susur Jalan Ampas |
Hari pertama kami tiba, kami diundang ke Night Safari Singapura. Sdr Sabri Buang dan kawannya Sdr kelana Izam melayan kami sampai awal pagi. Keseronokan melawat Night Safari tidak berhenti di situ. Seperti saya katakan sebelum ini, lawatan ke Singapura kali ini memberi lebih makna kepada saya. Saya berpeluang melawat beberapa lokasi yang menjadi sejarah dan tercatat di dalam sejarah moden orang kita.
pintu depan Studio Jalan Ampas |
Kami di bawa ke Boon Teck Road di mana di sini terletaknya Studio Jalan Ampas dan Malay Filem Production. Bila kereta Izam berhenti di hadapan Studio Jalan Ampas yang sudahpun ditutup keliling dengan pagar zink. Hati saya terus tumbang...emosi berkecamuk. Wajah-wajah mereka yang menyinar tertayang satu persatu. Kehidupan orang-orang kampung dalam Bujang Lapuk menyusur masuk ke benak saya. Saya terbayang si Zaiton berlari mendapatkan Sudin. Saya terbayang 3 bujang lapuk datang cari kerja sebagai seniman....macam yang melintas di fikiran saya ketika itu. Kini hanya ada sebuah monumen kecil yang mencatatkan apa itu Studio Jalan Ampas. Dari Studio itu, Sdr Sabri mengajak kami berjalan menyelusuri jalan-jalan yang ada di sekitarnya. Lalu ditunjukkan kepada kami sebuah jambatan yang dipercayai jambatan yang menyaksikan cubaan bunuh diri P.Ramlee dalam Madu 3. Hahahaha saya jadi seronok terbayang P.Ramlee yang berjubah mandi terjun di air yang cetek hahaha. Rupanya di situ sahaja lokasi yang jaraknya beberapa meter dari studio.
monumen kecil mengenai studio Jalan Ampas |
Stesen keretapi KTM Tanjung Pagar |
Pusing dari Jalan Ampas, Sdr Sabri dengan semngat berhentikan kami di sebuah kawasan perumahan. kawasan itu kelihatan mewah persekitarannya. Ya lah rumah-rumah banglo dan teres di Singapura. Rata-ratanya rumah mereka pansapuri. kami diberhentikan di sebuah simpang lalu Sdr. Sabri menunjukkan kepada saya lampu jalan di simpang. Rupanya kawasan itu dahulunya disebut Kampung Kambing.
Saya terkedu bahawa kisah Kampung Kambing yang terakam di dalam novel agung Salina ada di hadapan saya. Kata Sdr.Sabri di sinilah penulis-penulis seperti Usman Awang, A.Samad Said dan beberapa orang lagi tinggal. Malah di sinilah juga tinggal Salina dan adiknya Helmi. Di bawah lampu jalan di simpang itulah si Helmi mentelaah pelajaraannya. Aduhai... kisah itu menambahkan lagi bayangan saya pada kehidupan Salina.
simpang jalan Kampung Kambing |
inilah Jambatan dalan babak Madu 3 |
Balik dari Kampung Kambing menuju Hotel Gallery, Sdr. Sabri ajak kami singgah di Stesen kereetapi Tanjung Pagar. Pucuk dicita ulam mendatang, inilah tempat yang saya mahu singgah. Sisa terakhir Tanah Melayu di Singapura dan akan hilang beberapa bulan lagi. Sebaik menjejak Tanjung Pagar saya posing dan memerhati sekitarnya. cantik senibinanya. Di dalam bangunan masih elok lukisan yang mengungkap kehidupan masyarakat Tanah Melayu. Inilah stesen keretapi yang diceritakan dalam kisah P.Ramlee. Beliau tiba di Singapura pada hari raya. Sayu nya rasa hati melihat sekitar stesen itu, hanya tinggal beberapa hari untuk ianya diserahkan kepada kerajaan Singapura. Nak buat macamana begitulah kehendak orang yang memimpin kita. Malam itu saya nikmati teh tarik dan menarik nafas lega kerana dapat menjejaki beberapa lokasi yang sudah lama saya hajatkan.
terima kasih Sdr. Sabri Buang dan Sdr. Kelana Izam.
No comments:
Post a Comment