Menurut Wikipedia Mek Mulung dikatakan berasal dari Ligor, Siam dan diperkenalkan di negeri Kedah ketika berlakunya persengketaan di antara Kedah dan Siam. Tempat ia mula-mula sekali diperkenalkan ialah di Kampung Perit, Mukim Kurung Itam, Jajahan Kuala Nerang. Seterusnya ia berkembang ke Kampung Belukar Mulung, Kampung Paya Keladi dan akhirnya di Kampung Wang Tepus, Jitra, Kedah. Walau apapun sejarah bercerita tentang dari mana dan di mana Mek Mulong berada kini, hakikatnya seni tradisi ini sudah berada dalam kelompok anak-anak muda kontemporari yang bernaung di ASWARA. Sekilas pandang mereka itu seperti tidak mempedulikan kesenian tradisi, namun berada di ASWARA kami asuh dan pupuk minat mereka agar mengenal dan menghayati kesenian tradisional. Tidak kira sama ada makyung, wayang kulit, bangsawan ataupun randai.
Sejak diperkenalkan Mek Mulong pada tahun 2009, kesenian ini makin mendapat tempat di kalangan khalayak yang mengikuti persembahan-persembahan ASWARA. Mek Mulong 'Malim Bongsu' yang dipentaskan pada 6 dan 7 Mei 2011 lalu menyaksikan Panggung Eksperimen padat dengan penonton dan mencatat kutipan tiket antara yang tertinggi dalam pementasan ASWARA semester ini. Penonton bukan sahaja dapat mengenal kesenian yang hampir pupus ini malah terhibur sepanjang persembahan dengan aksi menarik yang dimainkan oleh para pelajar Ijazah Tahun 1 ASWARA. Tahniah buat mereka.
Mek Mulong di ASWARA dipimpin oleh Rosli Mansor, Zamzuriah Zahari dengan dibimbing oleh tokoh Mek Mulong yang dibawa dari Kedah iaitu Pak Saad dan Pak Kamarusdin. Produksi ini turut dibantu oleh saudara Adika Zainal yang bertindak sebagai pembimbing pengurusan produksi. Tahniah juga buat tenaga pengajar. Kesungguhan mereka mendidik dan membimbing pelajar patutlah dipuji dan diangkat sebagai mereka yang terus memastikan seni ini tidak hilang dari bumi ini. Saya sisipkan beberapa video dari produksi lepas. Produksi Malim Bongsu belum kedapatan lagi. Tidak kisah lah ya. Dari video-video itu, saudara boleh saksikan sendiri kesungguhan para pelajar...anak muda sebenarnya yang bermain mek mulong dan seolah-olah menunjukkan bahawa mek mulong itu mereka yang punya. Itu hal sukar untuk diterjemahkan pada kertas atau dibuktikan secara abstrak. Nyatanya semangat dan jiwa mereka sudah terbiasa dengan seni tradisi. mereka bukan lagi berlakon tapi mereka bermain sebenarnya.
Menjelang 2014, produksi tradisional mungkin bukan lagi kursus yang wajib diduduki dan diambil oleh para pelajar ASWARA. Pelajar hanya diberi pendedahan dalam studio aspek asas kesemua seni tradisi...maksud saya makyung, wayang kulit, bangsawan dan yang lainnya. Secara peribadi saya berpandangan keputusan ini sebenarnya menuju ke arah mematikan bukannya membina khalayak dan penggiat kesenian tradisional.
Menganjurkan kursus dan mementaskan produksi tradisional haruslah dilihat sebagai satu usaha melestari kesenian ini. Jika dilihat pada beban dan kehendak birokrasi pendidikan memang ianya tidak menguntungkan institusi. Namun tersiratnya ia adalah satu pelaburan kepada pembentukan sahsiah budaya bangsa.
Ironinya, kita hari ini bimbang pada nasib generasi akan datang ekoran globalisasi dengan dominasi teknologi yang bisa meruntuhkan identiti dan jati diri bangsa namun pada masa yang sama kita melihat seni tradisional itu tidak menguntungkan, bukan komoditi, membebankan dan jika boleh dikurangkan penganjurannya. Tambah dramatik ironinya, ASWARA dengan slogan '...melangkah ke hadapan bersama tradisi' seperti memperkasakan yang moden, yang teknologi, yang kontemporari dan sedikit demi sedikit mengikis yang tradisi.
Mari kita lihat cermin...
No comments:
Post a Comment