Jom Kita Jadi Geng

Thursday, June 13, 2013

SEMALAM DI TABUNG HAJI

Ini foto dari internet
Bukan nak kecoh atau nak tunjuk diri, malah saya ni dah kira terlewat melakukannya. Semalam saya ke Tabung Haji atas niat nak buat buku baru kerana buku lama dah hilang pada tahun 2010. Mungkin ada yang terbaca entri saya bertajuk Allah Mengujiku. Saya dirompak, kereta saya dipecahkan di hadapan bazaar ramadhan Desa Pandan. Masa tu 6 hari nak raya. Habis duit untuk belanja raya dan buku-buku bank dicuri. Saya beraya dalam miskin tahun itu. Tapi mungkin juga duit yang saya keluarkan hari itu bukanlah rezeki saya.

Berbalik cerita Tabung Haji ni, maka dapatlah saya buku Tabung Haji yang baru. dalam usaha dapatkan buku tu, staf  Tabung Haji bertanya "encik tak nak daftar haji ke?"
Saya jawab "kena daftar ke? Bukankah otomatik bila duit cukup?" Al-maklumlah saya baru saja buka akaun Tabung Haji pada tahun 2009. Buat potongan gaji sikit-sikit.
"ooo ia kena daftar, baru encik tahu bila tahun giliran" pantas dia jawab.
"Tapi kita boleh ikut swasta kan? Swasta tak payah tunggu kan?
Dengan muka kesian dia jawab "tak! Kena daftar juga".
Kesiankan saya yang sangat tidak ambil tahu soal ini kot.
"kalau macam tu, daftarlah" tingkah saya.
Dia menaip di komputer dan keluarkan satu kertas kuning.
"Ini maklumat daftar, giliran encik tahun 2062" selamba sahaja wajahnya.
Saya terkejut beruk, pantas menjawab. "2062 ..saya dah mati"
Staf Tabung Haji tidak senyum pun. Agaknya sebab sebut mati kot. Tenang aja wajahnya. Atau mungkin dia dah selalu tengok reaksi terkejut macam tu. Dengan tenang di jawab " encik, boleh buat rayuan, tapi duit kena cukup dululah. Ok ya encik" dia macam nak berhentikan sesi kami.
"ooo..boleh merayu" saya masih duduk.
"Sekarang ni orang dah mula ada kesedaran, ramai yang daftar awal. Ada setengah tu, anak lahir terus dia buka akaun dan daftar haji"
Aik! lain macam aja nada staf ni. Nasib baik lawa dan putih melepak dan sopan. Bahasanya memang menusuk ke ulu hati saya. Rasa nak jerit "maluuuuu...." dan lari laju 100 meter.

Saya tinggalkan kaunter dengan senyum pahit. Penyesalan berbuku dalam dada kerana tidak ambil peduli soal rukun kelima ini. Saya hanya assume sahaja bahawa, boleh tunai haji bila-bila masa. Kenapalah dalam banyak perkara, yang ini saya jatuh bodoh. Jahil betul engkau Kamarulzaman!

Alhamdulillah jika begitu yang dimaklumkan staf tadi, umat Islam di Malaysia kini punyai kesedaran yang tinggi untuk menabung bagi tunaikan haji. Saya lewat menabung di Tabung haji kerana andaikan bahawa saya boleh kumpul sendiri wang ke Mekah tanpa fikirkan bahawa, saya kena mendaftar. Dangkal!

Bila tengok cara Tabung Haji ini dan pengalaman dilayan oleh staf mereka, hati saya sungguh berkenan. Saya puji cara mereka melayan karenah pelanggan seperti saya. Senyum dan tenang sahaja. Idea kerajaan mewujudkan Tabung Haji ini sangat bagus. terima kasih juga diucapkan pada Prof Diraja Ungku Aziz kerana atas pembentangan kertas kerjanya pada tahun 1959,  Perbadanan Simpanan Bakal-bakal haji direalisasikan pada tahun 1963.  
Dulu tengok member ada tabung macam ni,
tapi tak mampu nak buka akaun
Kelemahan orang Islam khususnya Melayu dalam menabung dapat di atasi melalui adanya institusi ini.  Melalui konsep Islam sebagai "Addeen" agama untuk dunia dan akhirat, lalu tercetusnya buah fikiran untuk mengelakkan umat Islam terpaksa bergadai tanah dan ternakan demi menunaikan haji, sehingga menimbulkan tekanan dalam kehidupan mereka kemudiannya. Hal itu, bukan sahaja memudaratkan ekonomi individu malah menjejaskan ekonomi luar bandar dan pertumbuhan ekonomi negara. Kerana itulah, Tabung Haji memberi peluang kepada masyarakat Islam untuk menabung secara beransur-ansur. Tabungan itu dijamin bebas dari riba dan unsur haram. 

Jadi apa lagi, mana-mana yang belum menabung di Tabung Haji, ayuhlah. Jangan terlewat macam saya. Satu lagi, jangan lupa mendaftar haji...nanti giliran tahun 2100! Siapa nak jawab?

Semoga Allah memanggil saya sebagai tetamuNya lebih awal, ketika sihat. Insyaa Allah.

1 comment:

My name starts with M said...

saya mempunyai tanggapan yang sama sebelum ni..

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...