Jom Kita Jadi Geng

Sunday, June 2, 2013

BOBO: GEDIK BAWA TUAH


Bobo sudah ikat kontrak sebagai artis di bawah naungan MIG. Bijak sungguh David Teoh kerana menyambar Bobo sewaktu perhatian orang Malaysia tertumpu pada budak gedik ini. Apa istimewa yang ada pada Bobo sehingga jadi sepopular ini pun susah hendak dikata. Memang video parodinya menarik perhatian sehingga Johan Raja Lawak pun buat gimik parodi si Bobo ini. Sebelum video Bobo, sudah banyak parodi Sayang wujud, termasuklah Azrul dalam rancangan Meletop. Tapi ia tidak menjadi sehebat penangan Bobo.

Sebelum Bobo, ada beberapa video yang menjadi perhatian. Kisah budak perempuan yang sakit mata, yang mulutnya muncung panjang macam mulut itik pun dijadikan parodi. Bukan sahaja orang biasa, malah beberapa orang artis turut mengajuk. Cikgu Shida pun sangat popular dengan parodi lagu-lagu, macam-macam dia buat dalam video, pakai misai, jadi rocker sehingga Cikgu Shida dikecam dan dianggap menjejaskan imej guru. Namun rezeki cikgu Shida bertambah, dia dipanggil buat persembahan malah muncul dalam drama sebagai watak utama, judul menggunakan namanya. Itu dikira hebat juga penangan Cikgu Shida. Kini, demam Gwiyeomi masih hangat. Ramai orang muat turun video masing-masing termasuklah artis-artis popular. 

Budak ini pun buat video juga,  apa pula harapannya? Kesian.
Kesan daripada penangan video-video ini, ramailah bakat-bakat terpendam muat turun video masing untuk menarik perhatian dengan bermacam alasan dan harapan. Ada sesetengah itu, sampai kita naik meluat. Entah mahu dikata, sama ada sudah sakit masyarakat hari ini, sehingga hal-hal dalam baju juga mahu divideokan. Ada juga yang sengaja mekap dan buat aksi-aksi pelik. Bagi saya mereka sangat berharap mereka diperhati, diikuti, jadi popular dan macam-macamlah harapannya. kesian pula saya melihat. Pelakon yang memang sudah kita tahu kerjanya berlakon, jadi tak payahlah muat turun video yang tunjukkan lakonan di luar lakonan. Anda menunjukkan sikap kurang cerdik dan menambahkan lagi kepercayaan orang bahawa golongan artis ini memang tidak cerdik.

Matlutfi bagus, banyak yang berguna boleh kita dapat
dari video-videonya
Jadi bila Bobo sudah jadi artis, saya anggap usaha Bobo bukan bodoh. Bobo percaya bahawa dia miliki bakat. Daripada suka-suka dia kini jadi popular dan mendapat punca rezeki baru. Saya lihat Bobo ada beberapa kelebihan, caranya menari dan miming sangat menarik. Gediknya sesuai dengan persembahannya. Ia tidak seperti mengada-ada. Cara tariannya ada kesan sharpness, co-ordination yang baik, dinamik dalam persembahan wujud. Bobo secara semulajadi memahami sebuah persembahan.
Foto ini diambil dari facebook Jurusolek Eva Shahrul, sila klik.
Tetapi, apabila sebuah sekolah mengadakan sambutan Hari Guru, membuat parodi Bobo dan kemudiannya menjemput Bobo membuat persembahan, saya kira itu kurang baik. Buat masa ini imej dan pengaruh Bobo bukan ditahap boleh dibangga atau boleh dijadikan contoh. Dengan hanya berbekalkan bakat meniru gaya perempuan, saya kira Bobo dan guru-guru menghantar mesej yang tidak baik kepada para pelajar walaupun niat asalnya untuk hiburan semata-mata.

Saya sangat ingin melihat Bobo dari sudut yang lain. Bukan Bobo yang meniru gaya artis perempuan. Saya ingin lihat Bobo mempertaruhkan bakat semulajadinya. Mungkin Bobo mampu menjadi penghibur serba boleh. Jika MIG serius mahu menggilap bakat Bobo, David Teoh patut memberi bekalan ilmu vokal dan seni persembahan yang lain agar Bobo melengkapkan dirinya untuk berada dalam industri. Kita sudah terlalu ramai artis mee segera, kita mahu artis yang memberi impak yang bagus dan mengisi industri secara bijaksana. Bobo tidak boleh terus kekal dalam bakat 'adik-adik'.

Jadi Bobo, Selamat Maju Jaya!

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...