Jom Kita Jadi Geng

Monday, September 23, 2013

KESULTANAN BRUNEI SIMBOL MELAYU



Pengislaman Raja Brunei, Awang Alak Betatar setelah berkahwin dengan puteri Johor (Singapura Tua) dan menukar namanya kepada Sultan Muhammad Syah dianggap sebagai titik mula kemuculan Brunei sebagai negeri merdeka dan berdaulat.  Sebagaimana disebut, sebelum Islam Brunei terlebih dahulu menerima pengaruh Buddha dan Hindu dan ini mempengaruhi corak kehidupan, amalan dan budaya masyarakatnya. Walau bagaimanapun, setelah Sultan Sharif Ali ditabal menjadi Sultan Brunei ketiga, Islam mula diterima secara menyeluruh dan merubah kehidupan masyarakat Brunei.  Apatah lagi, Kerajaan Islam Melaka pada masa itu menguasai alam Melayu . Dalam Silsilah Raja-raja Brunei ada menyebutkan bahawa selepas pengislaman Awang Alak Betatar cara pemerintahan Brunei turut berubah:

“ …kerajaan dalam kandang daerah negeri Brunei Darul’aman yang turun-temurun yang mengambil pesaka nobat negara dan genta alamat dari negeri Johor Kamalu’-maq-am dan mengambil nobat negara dan genta dan alamat Minangkabau, iaitu negeri Andalas.”

            Kegemilangan Brunei dipercayai semasa pemerintahan Sultan Brunei kelima, Sultan Bolkiah atau dikenal sebagai Nakhoda Ragam.  Sultan Bolkiah memerintah dari tahun 1473-1521, mengahwini Puteri kepada Betara Sulu, Lela Menchanai. Di bawah pemerintahannya Brunei berkembang maju dan menyusun pentadbiran negeri secara lebih tersusun. Semasa Sultan Bolkiah telah diperkenalkan jawatan Bendahara dan pengiran Temenggung sebagai pegawai terkanan untuk membantu pentadbiran negara. Kegemilangan Brunei ini mengambil peluang atas kejatuhan Melaka pada tahun 1511 ke tangan Portugis. Hughes Hallet mengatakan bahawa pada zaman keemasan Brunei ini, empayarnya melangkaui Borneo Utara, Sarawak, Kepulauan Sulu dan keseluruhan pulau-pulau Balabac, Bangi, Balambangan, Mantani dan Barat Laut Palawan.
            Kemunculannya sebagai sebuah negara Islam yang kuat di rantau ini sesuai dengan dasar Benua China pada masa itu yang melaksanakan dasar membangunkan hal-ehwal dalam negeri dan mengurangkan pengaruhnya di negara-negara rantau sini telah member peluang kepada kerajaan Brunei mengambil alih peranan yang dimainkan oleh Melaka dan Majapahit. Ini telah menarik pedagang-pedagang Arab, China, Portugis dan lainnya menjadikan Brunei sebagai pelabuhan perdagangan mereka.  Kegemilangan kerajaan di bawah Sultan Bolkiah ini telah membentuk organisasi masyarakat Brunei teratur dan lebih kompleks dengan sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan ketenteraannya sudah mencapai tahap yang tinggi.

            Kemangkatan Sultan Bolkiah memberi kesan kepada keteguhan kerajaan Brunei di mana sultan-sultan selepas beliau gagal mengekalkan pengaruh dan kekuasaan Brunei. Banyak negeri-negeri jajahan Brunei mengambil peluang untuk melepaskan diri dari naungan Brunei. Walaupun Sultan kesembilan Brunei, Sultan Muhammad Hassan (1582-1698) cuba mempertahankannya dengan memeperkenalkan beberapa dasar termasuklah memperkenalkan Hukum Kanun Brunei, menambah jawatan pembesar seperti Pengiran Di-Gadong, namun usaha baginda gagal memandang pada abad ke-16, kuasa Barat sudah memasuki dan menakluk negeri-negeri di rantau Melayu. Sepanyol di Filipina, Protugis di Melaka dan Belanda di kepulauan Indonesia. Hal ini menggoyahkan kedudukan dan pengaruh Brunei apatah lagi, Brunei turut menerima ancaman Sepanyol yang ingin menguasai keseluruhan utara pulau Borneo setelah berjaya menakluk Manila di Filipina. 

            Secara ringkasnya, kuasa-kuasa Barat menguasai rantau nusantara pada abad ke 17 hingga ke 19 telah memusnahkan sedikit demi sedikit unit-unit politik Melayu. Pada ketika itu, kesultanan Melayu yang tinggal ialah Kesultanan Brunei dan Kesultanan Sulu. Namun kedua-dua kerajaan ini sangat lemah berbanding dengan pengaruh Barat yang begitu kuat di dalam menguasai ekonomi perdagangan dan politik. Thailand menjadi satu-satunya negara yang berdaulat tanpa dikuasai oleh barat ketika itu. Penguasaan Inggeris di Borneo khususnya di Sarawak pada tahun 1845 sehingga membawa kepada penyerahan Limbang pada 1890 telah menjadi rentetan awal kejatuhan Brunei. Ekoran daripada konflik dalaman dan tipu helah yang digunakan oleh James Brooke serta serangan-serangan yang dilakukan oleh Inggeris ke atas beberapa daerah di Brunei seperti Belait dan Tutong telah membawa kepada perjanjian dibuat. Pada tahun 17 September 1888, Brunei telah menandatangani perjanjian dengan James Brooke yang disebut sebagai Perjanjian Proctectorate, ini membawa kepada akuan Brunei menerima penglibatan Brooke dalam hal ehwal negerinya. Muslihat Brooke asalnya adalah untuk menghapuskan negeri Brunei dengan menjadikan ianya satu wilayah Borneo namun campur tangan British pada tahun  1906 dan menempatkan seorang Residen British telah menggagalkan rancangan James Brooke.  Sejak itu, Brunei di bawah jajahan dan naungan British sehinggalah kemerdekaannya pada 1984.

Sejak pemerintahan Sultan Muhammad Syah, Brunei telah dipimpin oleh seramai 29 orang Sultan. Sebagai sebuah kerajaan yang pernah bernaung di bawah pentadbiran British dari tahun 1888-1984, Brunei telah merentasi tempoh mematangkan diri dalam mempelajari selok belok pentadbiran sesuai dengan keperluan antarabangsa. Dasar-dasar yang dilaksanakan Brunei telah mengambil-kira keupayaan menyerlahkan negara kecil ini di persada antarabangsa. Kekayaan hasil minyak menjadi sumber terpenting dan meletakkan Brunei dengan mudah di dalam peta dunia. Tahun-tahun 1960 hingga 1970 menyaksikan Brunei betul-betul dicabar dengan berbagai rintangan di dalam mengekalkan kedaulatan negaranya. Penubuhan Parti Rakyat Brunei pada tahun 1957 yang menjadi kumpulan pendesak utama di dalam menggoncang institusi di raja dan kerajaan Brunei pada masa itu sehingga membawa kepada kemenangan Parti Rakyat Brunei di bawah pimpinan A.M. Azahari dalam pilihanraya tahun 1962 dan menular kepada peristiwa berdarah dalam tahun yang sama, benar-benar menggoyahkan Kesultanan Brunei selaku pemerintah. Selain itu, Gagasan Malaysia yang mempunyai pelbagai perkara pro dan kontra yang membawa kepada perbincangan yang panjang turut meletakkan Brunei di dalam dilema.  Provokasi yang dimainkan oleh mereka yang berkepentingan yang menghasut rakyat,serta desakan Kerajaan Persekutuan Malaya di bawah Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman telah meletakkan pemerintah Brunei dalam tekanan.

            Di sinilah letaknya kebijaksanaan Sultan yang mentadbir Brunei semasa itu, Sultan Haji Omar Ali Saifuddien.  Sejak kedatangan kuasa British dalam Brunei pada tahun 1906 telah menyebabkan kepupusan pengaruh Hukum Kanun Brunei yang pernah dikuatkasakan semasa Sultan Mohammed Hassan (1582-1598). Hukum ini boleh dianggap sebagai perlembagaan Brunei namun menjadi kurang berfungsi selepas  pentadbiran hal ehwal dalam dan luar negara menjadi tanggungjawab Residen British. Namun atas kewibawaan Sultan Haji Omar Saifudden yang berfikiran moden dan melihat perlunya asas di dalam memastikan kedaulatan  negara Brunei dan keutuhan Kesultanan Melayu islam Brunei yang berlandaskan kepada kebudayaan dan identiti melayu Brunei sendiri maka Hukum Kanun Brunei difikirkan sesuai sebagai alat yang menjadi asas terbentuknya satu perlembagaan baharu. Pada 29 September 1959, atas desakan dan cadangan baginda, Brunei berjaya memastikan Bristish mengisytiharkan Perlembagaan Negara Brunei. Pembentukan perlembangaan ini dianggap sebagai titik awal pemodenan sistem politik Brunei. Memetik titah baginda:

“… Perlembagaan yang baru beta masyhurkan adalah satu langkah yang besar dalam kemajuan perlembagaan Negeri ini menuju kea rah kejayaan sendiri yang penuh dan merdeka… maka kejayaan perlembagaan ini dan cepatnya Negeri brunei dapat mencapai taraf kerajaan sendiri yang  penuh akan bergantung kepada taat setia rakyat kepada perlembagaan ini…”  (Intisari Kebudayaan Brunei, 1988)

Perlembagaan ini yang menggantikan pentadbiran lama sebelum 1959 yang meletakkan Sultan samatara dengan Residen British. Perlembagaan telah memberi jaminan yang lebih menguntungkan rakyat Brunei apabila residen digantikan dengan Pesuruhjaya Tinggi yang tidak lagi mengambil tempat di dalam Majlis Mesyuarat Negeri. Majlis Mesyuarat negeri yang bertanggungjawab kepada Sultan tentang pentadbiran dalam negeri diketuai oleh seorang Menteri besar yang dilantik oleh sultan sendiri. Syarat lantikan seorang menteri besar itu hanyalah terhad kepada rakyat Brunei dan beragama Islam bermazhab Safie. Ini kejayaan Sultan Haji Omar Ali Saifuddien  di dalam memastikan anak tempatan mentadbir dan memerintah negeri mereka sendiri. Apa yang penting ialah kenyataan Bab 41 (b) Perlembagaan 1959 yang meletakkan Sultan adalah pemerintah tertinggi dan menunjukkan bahawa kuasa dan tampuk pemerintahan berada di tangan baginda. Yang lebih penting, baginda mengekalkan kedaulatan negeri dan keutuhan Kesultanan Brunei sejak turun temurun. Baginda berpendapat perubahan politik melalui Perlembagaan ini adalah dalam usaha melatih anak tempatan berkelayakan mentadbir dan memastikan kestabilan bentuk pemerintahan tradisi yang diamalkan sejan abad ke 14 diteruskan sesuai dengan keperluan dan perubahan yang berlaku di dalam negeri dan serantau.

            Kesan daripada polisi Sultan yang memastikan corak pemerintahan tradisi ini bertahan digambarkan melalui rundingan-rundingan dan ucapan-ucapan baginda.  Semasa Brunei berupaya mendapat kemerdekaan lebih awal, baginda secara lembut menolak atas perihatin baginda melihat keupayaan Brunei sendiri yang kurang mampu melindungi negaranya di rantau ini. Hal ini tergambar melalui peristiwa berdarah 1962 apabila kumpulan pendesak menganjurkan protes sehingga membawa kepada kematian. Bantuan ketenteraan British telah menolong Kesultanan Brunei lenyap di tangan rakyat  khususnya Parti Rakyat Brunei yang mahukan rakyat mentadbir sebagaimana amalan Malaya, Indonesia dan Filipina.

Sultan Hj Omar Ali Saifuddein
           Penolakan Sultan Haji Omar Ali Saifuddein meletakkan Brunei dalam Malaysia pada tahun 1963 jelas memperlihatkan bagaimana baginda menjaga kedaulatan Brunei dan Kesultanannya. Keengganan baginda menyertai Malaysia atas beberapa perkara yang cukup berasas khususnya daripada sudut ekonomi dan politik. Soal pembahagian harta Brunei kepada Malaysia dan pemilikan hasil minyak Brunei telah menjadi isu utama di dalam rundingan itu,  baginda menganggap ianya sebagai satu ufti yang seolah-olah Brunei di bawah takluk jajahan Persekutuan Tanah Melayu. Ini pernah dititah baginda sebagai “Jangankan $40 juta, setitik susu getah atau sebiji kelapa pun beta tidak mahu member kepada Malaysia” . Baginda yang amat sedar kekayaan dan kedaulatan Brunei akan pupus apabila menyertai Malaysia kerana ianya meletakkan Brunei sama seperti negeri-negeri lain. Termasuklah setara dengan Sabah dan Sarawak yang pada sejarahnya pernah menjadi jajahan Brunei.  Daripada segi kedudukan baginda sebagai pemerintahan pula, ianya jelas meletakkan baginda di bawah Persekutuan dan tiada beza dengan pemimpin negeri-negeri yang lain sedangkan selama ini baginda adalah seorang Raja pemerintah yang punya kuasa, naungan, kekayaan dan lebar salasilahnya. Titah baginda ini menunjukkan keinginan baginda sebenarnya  (Osman S. , 2001):

“Beta dan kerajaan telah membuat keputusan bahawa kepentingan bagi kebajikan Brunei dan rakyatnya tidak dapat dicapai dengan kita memasuki Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu pada masa ini.”

 Tulisan ini saya berdasarkan beberapa buah.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...