Jom Kita Jadi Geng

Saturday, June 15, 2013

HARI BAPA: KENAPA BAPA BERBEZA?

Foto ini diambil ketika usia saya 27 tahun. Wan tidak pernah
menolak untuk bergurau. Wan pergi ketikan usianya 80 tahun.
AL FATIHAH.

Selamat Hari Bapa - Happy Father's Day. Inilah harinya, hari istimewa untuk semua bapa-bapa. 15 Jun juga adalah hari lahir saya. Tapi itu tidak seistimewa hari mengenang jasa dan pengorbanan bapa. Kata ahli agama, walaupun Hari Bapa dikaitkan dengan sambutan oleh orang-orang Yahudi, namun tidak salah untuk kita meraikannya tanpa mengaitkan dengan mana-mana agama. 

Ramai orang punyai pengalaman dan perasaan yang berbagai dengan bapa mereka. Bapa beri sentuhan berbeza dalam keluarga. Ada bapa hanya menunjukkan sikap yang kasar, pemarah, bengis atau seolah tidak pedulikan anak-anak. Tugas memukul dan menjatuh hukum biasanya diambil oleh bapa. Hal mendidik dan memberi kasih sayang diserahkan pada ibu. Ibu menjuarai hati anak-anak. Namun itu bukan tanda, seorang bapa tidak mengasihi anak-anakanya. Jauh di sudut hatinya, bapa menyuburkan perasaan yang besar buat anak-anak. Bapa tidak mahu dilihat sebagai insan yang kalah, yang lemah, yang kendur jiwanya. Bapa jarang menitiskan airmata kerana itu boleh meluluhkan harapan yang disandarkan padanya. Anak melihat bapa sebagai wira, sebagai pemimpin dan pejuang keluarga. Bapa menjadi tiang yang menegakkan rumah kehidupan. Bapa tidak merayu dan meluahkan kepedihannya di hadapan anak kerana itu satu kekalahan. Bapa harus berdiri walau saat-saat jiwa dan kekuatannya luluh. Bapa memberi dan tidak berhenti memberi ke hujung usianya. Semua itu perlu dipotretkan dengan baik.

Hari ini saya seorang bapa kepada dua anak. saya seperti bercermin sifat dan sikap ayah saya, yang saya panggil Wan. Wan berbeza dari kisah biasa seorang bapa. Wan bekerja sebagai buruh Tukang cat di stesen keretapi Pasir Mas. Wan merantau dari Jalan Bayam, Kota Bharu sehingga ke Selatan Thai dan akhirnya hidup dan bersemadi di kampng Kubang Panjang. Wan, semasa hayatnya melimpahkan kami kebahagiaan dalam kesusahan. Kami sembilan beradik berkongsi apa sahaja dalam sebuah rumah sebuah bilik tidur. Wan hanya memiliki basikal ke hujung hayatnya namun sebelum pergi menghadiahkan kami sebuah rumah batu bertingkat dua. Wan hidup berdagang sedari kecil selepas ibunya meninggal, dan selalu menitipkan kepada anak-anak agar 'jangan tinggi diri', 'jangan suka melawan orang', 'selalu sedarkan diri', 'selalu ingat kekurangan' "Biar kita kecil, jangan besar menghina orang'. Saya pernah dipanggil Wan, bersila di hadapannya dan dia akan menegur kesilapan saya, Saya ingat masa itu, dua lelaki berhadapan dan saya sungguh kerdil ketika itu. Sewaktu Ipah pergi menghadap ilahi, Wan tidak menangis setitik pun, Wang tidak menunjukkan kesedihan pun, Wan cuma berkata "Aku tak maafkan orang yang buat anak aku". Itu kasih sayang yang terlihat di depan saya. 

Saya kira kita dan kami sebagai bapa, ada hati dan perasaan yang sama seperti seorang ibu. Mungkin kami tidak meluah dan memberi sentuhan sebaik ibu. Namun kami sangat mengerti makna cinta bapa kepada anak sebagaimana kami merasai kasih bapa kepada kami. Kerana lelaki dan wanita itu berbeza, begitu jugalah berbezanya kami menumpahkan kasih sayang. SELAMAT HARI BAPA.


No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...