Setahun lebih menunggu tarikh ini, hari ini sampai masanya untuk mengundi. Nak undi siapa? Dah setahun diberi peluang untuk menapis calon dan parti mana jadi pilihan. Sepanjang Najib memerintah, banyak sekali isu dikeluarkan oleh Pakatan Rakyat begitu lah sebaliknya BN keluarkan macam-macam pernyataan. Kedua-duanya mahu menunjukkan kepada rakyat akan kelemahan lawan. Ini tidak bersih. Cakap pasal bersih, sepanjang Najib memerintah 3 kali perhimpunan rakyat berlangsung. Perhimpunan atas nama menuntut keadilan dan kerajaan yang bersih.
Sejak PRU12 2008, ia benar-benar menunjukkan kebangkitan parti lawan BN. Pakatan Rakyat semakin dilihat sebagai alternatif terbaik kepada kerajaan sekarang. Ini juga terlihat pada kebolehan PR mentadbir negeri-negeri yang jatuh di tangan mereka. Perbandingan dibuat walau macam-macam isu cuba dibangkitkan oleh pihak BN. Sejak 2008 jugalah kita lihat BN mula sedar bahawa generasi muda dan middle class adalah suara penting dan menggunakan media baru untuk melawan. Strategi BN yang banyak bergantung pada media perdana menjadikan mereka gagal capai 2/3 parlimen. Hari ini kegunaan media baru dilihat diguna secara maksimun oleh kedua-dua pihak malah menjadi lebih menyakitkan kerana banyak pulak tipu helah dan permainan hodoh melalui teknologi ini.
Kalaulah hari ini, 5 Mei 2013 adalah hari yang menentukan perubahan politik Malaysia, ia akan jadi sejarah penting dalam Malaysia. Selepas 55 tahun di bawah pentadbiran BN dan kita lihat banyak sekali perubahan dan dasar yang bagus dilaksanakan, namun banyak juga kesilapan yang dibongkar. Hal ini dek kerana BN terlalu lama, ia tidak salah tetapi orang-orangnya jadi lemau dan tidur lena. Terlalu selesa sehingga rakyat yang yang patut dipelihara berlaku sebaliknya. Rakyat terpaksa akur dan menyanjung pemimpin. BN jadi parti yang sangat chauvinis, melindungi diri sendiri, takut dengan kelahiran baru, bercakap tentang kebaikan sendiri, menolak kebaikan lawan.
Saya pasti BN sedar, PRU13 bukanlah PRU yang mudah, rakyat sudah berbelah bagi. Rakyat sudah tidak mahu nepotism, kronism dan sewaktu dengannya. Rakyat yang akan memilih bukan lagi mereka yang bergantung pada cakap-cakap di TV. Generasi memilih adalah mereka yang membaca dan mengamati senario. Bila BN kata ingat jasa UMNO yang merdekakan Malaysia, rakyat tidak mempersoalkan hal itu tapi mempersoalkan pula sejauh mana pemimpin UMNO hari ini punya kesedaran dan melakukan kesinambungan perjuangan dahulu, jika pada hari ini banyak sekali kes kemewahan diraih oleh pemimpin dan kroni mereka. Apakah UMNO hari adalah mereka yang benar-benar menggunakan kuasa mereka untuk mengangkat bangsa Melayu dan Malaysia. Itulah yang dipersoalkan.
Apapun berlaku, PR menang atau BN menang, Malaysia harus berdiri stabil. Sosio ekonomi harus menjamin kesejahteraan rakyat. Kalau PR kalah, ia sebenarnya mencatat kemenangan kerana telah membangkitkan arus yang besar dalam kesedaran berpolitik di Malaysia bukannya BN.
Saya mengundi di Pandan, anda di mana?
No comments:
Post a Comment