Jom Kita Jadi Geng

Monday, June 24, 2013

HANAFI JUARA MY EKSPRESI 2013



Tahniah Mohd Hanafi Rosdi kerana muncul sebagai juara My Ekspresi musim pertama. Program realiti yang mencungkil bakat koreografi ini, ternyata membawa tuah kepada Hanafi. Anak kelahiran Terengganu yang mengembangkan bakat tarinya melalui aktiviti di Taman Budaya sewaktu sekolahnya kemudian menyambung di Aswara selama 6 tahun untuk memiliki diploma dan ijazah sarjana muda dalam bidang yang sama. Sepanjang di Aswara, Hanafi menunjukkan potensi yang baik, meneroka tari dalam pelbagai sudut, menjayakan teater traisional dalam semangat tradisi yang baik, aktif di dalam menjayakan aktiviti-aktiviti ASWARA di dalam dan luar negeri. 

Dalam keluarga Hanafi, hanya dia yang menunjukkan potensi dan kecenderungan yang tinggi dalam seni. Berbeza dengan abangnya, yang menganggotai pasukan lumba basikal Terengganu. Saya sempat berkunjung ke rumah Hanafi di Kuala Terengganu, masa itu, kami satu bas dijamu masakan ibunya, rumahnya yang kecil menjadi sendat sesendatnya, sehingga melimpah ruah ke luar rumah, namun keramahan ibunya membuatkan kami rasa berbesar hati. Saya kira keluarga Hanafi sangat menyokong penglibatan Hanafi dalam seni tari. Jika difikir bukan mudah, sebuah keluarga Melayu sepert keluarga Hanafi, untuk melepaskan anak lelaki menceburi bidang tari. Bidang yang rata-rata dianggap tidak maskulin dan belum begitu maju di Malaysia. Malah kita tidak ada industri tari pun, jadi peluang kerjaya dan prospeknya sangat kecil. Tapi, keluarga Hanafi tidak melihat itu, mereka melihat kecenderungan dan keinginan Hanafi. Dan itu dibuktikan oleh Hanafi.

ASWARA mencungkil bakat Hanafi semaksima
Masa Hanafi mula jejak di ASWARA, saya memang berteka teki, habiskah budak ni? Betulkah dia nak menari? Bolehkah dia maju dan jadi hebat dalam tari? Mesti dia akan end-up dengan jadi penari 'carma' sahaja. Saban hari saya lihat dia membesar. Melalui didikan dan bimbingan fakulti, khususnya hubungan baik Hanafi dengan Joseph Ganzales, saya dapat rasa kesungguhan Hanafi terserlah. Memang saya akui di ASWARA, ada beberapa pelajar tari yang lebih hebat dari Hanafi, namun usaha dan kerajinan itu boleh memajukan seseorang. Jika ada bakat tapi tiada kerajinan, ia tetap tidak berkembang. Joseph selalu bercerita hal ini, tentang potensi anak muridnya. Namun saya kira Hanafi tergolong dalam kelompok penari yang kuat, berprestasi tinggi, menguasi banyak stail tari dengan baik dan kerana itu jugalah Hanafi dipilih menganggotai ASWARA Dance Company.

Sewaktu majlis meraikan kejayaan Hanafi dan rakan-rakan
menjuarai Tari WCOPA
Hanafi punya personaliti yang menyenangkan. Mudah untuk diajak bekerjasama. menghormati guru dan menghormati rakan. Dia ada keupayaan memimpin bila kita lihat cara dia berkarya. Sikapnya yang menyenangkan semua orang, memudahkan ia diterima dan menyertai kerja-kerja di bawah koreografer yang berwibawa. Sikap inilah yang menguntungkan Hanafi. Bila saya tanya kenapa tidak sebut bahawa dia adalah salah seorang yang bawa pulang emas terbanyak di WCOPA pada tahun 2010, dia minta supaya tidak diceritakan. Walhal Hanafi dan 3 lagi rakannya telah mengangkat Malaysia sebagai Juara Dunia kategori Tari mengatasi pencapaian Malaysia sebelumnya. Hal ini berbeza dengan salah seorang peserta My Ekspresi, yang secara terang menyebut kejayaan membawa pulang 1 emas dan beberapa gangsa . Sikap Melayu yang rendah diri itu masih menebal dalam diri Hanafi. Sikap begini sudah tidak lagi sesuai dalam bidang seni persembahan hari ini, kalau kamu ada 100 award maka sebut dan senaraikan award itu, biar dunia tahu dan kagumi pencapaian kamu walaupun award itu datangnya dari pertandingan peringkat kampung.

Hanafi dan rakan-rakan dalam persembahan kontemporari India

Hari ini, Hanafi bergelar juara My Ekspresi. Saya dan anda pasti ingin melihat apa lagi yang mahu dicapai oleh Hanafi. kecenderungannya menghasilkan koreografi yang disebut Dancefilm, saya kira satu usaha yang masih asing di Malaysia. Beberapa koreografi telah dihasilkan Hanafi, dan kebolehannya meningkat dari satu projek ke satu projek. Ini saya kira memang karyawan harus berkarya berterusan, riwayatnya menjadi panjang apabila dia sentiasa mencari sesuatu yang baru untuk diteroka. Hanafi sudah memasuki fasa berbeza, meninggalkan rakan lain yang masih bekerja menggunakan medium pentas semata. Jadi saya kira, ada harapan untuk kita lihat Hanafi di masa depan. 

Dancefilm by Hanafi - Keranda Untuk Adinda

Kejayaan Hanafi dalam My Ekspresi adalah bukti bahawa ASWARA adalah institusi terbaik menghasilkan karyawan seni. Tiga tempat terbaik dalam My Ekspresi disapu ASWARA. Apabila objektif My Ekspresi untuk mencari koreografer yang seimbang antara tradisional dan kontemporari, maka tiada lain tempatnya, ASWARA lah kilang yang mengeluarkan produk itu. Saya dengan bangga menyebut perkara ini, kerana ASWARA satu-satunya institusi yang bersungguh-sungguh melahirkan pelajar yang seimbang, yang kenal dan menghayati seni tradisi, yang tidak mahu berkompromi dengan keengganan banyak pihak yang menolak  mempelajari seni tradisi. ASWARA menyakini bahawa walau siapapun kamu, apapun impian kamu, apapun jadinya kamu diluar nanti, pelajar perlu tahu dan kenal seni tradisi. Dan kerana itulah, ASWARA tidak boleh berada di bawah payung yang lain selain kebudayaan, hanya payung ini sahaja memahami dan mengangkat keperluan kenapa ASWARA perlu berwajah seperti hari ini. 

Tahniah Hanafi, awak membanggakan. Tahniah juga Nazri dan Kamaluddin kerana turut memberi keyakinan kepada Malaysia bahawa ASWARA telah melakukan perkara yang betul. Tahniah juga untuk Tang Sook Kuan kerana berada di platform yang terbaik (hati saya berkata, Tang ni kalau di KL tentu banyak sekali  peluang dan pencapaian yang dia boleh dapat).


3 comments:

Anonymous said...

TAHNIAH HANAFI.Moga maju jaya sentiasa. ini berkat doa guru dan keluarga serta kerajinan dan komitmen beliau.

Unknown said...

tahniah....muka pun handsome

HANAFI ROSDI DANCER MALAYSIA said...

Terima kasih banyak2.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...