Masa rakam ini, perasaan saya berbaur. |
Saya tahu entri kali ini boleh menghiris hati kawan-kawan dan saudara saya di kampung halaman, Pasir Mas. Sebagai anak dagang di Kuala Lumpur dan menetap lebih 20 tahun di sini, saya balik Pasir Mas hanya sekali sekala seperti pada cuti hari raya atau cuti sekolah. Namun itu tidak membataskan saya pada perasaan cinta dan bangga pada bumi kelahiran saya ini. Membesar di sebuah daerah yang tidak jauh dari Kota Bharu, dengan Stesen keretapi sebagai pusat tumpuan utamanya, bandar Pasir Mas dipercayai pernah menjadi tempat persinggahan perdagangan zaman kerajaan Langkasuka.
Yang ini macam nenek pakai tudung Fareeda |
Kerana itulah Pasir Mas tersohor dengan wanita-wanita yang cantik (Inilah bandar keluarga Neelofa). Ini mungkin juga pengaruh kahwin campur antara rakyat tempatan dengan pedagang dari Siam, Pakistan, India, Afghanistan atau dari Champa. Kesibukan Pasir Mas sebagai bandar tumpuan kerana adanya sistem pengangkutan darat yang baik serta sungai yang menghubungkan Pasir Mas ke daerah-daerah lain. Jadi di tahun-tahun awal merdeka hingga tahun 1980an, bandar ini pesat membangun. Berbanding dengan Kuala Krai ataupun Tanah Merah, Pasir Mas lebih awal membangun infrastrukturnya. Ini mungkin kerana faktor geografi bandar Pasir Mas yang tidak dilingkungi bukit bukau, jadi memudahkan pembangunan bagi aktiviti pentadbiran dan ekonomi.
Deretan kedai di balik pokok ini antara yang masih baik keadaannya. Cuma hanya perlu diserikan dengan warna baru |
Kewujudan Rantau Panjang menjadi salah satu faktor Pasir Mas menjadi perhatian di tahun-tahun 80an. Sistem perhubungan pada tempoh itu mensyaratkan pelancong yang mahu ke Rantau Panjang atau ke Sungai Golok perlu merentasi Pasir Mas. Memang melalui Tanah Merah pun boleh tapi jalannya tidak sebagus jalan dari bandar Pasir Mas. Begitu juga stesen keretapi pasir Mas adalah antara stesen utama di sebelah Pantai Timur, stesen besar yang boleh buat pertukaran rel ini menjadi tumpuan peraih dan pedagang dari sebelah hulu Kelantan dan Selatan Tahiland. Tapi kini, perubahan infrasrtuktur telah merubah keperluan pelancong melalui bandar kecil ini. Pembinaaan jambatan Salor-Pasir Mas dan jalan besar dari Lemal ke Rantau Panjang berjaya mengelakkan orang yang mahu ke Rantau Panjang memasuki bandar. Hal ini dengan sendirinya mengalih perhatian dan tarikan pada bandar Pasir Mas.
Dulu Kamal Restoran, kaki limanya saya bermain selepas waktu sekolah. Selalu main dengan anak-anak Wee Brothers. kedai tu juga saya beli buble gum |
Bandar Pasir Mas kini lebih menumpukan kepada memenuhi keperluan masyarakat setempat, bukan lagi menjadi bandar singgahan. Sistem perhubungan serta peningkatan perbandaran di daerah-daerah sempadan seperti Tanah Merah dan Tumpat, makin membuatkan bandar pasir Mas bukan lagi bandar pilihan di hujung minggu. Jika dahulu pada hari Sabtu, orang cukup ramai malah kalau naik bas SKMK selalu bersesak. Saya perhatikan pembangunan bandar Tanah Merah cukup terancang, blok-blok perniagaan bersusun dengan baik sekali malah Tanah merah juga kini menggunakan sebaik mungkin lanskap muka buminya untuk menjadikan ia sebuah bandar yang menarik. begitu juga dengan Kuala Krai, bandar hulu negeri ini, dahulu disebut bandar orang hulu kerana jauh dari Kota Bhrau dan lambat menerima pembangunan, namun kini Kuala Krai sangat sibuk. Guchil sudah jadi pekan transit yang pesat sekali, bebarapa hotel kecil dibuka atas keperluan pelancongan. Saya kira Kuala Krai menyajikan pelbagai tarikan, ketika Guchil sibuk, bandar lama menghidangkan ketenangan dengan zoo mini dan taman tasik yang redup. Bandar perbukitan seperti Taiping di sebelah pantai timur. Banyak pohon rendang menghiasi bandar ini.
uzurnya kedai tepi sungai ini. |
Sayangnya bandar Pasir Mas sama ada beku dengan perkembangan atau ia tidak boleh lagi digerakkan kecuali bandarnya dipindahkan. Itu saya lihat solusi yang diambil oleh pentadbir daerah apabila pusat pentadbiran daerah kini berpindah ke Lubok Jong yang menghala ke Rantau Panjang. Maka perhatian kini lebih ke wilayah sana, harga tanah makin naik, kedai-kedai makan, perumahan dan premis perniagaan tumbuh macam cendawan. Kalau dahulu ianya berpetak sawah padi tapi kini bangunan batu sudah menutup tanah-tanah di pinggir jalan sepanjang arah menuju Rantau panjang. Tinggallah Pasir Mas menjadi bandar sepi dan kurang maya. Bandar ini lebih menyediakan perkhidmatan sahaja, orang ramai ke bandar untuk tujuan ke bank, pos atau membeli barang harian.
itu kedai kopi lama dalam bandar |
Rumah-rumah kedai yang menjadi jiwa kepada Bandar Pasir Mas sudah uzur. Papan dan kayu ada yang gugur. Keuzuran ini jika tidak dipulihara akan reput dan tunggu saja lenyap. Sifat bandar Pasir Mas yang dikelilingi rumah-rumah kedai kayu amat indah suatu waktu dahulu. Jika tiada inisiatif oleh pihak berwajib ia akan menyembah bumi. Saya kira pihak MDPM perlu ambil inisiatif membaik pulih dan mengindahkan bandar ini. Jika dilihat rumah-rumah kedai tepi sungai lagi usang sifatnya. Tapak itu banyak merakam sejarah silam, mungkin pemilik tidak berkemampuan untuk melestari rumah-rumah itu, untuk menjadikan ianya tarikan, perlulah ada gandingan usaha antara MDPM dan pemilik.
stesen yang berwajah baru enggan pulihara rupa pusaka dulu |
kedai kopi popular di pasir mas, warna begini bisa beri semangat dan tenaga baru. |
Sikap kita sebagai penduduk juga perlu berubah, menjaga kebersihan itu sangat penting, para peniaga khususnya di pasar-pasar dalam bandar perlu disedarkan tentang kepentingan memelihara tempat mereka mencari rezeki. Pihak berwajib pun tidak boleh melaksanakan kerja rutin sahaja, membersih jalan, menanam pokok dan mengangkut sampah. Memindahkan pusat pentadbiran bukan alternatif terbaik bagi bandar ini tetapi kerana ianya sudah dibangunkan maka janganlah pula melupakan bandar lama. Jangan pula dapat gading tanduk dibiarkan. Tindakan lebih agresif perlu diambil jika benar-benar mahu menjadikan bandar Pasir Mas kembali menjadi emas. Inilah masanya, tok wakil-wakil yang dipilih tu mahu merubah dan memberi keselesaan kepada kami. Rakyat sudah memilih, memilih untuk kemajuan dan kesejahteraan bukan berkurung dalam rupa yang sangat usang. Politik fungsinya untuk tunjuk kepimpinan bukan kuasa semata.
Saya kira ini sudut menarik. Bayangkan alangkah cantik jika bangunan ini dibaiki dan dicat baharu. Ia lebih segar dan bertenaga. |
Saya tulis kerana besar hati pada tanah halaman saya, tempat saya membesar dan menimba ilmu. Saya bermain dan mengenal setiap kaki lima bandar ini. Kalau reput atau buruk sekalipun bandar ini, ia tetap kampung halaman saya. Saya tetap pulang tiap kali ia memanggil.
5 comments:
asal sebut Pasir Mas semua orang kenal..tp dok mcm tu jgak..pasar pmas..pasar munduk pun teruk jugak..sy slalu shopping kt kb n tmerah..x gi pun pasir mas kecuali hantar anak sek..
Mungkin Tingal Kenangan..
Kenanganmu PasirMas..
saya masih ke pasir mas setiap minggu menjenguk anak di maahad muhammadi pasir mas.saya jugak tidak jemu menceritakan segala kenangan manis saya kepada anak ketika bersekolah dulu....
Ros,
siapa tak rindu kisah lama. boleh senyum saja bila berada di bandar pasir mas. Nak cerita kat anak yg besar di KL mmg susah utk mreka faham.
Post a Comment