Langit redup di Kuala Lumpur, semalam jerebu tetapi hari ini sudah berawan. Keredupan itu bagai cuba bercerita bahawa hari ini seorang lagi insan besar dalam dunia hiburan telah pergi. Sewaktu menonton Selamat Pagi Malaysia, saya sudah mendapat khabar ini. Al-Fatihah buat Allahyarham Datin Umi Kalthum atau nama sebenarnya Patimah Bahudin. Beliau pergi di usia 81 tahun dan meninggal dalam keadaan tidur di rumah anaknya.

Beliau meninggalkan lapan orang anak dan 22 orang cucu. Sejak kehilangan suaminya Allahyarham Datuk S.Roomai Nor di Mekah, beliau sering sahaja melepaskan kerinduannya di sana. Perkahwinan Allahyarham dengan S.Roomai Nor sering dijadikan contoh pasangan bahagia. Sering sahaja mereka berdua muncul sebagai suami isteri di layar. Lakonan mereka dalam filem Abang sangat meyakinkan. Saya teringat waktu Fuad (Rahim Razali) semakin lemah dan berada di ambang kematiannya, naluri keibuan yang ditunjukkan Allahyarham sangat menyentuh, hatinya seakan mengetahui ada sesuatu akan terjadi. Memang selepas zaman studio Jalan Ampas, apabila industri filem berkembang di Kuala Lumpur, Allahyarham banyak memainkan watak ibu. Bakat mereka berdua mengalir dalam tubuh seniwati Noor Kumalasari.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.
No comments:
Post a Comment