KALI terakhir Datuk Siti Nurhaliza mengeluarkan album bahasa Melayu ialah pada tahun 2009 dengan album Tahajjud Cinta. Bagaimanapun album All Your Love yang dikeluarkan pada 2011 bagai tiada magis.
Kali ini, Siti benar-benar serius untuk mengubat rindu peminat. Untuk itu Siti 'berkolaborasi' mengumpulkan 10 orang komposer dan penulis lirik selama tiga hari untuk penghasilan album pop terbaharunya.
Antara komposer yang terlibat ialah Ajai, Aidit Alfian, Saidin Omar, Ana raffali, Adi 6ixth Sense dan Marlin manakala antara penghasilan lirik pula oleh Ad Samad, S. Amin Shahab, Abie, Rudy Imran dan Ce' Kem.
"Sudah dua tahun Siti tidak menghasilkan album pop berbahasa Melayu. Siti rasa sudah tiba masanya untuk muncul dengan album baharu. Siti juga memerlukan lagu-lagu baharu untuk konsert," ujarnya.
Jelas Siti, dia bekerjasama dengan Music Author's Copyright Protection Bhd. (MACP) untuk mengadakan Bengkel Cipta Ekspres MACP yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan baru-baru ini. Dalam bengkel itu, Siti turut menjadi juri bagi bengkel Cipta Ekspres.
Jelas Siti, semua 10 lagu yang dicipta secara ekspres tersebut menepati 70 peratus kehendaknya. Malah satu lagu akan dinyanyikan pada konsertnya yang dijadualkan berlangsung pada selama tiga hari bermula 5 Julai ini di Dewan Philharmonik Petronas, Kuala Lumpur.
Secara muzikal, Siti memandang Adele, Beyonce dan Bruno Mars sebagai rujukan terkini. Menurutnya, dia menggemari lagu-lagu Adele kerana konsepnya yang tidak terlalu moden atau urban.
"Kalau Beyonce, Siti lebih melihat kepada kekuatan jiwa dan wanitanya. Siti juga sukakan lagu-lagu yang rancak," jelasnya yang menggemari lagu Set Fire To The Rain nyanyian Adele.
"Siti melihat kerjasama dengan pihak MACP sebagai sebuah gandingan yang sangat baik yang pernah dilakukan oleh mereka untuk anak seni. Inilah masanya untuk bergabung antara komposer dan penulis lirik lama dan baharu. Siti sangat hormati idea masing-masing dan mereka hanya diberikan tiga hari untuk menyiapkan lagu. Bengkel sebegini juga dapat memberikan suasana luar daripada kebiasaan kerja masing-masing," hadirnya tentang bengkel yang menobatkan lagu Ranjang Berbisik nukilan Saidin Omar dan tulisan S. Amin Shahab.
Menyentuh tentang album pop yang bakal dirakamkan tidak lama lagi, Siti sedar bahawa ramai peminat yang menggemari lagu seperti Purnama Merindu dan lagu-lagu balada.
"Siti tahu peminat rindukan lagu balada sebegitu. Kali ini Siti mahu hasilkan album yang mengikut trend, lebih matang daripada segi penceritaan dan lirik. Juga mengandungi lagu-lagu yang mempunyai mesej yang positif," katanya.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0428&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2RqKV0Ve6
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment