Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, May 29, 2013

P.RAMLEE : 40 TAHUN TAK BERGANTI


Hari ni 29 Mei tahun 1973, tarikh perginya seniman agung P.Ramlee menghadap ilahi. Pergi dalam renyai hujan Kuala Lumpur. Rumah nya di Setapak jadi banjir manusia, Malaysia banjir air mata. Detik itu, orang mula terfikir, di mana dan bagaimana mahu mencari ganti insan hebat seperti beliau. Dalam dokumentari History Channel berkisah bagaimana, P.Ramlee berhijrah dari Singapura ke Malaysia kesan perubahan politik ketika itu. Beliau berhijrah kerana kebanggaannya kepada tanahair dan dijanjikan peluang dan harapan besar untuk bangunkan seni di tanahairnya. Ramai yang ikut serta namun ramai juga yang terus setia di kota singa.
Saya suka video ini, dan ini video klip 
paling klasik dari Saloma dan P.Ramlee
(petikan dalam sebuah filem Hong Kong)

Semasa berhijrahnya P.Ramlee ke Tanah Melayu, harapan Malaysia ditumpahkan kepada beliau namun itulah detik menurun dan jatuhnya P.Ramlee sebagai seniman. Kita lupa, seorang pengkarya itu adakala tidak hadir seorang diri tetapi muncul kerana lingkungannya. Lingkungan yang menyokong dan mewarnai dunia kreatifnya. Ramai rakan-rakan yang banyak menyumbang dalam filem-filem dan lagu-lagu hebatnya berada jauh di Selatan. P.Ramlee terpaksa bermula dan memupuk kelompok kesenimanannya di KL. Memang ada filem-filem dari studio mereka masih hebat dan seronok ditonton tetapi tidaklah sehebat zaman di Singapura.

lautan manusia dalam video ini, adalah kesan
terkejut dan bangun dari sedar bahawa
tanahair sudah kehilangan

Di sekitar tahun 70-73 dianggap sudah ketinggalan zaman dan tidak relevan dengan seni hiburan di Malaysia. Filem dan karyanya dipandang sepi. Apatah lagi muncul hero dan karyawan baru yang mencabar dan memperlekehkan beliau (Saya mendengar cerita dan diceritakan oleh orang terdekat bahawa P.Ramlee dijatuhkan oleh orang yang pernah diangkatnya malah orang itu menjadi sangat besar dalam industri). Namun insan ini terus menjadi padi, sentiasa tunduk dan tidak melawan. isinya penuh. Pernah diceritakan Dato Aziz Sattar, semasa P.Ramlee hadir di satu majlis di Singapura, penganjur dan tetamu lain tidak mempedulikan Allahyarham, bukan setakat itu sahaja bahkan tiada kerusi untuknya. Rakan-rakan lama yang pernah bersama diSingapura hanya memandang sahaja kejadian itu.

Ini pesan beliau tentang akar dan jati diri Melayu

Begitu juga, semasa P.Ramlee dijemput membentangkan kertas dalam kongress Dasar Kebudayaan Kebangsaan di Universiti Malaya 1971, baliau di 'booo', begitu hina dan rendahnya martabat P.Ramlee ketika itu. Sokongan yang tiada itu, melemah dan mematikan jiwa seorang seniman. Inilah yang ditulis dalam lagu terakhirnya 'Airmata Di Kuala Lumpur' yang berbunyi

"Hidup sudah tiada beerti
Zahirku hidup hai batinku mati
Remuk redam hatiku hancur
Airmata di Kuala Lumpur"


Begitu jugalah kita hari ini, dalam mendepani dunia yang pelbagai helah dan karenah, dengan media dan informasi yang tusuk tajam ke minda. Boleh membuatkan kita terlupa untuk  kembali berbalik kepada sejarah dan akar kita. Di mana kita bermula, siapa yang membina dan memulakan sehingga memberi kesan kepada hidup kita hari ini. Kisah P.Ramlee yang disisih kerna tidak relevan di mata anak muda ketika itu patut kita jadikan iktibar. Saya rasa ramai manusia kesal kerna tidak endahkan insan ini di akhir hayatnya. Begitu juga kita, yang rancak dengan bermacam pergelutan antara kuasa, ubah, tukar, reformasi dan bermacam kegilaan...kerana fikirkan ada yang tidak relevan. tetapi kita perlu cukup sedar dalam mengubah apapun, selalulah kena ingat dari mana bermula, siapa dan kenapa dan bagaimana? Hidup hari ini tidakkan ada kesan jiwanya jika tanpa sejarah lalu.

dengarkan laungan azan yang kita ingat
dan ajuk selalu

Allahyarham Tan Sri P.Ramlee pergi dalam miskin, dihina dan tidak dipeduli. Namun beliau meninggalkan kita kemewahan ilham dan pengajaran dalam 360 buah lagunya dan 66 buah filemnya. Kita putar, kita dengar, kita hanyut, kita happy, kita ubah dan olah, kita adaptasi, kita kutip dan petik, kita ulang dan ulang karyanya... kita tak bosan walau seribu kali mengulangnya. 

Untuk tahun ke 40 mengenang pemergiannya, mari sedekahkan Al-Fatihah. 
Semoga jasanya dimanfaat oleh kita semua dan Allah tempatkan beliau di tempat terpuji.

2 comments:

waris emas bapak said...

bintang yang tiada gantinya sehingga kini. Suara emasnya,gaya lakonan nya...tidak dapat di duplikasikan oleh sesiapa sahaja. Namun....karya yang ditinggalkan nya merupakan satu jambatan untuk kita memahami dan menilai erti hidup sebenar yang relivan sehingga kini. TErima kasih P.RAMLEE.... Al fatihah.

chekem mirza said...

ia mekar segar merentas zaman,budaya dan bangsa

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...