Tiada saat gembira bagi seorang ibu bila melihat kebahagiaan anaknya. Itulah yang terpancar di wajah Datuk Norliza Rofli, Ketua Pengarah Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara malam tadi. Secara sembunyi Datuk Norliza saya panggil Kak Liza. Namun saya pasti dalam kegembiraan itu, terbit kesedihan untuk melepaskan puteri kesayangannya pergi, lepas dari pelukannya. Begitu deras masa berlalu, Ili Nabilah yang saya kenal ketika kecil kini sudah menginjak ke pelamin dan bergelar isteri orang. Pantasnya masa begitu jugalah pantasnya saat dan keindahan seorang ibu bersama anak tunggalnya ini beredar. Tentu sekali, Ili tidak mudah mendapat restu ibunya, apabila mengemukakan hasrat untuk berpasangan. Maklumlah anak tunggal. Namun yang pasti pilihan Ili untuk menerima pinangan Muhamad Ruzaini sudah termakbul.
Tuan milik foto ini, yang berdiri sebelah kiri tu, Dato Adilah. Sorry ya saya ambil dari FB Datuk Norliza (berdiri kanan) |
Malam tadi, Dewan Setia Alam Convention Centre bertukar wajah, majlis yang berlangsung bagai kenduri sebuah keluarga besar. Masakan tidak, majlis ini menjadi untuk sekali dalam hidup Datuk Norliza. Majlis perkahwinan untuk satu-satunya anak. Ili bukan sahaja menjadi milik keluarga Datuk Norliza dan Dato Tajul Razi tetapi menjadi anak kepada rakan-rakan sekerja ibu bapanya. Dari kecil ke alam persekolahan sehinggalah bekerja, khabar Ili sering ditanya. Apatah lagi kini mendirikan rumahtangga, tentunya semua mahu berkongsi detik manis itu. Saya pernah bertugas di bawahnya semasa beliau menerajui Istana Budaya dan Akademi Seni Kebangsaan. Tapi hubungan kami tidak putus, sering saja saya diajak untuk menyertai pasukannya.
Malam tadi, saya kira majlis yang cukup istimewa, hadiah dari ibu bapa buat Ili. Malah ramai yang sukarela mahu menghadiahkan sesuatu buat Ili. Siapa sangka Anuar Zain tiba-tiba muncul mengalunkan keindahan Sedetik Lebih buat mempelai. Detik itu dewan menjadi hingar, namun fokus Anuar tetap kepada kedua pasangan. Indah sekali hadiahnya. Apatah lagi Syafinaz dan Ning Baizura juga turut menyampaikan lagu cinta dalam bahasa yang cukup romantis. Wahh, indah sungguh majlis perkahwinan ini.
Ini menunya, sedap dihidang dengan nasi kebuli. tambah sedap ada sambal hitam belimbing. Foto ini Kakashi punya |
Apapun, saya ucapkan tahniah buat Ili dan Zai. Selamat melayari bahtera menuju ke hujung hayat. Berkasihlah dengan rukun kesabaran, mengisi tiap kekosongan agar saling melengkapi. Imbangi emosi dengan kasih sayang. Kamu berdua tercipta untuk bersama. Allah sudah menetapkannya. Saat untuk menempuh gelora sudah bermula, Insyaa Allah cinta mampu meneguhkan percintaan. Buat Kak Liza, saya ucapkan tahniah. Melihat kegembiraan di wajah Kak Liza tadi, ia bagai cermin kebahagiaan, ia percikan doa dan harapan yang tiada habisnya dari seorang Ibu kepada anaknya.
Saya juga amat berterima kasih kerana malam tadi menemukan saya dengan mereka yang sudah lama tidak bertemu. Majlis tadi bagai ruang untuk saya mengimbau segala memori silam.
No comments:
Post a Comment