Jom Kita Jadi Geng

Tuesday, March 22, 2011

SELAMAT PENGANTIN BARU ALONG



Sepantas kilat masa berlalu. Anak kecil yang kami sekeluarga tatang dan manjakan yang lahir pada 12 Feb 1987 ini sudahpun bergelar isteri. Adakah saya masih terheret dan dikuasai kisah lalu semata-mata. Siti Nurhayati yang kami sekeluarga panggil Along telahpun diijabkabul pada 24 Feb 2011 dan menjadi raja sehari pada 19Mac yang lalu. Aduhai...fikiran saya duk terbayang peristiwa Along dilahirkan di hospital Lati Pasir mas yang menimbulkan detik cemas dan gelisah sekeluarga. Kehadiran Along ketika itu menambah seri dan keriuhan keluarga Tok Wan Taib. 24 tahun berlalu sewaktu Along masih menuntut di UPSI, secara jujurnya kami tidak mengharapkan jodoh Along di usia dia masih bergelar pelajar dan sebolehnya mengharapkan dia bekerja dahulu. Namun ketentuan Ilahi itu melebihi usaha dan daya manusia. 

Along kini bergelar isteri kepada Zul anak kelahiran Kuala Krai. Sebenarnya mereka sudah lama berpasangan semenjak Along masih belajar di Kolej Universiti Islam Antarabangsa, jarak dan masa menguatkan ikatan mereka sehingga kami tidak mampu menghalang jodoh mereka. Cinta antara mereka melebihi halangan yang datang. Saya tidak menghalang hubungan mereka, Zul seorang pemuda berbudi bahasa, hormat orang tua dan lebih penting mengasihi dan menyayangi Along. Semoga ikatan ini kekal ke akhir hayat, kata orang usia awal perkahwinan adalah ujian getir dalam memulakan sebuah rumahtangga, Insyallah jika kita percaya bahawa jodoh dan takdir itu merestui kehidupan berumahtangga maka belayarlah ia merempuh gelombang dengan keutuhan cinta.

Pesan saya buat Along, selesaikan pengajian dengan jayanya sambil laksanakan tugas sebagai isteri dengan sempurna. Binalah kehidupan baru ini dengan bijaksana. Setiap masalah itu datang dengan jawapan, Along timbang dan tangani dengan sebaiknya. Keputusan hari ini akan menentukan siapakah kita esok hari. Ilmu itu bekalan untuk hidup, jangan persiakan apa jua yang Along miliki hari ini...Insyallah kebahagiaan akan datang bersama.

No comments:

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...