Jom Kita Jadi Geng

Thursday, March 3, 2011

ARANGETRAM: YUNUS DAN BAIZURA

Jatuh airmata saya pada malam ini menyaksikan persembahan dua orang pelajar ASWARA. Sepanjang persembahan saya menahan emosi dengan selang seli beberapa komen yang boleh menghindar diri saya dari terus melayan gelombang emosi yang bermain dalam diri. Kema dan Azizi jadi teman bicara untuk saya hilangkan sekejap rasa itu. Sebenarnya semasa Yunus dan Baizura mempersembahkan tari klasik India bersama dua rakannya iaitu Ameera dan Hazra semasa PeTA (projek akhir Ijazah sarjana muda) saya sudah merasakan emosi yang sama.

Kenapa jadi begini ya? Ia bukan dibuat-buat. Tarikan emosi itu adalah rentetan dari latar pengalaman dan rasa kebanggaan setelah melihat diri mereka pada hari ini. Malam ini, saat Joseph menyampaikan ucapan dan saat dia mengucapkan terima kasih pada ibu bapa Baizura dan saat beliau menceritakan kesukaran Yunus yang kehilangan orang tuanya dan saat suara Joseph tenggelam dalam keterharuannya...laju betul hujan di hati saya seiring lajunya kaca-kaca turun bertukar menjadi air.

Pertama kali saya menyaksikan Yunus menari di dalam satu majlis meraikan pensyarah ASWARA. Masa itu Yunus di tahun 1 bersama 3 rakannya iaitu Arif Nazri, Siti Suria dan Julidza menarikan tarian zapin. Sebuah persembahan yang saya sifatkan sangat naif oleh sepasukan remaja yang habis sekolah dan ingin meneruskan minat dalam tari. Pada masa itu tiada kekaguman di mata saya. Berlawanan dengan apa yang saya saksikan pada malam ini. Saya sering menyaksikan persembahan mereka malah boleh dikira akrab dengan fakulti Tari. Peningkatan Yunus dari seorang budak kerdil yang hanya kenal tari melayunya kini sudah menguasai hampir semua genre tarian. Bukankah ini satu evolusi yang memberangsangkan!

Begitu juga Baizura, gadis pendiam yang jarang terlihat ekspresi atau luahan emosi secara jelas sama ada semasa persembahan ataupun situasi normal. Gadis kecil yang punya otot dan stamina yang tinggi, sejak awal menjejak kaki di ASWARA sering sahaja diceritakan oleh Joseph betapa berpotensinya Baizura sebagai penari. Tubuh kecil moleknya itu tidak pernah mengenal erti penat dan berkata tidak apabila diminta mengulang pergerakan dalam latihan. Tiada ekspressi yang menunjukkan dia fed-up atau putus asa atau yang buat gurunya kecewa. Baizura sebenarnya mesin yang punya fizikal dan kekuatan mental yang menakjubkan. Dia antara beberapa kerat graduan yang berada ditahap cemerlang dalam persembahan.

Malam ini mereka melepaskan dan meluahkan banyak hal yang tidak ternampak sebelumnya. luahan emosi pada wajah dan gerak badan mereka luas, besar, nyata dan menkagumkan. Baizura bagai seorang aktres terbaik yang berjaya merubah beberapa karakter dan ianya meyakinkan. Begitu juga Yunus yang sering saja dahulunya tidak memuaskan kami apabila menari kerana wajahnya tidak bercerita tetapi malam ini sebaliknya.

Lebih dua jam saya menonton dan saya larut dalam kehebatan mereka. Masa depan mereka amat cerah dalam senitari. Kredibiliti mereka hari ini teruji dan diiktiraf. Kini Yunus adalah graduan tari klasik India yang sedang mengorak untuk berada sebaris dengan tokoh berbangsa Melayu yang seperti Ramli Ibrahim dan Zamin Harun malah mungkin melebihi mereka. Lebih membanggakan Baizura malam ini, disebut sebagai Wanita Melayu pertama yang teruji dan diiktiraf dalam tari klasik India Bharata Natyam. Baizura sepatutnya hari ini berada di dalam Malaysia Book of Records.

Entri ini saya tujukan khusus buat Mohd Yunus Ismail dan Norbaizura Abdul Ghani di atas kecemerlangan mereka dalam senitari. Mereka telah membuktikan kesungguhan Fakulti Tari di bawah Joseph Gonzales, yang ingin melahirkan ilmuan tari yang terbilang. Tahniah.

London banyak mengisi cerita-cerita manis antara kami....Proud of You, BRAVO!!!

4 comments:

Anonymous said...

saya turut berbangga cekem. Tahniah errr Doc. Joseph. LOebih mesra dengan panggilan Mr. Joseph.. Bagi fakulti kami...? Saya turut sengsara. hahahaha

Anonymous said...

Menonton persembahan kamu berdua amat membanggakan saya!....Keperincian setiap gerak, emosi dan ekspresi kalian meruntun jiwa saya malam itu. Tahniah!.....=)

chekem mirza said...

Anonymous 1:
kita bangga dan meraikan kejayaan pelajar yang jelas menunjukkan perbezaan dari awal pembelajaran hingga berjaya seperti hari ini... masalah dan cabaran di fakulti...itu sudah jadi resam seorang pendidik

chekem mirza said...

anonymous 2:
saudara pun turut merasakan perasaan yang sama. Mungkin ada sesuatu yng menggamit kita utk berkongsi rasa sebegitu...terhadap yunus dan baizura.

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...