Jom Kita Jadi Geng

Monday, November 4, 2013

MENUNGGU LAMPU HIJAU


Monodrama Menunggu Lampu Hijau tamat petang semalam. Saya kira ia berjaya setelah sekian lama tidak ada projek monodrama di ASWARA. Naskhah yang ditulis oleh penulis tersohor dan juga penerima Anugerah SEA Write Award 2008, Dr Hatta Azad Khan jadi signifikan kepada bentuk teater hari ini. Dr. Hatta saya lihat cuba mendekati khalayak baru melalui bentuk sebegini. Seperti kita ketahui beliau adalah Rektor ASWARA dan bekas Ketua Pengarah Istana Budaya serta pernah mementaskan teater di panggung bertaraf dunia itu. Jadi bila beliau pilih teater kecil seperti blackbox, saya kira ini langkah orang hebat berstrategi baru.

Jika dilihat kepada perkembangan teater hari ini, khalayaknya sudah berbahagi-bahagi. Kalau dahulu kita ada kelompok teater Inggeris dan Melayu (siapa yang pecahkan begini saya tidak tahu, walhal kalau namanya teater ia tetap teater). Tapi mutakhir ini, sejak Istana Budaya (IB) muncul dengan imej prestij dan hi-tech, lalu teater-teater kecil bermain di pinggiran. Ketika IB merancang membangun khalayak teater dengan cara mereka, membawa selebriti dan mengangkat citarasa muzikal ke pentas, rupanya ramai yang berubah angin kembali kepada bentuk biasa 'straight theatre'. Lalu premis teater Stor DBP, Blckbox ASWARA, Blackbox Map, Pentas 2 KLPac, PJLArts dan terbaru DPAC mula memancing perhatian. Produksi-produksi kecil tumbuh dengan subur sekali, malah mereka ada 'followers' yang bukan calang-calang yang terdiri daripada anak muda yang berpelajaran. Maka kelompok ini seolah tidak lagi hairan dan endah dengan pentas IB. Mereka tidak lagi wujud dalam kelompok Ingerris atau Melayu, tapi wujud sebagai kelompok ikut aliran. Bagi mereka, berkarya itu lebih mustahak. Apatah lagi mementaskan teater sudah jadi mahal, mana ada lagi produksi mega yang aktif pentaskan teater seperti dalam tahun-tahun 1990an. Dek kerana mahallah kat IB pun ada banyak konsert kerana itu lebih untung.

Berbalik kepada Menunggu Lampu Hijau (MLH) lakonan Sharul Mizad Asaari atau Eijat ini, ceritanya agak mudah. Secara dasar kita fahami ia berkisar soal poligami dan hubungan suami isteri serta kisah manusia dengan perkahwinan. Secara permukaannya kita dapat menelah konflik manusia dengan manusia dan manusia dengan dirinya. Bukhari yang berhadapan statusnya sebagai lelaki bujang yang belum berkahwin di usia 45 tahun, dikelilingi oleh mereka yang memiliki ragam berkeluarga. Mentornya Profesor Syed Mahfuz yang taat kepada isterinya Syarifah Edora walaupun punya niat untuk tambah pasangan. Manakala abangnya Ahmad Bakti beristeri empat yang kesemuanya bekas ibu tunggal dan ibubapanya yang rukun berumahtangga tetapi rupanya ada rahsia yang mengejutkan. Tambah mengejutkan, Syed Mahfuz peroleh lampu hijau tiga hari sebelum kematiannya hingga membawa kepada Bukhari menamatkan zaman bujangnya dengan mengahwini Syarifah Edora. 'Twist' cerita yang disampaikan menarik dan ada kejutannya. Apa pula isu dan hal yang tersembunyi dibalik cerita MLH ini? Saya kira hal besar dalam cerita ini adalah Ego lelaki, keinginan yang berpusat pada satu wanita. Ada banyak jalan menuju keinginan itu cuma tergantung kepada pilihan, sama ada mahu ikut aturan atau langgar di mana akhirnya detinasi tujuan tetap sama Wanita.  Tiga watak lelaki iaitu Syed Mahfuz, Ahmad Bakti dan Bapa Bukhari memperlihatkan tiga jenis contoh di hadapan Bukhari bagaimana mahu memiliki wanita namun Bukhari menemui dengan cara berbeza.

Sebenarnya menunggu lampu hijau dalam realiti adalah kejadian hari-hari. Bagaimana manusia memenuhi kehidupannya. Menyiapkan tugasan atau melaksanakan tanggungjawab. Ia juga seperti kita yang berdepan dengan banyak jalan, mahu yang 'short cut' atau mahu ikut 'highway' atau 'ikut saja jalan jauh yang berliku. Ketiga jalan itu punya tujuan yang sama tapi ia tentu sekali beri pengalaman yang berbeza. Dalam hidup hari ini, di mana-mana pun orang berpolitik. Sering kita jumpa kaki kipas untuk memanjat naik ke jawatan tinggi, sering juga kita jumpa orang yang 'high passionate' buat kerja macam nak mampus, siang malam kerja tapi menunggu berbelas tahun untuk naik satu tangga. Dan kita juga selalu jumpa orang yang buat apa saja kerja untuk mewah yang penting ada kereta, gadget mewah, rumah besar dan segala macam kesenangan hingga tidak endah lampu mana yang dilanggar asalkan tujuan capai lalu terjunlah dia dalam rasuah, khianat, tipu, jatuh menjatuh, perah keringat dan segala macam hal yang menolak hak orang. Dunia hari ini sudah tunjuk macam-macam, orang sanggup jual maruah pun untuk jadi terkenal.

Lakonan Eijat saya anggap hebat. Membawa 12 watak bukan senan apatah lagi berada seorang diri di pentas selama 90 minit. Tenaga mana yang dijana Eijat hingga begitu bagus. Biasa saya lihat 45 minit pun cukup lama apatah lagi 90 minit. Ia taraf superactor. Memang ada sana-sini kelemahan di pentas bila Eijat mahu bezakan satu watak dengan watak yang lain apa tah lagi wujud pertindihan dialog antara karakter. Kelam kabut jugalah Eijat mengubah ikatan selendang untuk identitikan watak empat isteri itu. Bagi saya, MLH berjaya kerana lakonan baik Eijat. Dia menghantar imaginasi yang bagus sekali. Kita boleh membayangkan bagaimana Kak Rogayah yang tidak digemari Bukhari. Watak super ego Syed Mahfuz yang tidak mahu mengaku dia takut bini dan watak Bapa Bukhari yang mengandung 1001 misteri. Menarik sekali cara Eijat bermain yang saya kira ini memang makanannya. Saya anggap Eijat antara pelakon pentas terbaik masa kini. Sudah berapa monolog dan monodrama dia main dan tidak mengecewakan. Saya ingat lagi lakonannya dalam Lembu yang saya kira itu masterpiecenya. Begitu juga lakonannya dalam Proses berganding dengan Juhara Ayub. Jadi bila Dr.Hatta pilih Eijat memainkan MLH, ia adalah pilahan yang tepat. Eijat merealisasikan tuntutan lakonan lelaki tulen dan menepati tuntutan watak perempuan. Itu sudah cukup hebat kan?

Pengarahan Dr.Hatta tidak kompleks. Banyak kali lampu gelap cerah bagi membataskan segmen. Di mana di skrin boleh kita baca babak-babaknya. Penggunaan set ruang tamu dan ruang pejabat sudah cukup mudah berbanding hanya bongkah atau sebuah kerusi sahaja. Jadi kerja mencipta premis dan mengatur adegan jadi lebih mudah.

Syabas juga diucapkan kepada tenaga produksi yang terdiri daripada anak-anak ASWARA. Kemas dan tersusun caranya. Selalulah berproduksi begini ya, Berbayar atau tidak keinginan berteater itu harus selalu diserlahkan pada tahap yang tinggi. Kalau bermalas-malasan tidak boleh jadi orang teater. Cuba belajar dari Eijat, dia punya banyak sejarah.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...