Juhara sebagai Nyonya 2008 |
Teater Nyonya baru melabuhkan kisahnya semalam di Panggung Sari, Istana Budaya. Macam-macam reaksi dan pandangan saya dengar dan baca. Tetapi bukan calang-calang teater kalau sudah masuk panggung Sari. tentunya Nyonya sudah capai taraf yang dipiawai Istana Budaya. Saya tidak pergi menonton, tidak ada kesempatan kerana ada beberapa tugasan yang menghalang.
Kali ini, Nyonya bergabung dengan The Gang, jika dulu semasa pementasan di MATIC, Nyonya bergabung dengan Mak Dara. Apa strategi penerbit saya tidak tahu. Tapi kali ini, Anuar Zain muncul di pentas dalam The Gang. Pastinya pecah panggung ya! Ditambah lagi, Nyonya menampilkan gandingan nama-nama hebat Misha Omar, Amy Mastura, Fara Fauzana, Kiah Propa dan dua lulusan ASWARA yang tengah hot juga, Tai Abu Bakar dan Mardiana Alwi. Tentu sekali sambutan dan persembahan Nyonya jadi berbeza. Sentuhan kali ketiga Rosminah Tahir ke atas Nyonya mungkin memberi kelainan, maklumlah Nyonya bertambah masak dalam dokongannya. Jadi tahniahlah Siti Rohayah Atan dan team nya.
Mak Dara - Nyonya 2012 |
Untuk Nyonya kali ini, saya tidak boleh menulis dan mengkritik apatah lagi membuat ulasan, cukup sekadar andaian berdasarkan bacaan dan himpunan pemainnya. Tapi teater Nyonya karya Allahyarham Wisran Hadi ini, sudah tiga kali saya menontonnya. Tulisan penerima S.E.A Write Award Indonesia tahun 2000 ini, seperti menjadi kesukaan penerbit Siti Rohayah Atan dan pengarahnya. Kerana ternyata Nyonya paling banyak diterbitkan oleh mereka. Saya masih ingat watak nyonya dibawah arahan Rosminah, dimainkan oleh Tania Zainal, Juhara Ayob, Sherry Al-Hadad dan kini Mardiana Alwi. Manakala watak Tuan dimainkan oleh Along Eyzendy, Zaifri Husin dan kini Tai Abu Bakar. Watak-watak keponakan pernah dijayakan oleh Norzizi, Rosman Ishak, Melissa Saila, Sarimah Ibrahim dan Khatijah Tan (Maaf kalau ada yang tercicir). Nyata ramai sekali yang pernah menjayakan Nyonya ini. Saya kira, Nyonya di bawah penerbitan ini, dizahirkan sebagai sebuah komedi yang menyuruh kita ketawa lagi dan lagi dan lagi.
Sherry sebagai Nyonya dan Zaifri sebagai Tuan (2012) |
Nyonya secara tersurat berkisar tentang konflik Nyonya muda yang baru kematian suaminya. Seorang hartawan yang memiliki rumah dan tinggalan yang banyak, hartawan meninggal akibat kanser lidah. Konflik muncul secara bercabang iaitu dari Tuan seorang pedagang dan dari kelompok anak-anak saudara hartawan yang meninggal itu. Wujud pertelingkahan dalam hal menakluki dan memiliki harta, yang akhirnya Nyonya tewas dengan Tuan. Tuan bukan sahaja berjaya membeli rumah dan harta milik Nyonya malah habis tergadai diri sendiri. Tiga kali Nyonya di bawah Rosminah, banyak sekali komedi yang diserlahkan. Aksi dan ketamakan keponakan menimbulkan kelucuan sepanjang persembahan. Dialog-dialog diucap menggunakan bahasa Indonesia namun sesekali muncul inggeris dan dialek negeri di Semenanjung. Mungkin itu pilihan dan kelainan yang cuba dibuat oleh Rosminah. Nyonya menjadi sangat meriah dengan gelak tawa khalayak dan gopoh gapah lakonan. Itulah yang saya temui. Kerana itu saya fikir selepas tiga kali menonton Nyonya, saya rasa sudah cukup dan faham apa yang mahu tuan pengarahnya sampaikan.
Hal itu berbeza sekali semasa kali pertama saya menonton Nyonya di Matic pada tahun 2005. Ia diarahkan sendiri oleh Pak Wisran. Nyonya ketika itu dimainkan oleh Abby Nadzri berpasangan dengan Eyzendy. Manakala keponakan dimainkan oleh Engku Nurzalifah, Ku Yusri, Tania dan Farah Adilla sebagai isteri Tuan. Pak Wisran mengekalkan dialog dan kata bual Indonesia dan mengatur tiap konflik dan aksi secara tersusun. Saya masih ingat, cara keponakan menyerang Nyonya sangat menarik, cukup strategis dan terserlah kedangkalan mereka. Strategi mereka untuk mendapatkan wang dari nyonya meningkat dari satu adegan ke adegan. Keponakan dalam versi ini, mengisi karakter yang berbeza dan tersusun sekali dialog-dialognya. Tidak ada usaha antara pelakon untuk berebut, berlawan hebat dan melafazkan dialog yang tiada kaitan langsung dengan cerita. Pak Wisran mengawal Keponakan dengan baik tetapi tetap terserlah kacau bilau perwatakan mereka. Tuan lakonan Eyzendy sangat baik, Eyzendy menyusun taktik dari sekecil idea hingga kepada sebesar peluang. Abby yang jadi Nyonya terserlah kemanjaannya yang naif tentang helah orang berniaga. Lakonan Farah Adilla muncul tersendiri, cara rintihan dan ucapannya terngiang-ngiang. Dia tidak sengaja membuat komedi tetapi kita yang terkekek kekek ketawa.
Juhara sebagai Nyonya, Khatijah Tan sebagai Keponakan |
Jadi bila saya menonton Nyonya hasil garapan Pak Wisran Hadi, ianya berbeza sekali dengan apa yang saya peroleh apabila menonton Nyonya selepasnya. Ternyata Nyonya bukanlah sekadar kisah Nyonya muda yang tandus batinnya dan akhirnya akur dengan tuntutan Tuan, juga tentang Keponakan yang berantakan untuk mendapat kekayaan dari tinggalan hartawan. Bukan sekadar itu! Pak Wisran menghantar mesej yang lebih besar. Arwah menggunakan watak sebagai simbol dan metafora. Bagaimana Tuan yang hanya menumpang berehat di halaman berjaya membeli dari sekeping marmar hingga menakluk ruang tidur dan tubuh nyonya, bagaimana itulah yang minta kita menafsirnya. Kisah pemilik menggadaikan hak dan pusakanya demi nafsu dan gula-gula yang diberi. Ia dengan sendiri meterjemah sikap bangsa Indonesia yang mudah menyerah dan menggadai apa yang dimiliki kepada orang datang. Orang datang tentu sekali sifatnya mahu menguasai dan sebolehnya menjajah. Dari sekeping marmar bertambah kepada perabot dan ruang tamu sehinggalah ke ruang tidur dan tubuh badan tergadai dek wang ringgit. Begitu bijak sekali Pak Wisran memutar penontonan kita. Apa yang terjadi pada Nyonya adalah biasan kepada terjajahnya tanahair. Sedangkan keponakan seboleh mungkin menghabis dan mengikis pusaka.
Nyonya 2013 di Istana Budaya |
Jadi, bagaimana dengan tontonan anda? Apakah Nyonya yang anda tonton tafsiran yang sama? Saya harap dalam komedi dan gelak tawa kita, ada sesuatu yang kita bawa pulang untuk difikirkan. Mungkin ada hasrat lain yang Pak Wisran mahu sampaikan dan berbeza dari tafsiran saya. Tapi saya yang menonton, itu yang saya dapat. Anda mungkin berbeza.
Cuma bagi saya, apabila sebuah naskhah sudah terlalu banyak ditokok tambah, dimasukkan dialog dan aksi yang kurang sesuai, ia merosakkan. Dan menunjukkan sikap kita sebagai yang berkarya. Kita tidak boleh mengguna lesen kreatif untuk merubah dan meluluhkan keaslian. Apatah lagi mengaut untung.
Al fatihah buat Allahyarham Pak Wisran Hadi. Semoga tenang di sana.
9 comments:
nyonya kali ni sangat berbeza dengan yang lepas cik kem. kehalusan dioalog dan keindahan cerita tu seakan sudah lenyap. hurmmm...biarlah hati yang bicara..
saya pun pernah berlakonnn...uwaaaa cik kem tertingal
apa pun saya lebih suka dengan karya yang diarahk kan sendiri oleh aruah pak wisran..lengkap dan tak perlu ditokok tambah kerana bijaknya penulis menyusun setiap senario dan sebab munasabah..
Apabila terlalu byk elemen popular dan komersial dimasukkan..menonton 'Nyonya & Gang 2013' terasa seperti menonton 'Maharaja Lawak' bukannya sebuah teater ooppss..terlebih sudah!
Yes setuju dgn jaa..Pabila terlalu byk elemen komersial&popular dimasukkan(nak tarik penonton kononnya..ke nak tarik untung?opss) nonton 'nyonya & Gang' terasa spt nonton Maharaja Lawak Mega or Super Spontan! Oppsss terlebih sudah hehe
"Apa? Kau fikir adat kita telah berubah?"- saya teringat produksi Nyonya tahun 2000....
nyonya ohhh nyonya....
Well... Nyonya akan datang lagi.. di Istana Budaya, Februari 2015.. jangan lupa BELI tiket ya kalau mahu menonton supaya kita dapat sama-sama menghargai apa yang tersirat dan tersurat. Begitu juga, apabila membuka mulut seolah-olah tidak memikirkan bagaimana orang lain mengeluarkan duit. Selalunya menganggap diri sendiri yang terbaik... sesekali tengok juga cermin.
-siti rohayah attan
Well... Nyonya akan datang lagi.. di Istana Budaya, Februari 2015.. jangan lupa BELI tiket ya kalau mahu menonton supaya kita dapat sama-sama menghargai apa yang tersirat dan tersurat. Begitu juga, apabila membuka mulut seolah-olah tidak memikirkan bagaimana orang lain mengeluarkan duit. Selalunya menganggap diri sendiri yang terbaik... sesekali tengok juga cermin.
-siti rohayah attan
CTRA,
tahniah atas pementasan Nyonya untuk kali ke 7. Harap menguntungkan
Post a Comment