Baru je habis menonton wayang kulit di Orchestra Hall, ASWARA. Tinggal esok malam sahaja. Malam ni pak Nasir, dalang wayang kulit yang juga adiguru ASWARA bersama kumpulannya mempersembahkan cerita Bunga Cempaka Rindu Malam. Menariknya cerita ini kerana ia lebih segar dan tidak meleret-leret. Saya kira Pak nasir yang sudah terbiasa dengan tuntutan persembahan di Kuala Lumpur telah menyediakan sebuah persembahan yang sangat sesuai. Citarasa kontemporari diterapkan. Bahasa yang dipilih tidaklah totok Kelantannya. Saya kira kalau mereka yang kurang biasa dengan dialek Kelantan boleh faham dengan baik.
Cerita Bunga Cempaka Rindu Malam ini berkisah tentang Wak Long menyanyi-nyanyi di hadapan anak raja lalu tersebut sebaris ayat yakni Cempaka rindu malam. terdengarkan oleh anak raja itu lalu jatuh hatinya dan menginginkan bunga itu. Namun ia menjadi kerisauan Wak Long kerana bunga yang di sebut itu tidak diketahui akan kewujudannya. Apabila raja mendengarkan nama itu, Raja Seri Rama pun menitahkan wak long dan pengasuh yang lain mencari bunga itu. Lucu bunyi dan bermulalah pengembaraan wak long dan pengasuh yang lain mencari Bunga Cempaka itu.
Pak Nasir |
Memang susah untuk menarik khalayak ke panggung, malam ini penonton kurang ramai namun yang datang adalah orang-orang muda yang saya rasa bagus kerana mereka tertarik dengan seni ini. Sukarnya untuk wayang kulit mencari khalayak kerana konotasinya pada persepsi tradisional itu sangat kuat walhal cara permainannya sudah berbeza. Berlainan dengan makyung yang dilakonkan dengan pelbagai aksi dan kostum yang indah-indah, wayang kulit tidak ada itu, wayang kulit cuma ada kehebatan permainan dalangnya. Suara dan libasan patung-patung oleh dalangnya serta muziknya yang variasi. Yang bagi saya Pak Nasir memang seorang dalang yang hebat. Suaranya yang berubah pada setiap watak, elemen teaterikal dan kefahaman teater dalam diri Pak nasir adalah semulajadi. Tidak perlu kenalkan pada beliau soal dinamik atau pace, beliau sudah praktikannya. Lontaran suara pak nasir seiring dengan tenaganya melibas patung-patung di kelir. Rasanya kalau saya berada di sebalik kelir tentu menarik melihat kinestetik yang memunculkan aksi-aksi di kelir. Kemahiran beliau dalam bermain patung-patung ini dek kerana penguasaannya dalam seni bercerita wayang kulit apatah lagi beliau juga adalah pemuzik pergendangan yang berpengalaman dan pemain makyung yang terlatih. pendek kata terkumpul banyak kekuatan dalam diri Pak Nasir. Betullah kata orang, nak jadi hebat tu perlu himpun seribu macam ilmu barulah keluar ketokohannya.
Pak Nasir disokong oleh ahli-ahli pergendangan yang sangat akrab dengan seni wayang kulit ini. Pak mail, Pak Anuar, Kamrul Bahri dan anak-anak muda yang masih di bawah usia 30 tahun seperti Kamrul baisah, Nik Izham, Farid, Yana dan ramai lagi yang kebanyakkannya masih di tahun 1 Diploma ASWARA, cukup memberi satu gambaran bahawa Wayang Kulit itu bukanlah asing dan bukanlah seni untuk orang tua semata-mata ataupun seni untuk orang kelantan sahaja. Sebab tadi saya kelih ramai juga budak-budak yang mengiring pak nasir tu bukanlah orang klate. Penonton pun sama...terkekek kekek bunyi gelak.
Jadi jangan lepas peluang esok 23 Mac 2012 malam terakhir wayang kulit. Lain kali kalau ada show wayang kulit, jangan negatif mana tahu anda mungkin jatuh cinta lebih dari menonton sebuah animasi. Bukankah filem itu inspirasi dari wayang kulit?
No comments:
Post a Comment