Jom Kita Jadi Geng

Thursday, March 10, 2011

ROAD TO SAHARA: SUZLEE IBRAHIM

Suzlee Ibrahim kini sedang mengadakan pameran solonya berjudul Road To Sahara di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya 25 Feb - 25 Mac 2011. Semalam saya dan rakan Jeffri Haron sempat sama-sama menghadiri majlis perasmian, majlis dirasmikan oleh Naib Canselor UM, YBhg Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon. Majlis pada malam tadi turut dihadiri oleh Rektor ASWARA Dato Dr Mohd Najib Ahmad Dawa, Prof dato Dr. Raja Zahabbuddin dan ramai lagi tetamu yang terdiri daripada artis, ahli akademik dan peminat-peminat seni halus.

Bukan selalu saya menghadiri perasmian seni halus, adalah juga sekali sekala untuk menyokong rakan-rakan. Secara peribadi saya menggemari koleksi Suzlee. Beberapa terjemahan beliau pada alam yang menuntut penafsiran yang tinggi. Pastilah saya pun tersesat tak bertemu di sebalik yang tersurat. Namun seni halus membuka ruang untuk kita melihat, menghayati, menyelusuri lalu tenggelam hanyut dalam keindahannya. Saya suka piece Sakura dan Ombak. Bagi saya koleksi ini memberi pernyataan berbeza oleh Suzlee. Biasanya beliau suka bermain dengan stroke dan warna-warna garang yang bagi saya satu statement yang agak keras oleh Suzlee. Tetapi Ombak dan Sakura memperlihat sisi lain, lebih tenang dan lembut.

Saya baru saja mengenali Suzlee dan berani berbual dengannya. Sejak beliau menyertai ASWARA tiga tahun lalu. Nyatanya beliau seorang yang rendah diri, lembut percakapannya, mudah didekati dan seronok bila ada orang yang mahu mendalami seni halus. Beliau ni boleh disifatkan sebagai 'tak kedekut ilmu'. Ceritanya dia dulu budak aliran sains tapi mula jatuh hati apabila sering mengekori seorang guru perempuan yang mengajar subjek seni. Daripada seronok mengekori guru tersebut terus berubah menyintai seni. Apabila diluahkan niatnya untuk melanjutkan pelajaran dalam seni halus, ia ditentang oleh bapanya yang lebih mahukan beliau menjadi seorang guru atau arkitek. Namun hari ini Suzlee Ibrahim sudah buktikan bahawa jika kita pupuk kata hati dengan elok...akhirnya berjaya juga. Benih yang disemai jika dijaga berbuah juga.

Saya panjangkan jemputan kepada anda semua untuk menyaksikan pameran solo SUZLEE IBRAHIM: ROAD TO SAHARA dari 25 Feb - 25 Mac 2011 di Muzium Seni Asia, UM.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...