Jom Kita Jadi Geng

Friday, March 2, 2012

3FACES : PENARI KELAS TINGGI

Tajuk ini bukanlah memperkecilkan penari lain atau cuba mengangkat bakul sendiri sebab saya ini dari ASWARA. Bukan. Realitinya begitulah. Kalau saya kata berkelas dunia nantikan banyak orang marah, ada pula kumpulan-kumpulan utama kebudayaan marahkan saya. Ya lah apalah hebatnya budak-budak ASWARA tu menari. Memang saya akui mereka bukan berkelas dunia jika kayu ukur kehebatan penari itu pada ketinggian, rupa paras dan ketrampilan mereka di luar. Apalah nak harapkan budak-budak ASWARA bergaya sakan kalau cuma harapkan duit saku mak bapak hehehe. Jangan marah ya...

3Faces tidaklah mengejutkan bagi saya yang selalu menyaksikan persembahan sebegini, namun ia amat menakjubkan apabila pada satu malam sekumpulan anak muda Malaysia menunjukkan kehebatan dalam tiga genre tari yang sangat berbeza. Perbezaan itu bukan sahaja pada irama, gerak dan stailnya tetapi cukup berbeza dalam soal meluah dan mengekspres bahasa badan mereka mengikut konteks genre yang ditarikan. 


Malam ini mereka mempamerkan kecekapan nuansa India yang bagi saya bukan calang-calang penari boleh menguasai dan menyampaikannya dengan baik. Dalam persembahan segmen klasik India, tentu sekali tumpuan diberikan kepada Norbaizura dan Yunus Ismail. Kedua-dua mereka kini mencatat sejarah peribadi apabila Baizura diangkat sebagai Wanita Melayu pertama mencapai tahap cemerlang dalam Bharata Natyam, begitu juga Yunus yang mengikut jejak Ramli Ibrahim dan Chandrabanu malah telah dianugerahkan sebagai penerima Anugerah Seni Selangor.


Segmen kedua pula menyusul sebuah Teater tradisional Makyung 'Dewa Indera Indera Dewa'. Ia memetik salah satu babak penting dalam cerita tersebut. Segmen ini mempertontonkan kebolehan mereka dalam menarikan tarian tradisional Melayu 'Mengadap Rebab' serta kebolehan mereka melakonkan watak-watak dalam cerita makyung. Nyata mereka diuji dan patut dipuji. Ismadian selaku pemain utama terserlah dengan kehebatannya sebagai pelakon makyung. Nyanyiannya sangat indah. Air makyungnya mengena, lidah Kelantannya menyerap. Kita ada seorang lagi pelapis makyung.


Segmen terakhir adalah 'Plan B' sebuah tarian kontemporari yang menerap gaya dan ciri hip hop dalam persembahan. Plan B menampilkan 3 watak utama iaitu Failul, Murni dan Marul. Dramatari moden ini melengkapkan kehebatan kumpulan ini sebagai penari berkelas tinggi. Permainan emosi oleh Murni dan Marul sangat memikat. Seolah mereka pun pelajar senilakon. Failul@Boy hebat dengan hip hop dan breakdance nya...sangat natural. Ramai yang menyerlah dalam segmen ini termasuklah penari utama Bhrata Natyam, Baizura dan Pakyung, Ismadian. 

Jadi kenapa saya harus malu untuk mengatakan bahawa mereka ini adalah penari kelas tinggi di Malaysia. Saya berani mengatakan bahawa Istana Budaya harus memiliki penari seperti mereka dan betul-betul menonjolkan kebolehan tari mereka. Barulah boleh disebut penari negara. Namun itu tak akan menjadi realiti sebab Istana Budaya akan kekal begitu. Kalau zaman KBN dulu, ianya berbeza kerana KBN melahirkan penari terbaik, mengekalkan warisan dan bereksperimen dengan kesenian. Apa nak dikata, zaman selalunya relevan dengan trendnya. Jadi ASWARA harus kekal dengan semangat dan slogan nya ''...melangkah ke hadapan bersama tradisi''.

Tahniah sekali lagi buat ASWARA DANCE COMPANY di bawah Pengarah Artistiknya Dr. Joseph Gonzales merangkap Dekan Fakulti Tari ASWARA. Malam ini sekali lagi mereka membuktikan bahawa ASWARA adalah sekolah terbaik dalam mengeluarkan bakat tari berkelas tinggi. Tahniah buat guru-gurunya.

3Faces akan dipentaskan 1 - 4 Mac 2012 di Panggung Eksperimen, ASWARA jam 8.30 malam. 

4 comments:

CintaZulaikha said...

apapun , penari2 aswara mmg terbaik...

Joseph Gonzales said...

Terima kasih Chekem...usaha dari saya serta penari ASWARA adalah suatu yang jujur dan iklas dari hati untuk memartabatkan seni. Semamangnya, ruang ini merupakan satu tempat di mana bakat muda dapat merealisasikan impian mereka dan memenuhi potensi serta bakat yang dikurniakan oleh Tuhan.

chekem mirza said...

Cinta Zulaikha,

datanglah selalu menonton persembahan ASWARA

chekem mirza said...

Pecinta Seni,

Kehebatan mereka terserlah within your leadership and your strong teamwork. I'm sure the dancers are inspired by your weltanshaung towards arts

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...