo Tak Puasa Ya" akan ditayangkan di TV3 jam 10.00 malam. Eloklah lepas sembahyang Terawih tu, sambil rehatkan badan dan teguk kopi panas, layan drama ringan ini. Ini drama kisah keluarga yang berpusat pada karakter kanak-kanak bernama Ramadhan lakonan Danish Zakwan. Ramadhan adalah anak kepada Imam Kamal, lakonan saya. Kakaknya dimainkan oleh heroin tengah hot Nad Zainal bersama-sama dengan Marissa Yasmin sebagai Mak dan Adik Love sebagai adik Ramadhan. Dramanya mudah tetapi konfliknya menarik.

Lakonan Danish Zakwan, Che Kem, Fezrul Khan,
Marissa Yasmin, Nad Zainal dan Adik Love.
Ramadhan yang nakal selalu buat perkara yang yang mendatangkan marah ayahnya. Sehinggakan soal jodoh kakaknya juga turut mahu diganggu sehingga kecoh keluarga Imam Kamal. Ramadhan sangat tidak menyukai Cikgu Firdaus lakonan Fezrul Khan, yang disukai oleh Imam Kamal dan mahu dijodohkan dengan Azma (Nad Zainal).

Jadi apa kesudahannya? Tengoklah malam ini... Ooo Tak Puasa Ya!

Sunday, July 28, 2013

BAJU MELAYU TERAKHIR: AL-FATIHAH

Catatan Intan:
Selama ini arwah tidak pernah kisah
tentang baju Melayu. Namun tahun ini
 arwah mahu dua pasang baju Melayu
 untuk Hari Raya,
satu krim dan satu lagi hitam. Katanya,
 dia mahu ibu juga memakai baju raya
 berwarna hitam sedondon
dengan baju Melayu hitamnya.

Allah maha pengasih maha penyayang, 
sewaktu kita merancang yang terbaik untuk dia, 
Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuknya.

Entah apa perasaan di dalam ini, bila membaca catatan Dr. Tengku Intan Marlina. Berbaur, cuba menyelam tetapi tidak kesampaian kerana saya tahu beban itu tidak terpikul oleh saya. Dia sedang mengendong emosi yang berat. Perasaan seorang ibu direntap, kehilangan tiba-tiba anakandanya dalam sekelip mata. Anakanda sulungnya meninggal akibat kemalangan jalan raya. 

Entah apa perancangan Allah kepada hambaNya, di bulan Ramadhan dan di kala Syawal kian hampir. Bulan dan hari-hari yang selalu bertamu dengan kenangan dan kerinduan. Bulan yang selalu buat kita tersenyum mengenang hari-hari lepas, mengenang mereka yang pernah hadir. Tapi, hari ini Allah mengetuk pintu kegembiraan itu dengan kedukaan. Ujian ini sangat besar buat Intan. Saya yakin, walau sesiapa pun di tempat Intan, air mata adalah lautan. Pasang-surutnya bersilih ganti pada setiap kali wajah anakanda muncul.

Sebelum ini, saya ada membuat catatan mengenai kematian adik Nawal Iris akibat 'heat stroke'. Catatan itu hampir sama, tetapi kali ini rasa itu berbeza, ia menimpa sahabat saya. Ya Allah, Engkau berikanlah kekuatan buat Intan dan keluargnya, juga buat mereka yang kehilangan insan tersayang di bulan Ramadhan ini.  Semoga aman perjalanan mereka. Al-Fatihah.

Ini catatan Intan di facebooknya @Elyna Hasnulnawi:

Buat Allahyarham anakanda, Muhammad Hasnul Imran (21.11.96 - 24.7.13), damailah anakanda di alam barzakh. Bonda redha atas pemergianmu, namun bonda masih tidak dapat menahan air mata daripada terus mengalir sehingga ke saat ini.

Anakanda telah dipinjamkan kepada bonda dan ayahanda hampir 17 tahun, terlalu banyak kenangan manis bersamamu. kasih sayang bonda terhadap anakanda tidak dapat digambarkan melalui kata-kata, namun Allah lebih menyayangimu. Terbayang-bayang wajah, senyum manis, gelak tawa dan kelembutanmu di segenap ruang rumah dan mata ini.

Bahagialah anakanda di alam barzakh sana kerana anakanda meninggal dunia syahid kecil Insya-Allah, dalam tiga keadaan:
1) Meninggal dunia kerana kemalangan jalan raya.
2) Meninggal dunia kerana menuntut ilmu.
3) Meninggal dunia dalam keadaan berpuasa, dan di bulan Ramadhan yang mulia.

Anakanda seorang anak yang sangat baik, tidak pernah meninggikan suara, sentiasa menghiburkan hati bonda. Segala kebaikan ada pada diri anakanda. Bonda ampuni segala kesalahanmmu, bonda halalkan makan minum dan segalanya.

Bonda tidak tahu bagaimana keadaan bonda tanpa dirimu dalam meniti kehidupan yang sementara ini, namun bonda tahu bonda harus terus tabah. Semoga kita dapat bertemu di Syurga kelak. Al-fatihah.

Saturday, July 27, 2013

LAGU RAYA SITI: ANUGERAH AIDILFITRI


Kali ini saya nak bercakap pasal lagu raya Siti Nurhaliza, bukan semua lagu rayanya tetapi hanya satu sahaja lagu raya iaitu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini dihasilkan oleh Pak Ngah dan liriknya ditulis oleh saya. Tapi bukanlah sebab saya yang tulis maka perlu sangat saya gembar-gemburkan. Dato Siti telah menghasilkan sebuah album penuh lagu-lagu hari raya pada tahun 2003, dengan mengambil judul lagu Anugerah Aidilfitri sebagai tajuk albumnya. Itu kira satu bonus juga untuk saya. Memang bukan senang dan mudah untuk menghasilkan karya dan mengisi album penyanyi unggul Malaysia ini. Mungkin, saya kira kerana melodi lagu Anugerah Aidilfitri ini sedap dan senang ditangkap dek telinga apatah lagi ia memang buah tangan Raja Irama Malaysia, Pak Ngah @ Datuk Suhaimi Mohd. Zain. Album Anugerah Aidilfitri turut memuatkan  tujuh lagi lagu dan dua instrumental. magiknya buah tangan Pak Ngah, lagu-lagu raya ciptaannya bertaraf klasik, nilai authentic dan estetikanya cukup tinggi. Kerana itulah, bila lagu Sesuci Lebaran mula diputar, ia terus melekat dan diminati ramai.

Untuk pengetahuan semua, sepanjang saya menulis lirik, Siti Nurhaliza hanya menyanyikan tiga lagu sahaja iaitu Anugerah Aidilfitri, Kudus SinarMu dan Nirmala. Tiga lagu sahaja. Ini saya perlu tegaskan kerana ramai sekali orang keliru dan menyebut saya yang menulis lagu-lagu ciptaan Pak Ngah yang lain terutama lagu Nazam Lebaran, Hati Kama dan beberapa lagu irama Malaysia yang lain. Al-maklumlah, Pak Ngah sinonim dengan beberapa penulis lirik sahaja terutama Hairul Anuar Harun dan Siso. Jadi, saya sebenarnya penulis yang muncul selepas zaman kemuncak irama Malaysia. Selepas Nirmala, Pak Ngah tidak lagi menjuarai kategori Irama Malaysia. Peminat lagu-lagu melayu sudah beralih pada irama pop etnik yang ala-ala arab seperti ciptaan Yasin Sulaiman.


Sebelum lagu Anugerah Aidilfitri, saya pernah menulis sebuah lagu hari raya untuk Siti (lupa tajuknya) tetapi ditolak kerana masalah teknikal bahasa kot. Atau pun saya rasa lirik lagu itu memang tak sedap hahaha. Ikutkan lagu itu sepatutnya keluar bersama-sama dengan lagu Nazam Lebaran dan Airmata Syawal. Rezeki tak ada lah tu, Siti pun ada 'team' nya sendiri yang memilih dan menentukan kesesuaian. Saya kira betullah cara begitu. Apatah lagi status Siti sebagai penyanyi no.1. Bila Pak Ngah bagi peluang untuk tahun berikutnya, saya sangat bersyukur. Masa itu saya kata, kali ini Siti mesti nyanyi lagu ini hahahaha. 

Saya tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lirik lagu Anugerah Aidilfitri. Lagu ini mempunyai tiga form dan ia semacam satu penceritaan sebab perlahan di awal lagu kemudian penghujungnya kedengaran seperti satu seru-seruan. Apabila mendengar melodinya berulang kali dan mengkaji beberapa lirik lagu raya Siti yang sebelumnya, saya dapat idea untuk menitip unsur kemanusiaan dan ketuhanan dalam lagu rayanya. Bukanlah saya menidakkan lagu lain tiada unsur itu, tetapi jika di perhati di awal lirik lagu ini ia menyebut:

Di sana apakah ertinya Syawal
Tangisan dan rintihan tiada henti
alangkah hibanya di Aidilfitri
Buminya bagai ambal duri

Ia membawa pendengar mengimbau kehidupan umat Islam di bumi yang bergolak, pada masa itu isu Iraq, Afghanistan dan Palestin sedang hangat. Dan ia masih lagi relevan dengan keadaan di bumi Mesir, Palestin dan Syria pada hari ini. Dan cuba menyelami penderitaan mereka menyambut hari yang sepatutnya bergembira seperti kita di Malaysia. Di mana lebaran selalu dinanti dan disambut dengan sejahtera. Itulah yang saya masukkan di dalam bait kedua. Lagu ini seharusnya menerbitkan rasa kesyukuran dan rasa bertuahnya kita lahir dan berada di bumi Malaysia. Adat dan budaya menyambut hari raya saban tahun dapat kita amalkan, berpakaian cantik berdendang, bertakbir dari rumah ke rumah, menziarah saudara dan bermacam lagi kesukaan semasa menyambut Aidilfitri. Semua itu saya simpulkan pada korus lagu ini:

Mari puji-memuji kepada Tuhan
Titis kasihNya melimpah seluruh alam
Mari puji-memuji Tuhan yang esa
insafi nikmat diberi di hari raya.

Jadi, bila dengar lagu Anugerah Aidilfitri, dengar-dengarkan liriknya. Semoga anda semua dapat mesejnya. Jangan Lupa Lirik ya!

Friday, July 26, 2013

DUIT RAYA: BANTUAN KE BONUS?

Memang kita akui kebolehan MB mengurus kewangan,
lagipun RM30 juta saja yang diperuntukkan.
Selangorkan negeri paling kaya, ishhh bagi dua bulan gaji pun boleh tu.
Bila Perdana Menteri umumkan semalam bahawa semua kakitangan awam Persekutuan akan menerima duit bantuan Hari Raya sebanyak RM500, macam-macam reaksi muncul. Ada yang 'Alhamdulillah' tapi ada juga yang "500 jer'. Yang lebih ganas, mereka membandingkan bantuan duit raya dengan Bonus sebulan gaji oleh Kerajaan Selangor kepada semua kakitangan negeri tetap, kontrak dan sambilan. Pada mata kasar memanglah nampak macam, kerajaan pusat tidak berkemampuan berbanding kerajaan Selangor, tapi ia dua perkara berbeza. Satu bantuan dan satu lagi bonus. Kan beza bunyinya. Kerajaan Selangor bagi Bonus kerana prestasi ekonomi yang baik pada tahun-tahun pemerintahannya. tapi yang lebih menarik MB Selangor siap cakap, kalau Kerajaan persekutuan bagi sebulan gaji, Selangor akan bagi sebulan setengah. Haahaha nasib baik lah tak jadi macam filem melayu klasik 2 kali 5, akibat nak sangat merebut hati pelanggan, masing-masing mahu tunjuk siapa lagi hebat, akhir sekali dua-dua jatuh susah. 

Tapi kita lihat, PM tidak melatah dengan tawaran yang diberi oleh MB Selangor itu. PM lebih rasional dengan melihat kemampuan ekonomi negara juga. Kalau ikut budaya bantuan selama ini, hujung tahun nanti akan ada lagi bonus untuk anak-anak sekolah. Itu semua kena congak juga. PM juga bagi rasional bahawa pemberian bantuan hanya RM500 ini bersesuaian dengan penerimaan dua kenaikan gaji pada tahun ini. Jadi kira oklah tu. 

Bagi saya, soal bantuan atau bonus ini bukanlah hak kita. Ia adalah rezeki. Kalau ada - adalah. Kalau tak ada - bersyukur sahaja dengan rezeki yang dapat. Itu semua atas ehsan kerajaan persekutuan. Kita yang memang diberi gaji setiap bulan, perlulah berhemah dalam memastikan musim mana dan ketika mana duit belanja diperlukan. Saya kira tabiat menabung sangatlah penting. Bukan sebab saya punya tabungan melimpah-ruah tapi, saya tengok cara orang kita berbelanja memang sakan. Apatah lagi zaman kad kredit mudah dapat, beli kereta mudah, pinjaman peribadi mudah, ansuran itu-ini mudah. Namun itu semua bersifat kredit di mana bebannya akan tiba pada setiap penghujung bulan dan ia memakan bertahun-tahun. 

Abang Jib tok sah nak pening, bukan sikit nak kena belanja.
RM835 juta tu banyak, kalau sebulan gaji lagilah banyak.
Tak pa Abang Jib, simpan untuk bonus hujung tahun.
Kata pepatah 'Besar periuk, besarlah keraknya'. Saya masih ingat, masa saya mula bekerja dengan kerajaan kira-kira 17 tahun lalu, gaji pokok kurang RM1,500 dan bila dicampur sedikit elaun jadilah sekitar RM1,600. Dengan gaji sebanyak itulah saya perlu mengagihkan perbelanjaan saya. Mana nak bayar pinjaman pelajaran, potong epf, ansuran motor, sewa rumah, perkakas rumah, hantar ke kampung dan macam-macam lagi. Saya hanya mampu memiliki kereta selepas lima tahun bekerja. Itu pun selepas punya seorang anak. Ya lah nak beli kereta masa itu, bukan semudah macam hari ini, kita perlu kumpul wang deposit dahulu. Kalau 10% wang deposit maka ansuran bulanan tinggi jadi kenalah kumpul lebih sedikit. Dulu ansuran 5 tahun saja kemudian ditambah 7 tahun. Itu pun saya hanya mampu beli proton wira sahaja. Tapi hari ini, saya tengok, perbelanjaan bukan sahaja pergi pada kereta jenama luar negeri tapi smartphone, ipad, branded items yang saya sendiri pun tak mahulah fikir bagaimana mereka memusing perbelajaan itu. Mungkin kerana itu, orang-orang muda yang baru bekerja selalu fikir nak gaji besar tanpa melihat pengalaman dan kebolehan diri.

Panjang pula saya merepek ni. Bersyukurlah dengan apa yang kita dapat ya. Banyak sikit gaji, tinggi rendah pangkat itu bukanlah ukuran kebahagiaan. Kalau anda pegawai gred 41 kata gaji anda kecil, fikirkan bagaimana gred yang rendah N17 atau B11 yang sudah berkeluarga perlu menampung hidup di kota besar ini. Kalau MyVi cukup kenapa mahu cari Civic?

Monday, July 22, 2013

SENI KAKI LIMA DI MADRID





Pasangan ini hanya duduk, tiada dialog dan tiada aksi pun.
mereka hanya menampilkan magik. Kekauatan wanita itu mengangkat lelaki menggunakan sebelah tangan sahaja. Puas saya menilik dan memikir bagaimana mereka boleh bertahan. Rupanya ada teras di dalam kostume mereka



Betul lah kata orang jauh perjalanan, banyak pemandangan. Saya bertuah dapat melawat tempat seperti ini yang menghidangkan seni secara percuma. Melihat bagusnya pelakon-pelakon kaki lima beraksi ini, dan hanya mendapat bayaran atas ehsan orang yang lalu lalang. 

Ini persembahan demonstrasi. Tiada kostume dan aksi dramatik. Yang berkemeja biru sedang menerangkan bagaimana alat itu digunakan pada zaman dahulu.yang menariknya alatan itu adalah pusaka lama. Ia seperti pengandal untuk mengangkat barang yang berat. Cara demonstrasi ini menarik dan informatif.



Namun Madrid hidup dengan kehadiran mereka. Mereka bukan sekadar orang yang dipakaikan kostume tetapi mereka adalah pelakon yang dibekalkan ilmu persembahan. Cara mereka melakukan gerakan, bertahan dalam karakter dan melawan halangan waktu cuaca yang panas, saya kira ia latihan yang cukup bagus. Bukan senang. Bila dibandingkan dengan street performance di KL, memang kita sangat jauh tertinggal malah bukan sahaja tertinggal, kita sebenarnya hanya meniru tetapi tidak lahir dari semangat yang betul. 








Yang ini imitasi pokok. tapi saya suka kerana pemain ini  berjaya sustain karakternya begitu lama sekali. setiap gerakan postur dan gesturenya sungguh menarik. Ia seakan pohon yang melambai.



Ada orang kata, bolehlah berjalan kalau banyak duit, tapi itu bukan alasannya. ke mana pun perjalanan kita, mata harus tajam melihat dan mengamati ragam masyarakat. Berjalan bukan sekadar ambil gambar dan shopping semata. Bila kita dapat melihat sendiri baru mata kita percaya. Kerja saya sebagai pegawai kebudayaan menuntut untuk selalu menonton dan mengapresiasi kerja seni orang. Tapi kalau mengharapkan berjalan atas tajaan kerajaan semata, memang payahlah nak dapat.



Ini persembahan teater berkumpulan, ada aksi dan jalan cerita. Tapi mereka selaraskan kostumenya. Anak-anak muda ini begitu rileks sekali melakukan persembahan. Saya tidak sempat menontonnya habis kerana mahu ke tempat lain. Tapi saya kira ini bagus untuk kelas lakonan juga.


Kenapa saya kata begitu, biasanya yang pergi ke luar negara melihat dan melawat karya orang adalah big boss, balik dari sana mereka arahkan kita buat. Senang dan seronok berjalan bagi boss-boss tapi susah memikir dan mencerna ke pentas itu jatuh pada anak buah. Nasiblah tu, siapa suruh jadi anak buah hehehe. 

hari itu hari Ahad, waktu baru sahaja memulakan perjalanan saya ternampak sekumpulan orang sedang menyanyi diiringi alunan muzik. Sesekali mereka menari dalam perarakan. Ia sangat folk. Wanita di tengah itu mengalunkan suara soprano mendendangkan lagu klasik flavour opera. Saya kira ini kumpulan kebudayaan gereja dari sekitar Madrid. Mereka tidak mengutip wang, hanya membuat persembahan di jalanan.



Dua askar ini saya kira sangat terlatih. Sifat kejantanan mereka terserlah. Menariknya, mereka adalah patung gangsa tetapi apabila mahu berubah kedudukan, mereka melakukan gerakan slow motion. Sangat-sangat menarik Saya kira mereka merancang dengan baik persembahan mereka ini. Kita boleh ralik dengan hanya berdiri dan memerhati. Persembahan mereka ini menarik minat kanak-kanak, khususnya lelaki.



Ini lakonan Jesus yang disalib. Waktu saya melintas, pelakon ini
sedang bersiap untuk memulakan aksi. Tetapi dalam persiapannya menjadi Jesus, dia sudahpun berada dalam karakter. Badannya yang kering dang berdarah itu, bergerak danbersiap dalam rasa kesakitan. saya macam percaya dia sedang sakit. Bila ready sambil menahan kesakitan, dia mengangkat pancang itu. Dia sangat profesional.




Seingat saya, trip tajaan kerajaan yang betul-betul bermanfaat adalah pada tahun 2008, apabila ASWARA menyertai Malaysia Week. Rombongan kami diberi kesempatan oleh Dato Omar Awang untuk menonton muzikal dan melawat universiti-universiti. Malah bukan itu sahaja, atas inisiatif kami, khususnya Joseph Gonzales yang memastikan para pelajar memanfaatkan lawtan mereka ke London, ada pelajar sempat mengikuti kelas tari di pineapple studio.



Sewaktu melawat Plaza Mayor, ramai sekali persembahan jalanan. Saya tertarik dengan pelakon ini. Dia menjadi halimunan. Tidak berwajah tetapi bercermin mata. Hahaha sangat cute. Adakah dia lelaki atau perempuan? Saya tidak tahu tapi yang pasti tubuhnya kecil dan pendek sehingga boleh berupa mejadi orang tak berkepala.







Yang ini menguji mata kita. Ada dua pelakon tetapi salah satunya sebenarnya patung. Kita harus tengok lama-lama untuk kenal yang mana satu pelakon sebenarnya. Pelakon ini perlu ada stamina yang tinggi, bagus dalam mengawal pernafasan dan mampu bertahan dalam kedudukan yang lama. 












Jadi, jika kita berminat dengan seni budaya atau jika kita ini memang kerjanya  berorientasikan seni budaya macam pegawai kebudayaan ke, artis budaya ke, pensyarah seni ke, pemuzik, penari ke atau yang sewaktu dengannya, kalau dapat peluang berjalan, janganlah kita fikirkan untuk pakai lawa-lawa sambil pose depan patung dan gedung-gedung mewah. manfaatkan perjalanan kita untuk belajar dari orang lain. Ia akan membantu meningkatkan pengetahuan kita. Saya berpesan untuk diri saya juga.Walau ke mana pun kita pergi, mesti ada sesuatu yang boleh kita pelajari. Tidak semestinya ke Madrid!






Saturday, July 20, 2013

PROMO: DRAMA KELANTAN 'SUDAH SUDAHLAH...'



Pengumuman! Pengumuman! Pengumuman! drama 'Sudah Sudahlah...' akan ditayangkan pada 20 Julai 2013 di TV1 jam 2.00 petang. Jangan terlepas pulak, dah bagitahu dah ni. Ceritanya menarik ada banyak sub-plotnya. Tapi cerita pokoknya mengenai perebutan jawatan Pengerusi Koperasi di sebuah kampung (lokasinya di Kuala Besut, Terengganu) antara pemimpin lama, Abe Him (Saya lah tu) dengan pemimpin muda yang baru keluar universiti, lakonan Asrul (Budak Kelantan). Drama ini diarahkan oleh saudara Asri Alias (orang Kelantan jugok). Cerita ini sepenuhnya dalam dialek Kelantan. Ini pertama kali, saya berlakon dengan barisan pelakon Kelantan dan Terengganu. Memang hebat-hebat belaka sampai ada ketikanya saya rasa kecil dan hilang perkataan. Kita ingat kita bagus sebab lahir dan dibesarkan di Kelantan, tapi sebab dah lama duduk di luar, perbendaharaan kata Kelantan pun banyak pupus. betullah kata orang, seniman itu hidup dalam lingkungannya.

jadi, jangan lupa temujanji kita pada Sabtu 20 Julai 2013, TV1 pukul 2.00 petang.

Sunday, June 30, 2013

KELANTAN JUARA!!!!

Anok mudo Kelantan membanggakan.
Hahahaaaa...kahkahkahkah....hihihihi...hohohohohoh....yeah yeah yeahhh... kan saya dah kata Kelantan Juara. kahkahkah kahkahakh yahoo yihi yipiyipiyipi...... Kelantan menang. Kahkahkahkah JDT kalah hehehehe.... Anak Kelantan hebat! Anak kelantan pantang menyerah! Anak Kelantan miskin duit Kaya maruah! Kahkahkah....kahkahkahkah....hahahahha Kelantan Juara! Kelantan Juara! Kelantan Juara!

ehsan Utusan online

Huhuhuhu...huhuhuhu...huhhuhuhu kesian Johor, kesian! Sedih ya? Huhuhuuu...huhuhuhuuuuu...ele ele ele...sedih ya...alah kesiannya...emmm kesiannya. Nak buat macamana...dah nasib! kan saya dah kata Kelantan Juara! Jangan sedih, duit banyak lagi... musim depan beli Messi pulak...alah alah alah...huhuhu sedih ya. Jangan begitu. Kenapa? Tak percaya kelantan boleh menang tanpa Mat Yo dan Nurul. Tak percaya? hohohoho huhuhuhu... Anak Kelantan main untuk Kelantan, demi Kelantan, Anak Kelantan boleh pitih ambik tapi hati untuk Kelantan. Hidup Kelantan!!! 

ehsan Utusan online
Jangan ambil hati ya, saya gurau saja. Saya tak ke stadium pun malam tadi, saya ke Istana Budaya tonton konsert M.Nasir tapi dalam hati dup dap dup dap...selalu berbisik dengan Ku Jaa "siapa menang". al maklumlah Ku Jaa orang pantai timur juga. Bila tahu keputusan kelantan Juara, waktu orang lain bersorak 'Mentera semerah padi'..saya jerit 'Hidup Kelantan'...hahahaha memang kuat tapi orang tak perasan.

Saturday, June 29, 2013

ANUAR ZAIN DI MAJLIS ILI & ZAI



Tiada saat gembira bagi seorang ibu bila melihat kebahagiaan anaknya. Itulah yang terpancar di wajah Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara malam tadi. Secara sembunyi Datuk Norliza saya panggil Kak Liza. Namun saya pasti dalam kegembiraan itu, terbit kesedihan untuk melepaskan puteri kesayangannya pergi, lepas dari pelukannya. Begitu deras masa berlalu, Ili Nabilah yang saya kenal ketika kecil kini sudah menginjak ke pelamin dan bergelar isteri orang. Pantasnya masa begitu jugalah pantasnya saat dan keindahan seorang ibu bersama anak tunggalnya ini beredar. Tentu sekali, Ili tidak mudah mendapat restu ibunya, apabila mengemukakan hasrat untuk berpasangan. Maklumlah anak tunggal. Namun yang pasti pilihan Ili untuk menerima pinangan Muhamad Ruzaini sudah termakbul.

Tuan milik foto ini, yang berdiri sebelah kiri tu,
Dato Adilah. Sorry ya saya ambil dari
FB Datuk Norliza (berdiri kanan)
Malam tadi, Dewan Setia Alam Convention Centre bertukar wajah, majlis yang berlangsung bagai kenduri sebuah keluarga besar. Masakan tidak, majlis ini menjadi untuk sekali dalam hidup Datuk Norliza. Majlis perkahwinan untuk satu-satunya anak. Ili bukan sahaja menjadi milik keluarga Datuk Norliza dan Dato Tajul Razi tetapi menjadi anak kepada rakan-rakan sekerja ibu bapanya. Dari kecil ke alam persekolahan sehinggalah bekerja, khabar Ili sering ditanya. Apatah lagi kini mendirikan rumahtangga, tentunya semua mahu berkongsi detik manis itu. Saya pernah bertugas di bawahnya semasa beliau menerajui Istana Budaya dan Akademi Seni Kebangsaan. Tapi hubungan kami tidak putus, sering saja saya diajak untuk menyertai pasukannya.



Anuar Zain muncul. Berkerumun tetamu merakamnya.
Rosak majlis sekejap. Tumpuan beralih pada Anuar.
Agaknya kakan-kakank yang berlari ke pentas sudah lupa
itu majlis ada protokol. Foto ini pun Dato Adilah punya.
Malam tadi, saya kira majlis yang cukup istimewa, hadiah dari ibu bapa buat Ili. Malah ramai yang sukarela mahu menghadiahkan sesuatu buat Ili. Siapa sangka Anuar Zain tiba-tiba muncul mengalunkan keindahan Sedetik Lebih buat mempelai. Detik itu dewan menjadi hingar, namun fokus Anuar tetap kepada kedua pasangan. Indah sekali hadiahnya. Apatah lagi Syafinaz dan Ning Baizura juga turut menyampaikan lagu cinta dalam bahasa yang cukup romantis. Wahh, indah sungguh majlis perkahwinan ini.

Ini menunya, sedap dihidang dengan nasi kebuli.
tambah sedap ada sambal hitam belimbing.
Foto ini Kakashi punya
Apapun, saya ucapkan tahniah buat Ili dan Zai. Selamat melayari bahtera menuju ke hujung hayat. Berkasihlah dengan rukun kesabaran, mengisi tiap kekosongan agar saling melengkapi. Imbangi emosi dengan kasih sayang. Kamu berdua tercipta untuk bersama. Allah sudah menetapkannya. Saat untuk menempuh gelora sudah bermula, Insyaa Allah cinta mampu meneguhkan percintaan. Buat Kak Liza, saya ucapkan tahniah. Melihat kegembiraan di wajah Kak Liza tadi, ia bagai cermin kebahagiaan, ia percikan doa dan harapan yang tiada habisnya dari seorang Ibu kepada anaknya. 

Saya juga amat berterima kasih kerana malam tadi menemukan saya dengan mereka yang sudah lama tidak bertemu. Majlis tadi bagai ruang untuk saya mengimbau segala memori silam. 

Friday, June 28, 2013

PAS Vs UMNO DI KUALA BESUT

lokasi depan stesen kereta Kuala Besut
Saya, Z.Zamri dan Isey Salak Madu
Demam PRU13 belum lagi habis, orang masih lagi berhujan panas berjerebu di padang merbok malah ahli parlimen pun baru sahaja mengangkat sumpah. Kini demam pilihanraya kembali setelah ADUN Kuala Besut meninggal dunia akibat kanser paru-paru. Tidak tahu apa perasaan yang bermain dalam hati orang-orang Pakatan, adakah nak meraikan atau bersedih dengan kehilangan seorang pemimpin Islam. Meraikan tanda peluang terbuka untuk menakluk Terengganu kerana DUN Terengganu berada dalam keadaan seimbang antara pembangkang dan pemerintah. Nampak gaya Mat Said sekarang panas buntut kot, tidur tak lena dah. Bila-bila masa sahaja kerusinya akan diambil alih. Tentu sekali strategi terbaik perlu difikirkannya untuk memenangi hati orang Kuala Besut. Tapi kena ingat, kekalahan PRU13 lalu, membuat orang Pakatan benar-benar mahu menang.

Di kolam ikan; saya, Yaya Maembong dan
Isey salak Madu
Februari lepas, saya berpeluang membuat penggambaran di Kuala Besut. Seminggu saya di sana dan itu pertama kali saya berada lama di daerah itu. Nak dijadikan cerita, kami memang membuat penggambaran di pejabat ADUN Kuala Besut bagi telemovie "Sudah-sudahlah". Nak lebih menarik lagi, pejabat Allahyarham Dr.A Rahman Mokhtar itulah yang menjadi set pejabat watak saya, Nik Him. Semuanya jadi kebetulan kini. Dan hari ini, Malaysia akan bertumpu pada daerah ini.

Cantik hiasan pada tiang
masjid Kuala Bes
Kuala Besut punya kisah menarik, sejarah panjang antara Kelantan dan Terengganu. Ia digelar Republik kerana jasadnya dalam Terengganu tapi hati masyarakatnya tertumpah di Kelantan. Majoriti penduduk Besut bertutur loghat Kelantan bahkan budaya Kelantan sangat tebal. Ini boleh dilihat pada cara mereka menikmati makanan pagi yang tidak boleh lari dari nasi kerabu dan nasi berlauk. Sepanjang saya berada di sana, saya langsung tidak merasa berada dalam Terengganu. Daerah ini dikelilingi laut dan sungai. Ia sangat indah. Pantainya cantik dan sungainya kebiruan. Kalau melintasi jambatan Kuala Besut, mata kita akan terpegun dengan keindahannya, aktiviti nelayan dengan rumah-rumah rakit dan bot-bot kecil bersusun sepanjang sungai. Ia sangat indah. macam lukisan. Pantai Bukit Keluang adalah pantai berpasir putih. bersih dan dilingkung bukit berbatu. Saujana mata melihat kaki langit yang jelas. Potensi pelancongan sangat besar di Kuala Besut. Ia adalah gambaran sebenar perkambpungan Melayu pantai Timur. Kemajuan di Kuala Besut tidak sepesat bandar Permaisuri. Ini mungkin pusat pentadbiran Besut berpindah ke sana. jadi Kuala Besut menjadi pekan kecil yang mendamaikan. Jeti menuju Pulau Perhentian adalah tempat yang sibuk. Ia menjadi bandar kecil Kuala Besut. Stesen kereta sewa ada pusat pekan, ia berhampiran mini hotel dan beberapa kedai makan. Menambahkan keindahan Kuala Besut adalah masjidnya. Masjid Kuala Besut memiliki keunikan tersendiri. Hiasan dalamannya amat memikat. Kalau ke Kuala Besut elok singgah di masjidnya.

Punca ekonomi utama orang Kuala Besut
Berbalik kepada peruntukan undang-undang yang membolehkan diadakan satu pilihanraya kecil apabila wakil rakyatnya meninggal dunia. PAS punya sejarah memenangi Kuala Besut sebanyak dua kali. Tentu sekali impian untuk mendapatkannya kali ketiga sangat besar. Impian memenangi undi melebihi BN. Tapi, saya kira bakti dan sumbangan Allahyarham dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat Kuala Besut juga harus diambilkira. Ia bukan calang-calang wakil rakyat. Semasa berada di pejabat Allahyarham, ada aktiviti kemasyarakat bagi penduduk setempat. Waktu petang, disediakan kelas komputer dan penggunaan internet secara percuma kepada pelajar sekolah. Malah pusat ADUN dijadikan tempat untuk aktiviti masyarakat. Mendengar ceramah dan keramaian. ternayata Allahyarham telah membina imej UMNO yang baik di Kuala Besut. Saya kira, masyarakat Kuala Besut pun ada pengalaman dengan pemimpin PAS, kalau tidak masakan mereka menolak kepimpinan PAS di Kuala Besut.

Ini dalam bilik mesyuarat Pejabat DUN Kuala Besut.
Abang Wan Hanafisu pun turut ada dalam drama ini
Pandangan saya walau siapa pun yang berjaya memenangi kerusi Kuala Besut, ia bukan soal kemenangan parti. Ia bukan hal siapa yang menakluk Terengganu. BN atau Pakatan tidak penting. Yang penting adalah membangunkan masyarakat Kuala Besut. Kuala Besut adalah daerah yang banyak potensi. Keindahan alam semula jadi dan kemesraan penduduknya patut digunakan sebaik mungkin untuk meningkatkan ekonomi pendusuk tempatan. Seminggu berada di sana, saya bersembang dan memerhati ramai orang. Saya nampak pendapatan mereka rendah, upah harian mereka umpama kais pagi makan pagi.

jeti nelayan
Jadi tiada guna kalau Kuala Besut dijadikan taruhan untuk kuasa politik tetapi akhirnya kemajuan hanya berpusat di daerah lain. Sudah lama orang besut makan hati dengan pentadbiran Terengganu, tidak kira BN atau PAS. Orang Besut terasa terpinggir, tidak diendah dan dianak tiri. Orang yang memerintah perlu pulihkan hal ini. Kisah Besut ini seperti merajuknya orang Selatan Thai dengan kerajaan Bangkok. Jangan begitu. Kalau Besut berpotensi besar untuk ekonomi, maka harus dimajukan. Saya tidak nampak kesukarannya. Besut berada di antara Kelantan dan Terengganu. Itu advantage. Walau apapun perasaan orang Besut terhadap Terengganu, itu masalah orangnya bukan daerahnya. Masalah itu harus diselesaikan oleh pemimpin. Jika tidak, tak ada gunalah jadi pemerintah.

Saya suka dialog ini
"Oghang mane?" 
"ambo oghang besut"
"Oooo Tengganu"
"Dok besut!!".



Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...