Ramai dari kalangan pemain makyung memiliki angin, sama ada angin raja atau angin dewa muda. Melalui permainan main puteri semangat mereka dipulihkan |
Menurut Fauzi Yaacob Main
Puteri bertujuan untuk melawan kuasa ghaib dan juga digunakan untuk memujuk angin. Angin menurut Dr.Ghulam adalah satu penyakit yang diakibatkan dari
suatu perasaan atau pun kebolehan dari warisan yang tidak dapat diluahkan,
akibatnya seseorang akan merasa tidak segar (istilah orang Kelantan) iaitu
tidak sedap badan. Anasir itu amat besar sekali pengaruhnya dalam menentukan
pembawakan dan peribadi manusia. Menurut Mohd. Fauzi juga, angin terdiri
lebih dari 190 jenis, maka itulah dipercayai bahawa individu-individu yang
mempunyai watak dan pembawakan yang berbeza sekali di antara satu sama lain.
Bagi beliau, angin juga yang menentukan kecenderungan atau kesukaan seseorang
termasuklah mengawal jiwa dan tingkah laku. Bermacam jenis angin ini boleh
dilihat kepada kecenderungan seseorang apabila dijalankan upacara. Ada yang
beranginkan hiburan seperti wayang kulit, makyung atau sebagainya. Ada juga
yang beraginkan persilatan lalu terlihat seni persilatan dalam upacara itu,
begitu jugalah jika pesakit itu memiliki angin bidan.
Sebagai contoh lain, jika seorang
pesakit memiliki angin raja atau angin untuk selalu kelihatan muda, dalam
perbomohan akan dipersembahkan makyung Dewa Muda sebagai memanifestasikan
keinginan yang tidak terluah. Permainan Dewa Muda ini ada kaitan dengan watak
Dewa Muda yang menjadi cerita utama dalam makyung sebelum cerita-cerita yang
lain. Kisah Dewa Muda yang bercinta dengan puteri kayangan dan dibantu oleh
saudara kembar (kembar uri yang terpisah jasad) untuk naik ke kayangan
menggunakan wau emas demi bertemu kekasih hati. Bagaimana pun terbunuh semasa
pencapaian tersebut, beliau kemudiannya dibawa turun ke dunia dan dihidupkan
kembali oleh puteri tersebut yang menyambar sebagai bomoh. Percintaan dan
pengembaraan Dewa Muda itu boleh membawa keasyikan pada yang menonton apatah
lagi si pesakit yang menjiwai penceritaan itu. Ghulam juga mengulas apa yang dijelaskan
oleh Hamzah Awang Amat mengenai Dewa Muda di mana Dewa Muda dimaksudkan adalah
benih pertama bagi setiap manusia, di mana benih yang juga dianggap nafsu
sentiasa memberontak untuk melawan usia yang semakin meningkat, nafsu ini tidak
pernah berakhir.
Hajjah Wan Aminah Haji Hasbullah mengaitkan amalan perubatan Main Puteri dengan saka, saka dirujuk sebagai ilmu
yang diturunkan kepada waris daripada keturunan terdahulu sama ada ibubapa atau
datuk nenek kepada anak cucunya dengan sengaja atau tidak, seperti melalui
sesuatu umpamanya keris lama. Hajjah Wan Aminah menghuraikan saka seperti
berikut:
Saka berkait rapat dengan jin
atau syaitan dan terdapat dalam pelbagai rupa dan bentuk, seperti saka harimau,
saka buaya, saka ular, saka bomoh, saka susuk, saka kuat, dan saka bidan untuk
tujuan menjinakkan haiwan, kekuatan,mempertahankan diri, kecantikan,
perbidanan, dan sebagainya (Din, 2011). Saka ini perlu diwariskan bagi
mengelakkan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dan juga gangguan kepada
orang-orang di sekelilingnya. Saka yang diwarisi ini kemudiannya perlu dijaga
dan “dihidupkan” dengan memberikan pelbagai jamuan berdasarkan persetujuan
tuannya yang asal, supaya ia tidak akan “memakan tuannya” atau mengganggu orang
lain.
Si pewaris saka ini boleh
dipecahkan kepada tiga kelompok yang mewarisinya. Pertama adalah penghidap saka
tidak mengetahui beliau mewarisi saka sehinggalah beliau mendapatkan rawatan.
Kedua, penghidap saka tahu bahawa beliau mewarisi saka tetapi sukar untuk
membuangnya kerana faktor usia , tenaga dan sebagainya, dan ketiga, penghidap
mewarisi saka tetapi enggan membuangnya atas sebab-sebab tertentu. Hajjah Wan
Aminah merumuskan pewaris saka ini sebagai berikut:
Berdasarkan
pemerhatian penyelidik, simptom-simptom yang ditunjukkan oleh penghidap saka
seperti kecelaruan emosi, tindakan luar jangka yang bersifat on set seperti
ketawa yang luar biasa pada masa tertentu dan kembali normal untuk beberapa
ketika, kesukaran tidur pada waktu tertentu, emosi sedih yang kadangkala tidak
terkawal, serta halusinasi yang melibatkan imej atau gambaran tertentu
membolehkan penyakit saka ini dimasukkan dalam kategori CBS (Culture-Bound
Syndromes).
Atas
beberapa pandangan dan ulasan di atas , dapatlah dikatakan Main Puteri sebagai
satu amalan yang terkelompok dalam Psikoterapi. Hashim Awang
A.R dan Zaleha memetik definisi J.D.Frank mengenai psikoterapi, sebagai satu aktiviti
yang dikelolakan oleh orang yang terlatih dan diakui oleh pesakit, anggota
kumpulan sosial pesakit atau sebahagian daripadanya; serta dengan bantuan
anggota kumpulan itu menghasilkan perubahan pada keadaan emosi, sikap dan
perlakuan pesakit. Semua yang terlibat memberi perhatian yang serius terhadap
perubahan-perubahan itu. Frank mengaitkan teknik rawatan ini sebagai ‘shamanistic-performances’
kerana wujudnya aksi dan ritual di mana semuanya melibatkan pesakit, bomoh dan
kumpulan yang hadir sebagai penonton. Kesemuanya saling berkait dan punya
peranannya sendiri dan terbatas dari segi ruang masa antara tuntutan pesakit
dengan keperluan yang mahu menolong sehingga menghasilkan perubahan-perubahan
aksi dan emosi.
Tulisan saya ini merujuk kepada beberapa tulisan sebagaimana nama yang saya rujuk.
1 comment:
saya pun ada angina ni..kepala hangen..hehe
Post a Comment