Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, June 20, 2023

TULISAN MUZLINA ABU BAKAR MENGENAI CHE KEM


 Saya cukup terharu membaca tulisan oleh seorang wartawan yang disegani Muzlina Ab Bakar mengenai pengalaman dan proses saya mengerjakan Muzikal Wajah Rahsia Hati. Kesudian Kak Lin menulis mengenai saya, cukup mengesankan meski sebelum ini saya hanya mendengar nama dan membaca tulisannya sahaja sejak dari zaman remaja. Tak sangka juga, ada serba sedikit yang beliau tahu mengenai kerja kerja seni saya. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan amat berbesar hati atas kesudian dan kesungguhan Kak Lin meluangkan waktu hadir ke sesi latihan dan bertanya untuk kesahihan perkara. Alhamdulillah Muzikal Wajah Rahsia Hati mendapat sambutan hebat di Singapura. Satu malam yang cukup manis untuk dikenang. Bersama ini saya kongsi tulisan Muzlina Abu Bakar yang disiarkan di Bebas News https://bebasnews.my/2023/02/10/pengarah-jangan-ego-che-kem/

PENGARAH JANGAN EGO - CHE KEM

SEJUJURNYA saya tidak pernah kenal beliau ‘in person’ tetapi sekadar melihat lakonannya dalam beberapa babak dari filem “1957: Hati Malaya” (2007) dan “Tanda Putera” (2013) yang pernah ditayangkan di stesen TV. Ketika itu, beliau bukan sahaja menyakinkan dengan penampilannya sebagai Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, malah pertuturan dan tonasinya dalam melontarkan setiap patah perkataan mengingatkan saya kepada ‘Bapa Kemerdekaan’ Malaysia itu!

Disebabkan itu, apabila wartawan tersohor dan penulis skrip “Muzikal Wajah Rahsia Hati,” SlenFadzil mengundang saya menyaksikan latihan pementasan berkenaan di Dewan Bahasa dan Pustaka pada Jumaat lalu saya tidak mampu menolak.

Apabila sampai di tingkat enam tempat latihan selain SlenFadzil dan Zurina Waji, orang pertama yang menyapa saya dan di luar lingkup dari dunia kewartawan adalah ‘carbon copy Bapa Kemerdekaan’ yang juga pengarah muzikal berkenaan, Che Kem, diikuti dua figura yang saya kenal iaitu Fauziah Ahmad Daud dan koreografer, Pat Ibrahim.

Sapaannya dengan loghat Kedah benar-benar mengingatkan saya pada wataknya dari dua filem berkenaan walaupun beliau sebenarnya berasal dari Pasir Mas, Kelantan. Dari jarak 10 langkah saya memerhatikan beliau dan koreografer, Pat Ibrahim kerana tidak mahu mengganggu konsentrasi mereka pada latihan Fauziah bersama enam ensemble yang merupakan siswa dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Malaysia (ASWARA).

Sebelum memulakan latihan beliau berkata sesuatu dengan lembut dan penuh diplomasi. Itulah Che Kem atau nama sebenarnya Kamarulzaman Taib, lulusan Sarjana Muda Kesusasteraan Melayu, Universiti Malaya yang kini bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan kesenian tradisional di Aswara. Waktu rehatnya selama 14 minit 21 saat, saya gunakan sebaik mungkin untuk berkongsi pengalamannya bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud yang terkenal dengan sifat ‘cerewet’ dalam menghasilkan karya demi kesempurnaan dan apabila ditanya mengenai itu tanpa berselindung, Che Kem berkata;

“Sebelum latihan dimulakan skrip asal diolah beberapa kali dan masuk skrip keempat dan ketika latihan masih bertukar lagi kerana terlalu banyak kata-kata sehingga menghilangkan muzikalnya.

“Apabila draf kedua Kak Ogy baca dan tengok pendekatannya yang beliau mahu kongsikan di pentas dan apabila sampai draft ketiga kami memberi pandangan kemudian kita masukkan lagu-lagu yang sesuai dan dipendekkan beberapa storyline.

“Bila sampai draft keempat kami berbincang dengan pengarah muzik, Mansor Mohamed dari Singapura dan barulah kami memulakan latihan.”

Menurut Che Kem, walaupun melalui empat kali proses mengolah skrip itu tetapi ia sedikitpun tidak menyentuh kredibilitinya sebagai pengarah muzikal berkenaan.

“Saya seorang yang berfikiran terbuka dan sebagai pengarah tak boleh ego. Muzikal ini cerita tentang Fauziah Ahmad Daud dan saya harus hormati apa yang beliau mahu kongsikan dengan penonton.

“Apabila penulis skrip SlenFadzil dan Zurina Waji buat dialog untuk babak-babak tertentu mereka meminta pandangan Ogy dan beliau akan ‘buang’ mana yang tidak perlu.

“Saya hormati Ogy kerana beliau bukan edit sesuka hati tetapi dari kacamata pengarah. Semasa latihan kami banyak berkerjasama untuk disesuaikan sebagai sebuah muzikal dan masih ada rombakan kecil pada skrip bagi menyesuaikan dialog dengan emosi sesuatu babak.

“Perjalanan sebuah kehidupan bukan semuanya indah, ia ada elemen sedih dan inilah yang akan menjadi ‘killer scene’ untuk muzikal ini dan penonton akan dapat ‘merasai’ pada babak kedua,” jelas Che Kem.

Disamping itu beliau turut mengutarakan jalan cerita kisah perkahwinan dengan Eman Manan, dan Ogy menerimanya dengan hati terbuka.

“Tetapi pandangan awal saya salah. Saya bayangkan muzikal ini tentang kisah cinta dan keruntuhan rumahtangga menjadi beban dalam hidup beliau tetapi tidak. Sebenarnya kehilangan ayah dan emak begitu membebankan jiwanya apalagi beliau begitu rapat dengan arwah emak.

“Jika penonton menghayati muzikal ini dengan sepenuh jiwa anda akan dapat rasakan ia bukan kisah cinta sebaliknya derita seorang anak kehilangan emak dan ayah. Ia juga bukan tentang seniwati sebaliknya kisah Fauziah Ahmad Daud seorang insan yang harus berjuang demi kehidupan dan yang membezakan beliau adalah seorang bintang,” cerita Che Kem.

Apabila ditanya apakah melalui muzikal ini beliau mengenali siapa sebenarnya Fauziah Ahmad Daud, Che Kem memberitahu;

“Tidak seratus peratus tetapi ia membuatkan saya memahami wanita bernama Fauziah Ahmad Daud, seorang yang kuat, cekal dan degil dalam perjuangannya.

“Sebenarnya apabila beliau menghubungi saya dan mahukan saya mengarah saya tertanya-tanya. Setelah berjumpa, beliau juga tidak beritahu kenapa memilih saya. Tetapi ada orang ‘warning’ berhati-hati tetapi saya tidak menghadapi masalah kerana sebagai pengarah kita tak boleh ego dan mesti ada sikap tolak ansur dengan artis.”

Menurut Che Kem walaupun pernah sekali berlakon iklan MARA dengan Ogy namun beliau pernah bertanya pada Datuk Rahim Razali bagaimana nak ‘handle’ Ogy jawapan beliau belajarlah.

“Akhirnya dengan muzikal ini baru saya kenal Ogy. Bagi saya apabila kita ada hujah kita kena pastikan hujah kita dan beliau seorang yang berfikiran terbuka.

“Saya bukan sahaja bersyukur dapat bekerjasama dengan Ogy malah kagum kerana pada usia 60 tahun beliau masih mampu menari, menyanyi dan bermonolog dengan baik. Ogy memang ‘show girl!” kata Che Kem.

Che Kem bersama Pat Ibrahim dan Roslen Fadzil


BAGI koreografer tersohor Pat Ibrahim kesediaan Fauziah Ahmad Daud yang lebih mesra disapa Ogy, memilih beliau menyertai pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati adalah satu penghormatan yang sukar dizahirkan dengan kata-kata.

PAT IBRAHIM

“Saya ‘mengenali’ Ogy sejak remaja apabila sering melihat lakonan dan nyanyiannya di stesen TV. Bagi saya Ogy adalah ‘rare talent’ yang Malaysia ada kerana beliau boleh menyanyi, bermonolog dan menari dengan baik.

“Setelah lebih empat dekad dalam dunia seni, Ogy adalah seorang bintang yang hebat dan masih bertahan sehingga hari ini. Pengalaman dan kejayaannya dalam bidang seni terutama lakonan amat menakjubkan.

“Disebabkan itu, seminggu sebelum latihan apabila beliau menghubungi dan menawarkan saya sebagai koreografer pementasan ini saya terus terima,” kata Pat Ibrahim yang telah menceburi bidang ini lebih 30 tahun.

Menurut Pat Ibrahim walaupun tiga minggu sesi latihan bersama Ogy, beliau amat kagum pada usianya mencecah 60 tahun Ogy masih kekal sebagai ‘show girl’ seperti yang dikatakan oleh Che Kem.

“Bukan itu sahaja, malah beliau adalah seorang penghibur yang kekal dengan sifatnya yang pentingkan kesempurnaan.

“Walau mungkin ada yang menganggap Ogy ‘cerewet’ tetapi beliau ada reputasi dan tahu apa yang dia mahukan. Ini amat jelas apabila beliau berbincang dengan saya dan Che Kem sebelum memulakan dan setelah sesi latihan.

“Saya kagum sikap Ogy yang sentiasa berfikiran terbuka dan sanggup menerima pandangan kami. Bagi saya, Ogy adalah penghibur sejati kerana dia tahu apa yang dia mahukan.

“Saya rasa amat bertuah dan bangga kerana beliau mempercayai saya menyertai pementasan muzikal ini,” kata Pat Ibrahim.

Tidak mudah hasilkan skrip muzikal – SlenFadzil

WALAUPUN pernah menulis skrip filem pendek dan cerekarama namun untuk menghasilkan skrip “Muzikal Wajah Rahsia Hati” tidak semudah yang disangka.

“Pada mulanya apabila Ogy mahukan saya menulis skrip berkenaan saya menganggap ia bagaikan bulan jatuh ke riba apalagi saya memang sukakan sesuatu yang baru dan mencabar.

“Namun saya akui ia tidak semudah membilang satu, dua dan tiga. Bagaimanapun saya bersyukur kerana pengalaman sebelum ini membantu saya menghasilkan karya berkenaan apalagi saya juga telah mengenalinya sejak sekian lama.

 “Bagi pementasan Muzikal Wajah Rahsia Hati, penghasilan skripnya memang mencabar kerana perlu menggabungkan elemen lakonan, nyanyian dan tarian berdasarkan fakta sebenar perjalanan hidup Fauziah Ahmad Daud, insan biasa dan anak seni,” kata SlenFadzil yang menulis skrip berkenaan bersama sahabatnya, Zurina Waji.

Sebelum ini, SlenFadzil pernah menghasilkan tiga skrip filem pendek iaitu Asrar, Iqra’ , Aidil & Atok dan sebuah telemovie “Dosa Tak Terampun.”

“Apabila skrip ini siap, Ogy berbincang dengan saya siapa yang boleh menggalas tugas sebagai pengarah. Kemudian Ogy menamakan Che Kem sebagai pengarah dan saya bersetuju.

“Bagi saya walaupun Che Kem seorang yang ‘low-profile’ tetapi latarbelakang dan pencapaiannya dalam bidang seni bukan calang-calang. Bersandarkan itu, kami sebulat suara memilih Che Kem,” cerita SlenFadzil.

Menurut SlenFadzil, bersama Zurina Waji, Che Kem dan Ogy mereka merombak skrip berkenaan beberapa kali agar pementasan ini tampak menarik dan menghiburkan.

“Ia juga disusun dengan padat dan kemas agar dapat memberikan ruang kepada Ogy untuk menonjolkan pelbagai emosi dalaman beliau.

“Saya pasti para peminat puashati kerana dalam menyelami pelbagai rasa dan rahsia serta naluri hati seorang Fauziah Ahmad Daud, anda akan dihiburkan dengan lagu-lagu merdu dan popular nyanyiannya dan secara tidak langsung menghilangkan rindu anda kepada anak pasangan seniman Allahyarham Datuk Ahmad Daud dan Allahyarham seniwati Saadiah,” kata SlenFadzil.

 


Bila ditanya mengenai Che Kem sebagai pengarah, SlenFadzil memberitahu;

“Che Kem dipilih kerana latarbelakang serta pencapaiannya sebagai pelakon dan pengalamannya dalam bidangan pengarahan pentas yang amat menyakinkan.”

Bagi orang luar mungkin namanya tidak glamour sebagai pelakon hari ini tetapi Che Kem yang kini bertugas sebagai Pensyarah bidang teater dan kesenian tradisional di Aswara pernah dianugerahkan antaranya Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-21 (FFM21) pada tahun 2008 kerana lakonannya dalam filem “1957: Hati Malaya” arahan Shuhaimi Baba.

Bukan itu sahaja, malah lakonannya dalam filem yang sama beliau juga dianugerahkan Aktor Terbaik dalam Filem pada Anugerah Oskar PPFM 2008. Disamping itu, Che Kem juga berjiwa seni dan berbakat dalam bidang muzik malah pernah menulis beberapa lirik lagu antaranya “Nirmala” nyanyian Datuk Sri Siti Nurhaliza ciptaan Pak Ngah. Lagu tersebut memenangi Anugerah Juara Lagu ke-17 (2003) bagi Kategori Irama Malaysia.

Disamping itu, beliau juga pernah mengarah teater antaranya Muzikal Khas Pertabalan Yang Dipertuan Agong pada tahun 2007 dan Teater Wayang Sakti yang dipentaskan di Istana Budaya pada tahun 2021.

Sementara itu, penulis bersama skrip pementasan muzikal berkenaan Zurina Waji menganggap satu pengalaman menarik dapat bekerjasama dengan Fauziah Ahmad Daud kerana aras tinggi profesionalisme yang datang bersama namanya.

Bagi Zurina, Fauziah Ahmad Daud atau lebih mesra disapa Ogy mempunyai reputasi bukan sahaja sebagai seorang yang berkaliber dalam dunia seni tetapi juga ‘menakutkan’ bagi yang tidak mengenalinya.

“Semasa bertugas sebagai wartawan hiburan sepenuh masa, saya hanya bertemu Ogy beberapa kali di majlis. Tetapi mengikut SlenFadzil ke lokasi filem pendek ‘Aidil & Atok’ arahan Ogy pada tahun lalu ia memberi peluang pertama saya menulis tentang Ogy dan karyanya.

“Disebabkan itu, apabila SlenFadzil mengajak saya berkolaborasi untuk menulis skrip pementasan ini saya setuju kerana subjeknya adalah kisah hidup Ogy yang dikenali bukan sahaja bakat tetapi reputasi yang dimilikkinya.

“Bersandarkan persetujuan itu, banyak diskusi antara saya dengan SlenFadzil antaranya kami didorong rasa mahu tahu bagaimana Ogy melalui perjalanannya sebagai anak seni.

“Bukan itu sahaja, malah kami juga ingin tahu sedalam mana ‘dua orang hebat seni’ iaitu seniman Ahmad Daud dan seniwati Saadiah mempengaruhi Ogy dalam hidup dan karyanya dan yang lebih penting sebagai ‘seorang Fauziah Ahmad Daud.’

“Walaupun tidak pernah menghasilkan skrip muzikal saya dan SlenFadzil adalah peminat muzikal termasuk antarabangsa kerana kami sama-sama minat filem terutama filem klasik,” kata Zurina Waji yang pertama kali berkolaborasi dengan SlenFadzil menghasilkan skrip “Suri Katriana” drama rantaian 49 episod yang pernah ditayangkan di slot Tiara Astro Prima bermula 30 Oktober 2019 dan berakhir pada 6 Januari 2020.

Menurut Zurina, kepercayaan yang diberikan Ogy adalah satu penghormatan dan proses selama beberapa bulan itu adalah pengalaman baru yang amat menarik.

“Bezanya dengan drama, kami berpendapat sebuah muzikal harus menjadi satu pementasan yang menghiburkan serta mampu memberi pelbagai rasa dan kepuasan kepada audien. Tetapi apa yang lebih penting mencapai matlamat dan dalam aspek ini harus beri keadilan kepada penceritaan kisah hidup Ogy. Antara cabarannya kerana Ogy bukan sahaja pelakon utama tetapi dia juga harus menyanyi, menari dan membabitkan banyak emosi.

“Sebenarnya banyak perkara yang harus dipertimbangkan dan kami banyak buat kajian seawal era filem Melayu Jalan Ampas sehingga cerita Ahmad Daud dan Saadiah selain Ogy dan puluhan sesi pertemuan dan interbiu beberapa orang seni dan terima kasih kepada Kak Chah (Datuk Habsah Hassan),” jelas Zurina yang pernah terlibat dalam misi kemanusiaan di sempadan Jordon-Syria pada tahun 2019.

Menurut Zurina, skrip berkenaan harus dirombak beberapa kali untuk menjadikan sebuah muzikal yang lebih padat selain dipadankan dengan lagu-lagu dan penceritaan.

“Saya merasa ‘beruntung’ ada Che Kem sebagai pengarah kerana pengalaman beliau dalam pengarahan dan persembahan teater turut membantu dalam olahan skrip selain Ogy. Kehadiran Pat Ibrahim sebagai koreografer berpengalaman dapat mencantikkan kisah yang dipersembahkan apalagi team pemuzik Singapura yang dipimpin oleh pengarahnya, Mansor Mohamed.

“Harapan saya, SlenFadzil dan semua yang terlbat dalam muzikal ini agar ia dapat memberi keadilan kepada Ogy, pada kisahnya juga pada legasi Ahmad Daud dan Saadiah kerana ia adalah satu persembahan jujur yang datang dari hati,” kata Zurina Waji.

Bagi para peminat Fauziah Ahmad Daud, setelah persembahan di Singapura adalah difahamkan “Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di Kuala Lumpur tidak lama lagi.

“Muzikal Wajah Rahsia Hati” akan dipentaskan di Gateway Theatre, Singapura pada Sabtu ini, 11 Februari 2023 pada pukul 8.00 malam. .



No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...