Jom Kita Jadi Geng

Friday, January 25, 2008

KE MANA HALA MAKYUNG IB?


Saya berpeluang menonton pra-tonton persembahan makyung ENDENG TEJELI oleh Artis Budaya Istana Budaya. Persembahan ini bagi memperlengkapkan diri kumpulan ini untuk bergelar kumpulan makyung profesional pertama di Malaysia. Menonton mereka ini seperti menonton ahli keluarga bermain-main kerana semua yang di pentas saya kenali mereka malah sejak 12 tahun yang lalu. jadi ini lebih memudahkan saya melihat peningkatan dan kebolehan mereka di dalam permainan seni tradisional ini.
Seperti biasa makyung Istana Budaya menghidangkan Rosnan Abdul Rahman sebagai tarikan persembahan memandangkan beliau muncul sebagai pakyung lelaki tunggal yang ada di Malaysia. Apabila rakan saya ini dipentas kita jadi lupa untuk memerhati dan melihat potensi artis budaya yang lain. Kuasa 'outshine' yang ada pada Rosnan cukup kuat dan memikat sekali apatah lagi keupayaan bakat yang dimilikinya serta kesungguhan beliau mendalami bidang seni makyung ini membuahkan hasil. Saya kagum dan puji sikap positif yang ditunjukkan oleh Rosnan kerana dia dan makyung seperti besi berani saling menarik dan cukup kuat sekali. Kesungguhan beliau ketara dan berbeza sekali jika dibandingkan komitmen yang ditunjukkan oleh artis budaya yang lain. Saya bertanya kepada diri sendiri, sebenarnya siapa yang nak dipulih dan diprofesionalkan? Artis Budaya atau Rosnan? Jika benar ada transisi status mereka maka mereka perlu menunjukkan usaha dan iltizam yang tinggi untuk mendalami seni makyung sebagaimana Rosnan tunjukkan.
Mengenali budaya kerja artis budaya (pengalaman saya mengendalikan mereka selama 5 tahun), mungkin mereka tiada pilihan, mungkin mereka menunggu program yang diatur sahaja? mungkin mereka tidak berani untuk bersuara? mungkin terlalu banyak beban tugas lain sehingga hilang masa untuk belajar makyung? mungkin mereka buat atas arahan? Mungkin mereka impi peranan besar tapi mulut mereka terkatup? dan banyak pertanyaan lain lagi yang boleh dipersoalkan tetapi pokok asalnya di mana kita mahu tempatkan mereka ini yang dikatakan sudah berusia dan tidak ada seri untuk mengisi pentas-pentas tarian yang dihadiri oleh VIP atau pelancong. Adakah betul Istana Budaya mahu mewujudkan sebuah kumpulan makyung profesional? atau hasrat itu lahir sewaktu semangat berkobar-kobar bila makyung diangkat oleh UNESCO dan warisan negara. Jika benar mahu mewujudkan sebuah kumpulan profesional yang dianggotai oleh Artis Budaya atau kerabat Istana Budaya maka pergorbanan perlu lebih besar dan Istana Budaya perlu lakukan lebih daripada sekadar membuat pementasan makyung secara berkala.

Saya melihat potensi kumpulan ini amat besar, IB memiliki sekumpulan pemuzik tradisional yang berpengalaman dan antara yang terbaik di dalam permainan muzik pergendangan, penari-penari tradisional yang terlatih dan luas pengalamannya, mempunyai peruntukan yang khusus untuk program pengembangan apatah lagi adanya usaha kerjasama dengan KEKKWA di bawah Jabatan Warisan. Jadi potensi untuk membangunkan kumpulan ini sebagai kumpulan profesional, rintangannya adalah sekecil lubang jarum. Namun halangan yang kecil itu akan menjadi nanah dan ranjau terbesar sekiranya tidak ditangani dengan bijak. Saya melihat masalah sikap di kalangan mereka yang ingin atau ditugaskan menyertai makyung ini apatah lagi di kalangan mereka yang menangani kumpulan ini. Banyak sangat campur aduk kerja-kerja lain sehingga meletakkan usaha menubuhkan kumpulan profesional makyung bagai melepas batuk di tangga. Berapakah nilai 'priority' yang diberikan kepada makyung? jika di dalam jumlah 10 apakah nilainya mencapai 9 atau 6 atau sekadar 1 atau 2? Hal ini perlu diletakkan di bawah wawasan IB. Adakah projek makyung ini sekadar picisan atau melukut yang sekadar membuktikan IB masih memelihara tradisional. Apabila saya berbicara tentang hal ini, saya jadi marah atau saya akan disebut sebagai orang yang tertinggal dibelakang dan masih mengheret rentetan kegemilangan aman KBN.
Dulu IB atau KBN bergerak dengan banyak topi iaitu sebagai agen penggalak senibudaya, agen eksperimentasi, agen pemuliharaan seni, agen pendidikan malah agen pemusat kegiatan seni tradisional dan kontemporari. Dulu di KBN/ PN aktivis kesenian sama ada berjiwa Melayu atau barat semuanya berkampung di sana. Sehinggakan sekelilingnya muncul anak-anak teater yang menghidup dan melahirkan seniman jitu. Tapi kini IB dengan dengan semangat dan jiwa barunya mungkin merubah wawasannya. Kurang sekali kita mendengar, menonton atau membaca tentang IB melalui kumpulan residennya menghasilkan satu kerja eksperimentasi atau eksplorasi dalam kesenian. Yang kita temui adalah satu 'recycle' persembahan khususnya dalam seni tari dan masih terlingkung dalam ruang 'touristic'nya.

Berbalik kepada makyung ini, bukanlah tidak ada peningkatan di kalangan ahli kumpulannya tetapi saya cuba menampi dan menepis beberapa kebodohan yang ada dalam kepala saya dan mengelak untuk meletakkan kayu ukur secara membabi buta, saya cuba bandingkan bagaimana bentuk pembelajaran yang mereka peroleh dengan apa yang dipratikkan di ASWARA. Saya banding dan hitung dan saya rasa inilah yang meletakkan kekurangannya. Mungkin IB hendak bergerak secara perlahan namun tidak boleh perlahan sangat kerana ahli-ahlinya pun dah senior. Jikalau seorang pelajar ASWARA memerlukan 4 bulan untuk mempelajari teknik, kemahiran dan ilmu teori Makyung dan 4 bulan untuk kelas praktikal bagi produksi, dan ASWARA masih terkial-kial mencari bakat dan pelajar yang betul-betul menguasai seni makyung apatah lagi jika mahu meletakkan makyung sebagai mata pencarian dan digelar mereka sebagai profesional. Kita harus bertanya apakah isi yang kita bagi untuk mengisi tuntutan batiniah seseorang pelakon, maksudnya ilmu lakon. Jangan kita bercakap soal makyung semata-mata, tetapi melihat lakon dalam skop yang luas. Berapa ramai di kalangan anggota kumpulan makyung IB yang dilatih dalam lakon/teater untuk mengenal aspek vokal, pengucapan, interpretasi teks, gerak, bloking, pacing, intonasi, ekrpresi, improvisasi dan bermacam-macam terminologi. Apatah lagi untuk menghayati seni makyung yang banyak sekali falsafah tradisionalnya, adakah mereka mengerti formasi yang dibuat, lafaz kata yang ditutur dan apakah mereka sudah menemui lenggok intonasi, sastera dan gaya lakon makyung. Malangnya apa yang saya perhatikan mereka masih merangkak tetapi saya tidak menafikan kebolehan terpuji mereka di dalam tari dan nyanyian.
Seperti yang saya katakan di atas, IB mempunyai potensi yang besar untuk memiliki sebuah kumpulan makyung profesional yang terbaik sekiranya niat menubuhkannya dikotakan dengan satu usaha yang maksimum. Sebagai orang yang pernah berada di datas pentas makyung, saya dapat rasakan semangat dan roh untuk bermainnya. Tiap kali lagu Menghadap Rebab berlagu tangan saya mencari hadap dan mulut saya memburu notasi rebab. Aduh! payah sekali hendak saya ungkap apabila semangat seni makyung teresap dalam diri. Kalau tak percaya tanya sahaja pada Juhara, Zizi atau Rosnan, dari mana datangnya angin makyung dan dari mana mengalirnya darah itu ?

3 comments:

Anonymous said...

Well said.

dian nais said...

kadang2 Mokyong IB ini terlalu elit sehingga hilang seni kerakyatannya..

edengtajeli said...

saya sayang makyung IB...

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...