Jom Kita Jadi Geng

Wednesday, March 21, 2012

MAID IN MALAYSIA : KADOK NAIK JUNJUNG?

Maid Impian hehehe
Oklah kita jangan emosional sangat dalam soal ini. Saya tahu ada antara kita yang laki bini bekerja jadi siapa nak jaga anak-anak di rumah? Kalau hantar nursery sorang anak dah 200 kalau 2 anak 400 kalau 3 anak mahu lebih 500. Mahal juga kosnya. Sekarang ni kebanyakan majikan membayar maid indon sekitar 400-500 sebulan dengan menanggung hampir semua kos sara hidupnya termasuklah tempat tidur, makan minum, pengangkutan ada tu provide barangan diri dan pakaian. Malah ada kawan saya sorang tu siap provide prepaid untuk mereka. Jadi sorang maid lebih kurang 1000 ringgit lah overheadnya sebulan. Tinggi juga ya. Tetapi bila ada maid, biasanya maid akan buat apa sahaja dari jaga anak, basuh pakaian, cuci rumah, cuci kereta, masak dan macam-macam lagi. Jadi para isteri balik kerja hati senang sebab anak-anak di rumah, rumahpun berkemas, ada orang masak, ada orang mencuci dan sebagainya. pendek kata bolehlah lepas mandi baring-baring depan TV sambil tengok Mentor TV3 hehehe. Bunyinya macam Maid ini memang memudahkan kehidupan mereka yang bekerja. Ada pula majikan yang berlebihan arahannya, maklumlah ada orang suruhan di rumah lalu disuruhnya maid buatkan minuman untuk famili kala mereka sedang melayan Cerekarama. Ada pula menimbunkan pakaian ofis, baju sekolah anak untuk digosokkan sambil majikan sedang makan malam. Ada pula majikan lepas makan sambil tengok Akademi Fantasia dipanggilnya maid minta diurut-urutkan badan mereka. Al maklumlah penat seharian di tempat kerja. Selesai makan, selesai tengok tv majikan masuk tidur dengan anak-anaknya sekali tapi maid diingatkan supaya kemas dapur dahulu sebelum ke kamar. Seronokkan kalau ada maid. Semua kerja dibereskan. Tak mengapalah kita majikan jadi kita bayar gajinya setiap bulan. Lagipun 400ringgit tu besar kalau dibandingkan duit indon...berjuta-juta rupiah. 
fikirkan keselesaan mereka
Esok pagi, orang paling awal bangun pagi adalah maid. Mana boleh orang gaji bangun lewat daripada majikan. Siapa yang nak siapkan sarapan dan siapa yang nak sapu habuk-habuk. Majikan dah kelam kabut nak mengejarkan waktu pejabat. Jadi bangun dan bersiap. Ambil pakaian yang digosok semalam, makan sarapan dan say bye-bye to baby. Itupun kalau baby dah bangkit. Kalau tidak terus start enjin kereta. Hati senang sebab maid ada di rumah mejaga anak, mengurus rumah, membasuh pakaian dan semuanya lah. Anak-anak yang ke sekolah kalau balik tengahari makannya pun terjaga sebab maid dah masakkan. Senang hati. Semua diuruskan dengan baik. Maklumlah mampu menggajikan maid 500 ringgit sebulan. Senang sungguh hidup kita dengan kehadiran maid. Mereka memudahkan kehidupan. Kurang beban. Tapi adakah dengan menggajikan seorang maid dengan membayar segala macam urusan maka sudah cukup untuk kita katakan kita adil. Adil dalam menilai seseorang. Kenapa kita sangat berkira-kira dalam soal menggajikan maid? Adakah kita sanggup menerima gaji sebanyak 400ringgit dengan kerja lebih dari 12 jam sehari dan diperlakukan sebagai orang suruhan? Memang kalaupun tempat tinggal dan makan minum diberi namun adakah itu cukup untuk membahagiakan seorang manusia. Meskipun dia itu orang gaji , orang luar dan orang indonesia. Kita sendiri pun akan sangat menentang sekiranya anak atau adik atau saudara apabila kerja mereka seperti begini tambahan pula dengan gaji yang kecil. Saya pasti anda tak akan benarkan saudara terdekat anda membuat kerja yang tidak setimpal. maaf lah ya saya ni sekadar melontar hujah.

Saya pernah ada maid dan lalui kisah yang tidak menarik dengan maid itu. Masa tu Rhea baru berusia 1 -2 tahun Aish 6-7 tahun. Saya layan maid saya macam kakak kerana saya hormat dia sebagai orang lebih tua. Setiap minggu kami berikan dia cuti dua memandangkan kamipun tidak bekerja sabtu dan ahad. Maid kami tu ada suami di Malaysia bekerja sebagai buruh binaan. Jadi atas dasar kemanusiaan saya berikan cuti, kalu cuti sekolah dan cuti raya memang maid itu duduk dirumahnya. Gaji saya bayar macam biasa. Sebab saya kenangkan bahawa dia yang akan jaga makan minum dan mengasuh anak saya. Yang penting anak saya selamat dan hati kami tidak risau. Ada sekali tu maid kami minta tolong hantarkan dia ke rumah kawannya. Rupanya dia pergi menyerang suaminya yang didapati bermain kayu tiga. Saya yang menghantarnya. Kenapa? Memang itu bukan kerja majikan tapi cuba bayangkan apa jadi pada anak-anak kalau saya tidak bantu maid selesai masalah peribadinya. Saya cuma mahu semasa dirumah kami, maid tenang. Bibik saya masak, basuh dan kemas rumah ala kadar saja. Itu tidak mengapa kerana tujuan asal kami mengambilnya kerana mahu mencari pengasuh anak. So saya layan bibik sebagai kakak dalam family tapi tidaklah sampai merajakannya. Tapi rupanya bibik tidak puashati dengan gaji katanya 450 tidak cukup. Masa dia bercuti pulang ke Indonesia dan sebelum balik bekerja dia menelefon dengan memberi syarat akan bekerja kalau gaji naik 500. Saya kata tak mengapalah. Bibik tak perlu datang. Itu kisah saya yang saya anggap jadi majikan yang sangat prihatin. Bagaimana lah pula bagi maid yang bekerja dengan majikan yang sangat demanding. Ada tu duduk di sofa pun tidak boleh...ishhh bagi saya itu menghina.

Banyak pengajaran yang saya dapat dari pengalaman menggajikan maid. Bukanlah serik tapi saya bercermin dan melihat perubahan yang berlaku dalam sistem keluarga saya semasa punya maid. Anak-anak kami menjadi sangat tidak berdikari semua benda dibuat maid. Kami pula menjadi sangat malas untuk mengemas dan menjaga rumah kerana maid sudah buatkan itu. Apabila maid tak ada, kita kembali memainkan peranan sebagai ibu bapa. Kita menunjukkan teladan kepada anak, mengemas dan memasak, membasuh dan menggosok pakaian. Jadi anak ada pengalaman itu. Ini penting buat anak-anak yang sedang membesar kerana mereka belajar melalui contoh. Berapa ramai antara kita semasa kecil dijaga oleh maid?  Anak-anak harus berdikari, mengambil pakaian dan menyarungkannya itu adalah pengurusan diri. Begitu juga membasuh kasut sekolah itu adalah pengurusan diri. Kalau anak melihat kita selalu baring depan tv dan orang lain yang buatkan semuanya maka itulah imej yang berkembang di dalam minda mereka. Menjadi boss...semua dibuat. Tapi kita tidak tahu apa akan ditempuh anak-anak kita. Adakah mereka boleh berdikari? Silap-silap kita yang akan jadi orang suruhan anak di kemudian hari.

Panjangnya cakap saya kali ini. Tapi inilah realiti. Berbalik pada kisah maid Indon ni. Saya tidak salahkan 100% pada pihak kerajaan Indonesia. Mereka pun turut memikirkan risiko-risiko lain yang perlu dihadapi oleh rakyat mereka. Dengan kisah-kisah tragedi yang berlaku melibatkan majikan dan maid di Malaysia. Ianya memang menakutkan. Walaupun ia adalah kes terpencil namun kes-kes seperti Nirmala Bonat (tanpa menidakkan kes maid mendera membunuh anak majikan) yang mengheret 2 kerajaan duduk berbincang. Memang sifat semulajadi kebanyakan manusia, selalu mementingkan hak sendiri. Mahu menang balik kita sahaja. Kita tak mahu penat, kita tak mahu rugi, kita tak mahu bayar mahal dan kita tak mahu anak-anak terabai tapi kita lupa maid Indon juga turut memikirkan soal kehendak mereka juga. Andai kata rm700 itu gajinya bagi semua kerja, adakah anda sanggup?

Jangan kita letakkan maid itu ditempat yang rendah. Kalau dalam rumah, kita selalu berfikiran bahawa maid itu orang suruhan maka selamanyalah maid itu tidak akan bahagia dengan kerjanya. Saya sangat positif dalam hal ini. Saya yakin bahawa penyertaan maid dalam rumah kita adalah untuk memudah dan menyenangkan hidup kita. Bukan untuk dibuli dan diabdikan. Kita sendiri pun kalau bekerja ada masanya nak bersembang dan berehat. Janganlah kita pantang bila lihat maid bersembang dan berehat. Kita harus memberi hak mereka walaupun dalam rumah kita. Biar mereka selesa dan ada rasa kepunyaan pada rumah kita. Ini lebih menyenangkan. Sebagai majikan, persepsi terhadap mereka harus positif, kesilapan mereka perlu diperbaiki melalui teguran bukan hukuman. Itulah yang membezakan kita yang berpelajaran.
Antara maid yang dipusatkan di Kedutaan Indonesia kerana didera majikan

Entahlah bunyi macam entri saya kali ni memihak kepada maid tapi bukan itu pun my ultimate. Saya cuma cuba mengupas hal-hal yang mungkin tidak ternampak. Hal kemanusiaan selalunya hilang dalam kuasa. Ini pun jadi pengajaran kepada negara kita. Kita Indonesia yang bergelut dengan ekonomi yang teruk kesan inflasi 1997 dan beban hutang dengan IMF. Kegagalan pemerintah Indonesia mengagih dan menggunakan kekayaan buminya menyebabkan rakyatnya merana. merantau dan menjadi kuli di negara orang. Istilah Indon membawa konotasi yang sangat negatif di Malaysia. Saya tidak pasti merujuk kepada apa tapi saya rasa kesan dripada kemiskinan, pendidikan dan taraf hidup yang rendah. Malaysia kalau pemerintahnya tidak cekap, banyak rasuah, mengabaikan rakyat maka tidak mustahil rakyat kita turut menerima nasib seumpamanya. Syukur setakat ini kita dipelihara.

Dalam hal maid ini, alangkah baik kalau kerajaan dan masyarakat sendiri memulihkan cara hidup kita. Jika pusat jagaan kanak-kanak yang sedia ada dapat berfungsi dengan baik, mengenakan kadar yang sewajarnya dan kerajaan membaik pulih keperluan rakyat ini seperti tabika kemas, nursery, kursus penjagaan dan sebagainya tentu sekali tahap kepercayaan rakyat akan meningkat. Nak menjadi negara maju haruslah memikirkan kesejahteraan rakyat. Kesejahteraan itu bermakna stabil dalam segala hal. Tidaklah kita setiap tahun dihantui kisah-kisah macam ni.

4 comments:

Anonymous said...

memang banyak kadok naik junjung walaupun tak semua...pernahkah saudara melihat bagaimana layanan maid-maid indon ini terhadap anak-anak majikan....yang naik junjung selalunya suka mendera.....

chekem mirza said...

pernah...dan menakutkan. Tapi itu kes terpencil juga.

Anonymous said...

Saya bayar maid saya indon jugak ... still dia buat hal... bayar mereka banyak mana pun tak guna

Anonymous said...

Bayar rm800

Yang ni pun menarik juga

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...